Karangan Pelajar Stpm: Esei

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf
Showing posts with label Esei. Show all posts
Showing posts with label Esei. Show all posts

Pencemaran Air

07:40:00 2
Air merupakan sumber penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Manusia memerlukan air untuk menjalankan aktiviti harian seperti pertanian, perikanan, perindustrian, pengangkuatan dan sebagainya. Namun, air semakin hari semakian tercemar lantaran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pencemaran air didefinisikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, biologi, atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekitar yang melepaskan, mengeluarkan, atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan merbahaya dan memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam, atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.
 
Punca Berlakunya Pencemaran Air

Punca utama pencemaran air ialah pembuangan sampah dari kawasan perumahan di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut. Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak, dan najis secara tidak terkawal akan menyebabkan sifat air berubah dan seterusnya membawa kepada pencemaran. Sebagai contoh, Sungai Semenyih antara sungai yang tercemar disebabkan oleh najis babi sekitar tahun 1980-an. Sungai yang tercemar ini akan mengalir ke laut dan seterusnya membawa kepada pencemaran laut.
 
Selain itu, sikap segelintir pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik ke dalam sungai atau laut juga mendorong kepada pencemaran air. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Kajian menunjukkan terdapat beberapa buah negara maju memasukkan sisa radioaktif ke dalam tong dram sebelum membuangnya kedalam laut.
 
Pertumpahan minyak yang berlaku disebabkan oleh pelanggaran kapal turut mendorong kepada pencemaran air. Minyak yang mengalir ke laut akibat kebocoran tangki minyak akan menutupi lapisan air dan menyebabkan belakunya pencemaran laut. Sebagai contoh, pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga 3 yang membawa 61 858 tan metrik minyak mentah telah menyebabkan berlakunya pertumpahan minyak berhampiran Tanjung Ayam.

Kesan Pencemaran Air

Pencemaran air akan memberi kesan kepada kesihatan menusia. Air yang tercemar mengandungi bahan kimia seperti sodium, nitrat, merkuri dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia. Contohnya, sodium memberi implikasi kepada jantung, manakala merkuri dan plumbum pula boleh menyebabkan masalah saraf. Terdapat pelbagai penyakit yang berjangkit melalui air minuman dan air mandian seperti disentri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis.
 
Tumpahan minyak yang berlaku di kawasan perairan akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam organisma laut. Tumpahan tersebut akan menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Hidupan laut seperti ikan, siput, udang dan ketam akan mati disebabkan oleh pembuangan sampah dan sisa toksik yang telah mengakibat pencamaran air yang merupakan habitat hidupan laut. Hal ini akan mendorong kepada kepupusan hidupan laut.
 
Pencemaran air juga memberi kesan kepada tanah basah. Tanah basah menyediakan habitat kepada banyak organisma hidup dan spesies tumbuhan. Apabila fosforus daripada pencemaran bahan kimia ditambah dalam sistem air, rumpai air akan tumbuh dengan banyak.. Dengan peningkatan fosforus, ianya akan menyebabkan menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang.

Langkah Mengatasi Pencemaran Air

Media massa dan media elektronik memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan sungai Kempen kesedaran perlu diadakan melalui televisyen, akhbar dan sebagainya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan air dalam kehidupan seharian. Dengan penganjuran kempen-kempen ini diharap dapat memupuk sikap cintakanalam sekitar.
 
Selain itu, pihak kerajaan juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang. Manakala, Undang-undang sedia ada perlu diperketatkan lagi supaya pesalah mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahannya. Contonya, pihak-pihak yang melakukan kesalahan mencemarkan sungai, sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu denda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan sekitar satu atau dua kali sebulan. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.
 
Kesimpulannya, sebagai makhluk Allah yang dikurniakan akal fikiran, kita tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri sebaliknya kita perlu menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun swasta bagi memastikan harapan dan impian negara dapat di capai.

Aktiviti-Aktiviti Yang Menyebabkan Berlakunya Pencemaran Udara

07:21:00 0
Bumi secara semulajadinya menerima beban pencemaran udara daripada fenomena alam semulajadi seperti letupan gunung berapi, pembakaran hutan akibat dari panahan petir dan sebagainya. Walaubagaimanapun, Bumi mempunyai 'kaedah semulajadi' bagi menangani pencemaran semulajadi ini. Apabila manusia mula menjalankan aktiviti perindustrian mahupun aktiviti harian, pencemaran alam sekitar semakin berleluasa dan Bumi tidak mampu lagi 'memikul' beban pencemaran tersebut.

2. Aktiviti Perindustrian dan Pembangunan

Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan pada pelepasan pencemaran gas organik dan bukan organik, bahan kimia dan juga habuk. Pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya industri kimia melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang amat memudaratkan boleh mengakibatkan perubahan iklim seluruh dunia. Selain pelepasan bahan toksik ke udara, pembangunan premis atau zon industri tanpa perancangan teliti dan kawalan akan mengakibatkan pencemaran bunyi dan getaran. Aktiviti di tapak pembinaan dan bunyi kipas ekzos di kilang-kilang adalah antara contoh-contoh aktiviti yang menghasilkan paras bunyi yang tinggi.

3. Kenderaan Bermotor

Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi. Setiap pergerakan kenderaan motor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil, yang menghasilkan asap dan bunyi bising yang membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Kualiti udara persekitaran amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan motor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan impak pencemaran ke atas alam sekitar. Dalam tahun 2004, 14 juta kenderaan berdaftar digunakan di Malaysia, angka ini dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu. Angka ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan meningkatnya pendapatan, pemindahan luar bandar ke bandar dan kekurangan kemudahan pengangkutan awam yang cekap.

4. Penjanaan Kuasa

Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro.

5. Aktiviti Harian

Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.

6. Pembakaran Terbuka

Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubungi ruang udara Malaysia. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya.

Pencemaran Udara

07:15:00 3
Pencemaran udara boleh dikatakan antara pencemaran yang memberi impak yang paling besar kepada alam sekitar. Disebabkan oleh pencemaran udara terjadinya fenomena pemanasan global yang mengakibatkan berlakunya bencana alam yang mengancam bumi kita. Pencemaran udara ini menjadi tumpuan sedunia bagi menangani dan mengambil langkah pengawalan supaya tahap pencemaran dapat dikawal. Negara maju seperti negara China yang bertumpukan industri perkilangan secara langsung menjejaskan kualiti udara di negara tersebut. Isu pencemaran udara ini dititikberatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah ini.

     Pencemaran udara boleh diklasifikasi kepada dua bahagian iaitu pencemaran primer dan pencemaran sekunder. Pencemaran primer merujuk kepada pencemaran yang dihasilkan sulfur monoksida dan karbon monoksida hasil dari pembakaran tidak lengkap yang menyebabkan zarah-zarah halus terampai di udara. Kebanyakan pencemaran ini dilepaskan melalui eksos kenderaan , industry yang melepaskan asap atau bahan pencemar dan pembakaran arang batu yang tidak terkawal, manakala pencemaran sekunder pula adalah tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk dengan gas–gas yang tidak di perlukan oleh benda hidup seperti gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkanasid sulfurik.

     Punca-punca kepada pencemaran udara termasuk perlepasan asap dari eksos kenderaan, asap dari industry kilang, penggunaan arang batu yang tidak terkawal, dan pembakaran di tempat pelupusan . selain dari punca-punca di atas fenomena semulajadi juga menyumbang kepada pencemaran ini seperti kebakaran  hutan akibat kepanasan dari matahari dan juga kejadian letusan gunung berapi yang mampu mengeluarkan partikel, asap, debu dengan kadar yang banyak yang menjejaskan penglihatan di sekitar tempat kejadian berlaku.

     Kesan-kesan pencemaran udara kepada manusia adalah seperti menjejaskan sistem pernafasan manusia. Manusia sukar untuk bernafas dalam keadaan udara yang tercemar kerana udara telah diracuni oleh bahan tercemar dan gas-gas yang tidak diperlukan. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah akan melambatkan tindak balas manusia dan kesan seterusnya menyebabkan mengantuk, penyakit lelah dan fungsi paru-paru terjejas. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak 3juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Ia adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan kemalangan. Kesan kepada tumbuhan adalah seperti mengalami kerosakan seperti nekrosis (keguguran daun) dan pertumbuhan terbantut. Begitu juga haiwan akan terancam akibat pencemaran udara dimana udara yang tercemar disedut dan mengambil makanan dari tumbuhan yang tercemar.

Kesan-Kesan Pencemaran Udara Kepada Manusia Dan Alam Sekitar

07:02:00 0
Pencemaran udara dikaitkan dengan bahan-bahan sintetik dan lain-lain pengotor berbahaya yang meresap dan menjadi sebahagian udara. Bahan-bahan ini kebanyakannya merupakan bahan buangan industri, asap ekzos kenderaan, tindakan pembalakan dan sebagainya yang mengeluarkan zarah-zarah pepejal dan gas yang terlepas ke dalam udara. Terdapat banyak kesan buruk yang akan menimpa manusia jika langkah-langkah kawalan segera tidak diambil untuk menangani pencemaran.
 

Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia. Manusia akan menghidap pelbagai penyakit, khususnya respirasi akibat menghidu udara yang tercemar. Manusia memerlukan udara bersih untuk hidup. Jika udara yang dihidu tercemar, sistem pernafasannya akan menyerap pelbagai bahan pencemar ke dalam paru-paru. Ini akan mengakibatkan proses penukaran karbon dioksida kepada oksigen tidak dapat dilakukan dan darah akan mengalami kekurangan oksigen. Ini seterusnya menyebabkan fungsi paruparu terjejas dan sistem pengaliran darah mengalami masalah. Ini mengakibatkan pelbagai penyakit.
 

Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman. Tumbuh-tumbuhan memerlukan udara dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Jika udara mengandungi bahan pencemar, ini mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Ini mengakibatkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokok-pokok dan tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan basil keluarannya akan terancam.
 

Selain itu, pencemaran udara juga memberi kesan kepada iklim global dan setempat. Pelbagai bahan kimia buangan seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida akan larut dengan wap air dan akan turun sebagai hujan asid. Hujan asid ini berbahaya kerana is akan mengalir dan meresap ke dalam tanah dan memusnahkan galian dalam tanah sehingga tanah menjadi tidak subur. Kehadiran bahan-bahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang memberi kesan menyeluruh kepada bumi.
 

Tidak ketinggalan, pencemaran udara juga memberi kesan kepada bangunan-bangunan. Bangunan-bangunan, khususnya yang diperbuat daripada batu kapur boleh mengalami keretakan dan roboh. Ini kerana bahan-bahan pencemar yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya akan lekat dan bertindak balas ke atas batu dan meretakkan bangunan. Bangunan-bangunan akan rapuh, terurai, lemah, pudar dan kotor. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk membaiki dan memulihkannya.
 

Di samping itu, pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita. Bahanbahan pencemar seperti CFC (kloroflora karbon) dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor. Ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Ini mengakibatkan kandungan karbon dioksida dalam udara meningkat serta memberi kesan rumah hijau dan kepanasan bumi akan meningkat. Penipisan lapisan ozon akan mengakibatkan sinar ultra-ungu menembusi atmosfera tanpa lapisan dan menjejaskan kesihatan manusia.
 

Kesimpulannya, memandangkan pencemaran udara ini memberi kesan menyeluruh kepada umat manusia, maka langkah-langkah menyeluruh perlu diambil. Undang-undang yang lebih keiat perlu digubal dan penguatkuasaannya perlu ditambah. Satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan.

Sumbangan Bidang Bioteknologi Terhadap Pembangunan Sektor Pertanian Negara Kita

05:14:00 0
Walaupun di negara yang maju dalam sektor pertanian, seperti Belanda, dan New Zealand, kajian bioteknologi telah berkembang pesat tetapi di negara ini bidang bioteknologi masih baharu dan memerlukan penekanan yang lebih. Bidang kajian ini ialah suatu bidang sains yang menggunakan bahan kajian bioteknologi untuk dimanfaatkan dalam pengeluaran industri. Sebagai contoh, penghasilan ubat-ubatan berasaskan hasil keluaran pertanian ialah daripada kajian dan penyelidikan dalam bidang bioteknologi. Memandangkan pertanian merupakan suatu bidang yang telah sekian lama kita usahakan maka peningkatan kajian bioteknologi memang bermanfaat bagi negara kita.

     Sumbangan kajian bioteknologi yang paling asas ialah penemuan baka ternakan dan benih tanaman yang lebih bermutu dan tahan rintang, yang dapat menghasilkan pengeluaran dengan lebih banyak, cepat, dan berkualiti tinggi. Banyak contoh yang dapat kita kemukakan dalam hal ini, misalnya hasil kacukan biri-biri Australia dengan kambing tempatan, hasil kacukan lembu tempatan dengan baka lembu dari New Zealand, dan penemuan benih limau dan belimbing madu, buah duku langsat serta buah-buahan yang lain. Penemuan baka dan benih baharu yang lebih baik membawa harapan yang cerah kepada pengusaha sektor pertanian untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam kegiatan ini. Perkembangan yang menggalakkan dalam sektor pertanian di negara ini akan dapat mengurangkan jumlah import bekalan makanan.

     Hasil kajian bidang bioteknologi juga dapat membantu kita menemukan produk-produk baharu bagi sesuatu hasil pertanian. Kalau hasil daripada kelapa sawit dapat kita keluarkab produk seperti minyak, susu, lilin, mentega, dan vitamin E, maka tidak mustahil hasil-hasil pertanian lain juga dapat kita manfaatkan untuk menghasilkan produk akhir yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. Dalam konteks ini, masih banyak lagi bahan pertanian did negara kita yang belum lagi kita kaji dengan mendalam, khususnya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Banyak pokok herba yang tumbuh liar di hutan di negara ini dipercayai boleh dijadikan asas rawatan sesuatu penyakit jika diproses secara saintifik. Penemuan produk baharu yang bernilai akan memberikan satu dimensi baharu kepada ekonomi negara kita.

     Selain itu, teknik penanaman moden juga dapat dihasilkan melalui kajian bioteknologi. Kaedah hidroponik dan earoponik misalnya tidak lagi asing kepada kita, sebaliknya kaedah ini sudah dimanfaatkan dengan agak meluas dalam kalangan petani moden di negara ini. Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan tanah dan hasilnya pula bermutu. Pada masa ini, satu lagi teknik pertanian yang terkini telah kita import dari Belanda. Teknik itu dinamakan teknik fertigasi dan teknik ini telah pun digunakan dengan jayanya dalam penanaman rock melon. Dengan menggunakan teknik ini, saiz dan kemanisan buah dapat dikawal melalui bekalan nutrien yang disediakn untuk tanaman. Teknik penanaman ini hanya memerlukan plastik yang dibubuh dengan air serta baja disamping penyiraman tanaman sebanyak 2 hingga 3 jam sehari. Buah-buahan musim sejuk dapat ditanam dengan menggunakan teknik ini.

     Baja, racun makhluk perosak, hormon dan ubat-ubatan tidak dapat kita nafikan kepentingannya dalam kegiatan pertanian. Pokok memerlukan baja dan racun makhluk perosak untuk tumbuh subur, manakala haiwan ternakan pula memerlukan hormon dan ubat-ubatan untuk membesar. Semuanya ini dapat dipenuhi dengan jayanya jika kita memanfaatkan kajian bidang bioteknologi. Bidang kajian bioteknologi dapat mengenal pasti nutrien yang diperlukan khusus oleh sesuatu tanaman, begitu juga dengan cara mengelakkannya daripada dimusnahkan oleh serangga perosak. Demikian juga dengan pengawalan tumbesaran haiwan. Pemakanan dan perawatan khusus dapat dikenal pasti melalui kajian bidang bioteknologi.

     Satu lagi sumbangan yang tidak dapat dikesampingkan ialah teknologi pemprosesan hasil pertanian. Hasil mentah pertanian mungkin tidak mempunyai nilai yang menguntungkan, tetapi dengan ciptaan teknologi tertentu, bahan tersebut dapat diproses tanpa menjejaskan mutunya atau dijadikan produk hiliran yang mempunyai nilai komersil. Sebagai contoh, buah pisang jika tidak diproses dan dibungkus dengan menggunakan bahan kimia tertentu, akan cepat masak dan busuk. Tetapi, dengan kajian yang dijalankan, pisang dapat dibungkus dengan kaedah tertentu dan tempoh masaknya lebih lambat. Selain itu, pisang juga dapat diproses menjadi produk lain, seperti kek, dan perasa aiskrim.

     Kerajaan kini memang jelas cuba mengubah perhatian masyarakat agar tidak lagi memandang rendah terhadap sektor pertanian. Pendedahan yang berkaitan dengan usaha kerajaan itu secara meluas membuktikan hal tersebut. Usaha tersebut memberikan nafas baharu kepada pengusaha sektor pertanian dan diharap kita dapat mengembalikan peranan sektor ini sebagaimana dahulu. Dengan demikian, usaha kerajaan itu perlu diberikan sokongan. Ini disebabkan negara kita memang pada asasnya ialah sebuah negara pertanian. Jika kita berjaya dalam bidang bioteknologi, bermakna masa hadapan kita bukan sahaja cerah dalam sektor pertanian malah juga dalam sektor hilirannya.

Langkah-Langkah Untuk Memartabatkan Seni Batik Di Negara

18:30:00 6
Peribahasa ada mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’, sifat ini ialah tabii manusia yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Nilai estetika yang terdapat pada batik sering kali di pandang sepi oleh segelintir masyarakat kita. Namun atas dorongan dan pelbagai strategi, kini batik mampu menandingi jenama terkenal di Negara kita. Jika kita menyingkap sejarah seni batik, kita dapat mengetahui batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia sejak berkurun lamanya. Kaedah pembuatan batik secara tradisional ditemui sejak abad ke 15. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan alat pengecop tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden.Batik sebenarnya berasal daripada perkataan Jawa iaitu ‘Tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Di samping itu batik juga membawa maksud melukis, menulis, dan juga mewarna. Industri batik di Malaysia dirintis pada tetapi dibangunkan semula selepas tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood . Pelbagai langkah proakatif perlulah diambil demi memastikan seni batik di negara dapat dimartabatkan dan mencapai zaman kegemilangannya kembali.

     Sebenarnya dalam menyingkap usaha yang dapat diambil untuk mengembalikan keagungan batik, kerajaan telah memainkan peranan yang cukup penting untuk memartabatkan batik di negara kita dan juga di seluruh dunia. Pada tahun 2003 kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Kerajaan juga telah menguatkuasakan peraturan baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan untuk memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan juga di majlis-majlis rasmi. Hal ini secara tidak langsung dapat melonjakkan lagi industri batik di negara kita. Di samping itu, Perbadanan Kemajuan Kraf Tangan dan Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia turut membantu untuk merealisasikan hasrat kerajaan. Perbadanan kemajuan Kraf Tangan telah berfungsi untuk membangun dan mempromosikan pengusaha dan industri kraf negara seperti industri batik. Pelbagai agenda dan program yang tersusun dan sempurna telah diadakan oleh perbadanan-perbadanan ini. Kraftangan Malaysia juga telah mengambil beberapa pendekatan dengan menyertai pameran perdagangan utama di beberapa negara seperti di United Kingdom, Hong Kong dan juga di Singapura. Kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates (UAE). Sememangnya kerajaan telah melakukan pelbagai strategi dan usaha untuk memartabatkan kembali industri batik bukan sahaja di negara kita bahkan di persada dunia.

     Seterusnya, untuk memartabatkan batik, kita juga perlu menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara agresif. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan juga institut pengajian tinggi swasta (IPTS) perlulah bijak dalam memainkan peranan untuk menaiktarafkan batik Malaysia. Pepatah ada mengatakan ‘ kalau tak dipecahkan ruyung, di manakan dapat sagunya” membenarkan lagi bahawa institut-institut pengajian tinggi perlulah berusaha melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik agar kita dapat menghasilkan pelbagai corak batik yang terkini di samping mendapatkan pasaran yang luas melalui tenaga yang mahir. Sebagai contoh, kewujudan Institut Kraf Negara telah dapat melatih pengusaha-pengusaha batik yang baru dan juga yang ingin menambah ilmu. Hal ini secara tidak langsung menjadikan Institut Kraf Negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir yang berteknologi tinggi. Di samping itu, IPTA dan juga IPTS perlulah menawarkan atau membuka jurusan kesenian batik dan warisan kebudayaan sebagai salah satu subjek yang boleh diambil oleh para pencinta seni warisan demi menaiktarafkan lagi industri batik dan kraf tangan di Negara kita. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan salah sebuah universiti yang menawarkan jurusan ini. Maka benarlah bahawa melalui peningkatan usaha penyelidikan dan pembangunan kita dapat memartabatkan lagi batik Malaysia.

     Di samping itu, program promosi dan pemasaran batik secara agresif dapat membantu menaiktarafkan batik kita secara meluas. Kerajaan turut mengambil langkah responsif dan drastik dalam mempromosikan batik ke seantero dunia. Pepatah ada mengatakan ‘ hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, setiap usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil yang cukup lumayan. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengadakan promosi secara berterusan di dalam dan di luar Negara. Baru-baru ini, batik Malaysia mula menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat untuk membuat pameran di pusat membeli- belah terkemuka dunia iaitu di Harrods,London. Promosi kraf Malaysia di Harrods telah membuka mata banyak pihak bahawa batik Malaysia sememangnya mempunyai nilai estetika yang cukup tinggi dan juga kelihatan mewah apabila digayakan di pentas peragaan. Selain itu, di bawah usaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara, banyak aktiviti promosi telah diaturkan seperti Program Promosi Antarabangsa bersama Kraftangan Malaysia Tahun 2009, Hari Kraf Kebangsaan 2009 dan lain-lain. Promosi dan jualan turut diadakan di pusat beli- belah, hotel, lapangan terbang, dan tempat-tempat lain. Pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004 berkat usaha dan dorongan Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood. Promosi dan pemasaran yang agresif sememangnya dapat menaiktarafkan batik Malaysia di seantero dunia.

     Selain usaha-usaha di atas, pengusaha batik perlulah memainkan peranan yang penting. Mereka perlulah berani melaburkan duit untuk dijadikan modal bagi perniagaan mereka. Di samping giat menjalankan perniagaan, para pengusaha batik perlulah rajin dalam menimba ilmu pengetahuan bak kata pujangga berkayuh sambil bertimba. Kini pelbagai jurusan dan kursus telah ditawarkan oleh pihak tertentu dan para pengusaha batik perlulah memanfaatkan peluang keemasan ini dengan sebaik yang mungkin. Pengusaha batik juga perlulah mewujudkan kesepakatan dan kerjasama dengan agensi kerajaan bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kesepakatan dan kerjasama yang baik dapat menghasilkan idea dan produk yang berkualiti dan bervariasi yang dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat. Misalnya, pengusaha-pengusaha batik boleh mewujudkan institut latihan batik dan juga syarikat pemasaran bersepadu bagi melatih tenaga-tenaga mahir. Hal ini secara tidak langsung dapat memartabatkan lagi batik kita melalui persaingan yang sihat antara pengusaha-pengusaha batik di negara kita.

     Kesimpulannya, seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi perlulah dipertimbangkan agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Mutiara berharga ini perlulah kita jaga agar kesenian dan keindahannya berkekalan hingga ke generasi seterusnya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun-temurun diberi nafas baru menjadi industri berdaya saing. Hal ini kerana,generasi muda akan datang dapat menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dapat menampilkan kebudayaan bangsa. Semoga warisan khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan disegani di peringkat antarabangsa. Jadi, semua pihak semestinya perlu bergabung tenaga dalam memartabatkan batik Malaysia ke seluruh pelosok dunia.

Usaha-Usaha Untuk Memartabatkan Batik Malaysia

18:26:00 0
Batik merupakan satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejarah mengatakan sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Perusahaan batik telah mula di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa ‘tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Selain itu, batik juga dikenali sebagai ambatik yang bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Industri batik di Malaysia dirintis oleh Su Ishak di Kelantan pada tahun 1911. Di alam Melayu pula, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenal sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.
 

Seni batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia. Walaubagaimanapun, industri batik ini mula merudum tetapi dimartabatkan semula pada tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood. Sememangnya, bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Justeru, langkah proaktif dan berterusan perlu diambil demi memartabatkannya kembali.
 

Dalam usaha memartabatkan industri seni batik di Malaysia, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Ungkapan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’ menggambarkan betapa pentingnya aktiviti promosi yang agresif untuk memperkenalkan seni batik kepada masyarakat di Malaysia yang semakin meminggirkan tradisi dan budaya. Hal ini demikian kerana masyarakat di negara kita kurang didedahkan dengan amalan tradisi mahupun kraf tangan yang menjadi warisan nenek moyang kita terdahulu. Kerajaan telah menguatkuasakan agenda baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan di majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, masyarakat kita akan membuka mata dan memikirkan signifikannya pewajiban pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan motif sebenar kerajaan menguatkuasakan peraturan ini.
 

Usaha kerajaan ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan Perbadanan Kemajuan Luar Malaysia demi merealisasikan hasrat yang sama iaitu mengembalikan keagungan seni batik. Institut Kraf Negara(IKN) merupakan salah satu agensi bagi membantu mencapai matlamat ini. IKN merupakan pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir berteknologi terkini, usahawan kraf dan menjadi pusat rujukan, penyelidikan serta pemuliharaan warisan negara. Dalam hal ini, IKN dapat membantu melatih pengusaha batik yang baru dan ingin menambah ilmu dalam industri ini. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates(UAE). Dalam erti kata lain, dengan adanya agenda kerja yang tersusun dan sempurna, misi memartabatkan seni batik ini pasti dapat dicapai.

Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, dimanakan dapat sagunya’ yang membawa maksud, tanpa usaha kita tidak akan dapat hasilnya. Dalam memartabatkan industri seni batik, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) haruslah giat dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam(IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta(IPTS) mestilah bijak mengambil langkah yang progresif demi membantu menaiktarafkan batik Malaysia. Misalnya, IPTA dan IPTS boleh memperkenalkan atau menawarkan matapelajaran seni kebudayaan batik kepada para pelajar di institut-institut tersebut. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan contoh universiti yang mempunyai fakulti seni tekstil ; di sini pelajar dilatih untuk menghasilkan batik. Di samping itu, IPTA dan IPTS juga boleh menganjurkan forum ceramah apresiasi batik dan pameran batik bertujuan untuk melahirkan pengusaha batik yang berkualiti dan mencambahkan kreativiti mereka dalam menghasilkan batik. Sekali lagi Institut Kraf Negara(IKN) memainkan peranan yang penting dalam melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik dan mengenal pasti corak batik terkini yang menembusi pasaran baharu. Jelaslah di sini bahawa usaha yang mapan dan agresif banyak membantu usaha memartabatkan dan mengglobalkan seni batik.
 

Selain itu, program promosi dan pemasaran yang agresif juga boleh melicinkan lagi usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan seni batik di Malaysia. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengambil langkah yang responsif dan drastik dengan mengadakan promosi yang berterusan di dalam dan di luar negara. Seni batik mula menapak di pasaran antarabangsa apabila batik menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat berpengaruh dan popular iaitu di Harrods,London. Pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ menggambarkan betapa keras usaha kerajaan dalam memurnikan usaha memartabatkan seni batik yang sangat bernilai ini.Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara turut memainkan peranan dengan mengadakan promosi dan jualan di pusat beli-belah, hotel, lapangan terbang, dan lain-lain tempat. Di samping itu, usaha Datin Seri Endon Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat melonjakkan industri batik di negara kita. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi memartabatkan industri batik negara kita.
 

Di samping usaha-usaha yang giat dilaksanakan, pengusaha batik turut memainkan peranan yang sangat penting. Pengusaha perlulah berani menanam modal demi menjalankan perniagaan mereka dan rajin menimba ilmu baharu seperti kata pepatah Melayu,’berkayuh sambil bertimba’. Selain itu, pengusaha juga boleh mengadakan kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha batik dan agensi kerajaan dengan mewujudkan institusi latihan batik. Usaha ini sememangnya dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat apabila terhasilnya batik yang berkualiti dengan wujudnya kerjasama yang dijalinkan.
 
Kesimpulannya, mutiara berharga seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi ini wajar dipertimbangkan supaya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pada masa hadapan, generasi muda akan datang menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dikekalkan untuk sekian lamanya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun temurun ini beralih kepada industri berdaya saing dan menampilkan kewibawaan bangsa. Semoga warisan tradisi khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa.