Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Perbezaan Sistem Kerajaan Pusat Dan Kerajaan Wilayah

20:40:00 0

Selepas pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam diperintah oleh para khalifah yang digelar Khulafa al Rasyidin yang meneruskan dasar pemerintahan dan pentadbiran baginda. Namun, terdapat juga penambahan dasar ekoran negara dan wilayah Islam yang semakin luas. Misalnya, pemerintahan terbahagi kepada kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Penggubalan dasar-dasar pada peringkat wilayah adalah selari dengan dasar peringkat pusat dan  diamalkan sehingga zaman kerajaan Uthmaniyah.
             
Kerajaan Khulafa al Rasyidin terbentuk secara rasmi pada 632M setelah Khalifah Abu Bakar al Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Turki Uthmaniyah pula diasaskan Uthman bin Ertughrul Sulaiman Shah pada 1280M. Pentadbiran kerajaan pusat mendominasikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran manakala kerajaan wilayah miliki kuasa autonomi yang terbatas.

Pada zaman Khulafa al Rasyidin, pentadbiran pusat berpusat di kota Madinah manakala untuk kerajaan Turki Uthmaniyah berpusat di Istanbul. Antara kerajaan wilayah zaman Khulafa al Rasyidin ialah Makkah, Baghdad dan Damsyik manakala kerajaan wilayah zaman Turki Uthmaniyah ialah Madinah, Makkah, Baghdad, Damsyik, Andalus dan Mamluk.
           
Kuasa tertinggi kerajaan pusat zaman Khulafa al Rasyidin ialah khalifah manakala ‘Amir’ mengetuai kerajaan wilayah. Khalifah dipilih melalui syura dan mereka memerintah berdasarkan hukum syariah berpandukan al Quran dan Sunnah. Pada zaman kerajaan Turki Uthmaniyah, kuasa tertinggi kerajaan pusat dipegang oleh Sultan manakala Gabenor atau Wazir mengetuai kerajaan wilayah. Sultan dipilih secara warisan manakala Gabenor wilayah dilantik oleh Sultan tanpa berdasarkan keturunan. Seperti khalifah, sultan memerintah berlandaskan syariah Islam  manakala Gabenor memerintah berasaskan panduan yang ditentukan oleh sultan.
              
Bagi kedua-dua kerajaan ini, kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan tentera semasa peperangan.
            
Kerajaan pusat akan memberi arahan kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan. Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala arahan kerajaan pusat. Khalifah dan Sultan berkuasa melantik dan memecat  Amir dan Gabenor/Wazir. Khalifah dan Sultan akan memerintah sehingga meninggal dunia.
           
Aspek ekonomi, politik dan sosial diuruskan oleh kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan wilayah yang merupakan bandar-bandar kecil perlu berganding bahu dengan kerajaan pusat demi menjamin keamanan, kemajuan dan keharmonian rakyat serta negara.

           Kesimpulannya, kerajaan pusat dan kerajaan wilayah mempunyai perbezaan dari pelbagai aspek. Namun kedua-dua bentuk kerajaan ini perlu saling bekerjasama bagi memastikan pemerintahan dan pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan selamat.

Sistem Pemilihan Khalifah

20:36:00 0
Khalifah merupakan satu jawatan memerintah negara Islam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat. Perkataan khalifah berasal daripada perkataan ‘khulafa’ yang bermaksud pengganti. Tugas dan tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul, cuma khalifah tidak diperlengkapkan dengan mukjizat dan wahyu. Dalam sejarah Islam, terdapat empat orang khalifah yang menerajui Khulafa al Rasyidin dan cara pemilihan mereka adalah berbeza.

     Kaedah pelantikan terawal yang digunakan ialah perundingan beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai musyawarah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak meninggalkan sebarang wasiat mahupun pesanan tentang calon pengganti sebelum baginda wafat. Baginda memberi kebebasan kepada umat Islam memilih calon khalifah sendiri bagi meneruskan pemerintahan negara Islam. Oleh itu, umat Islam telah mengadakan rundingan dan persetujuan tanpa menetapkan calon terlebih dahulu.

     Berpandukan pelantikan Saidina Abu Bakar al Siddiq yang pernah mengimamkan sembahyang sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. sedang uzur, para sahabat seolah-olah dapat meneka calon khalifah yang pertama. Kaum Muhajirin dan Ansar telah mewakili umat Islam berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah. Bagi mengelak perselisihan antara Muhajirin dan Ansar, Saidina Abu bakar al Siddiq mencalonkan Saidina Umar al Khattab mewakili Muhajirin dan Abu Ubaidah mewakili Ansar sebagai khalifah. Namun, kedua-duanya menarik diri malah mereka mencalonkan Saidina Abu Bakar al Siddiq sebagai khalifah. Akhirnya, Saidina Abu Bakar al Siddiq telah dibaiah dalam syura sebagai khalifah pertama.

    Cara pemilihan seterusnya ialah mengusul atau mencadangkan seorang calon. Khalifah sebelumnya mengusulkan nama calon dan akan dibawa ke musyawarah dalam Majlis Syura dan dibaiah umat Islam. Cara ini digunakan dalam proses pelantikan khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al Khattab. Bagi mengelakkan berulang kembali Gerakan Al Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq yang sedang gering telah mencalonkan Saidina Umar al Khattab sebagai penggantinya. Pencalonan ini telah dipersetujui umat Islam dan setelah bermusyawarah bersama para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura, Saidina Umar al Khattab telah dibaiah oleh umat Islam tanpa bantahan. Cara ini bukan berasaskan keturunan atau warisan.

     Kaedah seterusnya ialah mengusulkan beberapa orang calon. Khalifah terdahulu akan mencadangkan nama beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat untuk dipilih salah seorang daripada mereka. Khalifah Umar al Khattab yang sedang tenat akibat tikaman seorang keturunan hamba Parsi telah menyebut nama Saidina Uthman bin affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair al Awwam dan saad bin Abu Waqas. Puteranya sendiri iaitu Abdullah bin Umar al Khattab tidak dicalonkan. Musyawarah diadakan di rumah Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan tiga hari selepas kewafatan Khalifah Umar al Khattab, Abdul Rahman bin Auf dipilih mempengerusikan musyawarah memilih pengganti khalifah. Undian telah dibuat dan akhirnya Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi setelah empat orang calon menarik diri. Khalifah Uthman bin Affan memerintah sebagai khalifah ketiga dalam Khulafa al Rasyidin.

     Kaedah terakhir yang digunakan ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada 656M, berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan bakal khalifah seterusnya. Madinah ketika ini dikuasai pemberontak. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali bin Abu Talib sebagai pengganti khalifah sedangkan penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah manakala penduduk Kufah mencadangkan Zubair al Awwam. Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib dibaiah sebagai khalifah. Walaupun pada awalnya beliau menolak pelantikan itu, namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau menerima cadangan itu.

     Pemilihan dan perlantikan khalifah dijalankan dengan pelbagai cara. Walaupun begitu, terdapat persamaan dalam setiap cara tersebut iaitu kesemuanya berasaskan musyawarah dan persetujuan ramai. Ciri demokrasi ini amat ketara ditambah dengan kriteria pemilihan yang tidak berlandaskan keturunan.

Pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah

19:59:00 0
Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemerintah pertama di negara Islam Madinah. Baginda memerintah berteraskan wahyu Allah SWT selain mengamalkan konsep musyawarah dengan para sahabat dan menggubal Piagam Madinah. Baginda amat menegaskan perasaan taat setia dalam kalangan umat Islam bagi menggantikan semangat assabiyah dalam kabilah-kabilah.

    Pemerintahan di Madinah bersifat negara kota. Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan asas pemerintahan mengikut pengurusan dan pentadbiran Islam yang sebenar. Piagam Madinah yang digubal mengandungi 47 fasal yang menjelaskan perkara-perkara berkaitan umat Islam dan bukan Islam. Piagam ini telah menjadi teras peraturan hidup masyarakat Madinah yang berbilang kaum.

    Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga telah menubuhkan Majlis Syura bagi menggubal dasar pemerintahan negara yang berteraskan al Quran dan Sunnah. Majlis ini dianggotai sebilangan sahabat paling kanan yang pakar dalam bidang tertentu. Baginda juga mengamalkan sistem perundangan yang berteraskan al Quran dan sunnah. Bagindalah hakim yang dilantik pada peringkat suku kaum.

    Seterusnya baginda membentuk satu dasar diplomatik dengan menjalin hubungan dengan negara luar. Memandangkan wilayah Islam semakin meluas, para ‘amir’ telah dilantik untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, Uthman ibn Abi al-As dilantik sebagai ‘amir’ di Taif.

    Nabi Muhammad s.a.w. juga  membentuk pentadbiran berasaskan empat dasar iaitu mengukuhkan semangat akidah bagi menggantikan semangat assabiyah, menjadikan Islam sebagai landasan peraturan masyarakat, mengamalkan kaedah musyawarah dalam pentadbiran dan memperkenalkan Piagam Madinah. Dasar ini menjadi panduan masyarakat Islam untuk memperoleh kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan.

    Kebijaksanaan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membina sebuah masyarakat yang bersatu serta mewujudkan kestabilan politik selain membina negara Islam yang kukuh, aman dan berdaulat

Perkembangan Masyarakat Islam di Makkah dan Madinah

19:53:00 0
Perkembangan masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah melalui pelbagai tahap yang mencabar seawal perkembangan penyebaran Islam di Makkah sehinggalah terbentuknya negara Islam Madinah. Tahap di Makkah lebih sesuai dianggap dalam proses pembinaan masyarakat Islam manakala di Madinah lebih kepada tahap pembentukan dan penyatuan ummah.

   Di Makkah, usaha pembinaan masyarakat Islam oleh Nabi Muhammad s.a.w. berlangsung selama 13 tahun melalui aktiviti dakwah. Setelah berdakwah secara sulit selama tiga tahun, hanya beberapa orang sahaja memeluk Islam termasuk isteri baginda, Siti Khadijah. Dakwah secara terbuka dijalankan setelah baginda menerima wahyu agar berbuat demikian. Bapa saudara baginda iaitu Abu Lahab merupakan orang pertama menentang secara tegas. 

   Pelbagai usaha dilakukan kaum Quraisy Makkah untuk menghalang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Contohnya, mereka meminta Abu Talib menasihati baginda agar menghentikan dakwahnya tetapi gagal. Kaum Quraisy Makkah kemudiannya mula bertindak ganas terhadap umat Islam Makkah. Bagi menangkis penindasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan umat Islam berpindah ke Habsyah secara sulit. Kaum Quraisy telah menghantar wakil menemui Raja Habsyah agar menghantar pulang umat Islam namun tidak diendahkan oleh Raja Habsyah. Tindakan Umar al Khattab memeluk Islam, memberi tamparan hebat kepada kaum Quraisy sehingga mereka mula memulaukan Bani Hasyim dan Bani Mutalib.

   Terdapat beberapa faktor kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Antara faktor tersebut ialah mereka ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh serta menganggap persamaan taraf yang disyorkan Islam bertentangan dengan amalan tradisi mereka. Selain itu, mereka juga ingin mempertahankan warisan nenek moyang mereka iaitu mengukir patung berhala. Kaum Quraisy juga sebenarnya takut dengan hari kiamat, hari pembalasan selain berasa iri hati dengan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. 

   Usaha membentuk masyarakat Islam di Madinah amat mencabar kerana penduduknya terdiri daripada bangsa Arab dan bukan Arab. Penduduk asal berbangsa Arab iaitu kaum Aus dan Kahzraj. Bangsa bukan Arab pula ialah orang Yahudi seperti Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Kemuncak permusuhan antara Aus dan Khazraj ialah tercetusnya Perang Bu’ath yang mengorbankan banyak jiwa. Perbalahan antara mereka telah melemahkan ekonomi dan politik sehinggakan kaum Yahudi mengambil kesempatan di atas mereka.

   Aus dan Khazraj telah pergi ke Makkah untuk menyelesaikan pertelagahan mereka. Pertemuan dengan Nabi Muhammad s.a.w. telah melahirkan Perjanjian Aqabah 1 pada 621M dan Perjanjian Aqabah II pada 622M. Perjanjian Aqabah II telah merintis jalan ke  arah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam ke Madinah. Penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin berasaskan iman, taqwa dan persaudaraan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.  Baginda juga berusaha menyelesaikan isu sosial dan ekonomi Muhajirin. Golongan Ansar telah membantu Muhajirin dengan penuh keikhlasan.

   Konsep satu ummah yang disebut dalam Piagam Madinah juga diperkukuhkan. Piagam ini mewajibkan setiap umat Islam bekerjasama menegakkan amal kebaikan, mencegah kemungkaran, tidak membiarkan saudara seagama terbeban hutang serta menegah berpihak kepada orang kafir untuk memusuhi Islam. 

   Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang unggul dan bijaksana telah berjaya mengembangkan masyarakat Islam sehingga menjadi ummah yang berjaya membentuk negara Islam Madinah. Negara Islam akhirnya mampu menghadapi pelbagai cabaran musuh sama ada dari dalam atau luar negara. Tidak hairanlah jika ramai yang berpendapat bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul. 

Ciri Kepimpinan Nabi Muhammad

19:45:00 0
Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke Madinah.

    Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan dan digantikan dengan ekonomi Islam.

    Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang Khandak.

    Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.  juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.

    Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.

    Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh baginda.

     Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.

Peranan Perlembagaan Madinah Yang Digubal Pada Tahun 622M

19:42:00 0
Piagam Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di dunia. Ia digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan wahyu yang diperturunkan oleh Allah s.w.t. Piagam yang mengandungi 47 fasal merupakan satu langkah mendirikan negara Islam di Madinah. 

    Piagam Madinah merupakan batu asas pengiktirafan penduduk bukan Islam terutamanya masyarakat Yahudi ke atas negara Islam. Penggubalan Piagam Madinah membolehkan  Nabi Muhammad  menubuhkan negara Islam Madinah yang berdaulat dan diiktiraf oleh semua kaum termasuk Yahudi. Baginda kemudiannya diiktiraf  sebagai ketua negara dan berperanan menyelesaikan sebarang perbalahan  di Madinah. Baginda berjaya menyelesaikan masalah perkauman.

    Selain itu, Piagam Madinah juga merupakan asas kepada penyatuan  penduduk Madinah. Penduduk Madinah terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi. Piagam Madinah ini membolehkan penduduk berbilang kaum di Madinah hidup aman dan damai. Hal ini demikian kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan beragama, berfikir, berkerja selain menekankan konsep keadilan selain menolak diskriminasi kaum. Sikap saling menghormati antara satu sama lain amat ditekankan bagi mengelakkan permusuhan.

    Selain itu, Piagam Madinah membolehkan sistem perundangan Islam diamalkan oleh semua penduduk Madinah. Baginda telah menubuhkan sistem kehakiman dan keadilan yang sistematik. Sebagai contoh, hukuman terhadap pesalah dilakukan dengan adil tanpa mengira kaum. Pada masa yang sama, peraturan dalam sesebuah kabilah tidak dihapuskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dari segi ekonomi pula, unsur penipuan dan dan riba dihapuskan. Semua penduduk Madinah diberi peluang yang sama dalam bidang ekonomi.

    Piagam Madinah turut menekankan keselamatan  negara Madinah. Semua penduduk Madinah diseru untuk mempertahankan Madinah dari sebarang ancaman luar. Keselamatan dan kesejahteraan penduduk bukan Islam iaitu kaum Yahudi dijamin selagi mereka mematuhi Piagam Madinah. Piagam Madinah amat menekankan konsep bersatu dalam menentang musuh yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara Madinah.

    Penggubalan Piagam Madinah oleh Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu langkah bijak dalam mewujudkan perpaduan penduduk Madinah. Madinah akhirnya muncul sebagai sebuah negara Islam yang bukan sahaja kuat tetapi turut dihormati oleh negara luar.