Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Sebab Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak

08:14:00 0

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak itu seperti kain putih. Dia dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa, dan kedua-dua ibu bapa merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain putih tersebut. Ini menunjukkan peranan ibu bapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang dilahirkan menjadi insan yang sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang yang secukupnya. mereka haruslah dibelai, didodoi, dan diberi segenap perhatian. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku, harapkan pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan ini mempunyai kebenarannya. Ini telah terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat dalam penderaan kanak-kanak. Jika diselak dada akhbar sesekali kita akan digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang dipaparkan di dada akhbar. Mengapakah fenomena negatif ini akan berlaku? Adakah ibu bapa telah melupakan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan kain putih tersebut? Kita semua haruslah mengkaji masalah ini secara mendalam dan berusaha dengan giat bagi mengatasi masalah yang semakin kronik dan melarat ini dengan konsep jika tiada angin yang bertiup masakan pokok akan bergoyang dan dengan keyakinan bahawa setiap penyakit pasti ada penawarnya.
    

   Salah satu punca berlakunya fenomena negatif ini adalah kerana masalah dalaman sesebuah keluarga. Kajian menunjukkan penderaan sering dilakukan oleh orang yang berdekatan atau mempunyai pertalian darah dengan anak-anak yang menjadi mangsa. Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak-kanak termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Apabila keadaan ini berlaku, produktiviti terhadap kerja ibu bapa tentulah akan merosot. Mereka seterusnya akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti. Kalau tidak, ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang akan menambahkan ketegangan mereka. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi karenah anak-anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila ditambah pula dengan kenaikan harga minyak belakangan ini yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak-anak itu didera.
    

   Selain itu, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca berlakunya penderaan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa penderaan kanak-kanak sering dilakukan oleh orang yang pernah menjadi mangsa penderaan semasa mereka dalam alam kanak-kanak dahulu. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka pernah menjadi mangsa penderaan dan anak-anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Penderaan yang berterusan pada peringkat umur yang rendah sememangnya akan meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Semua ini telah menyebabkan titik permulaan di mana si anak akan dimarahi, ditengking dan tidak dihiraukan ataupun dipedulikan. Keadaan ini akan menjadi lebih kronik apabila ibu dan bapa mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat meminum minuman beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah , mereka tidak akan menyedari akan pembuatan mereka sendiri apabila mendera anak-anak mereka. Anak merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan menjaga dan membimbing anak tersebut ke arah yang benar.
    

   Selain itu, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi antara faktor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung perbelanjaan membesarkan si anak dan terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah wang yang tertentu pada setiap bulan. Maka, saudara tersebut pula berjanji untuk menjaga si anak dengan harapan akan mendapat upah wang seperti yang dijanjikan pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberi upah wang seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak memberi pertimbangan pula akan menyebabkan si anak menghadapi akibatnya. Kadang-kala, penjaga akan memukul si anak dengan tali pinggang, mencucuk si anak dengan puntung rokok ataupun membiarkan si anak dalam keadaan kelaparan. Yang menyedihkan lagi , terdapat sesetengah penjaga akan mengejutkan masyarakat apabila si anak tersebut dianiaya melalui keganasan seksual. Apabila si anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh si anak menjadi lebam dan lemah dan seterusnya akan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pula tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka dengan saudara mereka.
    

   Di samping itu, kurangnya pendidikan agama dalam kalangan pasangan suami isteri juga merupakan antara penyebab masalah penderaan kanak-kanak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama. Walau bagaimanapun, tidak ramai dala kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka. Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Sebagai orang dewasa, ibu bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan geram kepada mereka. Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri merupakan pasangan muda. Ini kerana pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Selain itu, mereka pun belum bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Di samping itu, orang muda pula sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda rumah, menangis sepanjang waktu , menconteng buku, dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak-anak pula akan menjadi sasaran kemarahan ibu bapa.
    

   Konklusinya, punca berlakunya kes-kes penganiayaan terhadap kanak-kanak ini bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna. Ibu bapa juga haruslah berusaha untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak di samping menanam sikap sayang-menyayangi antara mereka. Selain itu, semua pihak seperti ibu bapa, guru-guru, kerajaan serta masyarakat juga perlulah bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini. Setiap pihak perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain. Sebenarnya, pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi fenomena negatif sebelum ini tetapi usaha tersebut bagai hujan jatuh ke pasir kerana usaha yang diambil tidak berterusan serta tidak berkekalan. Oleh itu, usaha baik yang diambil oleh setiap pihak perlulah dilakukan secara konsisten dan bukanlah hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Kesan Pembalakan Haram

08:06:00 0
 
Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan telah membekalkan negara kita dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan. Malaysia juga terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang sentiasa menjadi daya penarik kepada pelancong-pelancong asing. Walaupun hutan telah membantu negara mempelbagaikan sumber ekonominya, namun akhir-akhir ini, hutan menghadapi ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tamak dan hanya mementingkan kekayaan semata-mata. Peningkatan aktiviti pembalakan haram bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan telah menyaksikan dampak yang ketara kepada negara. Jika masalah ini tidak ditangani, sudah tentu kita akan menghadapi 1001 masalah di hari muka.

    Pembalakan haram mampu menyumbang keapada terjadinya bencana alam. Pembalakan yang tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu ia melimpah ke kawasan sekitar. Banjir yang sering kali memusnahkan perkampungan orang asli mengakibatkan kehidupan masyarakat ini diambang penderitaan. Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung. Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. setiap tindakan yang kita ambil pastinya akan memberi impak keapada orang lain.

    Selain itu, kemusnahan habitat flora dan fauna juga merupakan kesan aktiviti pembalakan haram. Umum mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal semula jadi bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan liar. Kemusnahan hutan bermaksud musnahnya tempat tinggal hidupan-hidupoan yang tinggal didalamnya. Jika tiada tindakan yang diambil bagi mengawal kegiatan manusia yang tidak bermoral ini, nescaya perkara yang lebih teruk lagi akan berlaku. Contohnya, kepupusan sesuatu spesies hidupan. Justeru, langkah yang proaktif perlu lah dilaksanakan bagi mengelakkan perkara yang lebih parah lagi daripada berlaku. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jangan biarkan cucu-cicit kita tertanya-tanya, apa itu orang utan, harimau gajah, dan burung kakak tua.

    Di samping itu, pembalakan haram turut mengakibatkan peningkatan suhu di negara kita.  Aktiviti pembalakan haram akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara. Gas ini mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena inilah yang menyebabkan peningkatan suhu persekitaran. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila kurangnya tumbuhan yang menyerap gas ini. Selain peningkatan suhu, fenomena ini turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat. Oleh yang demikian, kita perlulah menghargai anugerah ciptaan tuhan yang tidak ternilai harganya ini. Mampukah kita hidup selesa dalam keadaan yang panas sebegini? Tepuk dada, tanya selera.

    Selain berfungsi sebagai peparu bumi, hutan juga bertindak seperti span di kawasan tadahan hujan. Aktiviti manusia menebang pokok-pokok akan menjejaskan kawasan tadahan hujan di tanah tinggi. Hal ini akan mengurangkan kadar serapan dan penyimpanan air dalam tanih sekaligus menjejaskan bekalan air. Keadaan ini mendatangkan kebejatan kepada penduduk sekitar. Tamsilnya, krisis air yang pernah berlaku di Lembah Klangdan Melaka menyebabkan aktiviti harian penduduk seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian terganggu. Oleh itu, kita seharusnya sedar akan kepentingan hutan dalam kehidupan kita. Sikap bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya akan memberi kemudaratan kepada kita.

    Intihanya, kita harus berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Pihak kerajaan haruslah mengambil tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan haram. Orang awam pula hendaklah melaporkan sebarang pergerakan kenderaan pengangkut balak yang mencurigakan. Dengan adanya kerjasama bagaikan aur dan tebing, sudah pasti masalah ini dapat diatasi. Seperkara lagi, kita perlulah ingat bahawa kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang kita, tetapi kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.

Punca-punca Berlakunya Penderaan Kanak-kanak

08:04:00 0
 
Marcapada ini, sering meniti dari bibir ke bibir seantero rakyat Malaysia mengenai kes penderaan kanak-kanak yang semakin mencatatkan angka yang membimbangkan. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa tidak pernah terlepas daripada memaparkan isu penderaan yang sering dilakukan oleh ibu bapa kandung anak itu sendiri. Mengapakah fenomena ini berlaku? Wajarkah kita menyalahkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa dalam hal ini? Terdapat beberapa faktor yang boleh kita kaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak.

    Tekanan di tempat kerja merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka pastinya menghadapi tekanan di tempat kerja. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka akan menjadikan anak-anak sebagai medium melepaskan geram dan tekanan yang mereka hadapi. Ibu bapa yang tidak berfikir panjang berisiko tinggi melakukan kes penderaan ke atas anak-anak seperti menerajang, mencucuk puntung rokok atau sebagainya. Patutkah anak-anak yang tidak berdosa ini diperlakukan seperti binatang? Tepuk dada tanyalah selera.

    Kes penderaan kanak-kanak turut ditunjangi oleh faktor tekanan ekonomi yang dihadapi oleh para orang tua. Kes hidup yang semakin meningkat pada masa ini, memaksa golongan ini berhutang demi memastikan kelangsungan hidup seisi keluarga. Masalah yang kewangan sering berlaku menyebabkan para ibu bapa berasa terbeban. Semua ini dilepaskan kepada sang kecil yang saat itu membutuhkan kasih sayang daripada kedua-dua insan mulia ini. Keadaan ini pasti menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengar kes penderaan ini. Anak yang sepatutnya diberi perlindungan dan dibelai oleh ibu bapa, kini menjadi mangsa sepak terajak mereka yang terbeban dengan krisis kewangan yang dihadapi.

    Kurangnya didikan gama dalam kalangan ibu bapa turut menyumbang kepada berlakunya masalah penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin kepada keutuhan serta perpaduan sesebuah institusi kekeluargaan. Ia juga memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Bengkok bayang bengkoklah batangnya. Kedangkalan ilmu agama akan menyebabkan sesebuah keluarga itu dipandu  dengan cara yang kontra dengan didikan agama. Hal ini yang menyebabkan terdapat segelintir ibu bapa yang menghukum anaknya sehingga meninggalkan kesan seperti luka, lebam dan mungkin juga berlaku pendarahan dalam otak. Di sini kita dapat lihat betapa didikan agama mementaskan peranan yang signifikan dalam kehidupan seharian kita.

    Intihanya, penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan yang keji dan sangat ditegah oleh mana-mana agama pun. Semua pihak harus bekerjasama menggalas obligasi membendung fenomena ini demi mewujudkan masyarakan madani menjelang tahun 2020. Kanak-kanak hari ini harus dipelihara dan diberikan sepenuh perhatian keranan mereka merupakan aset dan pewaris negara yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara di hari muka. Oleh itu, hargailah anugerah Ilahi yang tidak ternilai ini.

Penderaan

07:56:00 0

Penderaan bermaksud dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun.

Isi-Isi
1. Ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. 
  • Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. 
  • Ibu/bapa yang tidak boleh mengasingkan kerja dan keluarga akan berkemungkinan besar mendera anak-anak mereka kerana tidak berpuas hati dengan kerja mereka.
2. Masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu.
  • Masalah kewangan adalah punca banyak penderaan. 
  • Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. 
  • Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka.
3. Krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri
  • Apabila ibu/bapa bergaduh , anak-anak mereka yang akan terjejas dan menjadi mangsa. 
  • Ini kerana , suami tidak boleh memukul isteri. 
  • Jadi , sebagai ganti , suami akan memukul dan meluahkan perasaan terhadap anak-anak mereka yang diketahui sebagai penderaan.
4. Kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa.
  • Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. 
  • Jika ibu/bapa mempunyai agama yang kuat , mereka akan tahu bahawa mendera di dalam segi agama itu salah dan mereka akan mencegah daripadanya. 
  • Agama juga akan membuat ibu/bapa mengenal pasti akan nilai-nilai yang mereka perlukan. 
  • Contohnya , keganasan itu tidak memanfaatkan siapa-siapa tetapi akibatnya , keadaan akan lebih teruk lagi. 
  • Ianya dosa besar untuk mendera kanak-kanak. Ini akan membuat ibu/bapa tahu akan akibat mendera dan akan mencegah daripada mendera.
5. Dahulu , pendera pernah didera oleh ibu/bapa mereka.
  • Apabila seseorang itu telah didera pada masa kecilnya , kenungkinan besar , apabila sudah dewasa , mereka akan melakukan yang sama pada anak-anak mereka. 
  • Ini kerana mereka sudah biasa dengan diperlakukan sebegitu sehingga ianya dilakukan kepada anak mereka sendiri.
6. Penderaan untuk menutut ilmu.
  • Ada kalanya , ibu/bapa sanggup mendera anak mereka untuk menuntut ilmu setan yang menyuruh mereka melakukakn benda-benda karut seperti mengorek mata anak mereka sendiri ,menyebat anak mereka sehingga pengsan dan sebagainya. 
  • Setan sangat kejam dan sudah tentu mereka akan menyuruh melakukan perbuatan kejam.
7. Teknologi dan sains boleh menjadi punca penderaan.
  • Teknologi masa kini makin canggih tetapi terdapat orang-orang yang mendera menggunakan teknologi. 
  • Apabila seseorang telah terdedah kepada keganasan daripada komputer , telefon bimbit dll , dia akan menjadi ganas kepada orang lain. Dan ini puncanya penderaan.
8. Penderaan boleh berlaku jika seseorang itu kekurangan nilai.
  • Nilai-nilai seperti mempunyai perasaan perikemanusiaan , baik hati , lemah-lembut , saling menghormati antara satu-sama lain , saling memahami antara satu sama lain , sopan santun , penyabar dll. 
  • Nilai-nilai sebegini harus ada pada seseorang untuk mencegah daripada mendera seseorang. 
  • Jika seseorang itu mempunyai perasaan berperikemanusiaan. dia tidak akan sanggup mendera atau melihat mangsa didera. Sama seperti nilai-nilai yang lain.

Kajian Ilmiah

11:02:00 1

 
DALAM peperiksaan STPM Sistem Baharu, diperkenalkan Kajian Ilmiah. Mata pelajaran Bahasa Melayu melaksanakan pentaksiran ini pada Penggal 3.

Setiap calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu wajib melaksanakan kerja kursus ini. Wajaran kerja kursus bagi penggal ini ialah 17%. Markah kerja kursus ini akan diambil kira bersama-sama dengan markah ujian bertulis Penggal 1, 2 dan 3 bagi tujuan penggredan mata pelajaran.

Tujuan kerja kursus yang berupa kajian ilmiah ini untuk memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon, untuk,
  •  memahami dan mengaplikasi pengetahuan tentang sistem bahasa Melayu
  • menerapkan domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini
  • menerapkan kesedaran bahawa pembelajaran mata pelajaran ini berasaskan pembelajaran sepanjang penggal.
Dalam pelaksanaan Kajian Ilmiah ini, calon dikehendaki melaksanakan dua bahagian tugasan, iaitu penulisan esei, dan pembentangan. Kedua-dua bahagian ini dilaksanakan bermula pada minggu pertama Penggal 3. Kajian dijalankan secara berkumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada 3 hingga 4 orang calon.


Penulisan Kajian/Esei
  • Pemilihan tajuk hendaklah berdasarkan tema yang ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia, dan yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu STPM Sistem Baharu sahaja
  • Kajian boleh dilaksanakan mengikut kaedah kepustakaan atau kerja lapangan, bergantung kepada tajuk yang dipilih.
  • Esei hendaklah mematuhi format yang ditentukan, iaitu mengandungi Tajuk Kajian, Senarai Kandungan, Penghargaan, Pengenalan, Objektif Kajian, Kepentingan Kajian, Skop Kajian, Batasan Kajian, Kaedah Kajian, Dapatan Kajian, Rumusan Kajian, Penutup, Bibliografi/Nota Akhir, dan Lampiran. Setiap bahagian tersebut diberikan markah, dan dicampurkan dengan markah Bahasa.
  • Panjang penulisan adalah antara 2000 hingga 2500 patah perkataan, yang dikira bermula dengan bahagian Pengenalan hingga Penutup sahaja. Jumlah perkataan perlu dicatatkan pada akhir teks.
  • Jumlah markah keseluruhan penulisan ialah 55 markah
  • Jika lebih daripada 2500 patah kata, penilaian dibuat setakat 2600 patah perkataan sahaja. Sekiranya penulisan kurang daripada 2000 patah perkataan, dua markah akan ditolak daripada markah keseluruhan.
  • Penilaian penulisan esei dibuat mengikut kumpulan.

Pembentangan Kajian:
  • Hasil kajian dibentangkan pada waktu yang ditetapkan oleh setiap ahli kumpulan. Penilaian adalah secara individu. Pembentangan setiap ahli adalah dalam tempoh 5 hingga 10 minit. Tempoh yang sama diperuntukkan untuk sesi soal jawab.
  • Pembentang akan dikemukakan soalan oleh guru dan penonton. Semua ahli kumpulan perlu mengambil bahagian dalam sesi soal jawab ini. Tempoh sesi ini juga antara 5 hingga 10 minit.
  • Pembentangan hendaklah menggunakan bahasa baku.
  • Calon digalakkan menggunakan alat atau bahan bantu yang sesuai semasa pembentangan, kerana penggunaan tersebut juga diberikan markah.
  • Markah keseluruhan pembentangan bagi setiap ahli ialah 45 markah.
  • Bahan pembentangan hendaklah disisipkan dalam bahagian Lampiran esei ilmiah.

Struktur Masyarakat Jahiliah

22:41:00 0


Pengenalan
  • Zaman jahiliah berlangsung selama kira-kira 300 tahun di Semenanjung Tanah Arab. 
  • Zaman ini bermula setelah runtuhnya Empangan Maarib dalam kerajaan Saba’ pada sekitar tahun 300M dan berakhir setelah turunnya al Quran serta  Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul pada tahun 610M.
Isi – isi
  • Struktur sosial  masyarakat jahiliah adalah berasaskan sistem kabilah. 
  • Kabilah terbentuk daripada beberapa keluarga yang membentuk ihai, beberapa ihai bergabung membentuk kaum dan beberapa kaum bergabung mewujudkan kabilah.
1. Dari segi akhlak, 
  • Kaum wanita dipandang rendah sehingga amalan menanam bayi perempuan hidup-hidup menjadi kebiasaan. 
  • Kaum wanita dianggap sebagai pembawa sial dan hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu. 
  • Golongan hamba pula dianggap golongan bawahan dan dijadikan sebagai barang dagangan. 
  • Walau bagaimanapun, terdapat juga sifat positif yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah iaitu pemurah, berani, menghormati tetamu dan berpegang teguh kepada janji.
2. Dari aspek politik  
  • Masyarakat jahiliah tidak mempunyai struktur politik yang sistematik. 
  • Masyarakat jahiliah hidup berasaskan kabilah.   
  • Setiap kabilah diketuai oleh seorang syeikh iaitu individu yang sangat dihormati. 
  • Walaupun mempunyai ketua tetapi setiap keputusan bergantung kepada ketetapan bersama. 
  • Kabilah-kabilah ini kental dengan semangat asabiyah iaitu sikap kesukuan dan bermegah dengan kabilahnya. 
  • Semangat asabiyah ini kerap menimbulkan persengketaan dan peperangan antara kabilah. 
3. Dalam bidang ekonomi 
  • Kegiatan pertanian, penternakan dan perdagangan menjadi sumber utama. 
  • Kegiatan pertanian dan penternakan biasanya dijalankan oleh masyarakat  Arab Badwi yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar. 
  • Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian dan penternakan ini sukar berkembang pesat kerana cara hidup berpindah-randah yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi. 
  • Masyarakat Arab Hadari yang majoritinya tinggal di kawasan bandar terlibat dengan ekonomi perdagangan. Perdagangan dijalankan secara sistem barter. 
  • Amalan riba dan penipuan berlaku secara meluas.
4. Dari aspek agama dan kepercayaan
  • Masyarakat jahiliah mengamalkan pelbagai jenis agama dan kepercayaan. 
  • Sebahagian besar daripada masyarakat jahiliah  mengamalkan agama Wathani iaitu menyembah berhala. 
  • Antara berhala yang terkenal ialah al-Uzza, al-Lata dan al-Manat yang dianggap mempunyai kuasa. Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang menganut agama Kristian dan Yahudi. 
  • Walau bagaimanapun, agama Kristianyang diturunkan bersama kitab suci Injil telah diselewengkan. 
  • Masyarakat jahiliah turut menganut agama seperti Majusi, Hanif  sereta mengamalkan kepercayaan karut atau khurafat seperti memuja kubur, pokok bukit dan sebagainya. 
5. Dari aspek ilmu pengetahuan 
  • Masyarakat  jahiliah dianggap masyarakat yang tidak memiliki ilmu pengetahuan tinggi. 
  • Hal ini dibuktikan melalui kegagalan mereka mendirikan semula Empangan Maarib yang telah pecah. 
  • Selain itu, bilangan masyarakat jahiliah yang celik huruf amat sedikit iaitu seramai 17 orang sahaja. Ilmu hanya disampaikan secara lisan dan hafalan. 
  • Oleh itu, ilmu akan hilang apabila penghafal tersebut meninggal dunia. 
  • Walau bagaimanapun, masyarakat jahiliah berpengetahuan dalam bidang kesusasteraan. 
  • Mereka mahir bersajak, bersyair dan berkhutbah. Labid dan Tarafa merupakan antara tokoh sastera yang terkenal.
Kesimpulan
  • Secara umumnya, zaman jahiliah merupakan zaman kegelapan dalam masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. 
  • Hal ini ditandai kemunduran yang dialami oleh masyarakat Arab sama ada dari segi sosial, politik, agama, ekonomi dan ilmu pengetahuan.


Agama Dan Kepercayaan Yang Diamalkan Oleh Masyarakat Jahiliah

22:21:00 0
Pendahuluan
  • Masyarakat jahiliah secara umumnya merujuk kepada yang bodoh dan sesat. 
  •  Mereka hidup tanpa sebarang pedoman kerana tiada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai panduan.
  •  Mereka mengamalkan pelbagai agama dan juga kepercayaan.
Isi – isi

1. Agama Wathani
  • Agama paling dominan dianuti masyarakat jahiliah ketika itu ialah agama Wathaniatau lebih dikenali sebagai agama menyembah berhala.
  • Berhala yang diperbuat daripada batu, kayu dan logam itu mempunyai pelbagai bentuk dan rupa.
  • Berhala-berhala ini dikatakan mempunyai kuasa termasuk kuasa penyembuhan.
  • Pada ketika itu, dikatakan terdapat kira-kira 360 buah berhala disusun dengan kemas di sekeliling kaabah.
  • Antara berhala yang terkenal ialah al-Latta, al-Uzza dan al-Manat.
2. Agama Nasrani Atau Kristian
  • Agama yang turut dianuti masyarakat jahiliah ialah agama Nasrani atau Kristian yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.
  • Para penganutnya berpegang kepada ajaran kitab Injil.
  • Walau bagaimanapun, isi kandungan kitab ini telah diubahsuai oleh segelintir penganutnya untuk kepentingan peribadi.
  • Mereka yang masih mengamalkan ajaran asal digelar Ahl al Kitab.
3. Agama Majusi
  • Masyarakat jahiliah juga menganuti agama Majusi yang berasal dari Parsi.
  •  Para penganutnya tidak mempunyai kitab suci malah tidak mengakui nabi yang diutuskan oleh Allah SWT.
  •  Mereka percayakan dua tuhan iaitu tuhan baik dan tuhan jahat selain menyembah api.
  •  Api dipercayai berfungsi sebagai penerang dan pemusnah.
4. Agama Hanif
  • Agama seterusnya dianuti masyarakat jahiliah ialah agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.
  • Para penganutnya dipanggil Hunafa yang beriman kepada Allah SWT.
  • Nabi Muhammad s.a.w. merupakan salah seorang penganut agama ini.
5. Agama Yahudi
  • Agama Yahudi juga dianuti masyarakat jahiliah khasnya Bani Israel.
  • Agama ini dibawa oleh Nabi Musa a.s. bersama kitab Taurat.
  • Walau bagaimanapun, seperti agama Nasrani, kandungan asal kitab ini telah diubahsuai oleh penganutnya untuk kepentingan sendiri.
6. Kepercayaan Animisme Dan Kepercayaan Karut
  • Selain daripada agama, masyarakat jahiliah juga mengamalkan kepercayaan animisme dan kepercayaan karut atau tahyul.
  • Mereka menyembah objek-objek alam sekitar seperti batu, pokok dan api yang dipercayai boleh membantu mereka dalam kehidupan seharian.
  • Kepercayaan terakhir yang diamalkan masyarakat ini ialah kepercayaan tahyul atau karut.
  • Mereka menilik nasib, percayakan roh orang mati akan menjadi burung serta percayakan ahli nujum, tangkal dan azimat.
7. Menyembah Alam Cakerawala
  • Mereka juga menyembah alam cakerawala dengan memuja matahari, bintang dan bulan. 
  • Matahari dipuja ketika siang manakala bulan disembah pada waktu malam. Matahari dipercayai boleh membantu tumbesaran tumbuh-tumbuhan agar dapat menjadi sumber makanan binatang ternakan.
  • Selain itu, masyarakat jahiliah turut mengamalkan ajaran sihir. Mereka percaya  kewujudan jin dan dewa. Mereka menyembah malaikat lelaki dan malaikat perempuan.
  • Selain itu, terdapat segelintir masyarakat ini menyembah Tuhan Padang Pasir.
Kesimpulan    
  • Masyarakat jahiliah akan percaya dan menyembah sebarang perkara atau bentuk yang boleh membawa keuntungan.
  • Oleh yang demikian, mereka sanggup menyembah pelbagai bentuk tuhan termasuklah alam semulajadi yang dianggap boleh mendatangkan kebaikan kepada mereka.