Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang, kita telahpun dididik dan diingatkan berulang-ulang kali oleh ibu bapa dan guru tentang kepentingan pemakanan seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada seseorang kanak-kanak adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana enggan makan sayur-sayuran dan hanya ingin menjamah makanan ringan. Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa pemakanan seimbang tidak begitu vital kepada kesihatan seseorang individu. Menurut persepsi mereka, kehidupan manusia di muka bumi hanyalah sementara dan harus dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, mereka memandang enteng terhadap kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat disangkal dengan mudah kerana impak pemakanan seimbang terhadap kesihatan dan kebahagiaan seseorang amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia. Namun demikian, mengapakah masalah obesiti kian bertambah kritikal jikalau kebanyakan komuniti sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang? Kajian terkini mendapati bahawa 33% daripada semua penghuni dunia ini menghadapi masalah obesiti. Statistik ini amat meruncing kerana hal ini bermaksud terdapat kira-kira 2 bilion orang di seluruh pelosok dunia yang tergolong dalam kategori obes! Apakah kepentingan pemakanan seimbang yang harus dikupas dan dibugar secara terperinci hingga ke akar umbi, bagi menyedarkan dan menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet mereka dan tidak bersikap bena tak bena terhadap kesihatan dan kebajikan peribadi mereka? Marilah kita mengkaji persoalan yang masih menjadi polemik dalam kalangan masyarakat.
Sebagai pembuka tirai pembincangan ini, salah satu kepentingan atau faedah pemakanan seimbang yang jelas dan nyata adalah untuk menjadikan tumbesaran manusia lebih sempurna dari aspek fizikal dan fisiologi. Tubuh badan akan menerima semua zat yang diperlukan untuk menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu, seseorang yang menjaga dan mengawal pemakanannya akan memiliki keadaan fizikal yang jauh lebih baik berbanding seseorang yang kurang prihatin terhadap diet dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus penting dalam proses pembentukan gigi dan tulang yang kuat. Kanak-kanak khususnya yang harus mengambil zat-zat ini dalam kuantiti yang optimum supaya dapat membesar sebaik-baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting untuk memastikan sistem peredaran darah seseorang itu efisien dan berfungsi secara lancar. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tenaga dan bahan mineral secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek lahiriah seperti ketinggian dan berat badan, malah juga dari segi kelancaran fungsi organ dalaman dan kecekapan sistem-sistem badan. Sekiranya pemakanan mereka tidak seimbang, mereka akan mengalami pertumbuhan yang terbantut serta tidak sempurna. Hal ini akan memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya dan akan mengakibatkan mereka kurang berkemampuan untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Satu tamsilan yang amat menyayat hati ialah kanak-kanak yang berada di negara-negara Dunia Ketiga seperti Ethiopia dan Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses kepada makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang mengamalkan pemakanan yang seimbang, kanak-kanak ini tidak dapat membesar dengan sempurna dan kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat yang amat pendek, seperti 7 hingga 12 tahun sahaja. Ironinya, ramai individu di negara yang maju berupaya mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat, namun mereka enggan bertindak sedemikian.
Bertitik tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat lain yang diperoleh daripada pemakanan seimbang ialah menjamin perkembangan mental seseorang yang lebih cekap dan berkesan. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami semasa meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif dan rasional berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Dr Andrew McCulloch dari Mental Health Foundation telah menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa pelbagai penyakit mental seperti depresi ( kemurungan ), schizofrenia, penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention Deficit Hyperactivity Disorder ) dapat dihindari sekiranya mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai pusat kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh nutrien-nutrien yang terdapat dalam diet kita. Kajian saintifik terkini juga mengeluarkan laporan bahawa mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam sistem saraf badan kita. Dr McCulloch telah mengutarakan evidens bahawa pemakanan seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk menangani dan mengatasi sesuatu masalah atau pancaroba dengan minda yang tenang dan waras.
Sebagai rentetan daripada perbincangan di atas, pemakanan seimbang telah terbukti dapat mengurangkan risiko untuk menghidapi pelbagai penyakit yang berbahaya. Malnutrisi didefinisikan sebagai mempunyai diet yang tidak seimbang, seperti mengambil nutrien-nutrien dalam kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu sedikit. Makanan ringan yang digemari ramai mempunyai kandungan kolesterol, garam, gula dan lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan juga strok. Sebaliknya sekiranya kita kekurangan kalsium, fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita akan menghidapi penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu tulang dan gigi menjadi lemah dan mudah retak. Seperti yang berlaku kepada kanak-kanak di negara-negara daif, kekurangan protein akan menyebabkan penyakit kwashiorkor dan marasmus. Penyakit kanser juga terbukti dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, terutamanya kanser payu dara, kanser buah pinggang dan kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa jikalau kita mengambil semua nutrien, bahan mineral dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan risiko diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja menderitakan malah juga berpotensi membawa maut. Janganlah sampai nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak dan mengambil berat kepentingan pemakanan seimbang kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Kepentingan pemakanan seimbang yang terakhir namun tidak kurang signifikannya berbanding kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah pemakanan seimbang dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan perubatan seseorang, khususnya golongan yang kurang berkemampuan. Suatu soal selidik yang dijalankan iaitu Consumer Expenditure Survey 2009 telah menganggarkan bahawa setiap individu membelanjakan kira-kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka untuk membiayai perbelanjaan perubatan. Secara amnya, seseorang itu akan membelanjakan sebanyak US$3,126 (RM9,975) setiap tahun semata-mata untuk menjelaskan kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion untuk menampuang segala keperluan dan kemudahan perubatan rakyat Malaysia. Senario ini tidak harus berlaku, kerana kita sewajarnya berusaha menjaga kesihatan diri dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita mampu menjimatkan perbelanjaan perubatan sebanyak beribu-ribu ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk masa kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara pula, berbilion-bilion ringgit dapat difokuskan bagi menjana pembangunan dan perkembangan dalam industri lain seperti industri pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah pihak akan mengemukakan hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana sains dan teknologi moden dalam bidang perubatan menjelang era pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini semakin canggih hasil daripada daya intelek golongan saintis dan pakar perubatan. Namun demikian, persis madah pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan bahawa lebih baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit daripada mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini juga dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan kita. Membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran jauh lebih murah daripada membeli ubat-ubatan daripada farmasi.
Tuntasnya, kepentingan pemakanan seimbang amat jelas dan ketara dalam kehidupan seharian setiap manusia di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata pena dan menulis noktah terakhir, seruan saya ialah kita mestilah sedar bahawa tabiat pemakanan kita bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal kita, malah akan meninggalkan implikasi terhadap kesihatan kita secara holistik. Pepatah ada mengatakan, Diri Anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. Kita perlulah membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai kata semua warganegara Malaysia berganding bahu dan bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan yang seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan negara yang akan menerima kesan positif daripada usaha kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan juga dunia kita ini akan lebih sihat dan cergas, sekali gus melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal tajam, kerana badan sihat, otak cerdas.
Kepentingan Makanan Seimbang
Langkah-Langkah Membela Nasib Golongan Warga Tua
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang Berbahagia, Tuan Haji Abu Bakar, Ketua Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat di Pasir Puteh, Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, dif-dif kehormat, tuan-tuan dan hadirin yang dihormati sekalian. Pada kesempatan ini, saya akan menyampaikan ceramah tentang langkah-langkah yang wajar dilaksanakan untuk membela nasib golongan warga tua khususnya kepada golongan belia pada hari ini.
Malaysia merupakan antara Negara yang sedang pesat membangun dari segi ekonomi, politik dan sebagainya. Pembangunan ini sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat. Walau bagaimanpun, media massa sering memaparkan kehidupan segelintir warga emas yang malang dan tidak terbela pada hari ini Keadaan ini menyebabkan kita terdesak untuk mencari jalan membantu golongan ini supaya mereka mampu menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan dalam isu ini?, merupakan persoalan yang timbul dalam pemikiran setiap individu. Seiring dengan pembangunan ekonomi di negara ini, pelbagai langkah boleh diambil antaranya ialah pihak-pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Bantuan boleh dihulurkan kepada golongan ini bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. Maka, langkah ini sedikit sebanyak mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.
Hadirin yang dimuliakan,
Pada masa kini, pelbagai kemudahan timbul bagi membantu dan memudahkan masyarakat dalam kehidupan mereka. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan yang boleh dinikmati oleh golongan warga emas ini. Sebagai contoh, warga emas seharusnya diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun dikenakan kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta. Selain itu, tambang separuh harga untuk penggunaan pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga boleh dibuat. Langkah ini mampu mengurangkan kos pembelanjaan yang ditanggung oleh mereka yang mana pada hari ini kos sara hidup semakin tinggi.. Dengan ini warga emas tersebut merasa lebih dihargai oleh masyarakat.
Anak-anak perlu menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Namun, anak-anak juga merupakan faktor utama warga emas pada masa kini hidup dalam keadaan tidak terbela. Faktor ini berlaku disebabkan oleh taraf hidup anak-anak yang semakin tinggi memerlukan pengorbanan dari segi masa. Masa yang dikhaskan untuk bersama-sama ibu bapa hilang kerana anak-anak sibuk dalam mengejar kerjayanya. Oleh itu, anak-anak perlu meluangkan masa besama ibu bapa mereka bagi membentuk hubungan mesra dalam keluarga. Ibu bapa akan lebih menghargai dan menghayati kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka.
Hadirin yang dimuliakan,
Selain itu, langkah-langkah lain yang boleh diambil seprti kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk untuk menempatkan warga emas yang malang dan tidak terbela ini supaya kehidupan mereka lebih terjamin. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan. Ini sedikit sebanyak dapat menceriakan warga emas dan membantu dalam menempuh kehidupan harian mereka.
Seterusnya, terdapat juga warga emas yang tidak terbela ini mencari pendapatan mereka sendiri dengan menjual barang-barang di tepi jalan, mengutip tin minuman untuk dijual dan sebagainya. Warga emas mempunyai badan yang lemah berbanding dengan warga muda. Hal ini menyebabkan pelbagai masalah yang timbul antaranya dari segi kesihatan mereka. Lantaran itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.
Kesimpulanya, masyarakat muda seharusnya menyanyangi dan menghormati warga emas ini dan membantu mereka dalam kehidupan harian. Langkah-langkah yang dinyatakan sebelum ini perlu diambil bagi mengelakkan pekara ini menjadi semakin meningkat. Anak-anak juga perlu dibimbing sejak dari kecil lagi supaya menyayangi ibu bapa melalui pendidikan di sekolah. Guru-guru memainkan peranan penting dalam memupuk pelajar-pelajar mereka supaya lebih bertanggungjawab. Hal ini dapat membantu golongan warga emas ini supaya kehidupan mereka lebih terjamin dan terbela.
Pencemaran Alam Sekitar
Pencemaran alam sekitar boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mengotorkan alam sekitar sehingga boleh menjejaskan ekosistem di muka bumi ini. Dewasa ini,era permodenan menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosio ekonomi dijalankan begitu pesat untuk meningkatkan taraf pembangunan negara, namun kita alpa tentang kesan terhadap alam sekitar yang boleh membahayakan diri manusia.Pencemaran alam sekitar telah menjadi satu kemelut yang tidak dapat dielakkan oleh negara kita sehingga mencalarkan nama negara. Negara kita sebenarnya telah terhimpit antara meningkatkan pembangunan negara setaraf negara maju dengan kebajikan terhadap alam sekitar yang perlu di pelihara untuk masyarakat. Bak kata pepatah”di telan mati emak di luah mati bapa”. "Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Mendepani arus globalisasi, setiap kita pasti mahukan kondisi alam sekitar yang terbaik dan indah mahupun aset pembangunan melampaui kesedaran kita terhadap kepentingan alam sekitar. Isu-isu tentang alam sekitar kerap dipaparkan dalam surat khabar dan televisyen. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku di negara kita antaranya ialah pencemaran air, udara, dan pencemaran udara. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat.
Antara punca utama yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar berada di tahap yang kritikal adalah disebabkan tangan manusia sendiri. Pada kebiasaannya manusia sering kali melakukan pencemaran alam sekitar dalam keadaan sedar ataupun tidak seperti udara, air, tanah, bunyi dan radiasi. Kesan terhadap pencemaran alam sekitar sudah pun disebarkan melalui media massa namun manusia ”durjana” yang tidak mencintai alam memandang “enteng” terhadap permasalahan pencemaran alam sekitar. Sifat materialistik yang ada dalam masyarakat pada hari ini juga sukar untuk kita mengurangi masalah pencemaran di atas muka bumi ini. Terdapat juga individu yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan lalu membuang sampah ke dalam sungai. Individu yang membuang sampah ke dalam sungai ini akan menyebabkan sungai dipenuhi dengan sampah sarap lalu sungai menjadi kotor. Selain itu, perbuatan membuang puntung rokok ke dalam semak pula akan menyebabkan kebakaran yang boleh mencemarkan udara. Minda manusia berjiwa rakus seperti golongan pemaju perumahan masih dangkal kerana asyik memikirkan keuntungan. Jadi, kealpaan ini menyebabkan pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana, semakin banyak pokok-pokok ditebang bagi memberikan medan kepada kemajuan sektor pembangunan. Pencemaran udara berlaku apabila gas karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia tidak dapat diserap oleh sang flora dek kerana populasinya kian merudum. Proses perumahan di kawasan lereng bukit juga harus dihentikan kerana menyoroti peristiwa lampau, tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 menjadi indikator yang jelas bahawa hal ini tidak harus dimanifestasikan.
Punca seterusnya berlakunya pencemaran alam sekitar ini adalah kerana sikap pekerja di sektor pertanian dan industri juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja di sektor pertanian yang membuang sisa racun rumpai ke dalam sungai dan perbuatan ini boleh menyebabkan air sungai tercemar. Selain itu, terdapat juga pekerja di sektor pertanian yang membakar hutan bagi membersihkan tanah untuk bercucuk tanam. Hutan yang terbakar ini akan mengeluarkan asap yang tebal lalu berlakulah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. Asap-asap kilang dan kenderaan juga boleh diwartakan sebagai punca-punca pencemaran udara. Ini disebabkan oleh asap-asap hitam yang keluar dari kilang dan kenderaan boleh mengakibatkan asap-asap tersebut terperangkap di ruang udara. Selain itu, terdapat juga gas-gas yang beracun seperti gas monoksida yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan tertutup. Sejenis lagi bahan yang boleh dihasilkan oleh kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kerosakan otak terutama kanak-kanak. Selain itu, manusia juga turut menerima udara yang tidak segar untuk menarik nafas. Ini menimbulkan ketidakselesaan oleh setiap masyarakat dalam kehidupan seharian. Dengan ini jelaslah bahawa pencemaran udara yang dilakukan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab amat memberi kesan terhadap seluruh masyarakat.
Kesan pencemaran alam sekitar yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal. penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini. Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.
Kesan seterusnya berlakunya pencemaran alam sekitar ini menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur. Hujan asid juga disebabkan air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang terdapat di atmosfera. Bagaimanapun, disebabkan pada masa kini, penggunaan tenaga elektrik dan kereta telah menyebabkan bahan api fossil di bakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api fossil seperti minyak dan arang batu oleh logi tenaga dan dari ekzos kenderaan membebaskan berjuta-juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara. Bahan pencemar ini disebarkan oleh angin dan akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid nitrik. Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Ini berlaku apabila asid terkumpul dan menjadi semakin pekat. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna bangunan, kereta dan lain-lain menjadi pudar, mudah rosak, dan cepat berkarat. Selain itu, hujan asid juga merosakkan kesihatan manusia terutama mereka yang masih muda, golongan tua, dan mereka yang berpenyakit seperti mengidap asma.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya. Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.
Langkah seterusnya adalah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jika hal ini tidak dibendung, masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu sahaja, majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu. Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini, sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu, negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar. Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi pencemaran terhadap alam sekitar seperti penguatkuasaan undang-undang, kempen-kempen kesedaran, pameran yang berkaitan dengan alam sekitar dan sebagainya. Namun, usaha-usaha kerajaan itu ibarat mencurah air kedaun keladi tanpa disokong oleh pihak-pihak (NGO) dan masyarakat di negara ini.
Kemelut akibat kekurangan sumber makanan dunia
Sekilas Fakta
Makanan
adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan
pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu yang
remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Yang membimbangkan, krisis
makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji
seperti beras, gandum, bijiran dan jagung yang menjadi keperluan asas
setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya, pada tahun 2007, rakyat
Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan
di pasaran, bayangkanlah keadaannya sekiranya anda dapati tiada lagi
beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun
setakat ini Malaysia belum terkesan dengan fenomena ini secara kritikal,
namun berdasarkan 'trend' ekonomi dunia, hal ini langsung tidak
mustahil boleh melanda negara kita jika kita alpa mengenainya. Justeru
kesedaran rakyat dalam menjayakan proses menyelesaikan krisis makanan
ini harus bermula dari hari ini lagi .
Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi lebih kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkatkan dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik hasil kajian Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 700% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras kenaikan tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu.Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis yang telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbedung kepada negara-negara tertentu sahaja.
Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia apabila kita dapat menyaksikan ketidakpuasan hati terhadap kemelut yang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. Rusuhan telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga makanan yang meningkat sebanyak 400%. Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon telah mengatakan bahawa di kebanyakan negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih dua kali ke tiga kali ganda untuk makanan akibat daripada kemelut ini. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan.
Punca Krisis
Pakar
ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia
yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan ialah antara alasan yang
telah dijadikan sebagai punca berlakunya kekurangan makanan di dunia
hari ini. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui
tahap 9 billion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini
dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak
yang pastinya tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia
kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti tanah
untuk bercucuk tanam dan juga bekalan air yang bersih untuk pengairan
penanaman. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi
yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga telah
dikatakan sebagai faktor penambah kepada ketidakseimbangan antara
pengeluaran makanan dunia dan juga permintaan bahan makanan dunia.
Keadaan
ini juga telah dikatakan menjadi bertambah rumit lagi apabila faktor
kebolehan pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam seperti El
Nino dan La Nina, pencemaran alam sekitar dan perubahan yang ketara
pada iklim “rumah hijau” dunia secara keseluruhan. Australia telah
dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 dan telah
menyebabkan hasil pengeluaran gandumnya menyusut sebanyak 55%. Hasil
penuaian daripada China juga telah menyaksikan penurunan sebanyak 15%
sepanjang pemantauan daripada Januari 2000. Faktor-faktor ini adalah
dikatakan menjadi penyebab secara langsung kurangnya bekalan makanan
yanag boleh diperolehi oleh penduduk dunia pada hari ini.
Pada
masa yang sama, faktor kenaikan harga barangan makanan juga telah
dikaitkan dengan “kesan penggandaan” kepada beban yang telah pun sedia
terhasil akibat daripada kemelut ini. Hal ini adalah kerana, apabila
harga barangan makanan meningkat, maka akan menjadi semakin sukar bagi
kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan bekalan makanan
tersebut selari dengan sistem ekonomi kapitalis dunia yang digunapakai
pada hari ini. Kenaikan harga barangan ini telah dikaitkan dengan
kenaikan harga minyak dunia dan juga bahan tenaga yang lain yang menjadi
keperluan untuk memproses daripada bahan mentah asalnya, mengilang
produk dan kos pengangkutan barangan makanan tersebut kepada penjual dan
pengguna.
Di samping itu, penghasilan bahan api bio bukan sahaja
dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah
sekaligus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan makanan
manusia dunia. Pada tahun lepas sahaja 30% daripada jumlah tuaian jagung
Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan Ethanol (antara
bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan api bio) dan jumlah ini
pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang
kepada 70% pasaran jagung dunia.
Hakikatnya atau faktor yang
diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan
jikalau dikatakan kekurangan bekalan makanan masih berlaku sekalipun
apabila sebenarnya tahap pengeluaran makanan dunia pula bertambah
melebihi tahap pertambahan penduduk dunia sedangkan jika dibandingkan
antara jumlah penduduk dunia pada tahun 1961 dan 2005 kita dapati jumlah
penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Akan tetapi
jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama,
kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda.
Hal ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap
individu telah bertambah saban tahun. Oleh yang demikian, rasional
bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya
bilangan penduduk dunia adalah pena’kulan yang meleset.
Untuk isu
perubahan tabiat makanan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca
pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan
lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman
sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan
atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama
sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia
seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh sebab manusia telah semakin
banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas,
berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat
kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih
banyak ataupun sebenarnya manusia zaman sekarang ini "membazir" dengan
lebih banyak?
Akan tetapi jika dilihat laporan kajian tentang
pembuangan sisa-sisa makanan penduduk dunia kenyataan kedua sebenarnya
lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160
billion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada
jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayur-sayuran segar,
buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong
sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup
untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia
sekarang.
Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau,
memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang
akan berlaku. Namun, bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa
berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu
keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya
memberikan kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya
masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak
pernah menjadi kesan berpanjang sehingga surutnya jumlah makanan dunia.
Sebagai contoh, di Malaysia, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang
melanda beberapa buah negeri di Malaysia (bersifat sementara) setiap
tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada dalam krisis makanan.
Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, masalah ini sebenarnya
bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana
wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta
pengagihan yang tidak efisyen.
Begitu juga dengan
permasalahan-permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana
penggunaannya untuk penghasilan bahan api bio. Fenomena ini sebenarnya
lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca
masalah dan perkara itu belum lagi mengambil kira aktiviti spekulasi
harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (future
market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara
tamak dan tidak realistik.
Penyelesaian
Strategi
pendekatan asas ini adalah berasaskan kekuatan-kekuatan asas yang
terdapat dalam dunia. Kekuatan tersebut adalah: Tanah yang subur, sumber
air yang melimpah-limpah, sumber tenaga manusia yang banyak dan
kekayaan dari sumber alam semula jadi. Dengan tanah yang subur dan luas
yang terdapat dalam dunia usaha pertanian akan difokuskan kepada
meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara – penggunaan
baja dan peralatan moden serta perluasan sistem pertanian melalui
penerapan nilai proaktif. Hal ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah
pertanian baru dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang
mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan secara
meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan.Selain itu,
sistem pengangkutan yang efisyen juga perlu dibina agar pengedaran
makanan menjadi lebih berkesan.
Dari aspek sumber air, tuhan
telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum manusia. Di
dunia, terdapat lebih daripada 150 billion meter padu air permukaan
(sungai,tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734
billion meter padu) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Yang pasti,
dengan jumlah air yang sebegini banyak masalah pertanian pasti tidak
akan muncul. Namun sumber ini perlu diuruskan dengan sempurna melalui
pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.
Penutup
Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan dengan secepat mungkin dan terbaik mampu. Langkah-langkah kerajaan Malaysia untuk mengadakan jumlah pengeluaran makanan perlu disahut oleh semua peringkat masyarakat Malaysia. Projek menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi Kedua Negara akan mampu kelak mengurangkan kebergantungan kita kepada beras import dari luar negara. Usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion pertanian serta membuka lebih banyak lagi kawasan yang baru serta juga usaha kerajaan untuk meningkatkan kajian dalam bidang pertanian bio-teknologi negara wajar diberikan tumpuan yang lebih oleh semua pihak.
Natijahnya, cara untuk menyelesaikan krisis makanan pada peringkat negara, adalah dengan cara kita mengurangkan atau menamatkan terus pergantungan kita kepada pihak luar untuk sumber-sumber tersebut. Oleh itu, marlah kita menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan semula sistem ‘Buku Hijau’ yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua kita iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Kita juga mestilah mampu berdikari dalam semua aspek demi meniti arus pembangunan dunia dan cabarannya seperti yang sentiasa diterapka oleh mantan Perdana Menteri Keempat kita iaitu YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohammad. Kita juga perlu mengambil serius pendekatan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kelima iaitu YBhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha beliau untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang hasil bumi bertuah ini jika diusahakan dan juga usaha beliau untuk memartabatkan Industri Pertanian Negara melalui pendekatan moden seperti bio-teknologi dan juga pertanian secara moden dengan menggunapakai teknologi moden dan jentera peralatan yang canggih.
Akhir kata, marilah kita sentiasa mengingati pesanan kelima-lima Perdana Menteri kita bahawa kita perlu menghargai dan bersyukur dengan segala rezeki kita dan menghentikan pembaziran lantas memelihara dan memulihara alam sekitar kita, demi masa depan kita. Seperti kata Perdana Menteri kita, bahawa kegiatan ‘future trading’ bahan makanan ruji dunia seperti gandum dan beras mesti dihentikan serta merta oleh dunia. Hal ini adalah kerana jika dibiarkan berterusan para spekulator ini akan akhirnya membawa musibah seperti yang telah dilakukan oleh mereka kepada harga minyak dunia kepada harga pasaran makanan dunia pula. Kita tidak akan mewariskan alam sekitar kita kepada anak cucu kita kelak kerana sebenarnya kita hanya meminjamknya daripada anak cucu kita. Oleh itu, mari kita pulangkan semula yang terbaik kepada generasi mereka.
Urus Niaga Dalam Talian
Kepentingan Sukan Kepada Pelajar
Punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak
Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.
Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.
Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.
Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.
Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.
Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.
Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.