Fungsi Sukan Dalam Pembangunan Negara - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Fungsi Sukan Dalam Pembangunan Negara

Kebanyakan anggota masyarakat di negara ini meminati sukan. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan infrastruktur sukan kepada orang ramai.  Kini, padang permainan, dewan badminton, gelanggang olahraga, dan kemudahan sukan yang lain dibina di kawasan tertentu.  Kesediaan pihak kerajaan berbuat demikian adalah atas kesedaran bahawa sukan bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada individu tetapi juga memberikan sumbangan ke arah pembangunan negara.  

        Pakar-pakar kesihatan mengakui bahawa aktiviti sukan penting untuk kesihatan.  Hal ini dikatakan demikian kerana semasa bermain bola sepak, badminton, dan olahraga misalnya, semua organ dalam badan seseorang menjadi aktif.  Jantung akan berfungsi dengan baik. Pembakaran lemak juga berlaku dan badan akan mengeluarkan peluh.  Dengan demikian, masalah lebihan lemak dalam badan dapat dielakkan dan badan menjadi sihat.  Kesihatan fizikal akan mempengaruhi kesihatan mental individu.  Masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental dapat menjalankan tugas dengan baik dan seterusnya membantu pembangunan negara.   


        Masa lapang seseorang dapat dimanfaatkan dengan bersukan kerana aktiviti ini lazimnya dijalankan pada waktu yang terluang.  Dengan cara demikian, anggota masyarakat tidak membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah.  Golongan remaja tiada kesempatan untuk melepak, menganggotai kumpulan gangster, dan melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah.  Tegasnya, aktiviti sukan dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak muda, seterusnya dapat melahirkan golongan remaja yang berkualiti yang dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.  

        Sukan juga dapat memupuk persahabatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat di sesebuah negara.  Apabila sesuatu jenis sukan diwakili oleh peserta daripada pelbagai kaum, mereka sudah tentu akan bekerjasama dan saling membantu untuk mencapai satu matlamat, iaitu kejayaan.  Semasa berada dalam satu kumpulan, timbul perasaan kekitaan atau espirit de corp dalam kalangan mereka.  Semangat ini amat penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara kita.  Selain itu, perpaduan turut dapat disemai dalam kalangan penonton apabila mereka menyokong pasukan yang sama.  Nilai perpaduan ini menjadi landasan untuk rakyat membangunkan negara.   
  
        Apabila sesebuah negara terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf antarabangsa, negara yang berkenaan akan dikunjungi oleh pemain, pegawai, wartawan, dan penyokong dari pelbagai negara.  Mereka sudah tentu akan berbelanja sepanjang berada di negara yang berkenaan.  Pengaliran wang asing yang berlaku tentu sekali menguntungkan negara.  Apabila pulang, mereka akan mempromosikan tempat-tempat yang menarik di negara tuan rumah kepada rakan-rakan.  Dalam jangka panjang, situasi ini dapat memajukan industri pelancongan di negara yang berkenaan.  

        Selain itu, imej negara dapat ditingkatkan melalui sukan.  Hal ini dikatakan demikian kerana apabila sesebuah negara mengambil bahagian dalam sukan yang bertaraf dunia, nama negara yang berkenaan akan dikenali, apatah lagi sekiranya negara yang berkenaan mengungguli sesuatu permainan.  Sebagai contoh, negara Brazil sinonim dengan bola sepak dan Malaysia pula dikaitkan dengan kehebatan dalam sukan badminton.  Kejayaan sesebuah negara menganjurkan sukan yang bertaraf dunia turut mengharumkan nama negara. Contohnya, keupayaan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998 secara tidak langsung mencelikkan mata masyarakat antarabangsa tentang keupayaan negara kerdil ini menganjurkan sukan yang bertaraf dunia.
 
        Kesimpulannya, aktiviti sukan penting bukan sahaja untuk melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tetapi juga dapat membantu pembangunan negara, seterusnya meningkatkan imej negara.  Menyedari kepentingan inilah, setiap anggota masyarakat seharusnya menjinakkan diri dengan sukan yang sesuai dengan minat, kebolehan, dan keupayaan masing-masing.  Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar bersukan hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa.  Matlamat ini akan tercapai seandainya kita menghayati cogan kata “Majulah Sukan untuk Negara.”

2 comments: