Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Langkah Kerajaan Mengekalkan Keutuhan Institusi Keluarga Negara

00:46:00 0
Institusi keluarga bolehlah dikategorikan sebagai satu unit manusia yang meliputi ayah, ibu dan beberapa orang anak. Ada juga keluarga yang mempunyai bilangan orang tua yang lebih banyak seperti datuk, nenek, dan pak cik serta mak cik pula. Tindakan media massa yang memaparkan peningkatan gejala sosial berkait rapat dengan keruntuhan institusi keluarga telah menyebabkan semua pihak berasa terkejut lalu pelbagai pendapat kedengaran pula. Jadi, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan institusi keluarga di negara ini terus utuh?

Tindakan awal yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah kerajaan menggubal satu perundangan baru yang boleh memastikan keutuhan keluarga di negara ini terus berkekalan. Kewujudan akta yang lebih menyeluruh seperti mampu menangani masalah penceraian, penderaan anak dan isteri  pasti mampu memberikan satu sinar baru kepada pembentukan keluarga yang sihat pula. Masyarakat akan lebih berhati-hati untuk bertindak mendera atau lari dari rumah begitu sahaja kerana sedar adanya peruntukan perundangan yang boleh memberi impak kepada diri mereka  pula nanti jika dilakukan tanpa berfikir. Maka, tindakan mewujudkan satu perundangan yang lebih holistik  mampu menghasilkan satu bentuk keluarga yang lebih baik di negara ini.

Selain itu, kerajaan boleh menjalankan satu kempen kesedaran tentang peri pentingnya institusi keluarga ini diberi penekanan di negara ini. Dalam kempen ini dihuraikan bahawa kebanyakan gejala sosial yang berlaku di Malaysia mampu dikurangkan jika negara ini memiliki persepsi kepentingan keluarga yang sebenarnya. Pada masa yang sama kempen itu juga berupaya untuk menerangkan cara-cara untuk memiliki satu keluarga yang baik dan sihat supaya masyarakat boleh melakukan sesuatu pula terhadap keluarga mereka sendiri.  Jelaslah, langkah mengadakan kempen bukan sahaja mampu menerangkan kepentingan keluarga kepada masyarakat tetapi juga berupaya mendidik mereka untuk memproleh satu keluarga yang sempurna.

Bukan sahaja penggubalan perundangan dan menjalankan kempen tetapi kerajaan juga boleh menubuhkan satu agensi khas yang akan menguruskan semua aspek berkaitan dengan kekeluargaan di negara ini. Agensi ini akan merangka semua tindakan yang bersesuaian dengan perancangan kerajaan setelah mengadakan kajian mengenai keadaan keluarga di negara ini pula. Kewujudan agensi khas ini juga membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan sememangnya bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menangani masalah sosial yang berlaku itu. Sesungguhnya, penubuhan sebuah agensi khas keluarga sebegini mampu menjadikan semua aktiviti yang dilaksanakan terancang dan tepat kea rah sasarannya.

Tindakan seterusnya ialah kerajaan boleh mewajibkan semua ibu bapa terutama pasangan yang baru berkahwin untuk menghadiri satu kursus keibubapaan. Kehadiran mereka dalam kursus sebegini memberikan mereka satu pengetahuan asas untuk mendidik anak sendiri apabila sampai masanya kelak. Pengetahuan mendidik sebeginilah yang bakal menjadikan keluarga itu lebih mantap kerana anak akan dididik dengan sempurna oleh ayah dan ibu mereka. Oleh itu, kursus yang dianjurkan ini menjadikan tugas untuk mendidik keluarga itu begitu mudah dan berkesan.

Malahan,  keutuhan keluarga ini juga mampu ditingkatkan oleh kerajaan dengan menyediakan sistem perumahan yang selesa buat rakyat di negara ini terutama golongan yang berpendapatan rendah. Kita sedia maklum bahawa harga rumah di negara ini terutama di kawasan bandar begitu mahal sehingga ada keluarga yang tidak mempunyai rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan anak-anak sering tiada di rumah lalu mereka mudah untuk terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di luar rumah pula.  Justeru, kemampuan kerajaan menyediakan perumahan yang baik buat rakyat di negara ini bakal menyaksikan semua gejala sosial yang berlaku menjadi berkurangan pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang diutarakan tadi sememangnya mampu menghasilkan satu institusi keluarga yang utuh di negara ini. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapaamat diperlukan jika tindakan-tindakan ini ingin mencapai sasarannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya pasti menjadikan gejala sosial yang melanda negara ini terus bertambah saban tahun. Slogan “Rumahku, Syurgaku” membuktikan betapa pentingnya keharmonian dan keutuhan keluarga itu buat pendidikan generasi masa depan negara ini.

Amalan Berbudi Bahasa Semakin Diketepikan Dan Langkah Mengatasi

00:43:00 0
 Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja ini boleh dikatakan sebagai sikap bersopan ketika remaja itu berinteraksi dengan individu lain. Antara sikap berbudi bahasa itu meliputi memanggil orang lain dengan hormat, memberi laluan kepada orang tua, dan tidak menggunakan bahasa kesat ketika bercakap. Namun, mengapakah begitu banyak pihak berpendapat remaja kita semakin kesampingkan nilai-nilai ini?

     Masalah ini berlaku kerana ibu bapa terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak mereka itu. Sikap terlalu memburu dunia kebendaan itu membawa ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar yang betul kepada anak. Ada juga ibu bapa yang terlalu sibuk ini menggunakan kaedah materialistik untuk mengatasi kesibukan mereka bekerja itu dalam mendidik anak. Akibatnya, kepincangan akhlak dan semakin menghilangnya budi bahasa berlaku dalam kalangan remaja dalam kadar yang begitu pantas serta meluas.

      Selain itu, kewujudan pelbagai media massa di negara ini dalam tempoh terdekat turut menjejaskan kualiti budi bahasa remaja kita. Pelbagai program yang tersiar terutama penyiaran budaya luar telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Semakin lama remaja menonton program yang sebegini semakin terjejaslah konsep budi bahasa yang diterapkan dalam dirinya oleh ibu bapa dan pihak masyarakat itu. Jelaslah, remaja tidak lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan palsu atau berunsur imaginasi khayalan media massa yang diimport itu.

     Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa memainkan peranan paling utama dalam membentuk akhlak anak-anak itu. Mereka harus meluangkan masa dan mempamerkan teladan yang betul serta memberikan didikan keagamaan kepada golongan muda itu. Remaja lebih mudah meniru budi bahasa itu apabila melihat sendiri kelakuan baik yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Ringkasnya, masalah ini boleh ditangani apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek kebendaan sahaja.

     Tambahan pula, pihak sekolah turut mempunyai tugas berat dengan melaksanakan sistem pendidikan yang menekankan falsafah kemanusiaan yang sebenarnya. Pendidikan di sekolah hendaklah menekankan keperluan membentuk pelajar menjadi insan yang seimbang peribadinya dalam segi jasmani, rohani, dan intelektual. Masa pelajar banyak dihabiskan di sekolah yang membolehkan pihak sekolah menyemai nilai budi bahasa ini dengan lebih baik lagi mendalam itu. Sesungguhnya, kejayaan pihak pengurusan sekolah dalam melaksanakan tugasnya bakal menghasilkan remaja yang berbudi bahasa itu.

     Kerajaan juga boleh membantu memupuk konsep budi bahasa dalam jiwa remaja dengan mewujudkan satu program khas untuk remaja. Program Khidmat Negara merupakan satu aktiviti yang baik tetapi beberapa penelitian halus harus dilaksanakan terutama menekankan lebih banyak konsep budi bahasa yang praktikal untuk diamalkan oleh remaja zaman ini. Remaja yang menyertai program sebegini akan berinteraksi sesama sendiri untuk satu tempoh yang lama lalu penyemaian budi bahasa boleh dilaksanakan dengan mudah. Lantaran itu, program yang bercorak kebangsaan tentang budi bahasa harus dilancarkan oleh kerajaan dengan segera.

      Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut sosial ini. Budi bahasa merupakan asas kehidupan yang bermaruah lagi bertamadun buat manusia. Jika remaja masih tidak mahu berubah sudah pasti masa depan negara ini akan mengalami satu zaman kegelapan yang panjang pula kerana budi bahasa merupakan asas kehidupan manusia sejagat. Bak kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat yang menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan budaya berbudi bahasa ini dalam merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara cemerlang, gemilang, dan terbilang itu.

Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Kes Ragut Menjadi Lebih Serius

00:39:00 0
Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Kesan Pembalakan Haram

14:03:00 0
Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan telah membekalkan negara kita dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan. Malaysia juga terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang sentiasa menjadi daya penarik kepada pelancong-pelancong asing. Walaupun hutan telah membantu negara mempelbagaikan sumber ekonominya, namun akhir-akhir ini, hutan menghadapi ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tamak dan hanya mementingkan kekayaan semata-mata. Peningkatan aktiviti pembalakan haram bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan telah menyaksikan dampak yang ketara kepada negara. Jika masalah ini tidak ditangani, sudah tentu kita akan menghadapi 1001 masalah di hari muka.

    Pembalakan haram mampu menyumbang keapada terjadinya bencana alam. Pembalakan yang tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu ia melimpah ke kawasan sekitar. Banjir yang sering kali memusnahkan perkampungan orang asli mengakibatkan kehidupan masyarakat ini diambang penderitaan. Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung. Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. setiap tindakan yang kita ambil pastinya akan memberi impak keapada orang lain.

    Selain itu, kemusnahan habitat flora dan fauna juga merupakan kesan aktiviti pembalakan haram. Umum mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal semula jadi bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan liar. Kemusnahan hutan bermaksud musnahnya tempat tinggal hidupan-hidupoan yang tinggal didalamnya. Jika tiada tindakan yang diambil bagi mengawal kegiatan manusia yang tidak bermoral ini, nescaya perkara yang lebih teruk lagi akan berlaku. Contohnya, kepupusan sesuatu spesies hidupan. Justeru, langkah yang proaktif perlu lah dilaksanakan bagi mengelakkan perkara yang lebih parah lagi daripada berlaku. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jangan biarkan cucu-cicit kita tertanya-tanya, apa itu orang utan, harimau gajah, dan burung kakak tua.

    Di samping itu, pembalakan haram turut mengakibatkan peningkatan suhu di negara kita.  Aktiviti pembalakan haram akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara. Gas ini mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena inilah yang menyebabkan peningkatan suhu persekitaran. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila kurangnya tumbuhan yang menyerap gas ini. Selain peningkatan suhu, fenomena ini turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat. Oleh yang demikian, kita perlulah menghargai anugerah ciptaan tuhan yang tidak ternilai harganya ini. Mampukah kita hidup selesa dalam keadaan yang panas sebegini? Tepuk dada, tanya selera.

    Selain berfungsi sebagai peparu bumi, hutan juga bertindak seperti span di kawasan tadahan hujan. Aktiviti manusia menebang pokok-pokok akan menjejaskan kawasan tadahan hujan di tanah tinggi. Hal ini akan mengurangkan kadar serapan dan penyimpanan air dalam tanih sekaligus menjejaskan bekalan air. Keadaan ini mendatangkan kebejatan kepada penduduk sekitar. Tamsilnya, krisis air yang pernah berlaku di Lembah Klangdan Melaka menyebabkan aktiviti harian penduduk seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian terganggu. Oleh itu, kita seharusnya sedar akan kepentingan hutan dalam kehidupan kita. Sikap bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya akan memberi kemudaratan kepada kita.

    Intihanya, kita harus berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Pihak kerajaan haruslah mengambil tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan haram. Orang awam pula hendaklah melaporkan sebarang pergerakan kenderaan pengangkut balak yang mencurigakan. Dengan adanya kerjasama bagaikan aur dan tebing, sudah pasti masalah ini dapat diatasi. Seperkara lagi, kita perlulah ingat bahawa kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang kita, tetapi kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.

Kepentingan Menguasai Bahasa Inggeris

14:01:00 2
Dalam mengejar era globalisasi ini, pelbagai kemahiran harus dikuasai oleh individu bagi melonjakkan kecemerlangan masing-masing ke peringkat antarabangsa. Adakah anda pernah memikirkan persediaan kita sebagai warganegara Malaysia yang tercinta ini untuk bersaing dengan masyarakat seantero dunia?Adakah pencapaian kita yang sedikit ini mampu menyaingi mereka? Sebenarnya, antara isu yang diketengahkan dan diuar-uarkan oleh pemimipin kita, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ialah kita harus sentiasa berusaha untuk memperkenalkan negara di persada antarabangsa. Oleh itu, setiap individu perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bahasa ini merupakan bahasa kedua yang digunakan di kebanyakan negara dan merupakan lingua franca masyarakat antarabangsa. Malangnya,majoriti masyarakat luar bandar negara kita tidak fasih berbahasa Inggeris. Golongan ini tidak membiasakan diri mereka menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan harian kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua. Sesungguhnya, mereka sedar akan penguasaan bahasa Inggeris pada abad kedua puluh ini amat penting kerana faedahnya banyak dan kepentingannya tidak dapat dinafikan.

    Antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris ialah peluang pekerjaan terbuka luas. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan di seluruh dunia. Jadi, bahasa Inggeris ini diterima dan digunakan oleh semua negara di dunia. Hal ini membuktikan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, peluang pekerjaan yang terbuka bukan hanya di negara kita malahan juga pada peringkat antarabangsa. Tambahan pula, pekerjaan merupakan satu keperluan terutamanya semasa kegawatan ekonomi melanda dunia ini. Kita pernah dikejutkan dengan berita isu pengangguran yang semakin meningkat di negara kita, iaitu mencecah angka    80 000 orang. Dengan penguasaan bahasa Inggeris yang mampan, sudah tentu kita tidak akan bermasalah untuk mendapat pekerjaan yang berprestij terutamanya dengan pihak swasta. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain seperti akuantan, doktor, peguam, dan pensyarah. Malahan, ahli-ahli politik, iaitu barisan pemimpin negara turut mrengutamakan bahasa Inggeris kerana bahasa inilah yang digunakan ketika menyampaikan ucapan supaya dapat menyakinkan pemimipin-pemimpin dunia, di samping memperoleh penghormatan dalam arena antarabangsa. Jadi,penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dibiasakan sejak kecil lagi seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sekiranya bahasa ini boleh kita kuasai dengan baik, nescaya peluang pekerjaan akan sentiasa menanti.

     Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementeriaan Pelancongan, lebih kurang 22.9 juta orang pelancong menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pada tahun 2008. Hal ini berikutan sikap rakyat Malaysia yang pandai berkomunikasi, selain mempunyai lokasi-lokasi pelancongan yang unik dan menarik.Di samping itu, majoriti rakyat Malaysia di bandar menguasai lingua franca ini, iaitu bahasa Inggeris. Hal ini secara tidak langsung memudahkan komunikasi antara pelancong dengan rakyat Malaysia itu sendiri. Sebagai contoh, pemandu pelancong yang menguasai bahasa inggeris dapat menerangkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di Malaysia kepada pelancong asing sekali gus membuatkan pelancong asing memahami dan mengetahui keunikan Malaysia.Hal ini demikian kerana Malaysia banyak mempunyai tempat yang bersejarah seperti Kota A Famosa dan makam-makam pahlawan. Di samping itu, rakyat Malaysia, terutamanya peniaga berpeluang untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia kepada pelancong asing yang datang secara berterusan, bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”. Pelancong asing dapat mengetahui keunikan dan nilai estetika hasil kraf tangan yang terdapat di negara kita seperti bakul rotan, batik dan barangan tembaga. Dengan itu, terbuktilah bahawa penggunaan bahasa Inggeris memberikan impak yang besar terhadap penigkatan pendapatan dalam industri pelancongan.

      Selain itu, dunia ekonomi dan perdagangan sekarang lebih menekankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan. Interaksi dalam kalangan pelabur dari seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, kebanyakan mesyuarat yang dilaksanakan dalam sesebuah syarikat perdagangan bertaraf antarabangsa menggunakn bahasa Inggeris. Sebagai sebuah negara yang membangun, kegiatan perdagangan antarabangsa sememangnya penting bagi menjamin kemajuan negara supaya terus membangun dan dikenali sepanjang zaman, bak kata pepatah, “tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas”. Jadi, sebgai warganegara yang bertangungjawab, kita perlu mempelajari dan menguasai bahasa ini kerana hal ini akan memudahkan kita untuk bersaing dalam arena perdagangan dunia yang serba mencabar. Sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris, tidak mungkin Malaysia akan tersenarai sebagai negara yang giat membangun. Kesimpulannya, jelaslah bahawa bahasa Inggeris amat penting dalam urusan perdagangan dan pembangunan ekonomi.

     Seterusnya, penguasaan bahasa Inggeris memberi ruang kepada kita untuk meninggikan martabat bangsa. Hal ini demikian kerana apabila kita petah berbahasa Inggeris, kita akan lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Seiring dengan arus pemodenan antarabangsa, bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa perantaraan seantero dunia. Dengan menguasai bahasa Inggeris, kita dapat melontarkan idea atau komen yang bernas ketika menghadiri persidangan antarabangsa. Sebagai contoh,ketika di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri kita, beliau fasih berbahasa Inggeris sehingga dapat menyuarakan buah fikiran kepada masyarakat dunia. Hal ini telah membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia yang mampu “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi”dengan negara maju yang lain. Dengan ini,masyarakat dunia telah menaruh kepercayaan terhadap Malaysia dan secara tidak langsung melonjakkan martabat bangsa di persada dunia. Sekiranya isu penguasaan bahasa Inggeris ini hanya dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia, nescaya kita akan menerima nasib yang sama dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Negara-negara ini tetap dipandang rendah di mata dunia walaupun telah memiliki tahap teknologi yang lebih tinggi daripada Malaysia. Hal ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahas IIggeris yang masih di takuk lama. Jelaslah bahawa bahasa inggeris merupakan aspek terpenting dalam menaikkan martabat bangsa bagi sesebuah negara.

      Ramai bersependapat bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana banyak terdapat sumber rujukan yang telah ditulis dalam bahasa Iinggeris kerana masyarakat Barat menggunakan budaya dokumentasi. Sehubungan dengan itu, kita dapat meneroka dan berkongsi lebih banyak ilmu dengan negara lain di dunia. Di samping perkongsian ilmu, kita juga boleh mendapatkan ilmu melalui internet dengan mudah sejajar dengan perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan. Para pelajar di seluruh dunia boleh mendapatkan ilmu dengan pantas kerana maklumat berada di hujung jari. Sebagai contoh, di Malaysia kini, Kementerian Pelajaran telah mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa inggeris. Sekiranya masalah penguasaan bahasa Inggeris berlaku, pasti pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran. Dengan itu,tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris perlu di kuasai kerana bahasaInggeris merupakan bahasa ilmu.

     Pada masa yang sama , bahasa Inggeris perlu dikuasai sebaik-baiknya memandangkan bahasa ini merupakan bahasa perhubungan bertaraf dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila Malaysia juga sudah mula menitikberatkan pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sitem persekolahan dan kadang-kadang sebagai bahasa pertama di institut pengajian tinggi kerana bahasa Inggeris merupaka lingua franca yang digunakn secara meluas pada peringkat antarabangasa. Selain itu,individu yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik tidak akan berasa janggal sekiranya terpaksa berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, situasi ketika berurusan dengan pelancon asing mahupun ketika berada di rantau orang dan tidaklah menjadi “seperti rusa masuk kandang”. Mari kita ambil contoh apabila kita menjadi duta kecil bagi memperkenalkan negar kita di persada dunia, secara tidak langsung kita akan mempamerkan budaya rakyat Malaysia yang berilmu. Sekiranya Masyarakat bersikap acuh tidak acuh akan pentingnya penguasaan bahasa ini, nescaya rakyat Malaysia tidak mampu bersaing pada peringkat antarabangsa. Pendek kata, bahasa Inggeris perlu dikuasai dengan sewajarnya supaya kita dapat berinteraksi dengan lebih mantap.

Langkah Memajukan Sektor Pertanian

13:58:00 1
Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi Nasional, kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan juga mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara kita. Sesungguhnya, banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan sektor pertanian? Kata orang tua-tua, “genggam bara api biarlah sampai jadi arang”, semua pihak yang terbabit perlu menggembleng tenaga untuk menjanakan sektor pertanian di tanah air.

       Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya hasil tanaman atau ternakan mereka hanya sekadar sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak perkembangan sektor industri, petani moden kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih demi meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird” dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya, kaum petani perlu disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.

      Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor swasta perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik dan sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang canggih.

      Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro untuk pekebun kecil . Dengan modal yang mencukupi, pekebun kita baru dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia untuk menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh itu, dengan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. Walhasilnya, kaum petani tidak akan digelar sebagai golongan miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.

      Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak berkuasa supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi peladang digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu, pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna, seperti peribahasa “serampang dua mata.” Rentetan daripada itu, pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik rambut dalam tepung untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita. Sistem pengagihan yang teratur dapat memantapkan harga produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.

      Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini bagai menyelam sambil minum air. Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.

      Natijahnya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini berprestij kepada generasi muda. Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan, jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.

Kebaikan Dan Keburukan Kafe Siber

13:55:00 1
Komputer dan teknologi maklumat(IT) sudah dianggap sinonim dengan kemajuan tamadun masa kini.Berikutan itu,perkhidmatan internet telah menjadi darah daging bagi mereka yang ghairah mengejar kemajuan.Seiringan dengan itu,pelbagai perniagaan yang bersangkut paut dengan teknologi maklumat muncul bagai cendawan tumbuh berceracak selepas hujan.Antaranya, termasuklah kafe siber.
 

Pada asasnya, kafe siber merupakan restoran yang menyediakan berbagai-bagai kemudahan komputer kepada para pengunjungnya untuk mendapatkan maklumat dalam internet dan seumpamanya sambil menikmati hidangan makanan dan minuman.Kewujudan kafe siber telah membuka peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk menikmati kepelbagaian aplikasi internet yang ditawarkan.
 

Walaupun internet merupakan fokus utamanya di kafe siber,terdapat juga perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti menaip,permainan komputer,dan kursus penggunaan komputer.Menerusi perkhidmatan-perkhidmatan ini pengguna didedahkan kepada cara-cara penggunaan komputer yang betul.Selain itu , melalui internet kita akan dapat memperoleh pelbagai maklumat dari seluruh pelosok dunia dengan hanya menekan butang-butang pada papan kekunci komputer.Hal inilah merupakan kelebihan internet untuk membentuk masyarakat bermaklumat.Malah internet juga turut membolehkan seseorang berhubung dengan manusia di seluruh pelosok dunia melalui perkhidmatan e-mel.
  

Namun di sebalik kebaikan tersebut,terdapat juga aspek-aspek negatifnya yang turut menuntut pihak pengusaha agar melakukan penapisan dan pengawalan terhadap pelanggan yang cenderung menyalahgunakan kemudahan yang disediakan. Walau bagaimanapun yang lebih penting adalah kesedaran yang ada pada pihak pengguna.Justeru,ketika meluncur di ruang siber,pihak pengguna tidak seharusnya menerima unsur-unsur negatif yang terhidang,apatah lagi membantu untuk menyebarkannya.
 

Terdapat juga pengguna yang cuba mengeksploitasikan kecanggihan teknologi internet di kafe siber untuk mewujudkan dan menyebarkan khabar-khabar angin,menyebarkan mesej yang bersifat menghasut,menceroboh serta membangunkan laman web lucah.Malah ,terdapat segelintir pengguna yang menggunakan internet untuk menjalankan aktiviti haram seperti skim cepat kaya,skim piramid,surat berantai dan baru-baru ini perjudian ala kasino melaui internet.Sementelahan itu,yang paling dikhuatiri ialah ketaksuban golongan remaja,lebih-lebih lagi pelajar sekolah yang sanggup ponteng sekolah hanya sekadar untuk melepak dan berseronok-seronok dengan melayari internet di kafe-kafe siber.Justeru ,ibu bapa perlu memainkan peranan agar anak-anak mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif di kafe siber.
 

Konklusinya,walaupun kafe siber ditubuhkan dengan niat baik untuk melahirkan masyarakat yang celik komputer,namun jika disalahgunakan akan membawa padah yang mampu merosakkan akhlak dan minda masyarakat.Oleh itu, pihak pengurusan kafe siber mempunyai tanggungjawab sosial untuk mengelakkan perkara ini dan bukannya mementingkan keuntungan semata-mata lalu “tutup sebelah mata’ asalkan pengunjungnya mampu membayar untuk perkhidmatan yang disediakan.