Amalan Berbudi Bahasa Semakin Diketepikan Dan Langkah Mengatasi - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Amalan Berbudi Bahasa Semakin Diketepikan Dan Langkah Mengatasi

 Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja ini boleh dikatakan sebagai sikap bersopan ketika remaja itu berinteraksi dengan individu lain. Antara sikap berbudi bahasa itu meliputi memanggil orang lain dengan hormat, memberi laluan kepada orang tua, dan tidak menggunakan bahasa kesat ketika bercakap. Namun, mengapakah begitu banyak pihak berpendapat remaja kita semakin kesampingkan nilai-nilai ini?

     Masalah ini berlaku kerana ibu bapa terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak mereka itu. Sikap terlalu memburu dunia kebendaan itu membawa ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar yang betul kepada anak. Ada juga ibu bapa yang terlalu sibuk ini menggunakan kaedah materialistik untuk mengatasi kesibukan mereka bekerja itu dalam mendidik anak. Akibatnya, kepincangan akhlak dan semakin menghilangnya budi bahasa berlaku dalam kalangan remaja dalam kadar yang begitu pantas serta meluas.

      Selain itu, kewujudan pelbagai media massa di negara ini dalam tempoh terdekat turut menjejaskan kualiti budi bahasa remaja kita. Pelbagai program yang tersiar terutama penyiaran budaya luar telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Semakin lama remaja menonton program yang sebegini semakin terjejaslah konsep budi bahasa yang diterapkan dalam dirinya oleh ibu bapa dan pihak masyarakat itu. Jelaslah, remaja tidak lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan palsu atau berunsur imaginasi khayalan media massa yang diimport itu.

     Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa memainkan peranan paling utama dalam membentuk akhlak anak-anak itu. Mereka harus meluangkan masa dan mempamerkan teladan yang betul serta memberikan didikan keagamaan kepada golongan muda itu. Remaja lebih mudah meniru budi bahasa itu apabila melihat sendiri kelakuan baik yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Ringkasnya, masalah ini boleh ditangani apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek kebendaan sahaja.

     Tambahan pula, pihak sekolah turut mempunyai tugas berat dengan melaksanakan sistem pendidikan yang menekankan falsafah kemanusiaan yang sebenarnya. Pendidikan di sekolah hendaklah menekankan keperluan membentuk pelajar menjadi insan yang seimbang peribadinya dalam segi jasmani, rohani, dan intelektual. Masa pelajar banyak dihabiskan di sekolah yang membolehkan pihak sekolah menyemai nilai budi bahasa ini dengan lebih baik lagi mendalam itu. Sesungguhnya, kejayaan pihak pengurusan sekolah dalam melaksanakan tugasnya bakal menghasilkan remaja yang berbudi bahasa itu.

     Kerajaan juga boleh membantu memupuk konsep budi bahasa dalam jiwa remaja dengan mewujudkan satu program khas untuk remaja. Program Khidmat Negara merupakan satu aktiviti yang baik tetapi beberapa penelitian halus harus dilaksanakan terutama menekankan lebih banyak konsep budi bahasa yang praktikal untuk diamalkan oleh remaja zaman ini. Remaja yang menyertai program sebegini akan berinteraksi sesama sendiri untuk satu tempoh yang lama lalu penyemaian budi bahasa boleh dilaksanakan dengan mudah. Lantaran itu, program yang bercorak kebangsaan tentang budi bahasa harus dilancarkan oleh kerajaan dengan segera.

      Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut sosial ini. Budi bahasa merupakan asas kehidupan yang bermaruah lagi bertamadun buat manusia. Jika remaja masih tidak mahu berubah sudah pasti masa depan negara ini akan mengalami satu zaman kegelapan yang panjang pula kerana budi bahasa merupakan asas kehidupan manusia sejagat. Bak kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat yang menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan budaya berbudi bahasa ini dalam merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara cemerlang, gemilang, dan terbilang itu.

No comments:

Post a Comment