Karangan Pelajar Stpm: Sejarah

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf
Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Peranan Raja Di Negeri-Negeri Melayu Sebelum Dan Semasa Zaman Penjajahan British

07:03:00 0
Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan  peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sultan sebagai ketua kerajaan
Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah  sultan kerana  dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah
               
Peranan sultan melantik pembesar
Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.  

Sultan menentukan hubungan diplomatik
Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua negara asing. Sebarang  tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan

Sultan berperanan sebagai ketua tentera
Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.

Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi
Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang  lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Kesemua tanah adalah milik sultan dan diserahkan kepada pembesar untuk diusahakan.

Berkuasa terhadap cukai
Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Baginda melantik pembesar untuk mewakili baginda dalam urusan memungut cukai.  Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari Kelang (Raja Mahdi).   Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani.  

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem  kerajaan
Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat
Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan.  Kewibawaan seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu
Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran  itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.  Baginda juga bertanggungjawab untuk memastikan adat istiadat dan adat resam masyarakat Melayu terus terpelihara.

Peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874

06:53:00 0
Pembesar merupakan golongan yang sangat penting dan berpengaruh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Jawatan pembesar diperoleh melalui dua cara iaitu, taraf tersedia dan taraf capaian. Taraf tersedia, iaitu jawatan diperoleh secara warisan, apabila seseorang pembesar meninggal dunia maka anak akan menggantikan tempatnya.Taraf capaian, pembesar yang dilantik kerana kehebatan dan ketokohan yang dimiliki oleh seseorang

Pembesar berperanan utama dalam politik

Mereka merupakan golongan yang memonopoli kuasa politik. Mereka juga berperanan dalam melantik raja/sultan, contoh di Negeri Sembilan, empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan Johol) akan melantik Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Di Perak pembesar berkuasa melantik sultan dan mereka berpengaruh dalam menentukan perlantikan seseorang bakal sultan. Mereka boleh mengenepikan mana-mana bakal sultan yang tidak disukai, contoh Raja Yusuf gagal menjadi sultan kerana baginda gagal mendapat sokongan dan diketepikan oleh pembesar.

Membantu raja dalam pentadbiran

Pembesar berperanan membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Mereka mempunyai cop mohor sendiri., contoh di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhamad 1, baginda telah membentuk Jemaah Menteri yang terdiri daripada 7 orang pembesar untuk memudah dan melicinkan pentadbirannya. Di Johor Sultan Abu Bakar memperkenalkan satu perlembagaan berasaskan perlembagaan British. Menurut perlembagaan ini satu Jemaah Menteri yang dianggotai oleh pembesar telah dibentuk untuk memberi nasihat kepada sultan.

Pentadbir wilayah luar

Pembesar turut membantu sultan mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah. Kawasan ini dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah sultan kepada pembesar kerana jasa perkhidmatan cemerlang. Contoh Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar Semantan, Tok Gajah dilantik mentadbir Puau Tawar.

Mengutip cukai

Pembesar berperanan dalam hal memungut cukai di kawasan pentadbirannya yang dipanggil kawasan pemakanan. Biasanya barang-barang itu dikenakan cukai 10% dan dibayar dengan barangan. Sebahagian daripada hasil cukai diberi kepada pemerintah, contoh di Perak, sultan berhak mengambil $ 6.00 dari setiap bahara (400 paun) bijih timah yang diekspot. Di Negeri Sembilan, Sungai Linggi menjadi kawasan pemungutan cukai terhadap bijih timah yang dibawa keluar dari sungai berkenaan sehingga menjadi rebutan di antara Dato’ Bandar dengan Dato’ Kelana.

Terlibat dalam kegiatan ekonomi

Pembesar juga menjalankan kegiatan ekonominya sendiri seperti perlombongan bijih timah, pertanian dan berdagang. Ini menyebabkan di tempat-tempat tertentu pembesar lebih kaya daripada sultan, contohnya di Perak, Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut lebih kaya daripada sultan. Pembesar juga terlibat dalam kegiatan perdagangan dengan keizinan sultan. Mereka menjadi pengeluar modal. Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Bagi mempastikan urusan perdagangan berjalan lancar pembesar akan menentukan timbangan dan sukatan yang betul.

Menjaga keamanan

Pembesar berperanan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, contohnya, Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan, pertahanan dan keamanan. Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada Sultan. Pembesar juga berperanan dalam menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi perdagang-pedagang, menjaga kebajikan pedagang asing, menyediakan tempat perniagaan dan gudang untuk menyimpang barang.

Perantara antara raja dengan rakyat

Pembesar juga berperanan sebagai penghubung antara sultan dengan rakyat. Segala masalah rakyat akan disampaikan kepada raja/sultan melalui pembesar dan begitu juga dengan titah sultan akan disampaikan kepada rakyat melalui pembesar.

Menyediakan tentera

Pembesar juga bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan ketenteraan untuk mempertahankan negara. Sultan tidak mempunyai tentera yang mana tentera untuk sebarang kegitan akan isediakan oleh para pembesar termasuklah untuk ekspidisi memperluaskan empayar jika ada.

Menjadi hakim

Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman dan mendenda dalam kes-kes jenayah di daerahnya. Pada masa itu tidak ada badan kehakiman bebas daripada pemerintah sebaliknya sultan dan pembesarlah yang mentadbir undang-undang. Pembesar boleh menjatuhkan semua jenis hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh dijatuhkan oleh sultan.

Membekalkan tenaga kerja

Pembesar juga dikehendaki membekalkan tenaga buruh kepada raja seperti membina istana baru, membina kapal raja, membina panggung dan pentasa serta perhiasan istana untuk menyambut perayaan adat dan agama. Ini dilakukan melalui sistem kerah. Pembesar juga mengetuai kerja-kerja sosial seperti membina surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Pembesar juga berperanan dalam menjalankan adat istiadat di istana.

Kesimpulannya, pembesar memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sebelum campur tangan British.Namun selepas campur tangan British peranan pembesar mulai berubah. Pembesar tidak lagi memainkan peranan dalam pentadbiran British sebaliknya British melantik pegawai pemungut dan majisterit yang mengambil alih tugas dan peranan pembesar. Tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar yang akhirnya membawa kepada penentangan terhadap British.

Bentuk dan pelaksanaan Adat Perpatih dan Adat Temenggung di Tanah Melayu

06:45:00 0
Masyarakat Melayu tradisional amat terikat dengan adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan secara turun temurun sehingga ianya merupakan hukum yang dipatuhi oleh semua. Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat ini tidak pernah ditulis tetapi dihafal sahaja oleh Ketua Adat. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu tradisional. 

Kawasan dan Pengasasan
              
Kedua-dua adat ini berasal dari Utara Sumatera. Menurut Terombo atau "Lagu asal usul adat", Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera, diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan, menjaga kawasan pesisiran pantai dan laut. Adat ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 lagi. Diamalkan oleh semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.  Adat Perpatih pula berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat ini dibawa oleh orang Minangkabau ke negeri Sembilan pada kurun ke-17.

Bentuk dan Pelaksanaan 

Adat Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali di negeri Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu; adat ini mempunyai pengaruh agama Hindu terutama dalam Undang-undang Manu. Apabila Islam berkembang, adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mengikut mazhab Shafie. Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama yang berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenal sebagai Undang-undang Johor, di Kedah sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai Undang-undang Pahang, dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak.  Adat Temenggung dihafal dan diingati serta dilaksana oleh Tok Sidang, Penghulu atau Penggawa.

Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan secara lisan. Susunan hukum dalam adat dikenal sebagai tambo atau perbilangan adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak yang dipatuhi dari mazhab Shafie. Adat ini dihafal oleh Ketua Adat.

Kekeluargaan

Adat Temenggung bersifat patriarchal, iaitu kaum lelaki lebih diutamakan.  Ini adalah kerana kaum lelaki dianggap melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga.  Dalam Adat Temenggung, kaum lelakilah yang menjadi ketua keluarga. Jadi, nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa.

Adat Perpatih bersifat matriarchal, iaitu kaum wanita mempunyai kedudukan utama dalam masyarakat. Hanya kaum wanita yang mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Ini bermakna mereka mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Anak perempuan menjadi asas wujudnya suku.  Suku bermaksud keluarga, oleh itu hidup secara bersuku-suku bermaksud hidup secara berkeluarga dan semua ahli-ahli suku dianggap sebagai saudara .  Susunan keluarga masayarakat adat Perpatih berdasarkan 'matrilineal' yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunan keluarga  sebegini mengandungi ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. 

Perkahwinan 
              
Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja kecuali dengan orang yang mempunyai pertalian darah atau muhrim sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga suami.

Adat perpatih pula tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Oleh itu perkahwinan mestilah dengan suku yang berbeza - disebut eksogami. Perkahwinan sesama suku tidak digalakkan kerana dianggap tidak mengembangkan keturunan. Apabila seseorang anak perempuan kahwin, suaminya digelar 'orang semenda'. Selepas berkahwin, wanita tersebut akan membawa suaminya tinggal  di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. 

Pemerintahan
        
Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di tangan  pemerintah atau raja. Adat ini mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Di puncak struktur politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat diraja bergelar yang berhak, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu, dan pembesar wilayah atau jajahan. Di lapisan bawah ialah ketua kampung yang mentadbir kampung. Sultan merupakan ketua negara, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat. Seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung. Gelaran pengganti raja ialah Raja Muda. Jika tiada anak lelaki , hakpewarisan takhta jatuh kepada adik lelakinya pula. Jika kedua-dua tiada, barulah musyawarah dan permuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam melaksanakan sistem pentadbiran.

Dari segi pentadbiran, Adat Perpatih bersifat demokrasi. Kuasa pemerintah terletak bukan pada tangan seorang sahaja. Kuasa dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ketua-ketua di setiap peringkat dipilih dan dilantik oleh kumpulan ketua daripada peringkat bawah hingga atas. Orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih  dan melantik Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan. Sistem pemerintahannya mementingkan prinsip permuafakatan. Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang. Walaupun dari segi bidang kuasa, Yamtuan Besar merupakan pemerintah yang tertinggi, namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut dibuat oleh para pembesar yang berada pada hierarki yang lebih ke bawah daripada Yamtuan Besar.

Pembahagian Harta  
         
Mengikut Adat Temenggung, kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam. Pemberian harta lebih kepada anak lelaki kerana dalam Islam, lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan perempuan. Jika berlaku perceraian, lazimnya cara pembahagian harta suami isteri mengikut hukum syarak. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak, dan jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja, berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja. Harta asal suami atau isteri  dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.

Undang-undang mewarisi harta dalam Adat Perpatih diberatkan kepada kaum perempuan. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak ibu sebagai pengasas keluarga kepada anak perempuannya. Dalam keadaan tertentu, adat Perpatih menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Suami tidak berhak memiliki harta pusaka. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, hartanya akan diwariskan kepada adik perempuannya atau anak adik-adiknya dan cucu-cucunya.

Pada umumnya harta pasangan dapat dikumpulkan kepada tiga jenis iaitu ; Harta carian - merupakan harta yang diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup, Harta dibahagi dua apabila bercerai;  Harta dapatan - harta sedia ada pada si isteri sebelum berkahwin, jika bercerai harta itu kekal di tangan isteri; dan Harta pembawaan - harta yang sedia dimiliki si lelaki sebelum dia berkahwin, jika bercerai bekas isteri tidak boleh tuntut harta itu.

Pelaksanaan Undang-undang 
     
Adat Temenggung bentuk hukumannya keras dan bertujuan menghukum dan berpegang kepada prinsip pembalasan.  Oleh itu pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas, bertujuan memberi iktibar kepada orang lain. Secara umumnya adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana difikirkan dapat memberi kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan pengajaran. Hukuman yang paling berat ialah membunuh dan menderhaka kepada raja. Dari segi kuasa, kesemua pembesar termasuk sultan dan penghulu mendapat mandat dalam melaksanakan hukuman.

Dalam adat Perpatih, undang-undang jenayah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi gantirugi. Contohnya seseorang yang cedera akan diberi gantirugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada keadaan lukanya. Mangsa kecurian boleh mendapat balik barang-barangnya. Sekiranya berlaku pembunuhan, si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan. Hukum bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Undang atau Yamtuan Besar sahaja. Hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.

Kesimpulan

Kesimpulannya, walaupun Adat Perpatih dan Adat Temenggung menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu, tetapi kedua-dua adat ini telah dapat mengawal tingkah laku masyarakat. Malangnya selepas campur tangan British adat semakin diketepikan dan tidak mustahil adat akan hanya menjadi kenangan dalam lipatan sejarah.

Adat Temenggung Dan Adat Perpatih

06:35:00 0
Adat secara umumnya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut akan dianggap sebagai melanggar adat. Kebanyakan aspek peradatan ini adalh diwarisi secara turun-temurun. Di Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak bezanya. Apa yang jelas dilihat hanya dua sistem iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Selain itu, terdapat juga adat-adat khusus lain seperti adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat bersalin dan sebagainya.


Adat Perpatih

1. Latar belakang

Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih kecuali undang-undang Sungai Ujong diwarisi secara turun-temurun.

2. Ciri-ciri

a. Lebih mengutamakan golongan perempuan

Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal-soal pembahagian harta benda dan jurai keturunan. Ini bukan bermakna lelaki lebih rendah tarafnya daripada perempuan tetapi mereka lebih suka mengembara atau merantau untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik. Maka, golongan wanita mesti dibekalkan dengan harta benda sebagai nafkah. Selain itu, selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Walaupun adat ini mengutamakan golongan perempuan, tetapi dari segi pentadbiran, lelaki merupakan pemegang tampuk pemerintah tertinggi seperti jawatan Yamtuan Besar.

b. Undang-undang bersifat pemulihan

Undang-undang tidak disimpan atau dimaktubkan dalam bentuk rekod bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Dari segi sifatnya, undang-undang jenayah adalah lebihbertimbang rasa, berperikemanusiaan dan bersifat pemulihan. Seorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahannya. Mangsa akan diberi ganti rugi. Contohnya, jika seseorang itu dilukakan dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat ini percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.

c. Mempunyai unsur-unsur demokrasi

Adat Perpatih adalah bercorak demokrasi, iaitu orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah sendiri juga mesti mengikut undang-undang dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Dalam bidang pentadbiran, kuasa pemerintah dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ini bermaksud, orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar.


Adat Temenggung

 1. Latar belakang

Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.

2. Ciri-ciri

a. Lebih mementingkan lelaki

Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.

b. Undang-undang bersifat kekerasan

Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hokum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.

c. Mempunyai unsur autokratik

Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.

Perbezaan Antara Adat Perpatih Dengan Adat Temenggung

06:26:00 0

Pendahuluan :
  • Adat Perpatih dan Adat Temenggung dapat dikategorikan sebagai hukum adat di negeri-negeri Melayu. Adat ini berasal dari utara Sumatera dan dikembangkan oleh dua beradik iaitu Datuk Ketemenggungan yang kemudiannya berkuasa di Palembang (Adat Temenggung) dan Datuk Perpatih Nan Sebatang yang kemudiannya berkuasa di Pagar Ruyung (Adat Perpatih).
  • Adat Temenggung diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan daerah Naning di Melaka.
  • Hukum adat ini meliputi segala aspek kehidupan, peraturan hidup, adat istiadat dan hidup bermasyarakat.
  • Hukum adat ini dipercayai dibawa masuk sekitar abad ke 15 Masihi dan kemudiannya berkembang di negeri-negeri taklukan Melaka. Contoh: Undang-Undang Johor yang diamalkan di Johor dan Kedah, Undang-undang Pahang dan Undang-undang 99 Perak di Perak. Adat Temenggung kemudiannya diresapi dengan pengaruh Islam dan hukum syarak bermazhab Shafie.
Isi-isi :
Perbezaan antara Adat Perpatih danAdat Temenggung
Bersifat Matriachal/Patriachal :
Dalam Adat Perpatih kaum wanita mempunyai kedudukan dalam masyarakat
  • Kaum wanita mempunyai hak dan keutaman dalam mewarisi harta
  • Nasab keturunan juga dikira melalui suku ibu
  • Anak perempuan menjadi asas dalam wujudnya suku.
Manakala/berbeza Adat Temenggung kaum lelaki mempunyai kedudukan dalam keluarga
  • Anak lelaki mempunyai hak dalam pewarisan harta
  • Susur galur keturunan dikira dari sebelah lelaki.
  • Lelaki juga berperanan sebagai ketua keluarga.
Perkahwinan :
Dalam Adat Perpatih suami dikenali sebgai orang Semenda
  • bertanggungjawab menyediakan kediaman untuk isteri dan anak-anaknya
  • tempat kediaman atau rumah kemudiannya menjadi hak isteri.
Manakala Adat Temenggung selepas perkahwinan isteri mesti mengikut suami dan boleh tinggal bersama keluarga suami.
Taraf perkahwinan :
  • Dalam Adat Perpatih perkahwinan melibatkan berlainan suku kerana dianggap bersaudara.
  • Manakala Adat Temenggung perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak.
Pentadbiran :
Adat Perpatih bersifat demokrasi :
  • kuasa dibahagi dari bawah ke atas – Perut, Buapak, Lembaga dan Undang.
  • Pemilihan ketua dilakukan dengan persetujuan ketua yang berada di setiap peringkat
  • Perut akan memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Di Pertuan Besar.
Sebaliknya Adat Temenggung bersifat autokrasi (kuasa mutlak) :
  • hak istimewa memperkukuhkan kuasa sultan, contoh: warna.
  • pentadbiran diketuai oleh raja/sultan dan dibantu oleh pembesar.
  • sultan melantik pembesar
  • pembesar peringkat paling bawah ialah ketua kampung
  • sultan berperanan sebagai lambang perpaduan antara rakyat dan ketua negara
  • anak lelaki sultan adalah pewaris takhta
  • sekiranya tiada anak lelaki, adik lelaki sultan akan mewarisi takhta
Perundangan :
Dalam Adat Perpatih undang-undang jenayah lebih bersifat pemulihan untuk menyedarkan masyarakat
  • kesalahan yang dilakukan boleh ditebus dengan membayar ganti rugi
  • ganti rugi mengikut tahap seperti seorang yang dicederakan akan dibayar dengan ayam atau kambing, mangsa kecurian akan memperolehi kembali gantian barang-barangnya dan pembunuh akan menanggung kehidupan keluarga mangsa.
  • Yang Dipertuan Besar atau Undang sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh
Manakala Adat Temenggung berunsur pembalasan dan undang-undangnya lebih tegas
  • hukuman terhadap pembunuhan ialah balasan bunuh, mencuri akan dipotong tangan.
  • Hanya raja/sultan yang akan menjatuhkan hukuman bunuh.
Pembahagian Harta :
Dalam Adat Perpatih Harta Milik Keluarga :
  • Pembahagian harta pusaka diwarisi daripada ibu kepada anak perempuan yang menjadi asas wujudnya suku.
  • Harta pusaka turun temurun adalah kepunyaan suku.
  • Harta carian : harta yang diperoleh oleh pasangan sepanjang perkongsian hidup. Jika berlaku perceraian harta dibahagi dua.
  • Harta dapatan : harta seia ada pada isteri sebelum berkahwin. Jika berlaku perceraian, harta kekal di tangan isteri.
  • Harta pembawaan : harta yang dimiliki oleh suami sebelum berkahwin, bekas isteri tidak boleh menuntut hartanya.
Manakala Adat Temenggung Harta Milik Individu:
  • Berdasarkan undang-undang Islam dan memberi keadilan kepada semua pihak .
  • Anak lelaki berhak mewarisi harta pusaka denga kadar 2/3 berbanding anak perempuan kerana berdasarkan tanggungjawab anak lelaki yang lebih besar dalam keluarga.
  • Anak perempuan berhak mewarisi sebahagian kecil daripada harta pusaka 1/3 bahagian.
Kesimpulan :
  • Adat Perpatih dan Adat Temenggung jelas mempunyai perbezaannya. Walau bagaimanapun, kedua-dua hukum adat mempunyai maksud yang sama iaitu untuk melindungi anggota masyarakat, hidup dengan mematuhi peraturan, berdisiplin, menghormati sesama manusia, mematuhi adat istiadat.
  • Kedua-duanya merupakan hukum adat masih diamalkan hingga hari ini.
  • Selepas kedatangan British, berlaku perubahan dalam amalan adat masyarakat tempatan.

Peranan Setiap Golongan Masyarakat Dalam Tamadun Mesir.

21:01:00 0
Pendahuluan (3 markah)

Definisi organisasi sosial
pembahagian anggota masyarakat kepada beberapa lapisan sosial yang mempunyai perbezaan dari segi kuasa, kekayaan, gaya hidup dan pekerjaan. 

Latar belakang Tamadun Mesir 
  • Bermula pada tahun 3500 SM
  • Di Lembah Sungai Nil iaitu kawasan yang mempunyai tanah yang subur. 
  • Dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mesir Utara dan Mesir Selatan.
Organisasi sosial pada zaman pradinasti.
  • Golongan pemerintah
  • Golongan diperintah
Struktur organisasi
  • Berbentuk hierarki
  • Lapisan terdiri daripada
         a) Raja
         b) Keluarga diraja
         c) Golongan bangsawan dan paderi
         d) Anggota tentera, pembantu raja dan petani
         e) Hamba

Isi (5 isi X 4 markah)
 

Peranan firaun/raja
  • Mempunyai kuasa yang tertinggi dan bersifat mutlak.
  • Dianggap sebagai Tuhan dan pelindung kepada rakyat 
  • Merupakan sumber kekuasaan dan bertindak sebagai ketua paderi, ketua pentadbir dan ketua hakim.
  • Lambang maat iaitu tanggungjawab memberi kesejahteraan kepada rakyat
  • Memperkenal peraturan dan undang-undang untuk memelihara keamanan. 
  • Ketua tentera dan ketua agama.
Keluarga diraja
  • Bakal mewarisi takhta
  • Diberi pendidikan sejak kanak-kanak dalam bidang matematik, senibina, astronomi dan sains. 
  • Mengikuti latihan ketenteraan dan menyertai ekspedisi ketenteraan.
Golongan Bangsawan
  • Pegawai tinggi yang membantu raja dalam bidang pentadbiran
  • Mereka dilantik sebagai gabenor, wazir, pegawai istana, dan pemungut cukai. 
  • Gabenor – mengetuai pentadbiran di peringkat wilayah 
  • Wazir – berperanan mengawasi kerja pembinaan, membaiki terusan, menjalankan bancian kerja ternakan dan hasil negara, mengumpul cukai dan menyediakan buruh paksa.
Pendeta/ paderi
  • Kuasa pelantikan raja
  • Mengetuai upacara keagamaan
Anggota tentera
  • Jawatan tentera membolehkan seseorang meningkatkan status mereka, dibenarkan memiliki pembantu rumah, harta rampasan, ganjaran dan pangkat. 
  • Tentera juga bertindak membantu firaun dalam ekspedisi ketenteraan dan meluaskan jajahan takluk seperti di Nubia.
Pembantu raja
  • Terdiri daripada pekerja lombong dan pembinaan, membuat tembikar dan mengangkut air.
  • Bekerja sepanjang tahun dan bersama keluarga ketika bercuti. 
  • Dibayar gaji dalam bentuk gandum dan barli 
  • Mempunyai rumah berhala sendiri dan anggota tribunal untuk menjatuhi hukuman kes kecil.
Petani
  • Memberi sumbangan besar dalam bidang ekonomi terutama menghasilkan hasil pertanian untuk kegunaan dalam negara dan dieksport ke negara luar (Yunani).
Golongan hamba
  • Terdiri daripada orang asing khususnya tawanan perang.
  • Tidak mempunyai kebebasan 
  • Memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi dan sosial 
  • Mempunyai kemahiran sebagai tukang jahit di istana. 
  • Terpaksa bekerja sebagai buruh pembinaan dan bekerja di ladang.
Kesimpulan (1 markah)   

Struktur masyarakat di Mesir memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan dan kemajuan tamadun Mesir terutama dari sudut seni bina.

Etika Perang Islam

20:42:00 0
 
Agama Islam sebenarnya tidak menggalakkan peperangan. Namun, demi mengelak agama, negara dan maruah diri diperkotak-katikkan, umat Islam wajar mengangkat senjata. Hal ini bertepatan dengan agama ini yang bersifat mementingkan kesejahteraan dan keamanan. Namun, ketika menghadapi musuh di medan perang, tentera Islam perlu mematuhi pelbagai etika yang telah ditetapkan tidak kira sebelum, semasa mahupun selepas peperangan.

    Dalam konteks sebelum peperangan, tentera Islam dikehendaki memberi pilihan kepada pihak lawan sama ada menerima Islam, membayar jizyah [cukai perlindungan] atau berperang jika pihak musuh yang memulakan. Tentera Islam hanya akan melakukan serang balas sekiranya pihak musuh memulakan serangan.

    Semasa peperangan, tentera Islam dilarang memerangi orang kafir yang lemah seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang kurang upaya, lumpuh termasuklah juga paderi atau pendeta. Selain itu, tentera Islam juga dilarang merosakkan harta benda, menebang pokok atau membakar rumah kecuali dalam keadaan darurat. Hal ini membuktikan betapa Islam mementingkan keamanan dan kedamaian. Islam juga melarang tenteranya memerangi orang yang telah menyerah kalah, kafir ‘dhimmi’ atau sesiapa sahaja yang telah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam.

    Seterusnya, Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh seperti dilarang mencincang mayat musuh seperti yang dilakukan Hindun binti Utbah yang mencincang mayat Saidina Hamzah iaitu bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. dalam Perang Uhud.

    Selepas perang, Islam menetapkan bahawa sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib dipatuhi setiap individu muslim yang terlibat dalam peperangan sama ada secara langsung atau sebaliknya. Contoh terbaik ialah kesetiaan umat Islam terhadap gencatan senjata selama 10 tahun yang telah diputuskan dalam Perjanjian Hudaibiyah.

    Etika terakhir ialah semua tawanan perang akan dilayan dengan baik. Perkara ini sebenarnya merupakan salah satu cara berdakwah yang diajar Nabi Muhammad s.a.w. Walau bagaimanapun, etika ini tidak akan digunakan ke atas musuh yang benar-benar berbahaya terutama kepada umat Islam.

    Semua etika yang diamalkan tentera Islam tidak kira sebelum, semasa dan selepas peperangan bukan sahaja menggambarkan tentera Islam berdisiplin tinggi malah merupakan satu strategi berdakwah secara halus oleh para tentera di medan perang.

Perbezaan Sistem Kerajaan Pusat Dan Kerajaan Wilayah

20:40:00 0

Selepas pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam diperintah oleh para khalifah yang digelar Khulafa al Rasyidin yang meneruskan dasar pemerintahan dan pentadbiran baginda. Namun, terdapat juga penambahan dasar ekoran negara dan wilayah Islam yang semakin luas. Misalnya, pemerintahan terbahagi kepada kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Penggubalan dasar-dasar pada peringkat wilayah adalah selari dengan dasar peringkat pusat dan  diamalkan sehingga zaman kerajaan Uthmaniyah.
             
Kerajaan Khulafa al Rasyidin terbentuk secara rasmi pada 632M setelah Khalifah Abu Bakar al Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Turki Uthmaniyah pula diasaskan Uthman bin Ertughrul Sulaiman Shah pada 1280M. Pentadbiran kerajaan pusat mendominasikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran manakala kerajaan wilayah miliki kuasa autonomi yang terbatas.

Pada zaman Khulafa al Rasyidin, pentadbiran pusat berpusat di kota Madinah manakala untuk kerajaan Turki Uthmaniyah berpusat di Istanbul. Antara kerajaan wilayah zaman Khulafa al Rasyidin ialah Makkah, Baghdad dan Damsyik manakala kerajaan wilayah zaman Turki Uthmaniyah ialah Madinah, Makkah, Baghdad, Damsyik, Andalus dan Mamluk.
           
Kuasa tertinggi kerajaan pusat zaman Khulafa al Rasyidin ialah khalifah manakala ‘Amir’ mengetuai kerajaan wilayah. Khalifah dipilih melalui syura dan mereka memerintah berdasarkan hukum syariah berpandukan al Quran dan Sunnah. Pada zaman kerajaan Turki Uthmaniyah, kuasa tertinggi kerajaan pusat dipegang oleh Sultan manakala Gabenor atau Wazir mengetuai kerajaan wilayah. Sultan dipilih secara warisan manakala Gabenor wilayah dilantik oleh Sultan tanpa berdasarkan keturunan. Seperti khalifah, sultan memerintah berlandaskan syariah Islam  manakala Gabenor memerintah berasaskan panduan yang ditentukan oleh sultan.
              
Bagi kedua-dua kerajaan ini, kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan tentera semasa peperangan.
            
Kerajaan pusat akan memberi arahan kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan. Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala arahan kerajaan pusat. Khalifah dan Sultan berkuasa melantik dan memecat  Amir dan Gabenor/Wazir. Khalifah dan Sultan akan memerintah sehingga meninggal dunia.
           
Aspek ekonomi, politik dan sosial diuruskan oleh kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan wilayah yang merupakan bandar-bandar kecil perlu berganding bahu dengan kerajaan pusat demi menjamin keamanan, kemajuan dan keharmonian rakyat serta negara.

           Kesimpulannya, kerajaan pusat dan kerajaan wilayah mempunyai perbezaan dari pelbagai aspek. Namun kedua-dua bentuk kerajaan ini perlu saling bekerjasama bagi memastikan pemerintahan dan pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan selamat.

Sistem Pemilihan Khalifah

20:36:00 0
Khalifah merupakan satu jawatan memerintah negara Islam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat. Perkataan khalifah berasal daripada perkataan ‘khulafa’ yang bermaksud pengganti. Tugas dan tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul, cuma khalifah tidak diperlengkapkan dengan mukjizat dan wahyu. Dalam sejarah Islam, terdapat empat orang khalifah yang menerajui Khulafa al Rasyidin dan cara pemilihan mereka adalah berbeza.

     Kaedah pelantikan terawal yang digunakan ialah perundingan beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai musyawarah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak meninggalkan sebarang wasiat mahupun pesanan tentang calon pengganti sebelum baginda wafat. Baginda memberi kebebasan kepada umat Islam memilih calon khalifah sendiri bagi meneruskan pemerintahan negara Islam. Oleh itu, umat Islam telah mengadakan rundingan dan persetujuan tanpa menetapkan calon terlebih dahulu.

     Berpandukan pelantikan Saidina Abu Bakar al Siddiq yang pernah mengimamkan sembahyang sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. sedang uzur, para sahabat seolah-olah dapat meneka calon khalifah yang pertama. Kaum Muhajirin dan Ansar telah mewakili umat Islam berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah. Bagi mengelak perselisihan antara Muhajirin dan Ansar, Saidina Abu bakar al Siddiq mencalonkan Saidina Umar al Khattab mewakili Muhajirin dan Abu Ubaidah mewakili Ansar sebagai khalifah. Namun, kedua-duanya menarik diri malah mereka mencalonkan Saidina Abu Bakar al Siddiq sebagai khalifah. Akhirnya, Saidina Abu Bakar al Siddiq telah dibaiah dalam syura sebagai khalifah pertama.

    Cara pemilihan seterusnya ialah mengusul atau mencadangkan seorang calon. Khalifah sebelumnya mengusulkan nama calon dan akan dibawa ke musyawarah dalam Majlis Syura dan dibaiah umat Islam. Cara ini digunakan dalam proses pelantikan khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al Khattab. Bagi mengelakkan berulang kembali Gerakan Al Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq yang sedang gering telah mencalonkan Saidina Umar al Khattab sebagai penggantinya. Pencalonan ini telah dipersetujui umat Islam dan setelah bermusyawarah bersama para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura, Saidina Umar al Khattab telah dibaiah oleh umat Islam tanpa bantahan. Cara ini bukan berasaskan keturunan atau warisan.

     Kaedah seterusnya ialah mengusulkan beberapa orang calon. Khalifah terdahulu akan mencadangkan nama beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat untuk dipilih salah seorang daripada mereka. Khalifah Umar al Khattab yang sedang tenat akibat tikaman seorang keturunan hamba Parsi telah menyebut nama Saidina Uthman bin affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair al Awwam dan saad bin Abu Waqas. Puteranya sendiri iaitu Abdullah bin Umar al Khattab tidak dicalonkan. Musyawarah diadakan di rumah Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan tiga hari selepas kewafatan Khalifah Umar al Khattab, Abdul Rahman bin Auf dipilih mempengerusikan musyawarah memilih pengganti khalifah. Undian telah dibuat dan akhirnya Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi setelah empat orang calon menarik diri. Khalifah Uthman bin Affan memerintah sebagai khalifah ketiga dalam Khulafa al Rasyidin.

     Kaedah terakhir yang digunakan ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada 656M, berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan bakal khalifah seterusnya. Madinah ketika ini dikuasai pemberontak. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali bin Abu Talib sebagai pengganti khalifah sedangkan penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah manakala penduduk Kufah mencadangkan Zubair al Awwam. Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib dibaiah sebagai khalifah. Walaupun pada awalnya beliau menolak pelantikan itu, namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau menerima cadangan itu.

     Pemilihan dan perlantikan khalifah dijalankan dengan pelbagai cara. Walaupun begitu, terdapat persamaan dalam setiap cara tersebut iaitu kesemuanya berasaskan musyawarah dan persetujuan ramai. Ciri demokrasi ini amat ketara ditambah dengan kriteria pemilihan yang tidak berlandaskan keturunan.