Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Mengisi Masa Lapang

12:29:00 0
Pada zaman ini,segala kelengkapan telah dinaik taraf dan pembangunan serta ekonomi semakin maju setaraf dengan negara luar.Kemudahan infrastruktur telah dipelbagaikan demi mencapai keselesaan rakyat Malaysia.Malaysia turut memajukan sistem teknologinya yang mampu untuk berdaya saing dengan negara yang hebat seperti sistem teknologi di Amerika Syarikat dan di Jepun.Namun,disebalik pembangunan negara yang semakin pesat ini,masih ada lagi golongan remaja yang berfikiran sempit dang sering kali melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat.Masa lapang sepatutnya terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan masa amatlah penting bak kata pepatah ‘Masa Itu Emas’.Masa tidak sepatutnya terbuang begitu sahaja kerana masa yang terbuang tidak mungkin boleh diulang.
 
      Pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk mengisi masa lapang antaranya ialah dengan beriadah.Dengan beriadah,seseorang remaja itu dapat mengekalkan kekuatan dan kesihatan tubuh badan.Sekiranya badan kuat dan sihat,golongan remaja dapat memberi bantuan dalam bentuk tenaga kerja seperti membantu ibu bapa dan keluarga dalam menguruskan hal di rumah dan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa.Selain itu,sikap tanggungjawab dan bekerjasama dapat disemai dalam diri setiap remaja dan melahirkan keluarga yang bahagia dan harmoni.

      Seterusnya,golongan remaja boleh mengisi masa lapang dengan menimba ilmu yang merangkumi pelbagai bidang tidak kira samada di sekolah,kelas tambahan,kolej mahupun hanya di rumah.Dengan cara ini,masa lapang dapat digunakan dengan penuh manfaat.Remaja boleh mengisi masa lapang dengan membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan ilmiah dan bukan bahan bacaan yang mengandungi hiburan semata-mata.Sekiranya remaja rajin menimba ilmu,nescaya banyak pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh.Golongan remaja yang seperti ini akan dihormati dan disenangi oleh ahli keluarga dan masyarakat.

      Selain itu,remaja perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang sering kali dianjurkan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak yang mewakili kebajikan masyarakat.Hal ini dapat meningkatkan serta mengukuhkan ikatan ukhwah sesama anggota masyarakat dan mengeratkan perpaduan dalam negara.Golongan remaja boleh mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan yang membantu mereka yang susah terutamanya mangsa bencana alam.Golongan remaja perlu menjadi pelapis bagi generasi yang prihatin akan kesusahan dan kesempitan hidup orang lain.

     Remaja juga boleh melibatkan diri dengan kerja-kerja sampingan dan mengambil upah bekerja bagi menambah wang perbelanjaan.Remaja juga boleh menyimpan wang yang diperoleh di dalam akaun simpanan untuk kegunaan masa hadapan.Dengan ini,beban yang ditanggung oleh ibu bapa dapat diringankan.Wang yang diperoleh juga boleh digunakan untuk tujuan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang tertentu di samping dapat merehatkan serta menenangkan fikiran.Selain itu,dengan aktiviti lawatan yang dijalankan remaja dapat menambah ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman serta menyemai semangat patriotik dan cinta akan alam sekitar.

     Konklusinya,setiap remaja mesti bijak membahagikan masa agar masa tidak terbuang begitu sahaja. Remaja yang tidak menghargai masa akan merugukan diri sendiri dan mudah terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat.

Kepentingan Menguasai Bahasa Inggeris

12:25:00 2
 
Dalam mengejar era globalisasi ini, pelbagai kemahiran harus dikuasai oleh individu bagi melonjakkan kecemerlangan masing-masing ke peringkat antarabangsa. Adakah anda pernah memikirkan persediaan kita sebagai warganegara Malaysia yang tercinta ini untuk bersaing dengan masyarakat seantero dunia?Adakah pencapaian kita yang sedikit ini mampu menyaingi mereka? Sebenarnya, antara isu yang diketengahkan dan diuar-uarkan oleh pemimipin kita, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ialah kita harus sentiasa berusaha untuk memperkenalkan negara di persada antarabangsa. Oleh itu, setiap individu perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bahasa ini merupakan bahasa kedua yang digunakan di kebanyakan negara dan merupakan lingua franca masyarakat antarabangsa. Malangnya,majoriti masyarakat luar bandar negara kita tidak fasih berbahasa Inggeris. Golongan ini tidak membiasakan diri mereka menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan harian kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua. Sesungguhnya, mereka sedar akan penguasaan bahasa Inggeris pada abad kedua puluh ini amat penting kerana faedahnya banyak dan kepentingannya tidak dapat dinafikan.
    Antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris ialah peluang pekerjaan terbuka luas. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan di seluruh dunia. Jadi, bahasa Inggeris ini diterima dan digunakan oleh semua negara di dunia. Hal ini membuktikan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, peluang pekerjaan yang terbuka bukan hanya di negara kita malahan juga pada peringkat antarabangsa. Tambahan pula, pekerjaan merupakan satu keperluan terutamanya semasa kegawatan ekonomi melanda dunia ini. Kita pernah dikejutkan dengan berita isu pengangguran yang semakin meningkat di negara kita, iaitu mencecah angka    80 000 orang. Dengan penguasaan bahasa Inggeris yang mampan, sudah tentu kita tidak akan bermasalah untuk mendapat pekerjaan yang berprestij terutamanya dengan pihak swasta. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain seperti akuantan, doktor, peguam, dan pensyarah. Malahan, ahli-ahli politik, iaitu barisan pemimpin negara turut mrengutamakan bahasa Inggeris kerana bahasa inilah yang digunakan ketika menyampaikan ucapan supaya dapat menyakinkan pemimipin-pemimpin dunia, di samping memperoleh penghormatan dalam arena antarabangsa. Jadi,penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dibiasakan sejak kecil lagi seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sekiranya bahasa ini boleh kita kuasai dengan baik, nescaya peluang pekerjaan akan sentiasa menanti.

     Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementeriaan Pelancongan, lebih kurang 22.9 juta orang pelancong menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pada tahun 2008. Hal ini berikutan sikap rakyat Malaysia yang pandai berkomunikasi, selain mempunyai lokasi-lokasi pelancongan yang unik dan menarik.Di samping itu, majoriti rakyat Malaysia di bandar menguasai lingua franca ini, iaitu bahasa Inggeris. Hal ini secara tidak langsung memudahkan komunikasi antara pelancong dengan rakyat Malaysia itu sendiri. Sebagai contoh, pemandu pelancong yang menguasai bahasa inggeris dapat menerangkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di Malaysia kepada pelancong asing sekali gus membuatkan pelancong asing memahami dan mengetahui keunikan Malaysia.Hal ini demikian kerana Malaysia banyak mempunyai tempat yang bersejarah seperti Kota A Famosa dan makam-makam pahlawan. Di samping itu, rakyat Malaysia, terutamanya peniaga berpeluang untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia kepada pelancong asing yang datang secara berterusan, bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”. Pelancong asing dapat mengetahui keunikan dan nilai estetika hasil kraf tangan yang terdapat di negara kita seperti bakul rotan, batik dan barangan tembaga. Dengan itu, terbuktilah bahawa penggunaan bahasa Inggeris memberikan impak yang besar terhadap penigkatan pendapatan dalam industri pelancongan.

      Selain itu, dunia ekonomi dan perdagangan sekarang lebih menekankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan. Interaksi dalam kalangan pelabur dari seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, kebanyakan mesyuarat yang dilaksanakan dalam sesebuah syarikat perdagangan bertaraf antarabangsa menggunakn bahasa Inggeris. Sebagai sebuah negara yang membangun, kegiatan perdagangan antarabangsa sememangnya penting bagi menjamin kemajuan negara supaya terus membangun dan dikenali sepanjang zaman, bak kata pepatah, “tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas”. Jadi, sebgai warganegara yang bertangungjawab, kita perlu mempelajari dan menguasai bahasa ini kerana hal ini akan memudahkan kita untuk bersaing dalam arena perdagangan dunia yang serba mencabar. Sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris, tidak mungkin Malaysia akan tersenarai sebagai negara yang giat membangun. Kesimpulannya, jelaslah bahawa bahasa Inggeris amat penting dalam urusan perdagangan dan pembangunan ekonomi.

     Seterusnya, penguasaan bahasa Inggeris memberi ruang kepada kita untuk meninggikan martabat bangsa. Hal ini demikian kerana apabila kita petah berbahasa Inggeris, kita akan lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Seiring dengan arus pemodenan antarabangsa, bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa perantaraan seantero dunia. Dengan menguasai bahasa Inggeris, kita dapat melontarkan idea atau komen yang bernas ketika menghadiri persidangan antarabangsa. Sebagai contoh,ketika di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri kita, beliau fasih berbahasa Inggeris sehingga dapat menyuarakan buah fikiran kepada masyarakat dunia. Hal ini telah membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia yang mampu “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi”dengan negara maju yang lain. Dengan ini,masyarakat dunia telah menaruh kepercayaan terhadap Malaysia dan secara tidak langsung melonjakkan martabat bangsa di persada dunia. Sekiranya isu penguasaan bahasa Inggeris ini hanya dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia, nescaya kita akan menerima nasib yang sama dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Negara-negara ini tetap dipandang rendah di mata dunia walaupun telah memiliki tahap teknologi yang lebih tinggi daripada Malaysia. Hal ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahas IIggeris yang masih di takuk lama. Jelaslah bahawa bahasa inggeris merupakan aspek terpenting dalam menaikkan martabat bangsa bagi sesebuah negara.

      Ramai bersependapat bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana banyak terdapat sumber rujukan yang telah ditulis dalam bahasa Iinggeris kerana masyarakat Barat menggunakan budaya dokumentasi. Sehubungan dengan itu, kita dapat meneroka dan berkongsi lebih banyak ilmu dengan negara lain di dunia. Di samping perkongsian ilmu, kita juga boleh mendapatkan ilmu melalui internet dengan mudah sejajar dengan perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan. Para pelajar di seluruh dunia boleh mendapatkan ilmu dengan pantas kerana maklumat berada di hujung jari. Sebagai contoh, di Malaysia kini, Kementerian Pelajaran telah mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa inggeris. Sekiranya masalah penguasaan bahasa Inggeris berlaku, pasti pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran. Dengan itu,tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris perlu di kuasai kerana bahasaInggeris merupakan bahasa ilmu.

     Pada masa yang sama , bahasa Inggeris perlu dikuasai sebaik-baiknya memandangkan bahasa ini merupakan bahasa perhubungan bertaraf dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila Malaysia juga sudah mula menitikberatkan pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sitem persekolahan dan kadang-kadang sebagai bahasa pertama di institut pengajian tinggi kerana bahasa Inggeris merupaka lingua franca yang digunakn secara meluas pada peringkat antarabangasa. Selain itu,individu yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik tidak akan berasa janggal sekiranya terpaksa berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, situasi ketika berurusan dengan pelancon asing mahupun ketika berada di rantau orang dan tidaklah menjadi “seperti rusa masuk kandang”. Mari kita ambil contoh apabila kita menjadi duta kecil bagi memperkenalkan negar kita di persada dunia, secara tidak langsung kita akan mempamerkan budaya rakyat Malaysia yang berilmu. Sekiranya Masyarakat bersikap acuh tidak acuh akan pentingnya penguasaan bahasa ini, nescaya rakyat Malaysia tidak mampu bersaing pada peringkat antarabangsa. Pendek kata, bahasa Inggeris perlu dikuasai dengan sewajarnya supaya kita dapat berinteraksi dengan lebih mantap.

Punca-punca Tabiat Merokok dalam Kalangan Wanita

12:22:00 2
Bahaya dan keburukan merokok kerap diperkatakan,tetapi tabiat merokok ternyata semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.Dahulu hanya kaum lelaki sahaja yang mengamalkan tabiat merokok, tetapi tabiat ini sudah menular dalam kalangan wanita dan remaja wanita. Malah,yang membimbangkan ialah peningkatan perokok dari semasa ke semasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.. Peningkatan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan lelaki, malah berlaku dalam kalangan kaum wanita semenjak kebelakangan ini. Statistik tidak rasmi Kementerian Kesihatan pada tahun lalu menunjukkan bahawa peratus remaja wanita merokok ialah lapan peratus berbanding pada tahun-tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan tiga peratus sahaja.Jumlah perokok wanita dan remaja wanita tidak mustahil akan meningkat pada tahun yang akan datang jika tidak ada usaha untuk menangani masalah ini Apakah alasan dan sebabnya semakin ramai wanita di negara ini merokok? Inilah persoalan yang perlu kita bincangkan sekarang.

Apabila tinjauan secara rambang dibuat dalam kalangan perokok wanita, kebanyakan mereka mengatakan bahawa merokok menjadi salah satu cara mengatasi tekanan dan ketegangan yang dihadapi oleh mereka. Tabiat merokok dianggap oleh mereka sebagai cara yang paling mudah dan berkesan untuk menyelesaikan masalah itu. Bagi mereka, setiap hembusan asap rokok seolah-olah satu masalah yang membebani mereka menghilang. Hal ini demikian kerana nikotina yang terkandung di dalam rokok itu mematikan akal mereka, tetapi perkara ini hanya sementara semata-mata. Oleh sebab itu, mereka menghisap rokok ini dengan kerap dan kuantiti yang banyak. Seterusnya, hidup mereka akan terus dibelenggu oleh rokok. Dengan ini, jelaslah bahawa alasan wanita merokok adalah untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi.

Di samping itu, ada juga mereka yang berpendapat bahawa tabiat merokok tidak lebih sebagai satu keperluan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran tempat dan rakan-rakan yang didampingi oleh mereka. Bagi mereka, mereka merokok hanya untuk suka-suka supaya diri mereka diterima oleh kelompok tertentu dan tidak terasa dirinya disisih disebabkan mereka tidak merokok. Pada hakikatnya, mereka lupa bahawa merokok ini menyebabkan mereka akan ketagih. Sebagai contoh, setiap kali mereka berjumpa dengan kawan-kawan mereka, mereka akan merokok. Semakin kerap mereka berjumpa, semakin banyaklah rokok yang akan disedut. Jadi, tidak hairanlah sekiranya peratusan perokok wanita semakin meningkat saban hari.

Sementara itu, kebanyakan perokok remaja yang masih berusia belasan dan awal dua puluhan tahun pula memberitahu bahawa tabiat merokok mampu membantu mereka untuk menjaga dan mengawal berat badan. Pengaruh rakan-rakan yang mengatakan bahawa berat badan dapat dikawal menerusi tabiat merokok menyebabkan semakin ramai remaja wanita yang berani untuk cuba menghisap rokok. Kesan sampingan tidak difikirkan oleh mereka, tetapi yang lebih penting bagi mereka adalah untuk memiliki bentuk badan yang ramping dan cantik. Apatah lagi pada peringkat usia ini, masing-masing gemar bersaing dan cuba menarik perhatian orang lain. Hal ini menunjukkan kita bahawa mereka gemar membuat sesuatu perkara tanpa memikirkan baik dan buruknya benda tesebut.

Hasil kajian sains juga mendapati bahawa wanita lebih mudah ketagih berbanding dengan lelaki dan lebih sukar untuk berhenti apabila ketagih. Hal ini menjadi lebih sukar lagi sekiranya wanita itu mula menghisap rokok pada usia muda.Kebanyakan perokok yang menghisap rokok jenis kadar nikotin rendah biasanya mengatakan bahawa mereka senang untuk berhenti merokok. Sebaliknya, jika kita berfikir dari segi logik, orang yang merokok sama ada yang mempunyai sedikit nikotin atau banyak nikotin boleh memberikan kesan buruk. Dalam konsep kesihatan, tidak ada rokok yang selamat seperti pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia di setiap kotak rokok Merokok Membahayakan Kesihatan. Tidak mustahil individu yang menghisap rokok dengan kadar nikotin rendah akan mengambil lebih banyak rokok pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh setiap individu supaya tidak terjebak dengan tabiat merokok ini

Terdapat juga perokok yang memberikan alasan kononnya merokok boleh memberikan sumber ilham dan menghilangkan ketegangan. Hal ini tidak benar kerana perokok berkenaan menanam dalam fikiran mereka sendiri bahawa perkara itu boleh berlaku. Pada peringkat awal, jika seseorang yang tidak pernah merokok, apabila merokok, maka nikotin dalam rokok berkenaan akan merangsang fikirannya, tetapi lama-kelamaan, nikotin tadi sama juga seperti dadah yang lain akan menjadi immun kepada perokok berkenaan. Contohnya, kalau hari ini mereka mengambil sebatang rokok dan terasa nikmatnya, maka lama-kelamaan keperluan itu meningkat menjadi dua batang, sebatang rokok sudah tidak terasa apa-apa lagi. Hal ini berlaku kerana apabila nikotin dihisap semakin banyak, maka rangsangan akan berubah menghambat dan menghalang serta menjadikan perokok berkenaan mula ketagih pada peringkat ini.

Kesimpulannya, bagaimanakah caranya untuk berhenti daripada merokok? Individu yang sudah berhenti merokok selama sekurang-kurangnya setahun boleh menghentikan terus tabiat itu. Walau bagaimanapun,hal ini bergantung pada persekitaran, hubungan dengan rakan-rakan dan kebosanan yang dirasakannya. Jika perokok hendak berhenti merokok,maka mereka hendaklah mengawasi alam persekitaran seperti rakan-rakannya,persekitaran tempat kerja dan lain-lain yang boleh menjebaknya untuk meneruskan tabiat itu. Oleh sebab itu, sebelum sampai peringkat ketagih maka lebih elok berhenti merokok bagi memudahkannya membuang terus tabiat itu. Dengan menghentikan tabiat merokok, perokok bukan sahaja dapat menjimatkan wang mereka,tetapi mereka juga boleh menghindari diri mereka daripada dihinggapi pelbagai penyakit. Oleh itu, tabiat merokok perlu dihentikan dan saya bergarap individu yang belum merokok supaya tidak cuba untuk merokok kerana hal ini akan membawa kepada ketagihan. Oleh sebab itu, kita perlu pegang peribahasa “beringat-ingat sebelum kena, berjimat-jimat sebelum habis.”

Kebaikan Mengadakan Majlis Rumah Terbuka

11:54:00 1
 
Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

    Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

    Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

    Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

    Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.

    Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

Faedah-Faedah Bersukan Kepada Masyarakat

04:08:00 1
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat? 

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna. 

Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
 

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

 Contoh lain : Kepentingan Sukan Kepada Pelajar

Langkah-Langkah Untuk Mencapai Kecemerlangan Dalam Peperiksaan

04:03:00 0

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”. Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?

    Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. 

   Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa yang lalu tidak akan kembali” maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti. 

   Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah “ sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” dan “ sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit”. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti. 

   Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. 

   Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan. 

   Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya. 
   
   Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat

03:51:00 0
 
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?

    Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.

    Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.

    Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.

    Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
 
   Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong ditaman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
 
   Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.

    Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
 
   Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
 
   Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
 
   Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.