Sekilas Fakta
Makanan
adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan
pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu yang
remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Yang membimbangkan, krisis
makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji
seperti beras, gandum, bijiran dan jagung yang menjadi keperluan asas
setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya, pada tahun 2007, rakyat
Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan
di pasaran, bayangkanlah keadaannya sekiranya anda dapati tiada lagi
beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun
setakat ini Malaysia belum terkesan dengan fenomena ini secara kritikal,
namun berdasarkan 'trend' ekonomi dunia, hal ini langsung tidak
mustahil boleh melanda negara kita jika kita alpa mengenainya. Justeru
kesedaran rakyat dalam menjayakan proses menyelesaikan krisis makanan
ini harus bermula dari hari ini lagi .
Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi lebih kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkatkan dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik hasil kajian Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 700% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras kenaikan tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu.Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis yang telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbedung kepada negara-negara tertentu sahaja.
Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia apabila kita dapat menyaksikan ketidakpuasan hati terhadap kemelut yang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. Rusuhan telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga makanan yang meningkat sebanyak 400%. Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon telah mengatakan bahawa di kebanyakan negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih dua kali ke tiga kali ganda untuk makanan akibat daripada kemelut ini. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan.
Punca Krisis
Pakar
ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia
yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan ialah antara alasan yang
telah dijadikan sebagai punca berlakunya kekurangan makanan di dunia
hari ini. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui
tahap 9 billion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini
dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak
yang pastinya tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia
kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti tanah
untuk bercucuk tanam dan juga bekalan air yang bersih untuk pengairan
penanaman. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi
yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga telah
dikatakan sebagai faktor penambah kepada ketidakseimbangan antara
pengeluaran makanan dunia dan juga permintaan bahan makanan dunia.
Keadaan
ini juga telah dikatakan menjadi bertambah rumit lagi apabila faktor
kebolehan pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam seperti El
Nino dan La Nina, pencemaran alam sekitar dan perubahan yang ketara
pada iklim “rumah hijau” dunia secara keseluruhan. Australia telah
dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 dan telah
menyebabkan hasil pengeluaran gandumnya menyusut sebanyak 55%. Hasil
penuaian daripada China juga telah menyaksikan penurunan sebanyak 15%
sepanjang pemantauan daripada Januari 2000. Faktor-faktor ini adalah
dikatakan menjadi penyebab secara langsung kurangnya bekalan makanan
yanag boleh diperolehi oleh penduduk dunia pada hari ini.
Pada
masa yang sama, faktor kenaikan harga barangan makanan juga telah
dikaitkan dengan “kesan penggandaan” kepada beban yang telah pun sedia
terhasil akibat daripada kemelut ini. Hal ini adalah kerana, apabila
harga barangan makanan meningkat, maka akan menjadi semakin sukar bagi
kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan bekalan makanan
tersebut selari dengan sistem ekonomi kapitalis dunia yang digunapakai
pada hari ini. Kenaikan harga barangan ini telah dikaitkan dengan
kenaikan harga minyak dunia dan juga bahan tenaga yang lain yang menjadi
keperluan untuk memproses daripada bahan mentah asalnya, mengilang
produk dan kos pengangkutan barangan makanan tersebut kepada penjual dan
pengguna.
Di samping itu, penghasilan bahan api bio bukan sahaja
dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah
sekaligus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan makanan
manusia dunia. Pada tahun lepas sahaja 30% daripada jumlah tuaian jagung
Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan Ethanol (antara
bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan api bio) dan jumlah ini
pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang
kepada 70% pasaran jagung dunia.
Hakikatnya atau faktor yang
diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan
jikalau dikatakan kekurangan bekalan makanan masih berlaku sekalipun
apabila sebenarnya tahap pengeluaran makanan dunia pula bertambah
melebihi tahap pertambahan penduduk dunia sedangkan jika dibandingkan
antara jumlah penduduk dunia pada tahun 1961 dan 2005 kita dapati jumlah
penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Akan tetapi
jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama,
kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda.
Hal ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap
individu telah bertambah saban tahun. Oleh yang demikian, rasional
bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya
bilangan penduduk dunia adalah pena’kulan yang meleset.
Untuk isu
perubahan tabiat makanan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca
pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan
lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman
sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan
atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama
sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia
seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh sebab manusia telah semakin
banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas,
berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat
kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih
banyak ataupun sebenarnya manusia zaman sekarang ini "membazir" dengan
lebih banyak?
Akan tetapi jika dilihat laporan kajian tentang
pembuangan sisa-sisa makanan penduduk dunia kenyataan kedua sebenarnya
lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160
billion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada
jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayur-sayuran segar,
buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong
sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup
untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia
sekarang.
Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau,
memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang
akan berlaku. Namun, bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa
berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu
keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya
memberikan kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya
masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak
pernah menjadi kesan berpanjang sehingga surutnya jumlah makanan dunia.
Sebagai contoh, di Malaysia, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang
melanda beberapa buah negeri di Malaysia (bersifat sementara) setiap
tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada dalam krisis makanan.
Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, masalah ini sebenarnya
bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana
wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta
pengagihan yang tidak efisyen.
Begitu juga dengan
permasalahan-permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana
penggunaannya untuk penghasilan bahan api bio. Fenomena ini sebenarnya
lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca
masalah dan perkara itu belum lagi mengambil kira aktiviti spekulasi
harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (future
market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara
tamak dan tidak realistik.
Penyelesaian
Strategi
pendekatan asas ini adalah berasaskan kekuatan-kekuatan asas yang
terdapat dalam dunia. Kekuatan tersebut adalah: Tanah yang subur, sumber
air yang melimpah-limpah, sumber tenaga manusia yang banyak dan
kekayaan dari sumber alam semula jadi. Dengan tanah yang subur dan luas
yang terdapat dalam dunia usaha pertanian akan difokuskan kepada
meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara – penggunaan
baja dan peralatan moden serta perluasan sistem pertanian melalui
penerapan nilai proaktif. Hal ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah
pertanian baru dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang
mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan secara
meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan.Selain itu,
sistem pengangkutan yang efisyen juga perlu dibina agar pengedaran
makanan menjadi lebih berkesan.
Dari aspek sumber air, tuhan
telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum manusia. Di
dunia, terdapat lebih daripada 150 billion meter padu air permukaan
(sungai,tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734
billion meter padu) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Yang pasti,
dengan jumlah air yang sebegini banyak masalah pertanian pasti tidak
akan muncul. Namun sumber ini perlu diuruskan dengan sempurna melalui
pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.
Penutup
Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan dengan secepat mungkin dan terbaik mampu. Langkah-langkah kerajaan Malaysia untuk mengadakan jumlah pengeluaran makanan perlu disahut oleh semua peringkat masyarakat Malaysia. Projek menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi Kedua Negara akan mampu kelak mengurangkan kebergantungan kita kepada beras import dari luar negara. Usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion pertanian serta membuka lebih banyak lagi kawasan yang baru serta juga usaha kerajaan untuk meningkatkan kajian dalam bidang pertanian bio-teknologi negara wajar diberikan tumpuan yang lebih oleh semua pihak.
Natijahnya, cara untuk menyelesaikan krisis makanan pada peringkat negara, adalah dengan cara kita mengurangkan atau menamatkan terus pergantungan kita kepada pihak luar untuk sumber-sumber tersebut. Oleh itu, marlah kita menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan semula sistem ‘Buku Hijau’ yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua kita iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Kita juga mestilah mampu berdikari dalam semua aspek demi meniti arus pembangunan dunia dan cabarannya seperti yang sentiasa diterapka oleh mantan Perdana Menteri Keempat kita iaitu YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohammad. Kita juga perlu mengambil serius pendekatan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kelima iaitu YBhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha beliau untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang hasil bumi bertuah ini jika diusahakan dan juga usaha beliau untuk memartabatkan Industri Pertanian Negara melalui pendekatan moden seperti bio-teknologi dan juga pertanian secara moden dengan menggunapakai teknologi moden dan jentera peralatan yang canggih.
Akhir kata, marilah kita sentiasa mengingati pesanan kelima-lima Perdana Menteri kita bahawa kita perlu menghargai dan bersyukur dengan segala rezeki kita dan menghentikan pembaziran lantas memelihara dan memulihara alam sekitar kita, demi masa depan kita. Seperti kata Perdana Menteri kita, bahawa kegiatan ‘future trading’ bahan makanan ruji dunia seperti gandum dan beras mesti dihentikan serta merta oleh dunia. Hal ini adalah kerana jika dibiarkan berterusan para spekulator ini akan akhirnya membawa musibah seperti yang telah dilakukan oleh mereka kepada harga minyak dunia kepada harga pasaran makanan dunia pula. Kita tidak akan mewariskan alam sekitar kita kepada anak cucu kita kelak kerana sebenarnya kita hanya meminjamknya daripada anak cucu kita. Oleh itu, mari kita pulangkan semula yang terbaik kepada generasi mereka.
No comments:
Post a Comment