July 2014 - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Urus Niaga Dalam Talian

07:41:00 3
Perdagangan secara talian kini merupakan satu mekanisme baharu dalam urus niaga tanpa sempadan. Perdagangan secara talian kini semakin meningkat dari hari ke hari dalam kalangan rakyat di Malaysia. Namun, terdapat banyak kesan positif dan negatif yang timbul akibat urusniaga melalui sistem elektronik ini.

Salah satu kesan positif yang ketara dalam urus niaga tanpa sempadan ini adalah dapat memudahkan dan mempercepatkan urus niaga. Hal ini kerana urus niaga dan perkhidmatan e-dagang ini boleh diakses dengan mudah setiap masa dan di mana jua sama ada di pejabat, rumah dan sebagainya. Contohnya, urus niaga ini boleh dimulakan walaupun berada di rumah dengan adanya kemudahan mengakses internet.

Selain itu, urus niaga secara talian juga dapat menjimatkan masa dan tenaga kepada pengguna. Hal ini kerana pengguna tidak perlu berkunjung ke tempat yang jauh untuk membeli barangan keperluan sebaliknya pengguna hanya perlu memesan barangan atau perkhidmatan yang diperlukan melalui talian. Pengguna  juga dapat menjimatkan masa kerana setiap maklumat tentang pembelian secara talian telah disediakan. Segala pesanan dan pembayaran boleh dilakukan melalui internet atau talian elektronik yang lain.

Di samping itu, urus niaga elektronik dapat memudahkan pengeluar dan pengguna mendapatkan maklumat untuk membeli atau memasarkan sesuatu barangan. Hal ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk menghantar mesej-mesej pemasaran dan maklumat produk kepada pengguna multinasional di seluruh dunia melalui internet. Keadaan ini akan lebih memudahkan promosi sesuatu barangan. Pengguna juga akan memdapat maklumat yang tepat sebelum membeli sesuatu barangan.

Kesan negatif yang ketara dalam urus niaga secara talian adalah berlaku penyelewengan dalam urus niaga ini. Hal ini berlaku kerana pengguna atau pembeli mungkin ditipu dalam urus niaga ini. Contohnya, barang yang dibeli pengguna mungkin tidak wujud sama sekali. Seterusnya, barang yang dibeli secara elektronik tidak berkualiti dan mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.

Kesan negatif lain adalah berlaku ketidaktentuan trasaksi. Misalnya, akses internet  yang lambat di sesetangah kawasan menyebabkan pengguna sukar membuat tempahan atau pembelian. Barang yang dibeli pengguna juga kadangkala tidak sampai kepada pengguna seperti dalam terma dan syarat yang dipersetujui antara pengguna dan pengeluar. Senario ini akan menyebabkan sebilangan pengguna tidak berminat dalam urus niaga menggunakan akses internet ataupun e-dagang.

Kesimpulannya, urus niaga secara talian ini mempunyai kesan negatif dan positif yang tersendiri. Namun, jika dimanfaatkan dengan baik urus niaga ini dapat membawa produk dan imej negara ke persada antarabangsa serta mampu bersaing dalam ekonomi dunia tanpa sempadan. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk menggerekkan ekonomi negara agar lebih maju dan setanding dengan negara luar. 

Kepentingan Sukan Kepada Pelajar

08:31:00 0
Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, dimana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.

Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

Punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak

07:42:00 0
Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.
 

Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.
 

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.
 

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
 

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.
 

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.
 

Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.
 

Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.
 

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

Pencemaran Budaya Di Kalangan Remaja

12:04:00 0
Budaya dan adat resam nenek moyang kita telah tercemar dengan adanya golongan belia yang sama sekali tidak menghiraukan makna sesuatu budaya dan adat itu. Tidak hairanlah anak-anak muda zaman kini sudah pandai melanggar pantang larang seperti berani mengenakan pakaian ketat, mewarnakan rambut, bertindik dalam kalangan kaum lelaki dan sebagainya.
 
Pepatah melayu yang selalu diungkapkan dahulu iaitu “rambut sama hitam tapi hati lain-lain” sudah tidak boleh digunakan lagi kerana kebanyakan remaja sekarang ini baik lelaki ataupun perempuan sudah mewarnakan rambut mereka yang kononnya lebih menarik dan bergaya. Bermula dari sinilah budaya-budaya dan nilai-nilai kesopanan melayu semakin hilang. Apabila satu budaya asing telah menular ke dalam diri golongan remaja kini,mereka akan lebih mudah menerima masuk budaya-budaya kuning yang lain seiring dengan peredaran masa kerana mereka sudah menganggap budaya-budaya tersebut telah sesuai dn sebti dengan jiwa mereka yang selalu dahagakan sesuatu yang baru. Oleh itu,pelbagai jenis budaya yang tidak sihat telah menular masuk dalam kalangan masyarakat kita terutama sekali kaum remaja.

Budaya Pop

Berleluasanya budaya pop dalam kalangan generasi muda telah menjadi satu identiti untuk generasi tersebut terutamanya di Malaysia. Penularan masuk pelbagai budaya seperti budaya semacam mania yang memuja penyanyi-penyanyi pop terkemuka seperti Micheal Jackson, Madonna, Bruce Springsteen dan lain-lain di mana gambar-gambar dan poster mereka menghantui generasi muda zaman sekarang. Gaya berpakaian mereka juga sering ditiru sehinggakan terdapat pertandingan untuk meniru aksi-aksi penyanyi tersebut. Selain itu, fenomena ini berterusan dengan wujudnya pemujaan terhadap pelakon terkenal seperti Richard Gere, Tom Cruise, Julia Roberts dan lain-lain lagi telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan moden yang serba kompleks ini untuk generasi tersebut terutamanya di Malaysia.

Budaya Breakdance

Selepas itu,masyarakat kita dikejutkan lagi dengan “budaya breakdance” yang mengagungkan lagu-lagu dari dunia pop yang mengandungi senikata yang erotis dan mampu menaikkan nafsu para pendengar terutamanya golongan remaja. Contohnya: Girls, I wanna have some fun, Don’t stop till you get the enough, I can’t stand it no more” dan sebagainya. Tarian ini diiringi dengan lagu hip hop,rap atau lagu remix yang menjadikan para remaja hanyut dalam menghayati lagu tersebut ketika melakukan tarian ini. Mereka yang terlibat dalam tarian ini juga mementingkan gaya penampilan supaya sesuai dengan identiti yang mereka bawa iaitu tarian breakdance ini. Mereka memilih jenama seperti Adidas, Puma atau Fila untuk kasut yang mereka gunakan kerana dikatakan memiliki kelenturan tinggi.

Budaya Punk

Budaya punk adalah budaya yang berkembang daripada muzik rock punk yang bermula di New York, London dan kemudiannya tersebar serta menjadi popular pada tahun 1977 dalam kalangan remaja. Budaya ini berkembang melalui fesyen, muzik, seni, media dan kelakuan yang tersendiri yang biasanya mengejutkan, gelap dan berunsurkan pemberontakan pada sesuatu pihak. Muzik punk yang pantas, bingit dan kasar sememangnya mampu untuk untuk merosakkan akhlak remaja dan menggalakkan kegiatan jenayah berleluasa. Mereka yang terjebak dalam budaya ini memiliki penampilan yang berbeza-beza dan ada sebahagiannya berfesyen semata-mata untuk menunjukkan keberanian dan mengagungkan mesej punk mereka. Mereka mengenakan jeans dan pakaian yang telah dikoyak, boot Doc Martens, pakaian serba hitam, seluar ketat (skinny pants), rambut fesyen Mohawk, stail terpacak, dan juga rambut yang diwarnakan dengan pelbagai warna.Mereka juga mengenakan aksesori seperti rantai besi, gelang tangan spikes, lencana, symbol nazi, salib terbalik dan anarki, membuat tatu serta menindik badan mereka.

Budaya Black Metal

Budaya Black Metal adalah budaya yang bersendikan kepada pemujaan syaitan. Budaya ini diasaskan di barat yang terkenal dengan muzik yang berentak keras, bingit serta liriknya kasar, menjerit serta sebutannya tidak jelas. Mesej yang di bawa dalam lagu ialah menolak kewujudan Tuhan, menggalakkan seks rambang dan keganasan. Lirik lagu sememangnya liar dan ada yang mengatakan bahawa muzik ini adalah bunyi syaitan tetapi ia tetap indah pada pengikutnya. Pengikut budaya ini mengenakan pakaian yang serba hitam, membakar duit syiling 50 sen lalu digariskan di dagu dan mengenakan tatu bintang berbucu lima. Logo yang digunakan oleh mereka adalah berbentuk tengkorak yang sudah menjadi barang perhiasan yang dipakai oleh para pengikut kumpulan ini. Kumpulan ini juga diwajibkan menjalani upacara pemujaan syaitan, meminun darah kambing dan memakai salib yang diterbalikkan.

Budaya Rempit

Mat rempit dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah individu yang terlibat dalam perlumbaan haram yang kebiasaannya melibatkan motosikal yang dikenali sebagai kapcai atau skuter. Tidak semua golongan Mat Rempit ini terlibat dengan perlumbaan haram tetapi terdapat sesetengah dari mereka lebih suka untuk menunjukkan aksi-aksi yang membahayakan untuk keseronokan diri seperti wheelie, superman (berbaring diatas tempat duduk motosikal) wikang dan scorpion (berdiri diatas tempat duduk dengan satu kaki semasa melakukan aksi wheelie). Sesetengah mereka yangterlibat dalam gejala merempit ini tidak lagi mempunyai lesen yang sah, tidak membayar cukai jalan dan ada yang menunggang motosikal yang dicuri. Mereka juga mempunyai hubungan dengan kumpulan samseng, kumpulan perompak, pergaduhan, mencuri dan membuli golongan yang lemah.

Punca-Punca Berlakunya Pencemaran Budaya

a) Pengaruh persekitaran

  • Gaya fesyen yang ditonjolkan keterlaluan 
  • Kebebasan hidup dan kesibukan masyarakat sehingga tidak mempedulikan orang lain
  • Terdapat pelbagai pusat hiburan dan kelab-kelab malam
  • Pembudayaan barat dalam kalangan masyarakat muda
b) Kelemahan institusi keluarga
  • Remaja tinggal berjauhan dengan keluarga 
  • Ibu bapa terlalu sibuk dengan tugas sehingga mengabaikan tanggungjawab
  • Anak tidak mendapat asuhan dan kasih sayang
  • Alam rumah tangga tidak teratur
  • Perpisahan ibubapa
  • Keadaan sosioekonomi yang sempit
  • Ketidakupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anak
c) Kurangnya pendidikan dan penghayatan agama
  • Tekanan belajar 
  • Ibubapa kurang menitik beratkan hal pendidikan anak-anak
  • Pengabaian isu agama dalam kalangan pelajar itu sendiri
  • Kesedaran sivik dan akidah yang rendah
d) Pengaruh rakan sebaya
  • Golongan kawan yang tidak sesuai 
  • Kurang ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu
  • Pendedahan maklumat yang salah oleh rakan
e) Pengaruh media
  • Penyampaian maklumat yang tidak sesuai 
  • Ikon hiburan
f) Diri sendiri
  • Tiada keyakinan 
  • Mencari perhatian masyarakat dan keluarga
  • Kurang jati diri 
  • Iman tidak teguh 
Sumber