Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Cara Memupuk Budaya Sains Dan Teknologi Dalam Kalangan Pelajar

17:56:00 6
Ekoran kemajuan sains dan teknologi, terciptalah pelbagai alatan yang memudahkan urusan harian manusia.  Penciptaan kenderaan canggih membolehkan sesiapa sahaja bergerak ke sana ke sini dalam masa yang singkat.  Penemuan kaedah rawatan moden pula telah membantu pihak perubatan mengesan dan merawat penyakit dengan lebih berkesan. Walaupun kepentingan sains dan teknologi diakui, namun kesedaran orang ramai, khususnya pelajar tentang perkara ini masih kurang.  Sehubungan dengan itu, usaha untuk memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar perlu dilakukan.
 
   Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa hendaklah memperkenalkan “dunia sains dan teknologi” kepada anak-anak.  Selain memberitahu anak-anak tentang kepentingan budaya sains dan teknologi dalam kehidupan era moden, ibu bapa seharusnya membawa anak-anak mengunjungi pameran sains dan teknologi yang sering diadakan.  Tujuannya adalah untuk menanam minat anak- anak terhadap sains dan teknologi sejak awal lagi.  Bagi anak-anak yang menunjukkan minat mereka terhadap bidang ini, galakan hendaklah diberikan agar minat tersebut dapat disuburkan.

   Sesetengah pelajar beranggapan bahawa Sains merupakan mata pelajaran yang sukar dipelajari.  Oleh hal yang demikian, fobia terhadap mata pelajaran Sains perlu dihilangkan dalam diri pelajar.  Di sekolah, Unit Bimbingan dan Kaunseling harus mengadakan ceramah untuk membetulkan tanggapan tersebut.  Kesedaran tentang hal ini juga perlu diberikan kepada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).  Selain itu, pelajar yang telah berjaya dalam bidang tersebut boleh diundang untuk memberikan penjelasan kepada pelajar tentang perlunya budaya sains dan teknologi pada era globalisasi.  Langkah ini penting untuk membina keyakinan dalam diri pelajar bahawa sains dan teknologi mampu dipelajari oleh sesiapa sahaja.  

   Di sekolah, guru mata pelajaran Sains hendaklah memberikan penekanan kepada aspek amali dan penyelidikan, di samping penekanan terhadap teori.  Selain itu, pertandingan reka cipta sains perlu diadakan dari semasa ke semasa.  Aktiviti ini penting untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar.  Ganjaran yang setimpal perlu disediakan untuk menarik lebih ramai pelajar mengambil bahagian.  Usaha ini dipercayai dapat meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi, sekali gus memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara ini.
  
   Seterusnya, institusi pengajian tinggi pula hendaklah menawarkan lebih banyak kursus yang berkaitan dengan sains dan teknologi.  Dengan berbuat demikian, lebih ramai pelajar berpeluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang tersebut.  Pada masa yang sama, pihak institusi yang berkenaan hendaklah menyediakan kemudahan pembelajaran sains dan teknologi yang mencukupi untuk membolehkan pelajar mengikuti pengajian dengan berkesan.  Di samping itu, insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang tersebut wajar diberikan sebagai pendorong agar pelajar berusaha untuk menguasai bidang tersebut.  Oleh hal yang demikian, pihak institusi pengajian tinggi harus memikirkan pelbagai kaedah untuk menarik minat generasi muda dalam bidang sains dan teknologi.
 
   Di samping itu, Kementerian Pendidikan mengadakan Kempen Budaya Sains dan Teknologi dalam kalangan pelajar.  Sehubungan dengan itu, wacana ilmu yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi telah diadakan dari semasa ke semasa.  Sebagai contoh, aktiviti forum dan wawancara tentang sains dan teknologi diadakan sepanjang pelaksanaan kempen itu.  Selain itu, peraduan menulis esei, pidato, melukis poster, dan mencipta puisi yang bertemakan sains dan teknologi telah diadakan khusus untuk pelajar sekolah.  Kempen yang berterusan ini diyakini dapat memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara ini.
 
   Sesungguhnya, bidang sains dan teknologi banyak mendatangkan faedah kepada kehidupan manusia. Pelajar hendaklah memantapkan ilmu dalam bidang ini.  Selain itu, kesedaran semua pihak tentang kepentingan sains dan teknologi amatlah penting.  Dengan adanya kesedaran sedemikian, usaha pemupukan budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar akan mencapai matlamatnya.  Akhir kata, sama-samalah kita memainkan peranan dalam memartabatkan bidang sains dan teknologi demi kemajuan negara.  Sekian sahaja ucapan saya, terima kasih.

Fungsi Sukan Dalam Pembangunan Negara

03:23:00 2
Kebanyakan anggota masyarakat di negara ini meminati sukan. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan infrastruktur sukan kepada orang ramai.  Kini, padang permainan, dewan badminton, gelanggang olahraga, dan kemudahan sukan yang lain dibina di kawasan tertentu.  Kesediaan pihak kerajaan berbuat demikian adalah atas kesedaran bahawa sukan bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada individu tetapi juga memberikan sumbangan ke arah pembangunan negara.  

        Pakar-pakar kesihatan mengakui bahawa aktiviti sukan penting untuk kesihatan.  Hal ini dikatakan demikian kerana semasa bermain bola sepak, badminton, dan olahraga misalnya, semua organ dalam badan seseorang menjadi aktif.  Jantung akan berfungsi dengan baik. Pembakaran lemak juga berlaku dan badan akan mengeluarkan peluh.  Dengan demikian, masalah lebihan lemak dalam badan dapat dielakkan dan badan menjadi sihat.  Kesihatan fizikal akan mempengaruhi kesihatan mental individu.  Masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental dapat menjalankan tugas dengan baik dan seterusnya membantu pembangunan negara.   


        Masa lapang seseorang dapat dimanfaatkan dengan bersukan kerana aktiviti ini lazimnya dijalankan pada waktu yang terluang.  Dengan cara demikian, anggota masyarakat tidak membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah.  Golongan remaja tiada kesempatan untuk melepak, menganggotai kumpulan gangster, dan melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah.  Tegasnya, aktiviti sukan dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak muda, seterusnya dapat melahirkan golongan remaja yang berkualiti yang dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.  

        Sukan juga dapat memupuk persahabatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat di sesebuah negara.  Apabila sesuatu jenis sukan diwakili oleh peserta daripada pelbagai kaum, mereka sudah tentu akan bekerjasama dan saling membantu untuk mencapai satu matlamat, iaitu kejayaan.  Semasa berada dalam satu kumpulan, timbul perasaan kekitaan atau espirit de corp dalam kalangan mereka.  Semangat ini amat penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara kita.  Selain itu, perpaduan turut dapat disemai dalam kalangan penonton apabila mereka menyokong pasukan yang sama.  Nilai perpaduan ini menjadi landasan untuk rakyat membangunkan negara.   
  
        Apabila sesebuah negara terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf antarabangsa, negara yang berkenaan akan dikunjungi oleh pemain, pegawai, wartawan, dan penyokong dari pelbagai negara.  Mereka sudah tentu akan berbelanja sepanjang berada di negara yang berkenaan.  Pengaliran wang asing yang berlaku tentu sekali menguntungkan negara.  Apabila pulang, mereka akan mempromosikan tempat-tempat yang menarik di negara tuan rumah kepada rakan-rakan.  Dalam jangka panjang, situasi ini dapat memajukan industri pelancongan di negara yang berkenaan.  

        Selain itu, imej negara dapat ditingkatkan melalui sukan.  Hal ini dikatakan demikian kerana apabila sesebuah negara mengambil bahagian dalam sukan yang bertaraf dunia, nama negara yang berkenaan akan dikenali, apatah lagi sekiranya negara yang berkenaan mengungguli sesuatu permainan.  Sebagai contoh, negara Brazil sinonim dengan bola sepak dan Malaysia pula dikaitkan dengan kehebatan dalam sukan badminton.  Kejayaan sesebuah negara menganjurkan sukan yang bertaraf dunia turut mengharumkan nama negara. Contohnya, keupayaan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998 secara tidak langsung mencelikkan mata masyarakat antarabangsa tentang keupayaan negara kerdil ini menganjurkan sukan yang bertaraf dunia.
 
        Kesimpulannya, aktiviti sukan penting bukan sahaja untuk melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tetapi juga dapat membantu pembangunan negara, seterusnya meningkatkan imej negara.  Menyedari kepentingan inilah, setiap anggota masyarakat seharusnya menjinakkan diri dengan sukan yang sesuai dengan minat, kebolehan, dan keupayaan masing-masing.  Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar bersukan hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa.  Matlamat ini akan tercapai seandainya kita menghayati cogan kata “Majulah Sukan untuk Negara.”

Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya

03:13:00 0
Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia.  Perkhidmatan pengangkutan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa.  Di negara ini, terdapat beberapa jenis pengangkutan awam.  Antara perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi.  Sehingga kini, perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan masih belum memuaskan hati pengguna.  Baru-baru ini, saya sebagai Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk menjalankan satu kajian tentang kelemahan tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk mengatasinya.  Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut.

     Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah kenderaan awam di beberapa buah bandar di negara ini tidak mencukupi.  Di beberapa buah bandar kecil, hanya terdapat satu atau dua buah syarikat bas yang beroperasi.  Jangka masa pergerakan antara sebuah bas dengan bas yang lain agak panjang disebabkan masalah kekurangan bas.  Keadaan ini menyebabkan pengguna sering berebut-rebut untuk menaiki bas agar mereka tidak ketinggalan.  Sesetengah penumpang teksi pula sanggup menaiki teksi melebihi muatan yang dibenarkan agar mereka cepat sampai ke destinasi.  Selain tidak selesa, tindakan ini boleh membahayakan penumpang.

     Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang sempurna.  Sesetengah kenderaan tersebut tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik.  Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah.  Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik.  Sistem pendingin hawa yang digunakan pula kadangkala tidak berfungsi.  Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam.

     Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan.  Menurut pengguna, sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan alat tersebut rosak.  Segelintir kakitangan bas pula didapati kurang sopan apabila berurusan dengan penumpang.  Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain.

     Jabatan Pengangkutan Jalan hendaklah memperketat penguatkuasaan undang-undang tentang usia kenderaan awam di jalan raya.  Kenderaan yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun haruslah ditamatkan permitnya.  Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk menggantikannya dengan kenderaan yang baharu.  Bantuan yang sama hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang kenderaan awamnya didapati kurang elok.  Selain menjaga keselamatan pengguna, langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan tersebut.

     Bagi mengatasi masalah kekurangan kenderaan awam, pihak kerajaan seharusnya menambahkan pengeluaran permit kenderaan awam di negara ini.  Hal ini bertujuan untuk membolehkan lebih banyak kenderaan awam beroperasi.  Langkah ini penting untuk mengelakkan orang ramai berebut-rebut untuk menaiki kenderaan, terutamanya ketika menjelang musim perayaan.  Pertambahan pemilik kenderaan awam juga penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha.  Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan. 

     Kajian ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha yang terlalu mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak terjaga. Kelemahan tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam memahami bahawa mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial.  Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara ini dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan.

Amalan Gaya Hidup Sihat [ Syarahan ]

17:56:00 5
Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, dif-dif kehormat, rakan-rakan pelajar, dan hadirin sekalian, assalamualaikum dan salam sejahtera.  Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri kerana mengundang saya untuk memberikan ceramah bersempena dengan kempen Gaya  Hidup Sihat.  Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Amalan Hidup Sihat”.    

Hadirin sekalian, 
     Setiap individu ingin hidup sihat dari segi fizikal dan mental.  Seseorang dapat melakukan aktiviti harian tanpa gangguan dengan memiliki tubuh badan yang sihat. Walaupun begitu, matlamat tersebut tidak mudah dicapai sekiranya seseorang itu tidak mengamalkan gaya hidup sihat.  Bagi mencapai matlamat tersebut, setiap individu perlu melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan kesihatan, dan pada masa yang sama meninggalkan aktiviti yang boleh menjejaskan mutu kesihatan.   

     Antara usaha bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan mengamalkan pengambilan makanan seimbang.  Makanan yang dimakan hendaklah mengandungi zat yang secukupnya untuk mencegah seseorang daripada serangan penyakit. Seseorang yang tidak mengambil kira tentang pemakanan seimbang akan terdedah kepada risiko serangan pelbagai penyakit.  Misalnya, pengambilan gula dan kolestrol yang berlebihan akan memungkinkan seseorang diserang penyakit Diabetis dan menimbulkan masalah kepada fungsi jantung.  Rajah piramid pemakanan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan perlu dijadikan panduan untuk memastikan bahawa makanan yang dimakan itu mengandungi khasiat yang seimbang dan dapat menyihatkan badan.  

Hadirin yang dikasihi, 
     Aktiviti senaman amat penting untuk kesihatan seseorang.  Hal ini demikian kerana semasa bersenam, sebahagian besar organ dalam badan seseorang bergerak aktif.  Jantung akan berfungsi dengan baik untuk memastikan perjalanan darah menjadi lancar.  Di samping itu, pembakaran lemak dalam badan akan berlaku, sekali gus individu dapat mengatasi masalah lebihan lemak di dalam badan.  Ringkasnya, melalui senaman, badan menjadi lebih sihat dan otak menjadi cerdas.  Jika rakyat negara ini mengamalkan aktiviti senaman, tidak mustahil tahap kesihatan rakyat Malaysia akan meningkat. Oleh itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan aktiviti senaman hendaklah dipupuk.  

     Selain itu, penjagaan kebersihan juga merupakan salah satu amalan hidup sihat.  Orang ramai hendaklah memastikan bahawa tubuh badan, pakaian, makanan, dan persekitaran sentiasa bersih.  Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka daripada bermain di tempat yang kotor.  Mereka juga perlu memastikan bahawa kawasan di dalam dan di luar rumah berada dalam keadaan yang bersih.  Sampah sarap di persekitaran perlu dibuang di tempat pembuangan sampah atau ditanam.  Langkah ini dapat mengelakkan persekitaran daripada menjadi tumpuan bakteria atau serangga-serangga tertentu, terutamanya lalat, lipas, dan nyamuk.  
 
     Meskipun orang ramai diberitahu tentang bahaya merokok, permintaan terhadap rokok masih tinggi.  Masalah penyalahgunaan dadah pula masih berterusan.  Kedua-dua tabiat ini perlu dijauhi sekiranya seseorang ingin menikmati kehidupan yang sihat.  Hal ini demikian kerana perokok lebih terdedah kepada risiko diserang sakit jantung, kanser, dan katarak.  Gejala penyalahgunaan dadah pula mengundang pelbagai masalah dalam kehidupan seseorang.  Oleh itu, kesedaran orang ramai tentang bahaya tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah amat penting.  
 
     Setiap orang perlu mendapatkan rawatan doktor dengan segera apabila berhadapan dengan masalah kesihatan.  Pada kebiasaannya, orang ramai hanya menemui doktor apabila penyakit sudah serius.  Amalan sedemikian perlu diubah.  Orang ramai hendaklah menghayati ungkapan bahawa “mencegah penyakit lebih mudah daripada mengubatinya”.  Sehubungan dengan itu, orang ramai perlu sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit dan mengetahui tahap kesihatan mereka.  Tindakan yang lebih baik adalah dengan mendisiplinkan diri untuk mendapatkan rawatan kesihatan setiap enam bulan. Sekiranya saranan ini diikuti, sesuatu penyakit akan lebih mudah dicegah sebelum dirawat.  
 
Hadirin yang budiman,  
     Sebagai kesimpulan, kesedaran orang ramai tentang kepentingan kesihatan perlu ditingkatkan.  Langkah ini penting supaya setiap individu dapat mendisiplinkan diri, terutama dalam aspek pemakanan dan penjagaan kebersihan.  Tanpa kesedaran tersebut, orang ramai tidak akan mementingkan gaya hidup yang sihat.  Bagi menambahkan pengetahuan orang ramai tentang hal ini, panduan tentang penjagaan kesihatan perlu disebarluaskan.  Semoga “Amalan Hidup Sihat” yang kita perkatakan ini benar-benar menjadi realiti di bumi Malaysia.  Semoga rakyat Malaysia mementingkan gaya hidup sihat dalam menjalani kehidupan seharian.  Sekian, terima kasih. 

Contoh lain : 
  1. Amalan-Amalan Gaya Hidup Sihat Terhadap Remaja 
  2. Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat

Kerja Kursus Bahasa Melayu Penggal 3 (2013)

17:43:00 0

Kerja Kursus Bahasa Melayu Penggal 2 (2014)

17:43:00 1

Faedah-faedah Melancong dalam Negara Sendiri

00:08:00 1
Dewasa ini halwa telinga dan mata kita sering dihidangkan dengan pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat untuk melancong dalam dan luar negara. Persoalannya, apakah faedah melancong dalam negara sendiri?

     Pelbagai maslahat melancong dalam negara telah dikenal pasti. Salah satu daripadanya ialah semangat patriotisme dapat ditanam dalam sanubari setiap individu. Hal ini adalah kerana, apabila melawat tempat-tempat dan bangunan bersejarah seperti Chimney Labuan, bandar Melaka, Stadium Merdeka, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, secara tidak langsung semangat biar putih tulang jangan putih mata dapat dibangkitkan.Tambahan pula, lokasi sedemikian turut memaparkan penderitaan dan kepayahan hidup pada zaman penjajah. Tegasnya, semangat patriotisme pasti dapat disemai dengan melancong dalam negara sendiri.

     Selain itu, melancong dalam negara juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan antara anggota keluarga terutamanya mereka yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Secara logiknya, apabila melancong ke daerah atau negeri lain, kita pasti akan terus melawat ahli keluarga kita yang kebetulan menetap disana. Sambil menyelam minum air, jurang pemisah antara ahli keluarga pasti akan terhapus lantas memapankan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada. Jadi, terbuktilah bahawa melancong dalam negara sendiri dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan  seperti isi dengan kuku.

     Disamping itu, tidak dapat dinafikan bahawa melancong dalam negara juga dapat meningkatkan ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan. Dalam era modenisasi ini, negara acap kali berdepan dengan masalah kewangan. Oleh itu, dengan melancong dan seterusnya berbelanja dalam negara, secara tidak langsung perihal tersebut akan menyuntik pendapatan negara seterunya menambah aliran wang masuk negara. Pendek kata, sudah terang lagi bersuluh, dengan melancong dalam negara sahaja, kita turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

     Intihanya, melancong dalam negara mendatangkan pelbagai maslahat yang berguna untuk individu, komuniti waima bumi watan ini. Seruan kerajaan untuk menggalakkan kita melancong dalam negara tidak harus dipandang enteng agar kemajuan dan kemakmuran negara terus terjamin pada masa hadapan.


Sumber Esei