Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Langkah-Langkah Mengurangkan Masalah/Kes Jenayah

07:10:00 0
Mutakhir ini, masalah-masalah jenayah yang berlaku di negara ini kian menjadi-jadi “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”. Kes-kes jenayah seperti gengsterisme, vandalisme, bunuh, rogol, ragut, pengedaran dadah, rasuah, pelacuran dan sebagainya kerap menghiasi dada-dada akhbar, majalah dan lain-lain. Sebenarnya, kes jenayah dapat dibahagikan kepada enam kategori, jenayah berat yang melibatkan senjata, jenayah ringan seperti gengsterisme dan vandalisme, jenayah narkotik yang melibatkan kes pengedaran dan penyeludupan dadah, jenayah komersial seperti kes maksiat, pelacuran dan perjudian, jenayah perdagangan yang merangkumi isu rasuah dan korupsi serta jenayah kolar putih yang melibatkan jenayah oleh golongan profesional. Pihak kerajaan telah bertungkus lumus memerah otak untuk mencari mekanisme yang lebih efektif dalam menangani masalah jenayah yang menular dalam kalangan masyarakat hari ini, namun kes-kes jenayah dilaporkan semakin meningkat, terutamanya jenayah berat seolah-olah dasar yang diambil kerajaan seperti kurang berkesan. Justeru, langkah-langkah yang drastik perlu diambil bagi mengelakkan masalah jenayah daripada berleluasa di negara kita.
 
Pada hemat saya, pihak kerajaan merupakan tonggak utama dalam usaha membanteras masalah jenayah yang kian meruncing ini. Bermula dari aspek pentadbiran, pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas. Selain itu, pindaan akta-akta yang sedia ada juga wajip dilaksanakan berlandaskan kategori jenayah masing-masing. Bagi individu yang terlibat dalam jenayah berat seperti membunuh, meragut, dan terlibat dalam penggunaan senjata, harus dijatuhkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup. Akta Dadah Berbahaya 1952 yang digubal oleh pihak kerajaan bagi memperuntuk hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah merupakan salah satu undang-undang yang berat bagi meminimumkan jenayah narkotik di negara kita. Langkah penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta yang bakal mengenakan hukuman setimpal terhadap pesalah narkotik akan menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesalahan jenayah dan hal ini diyakini akan dapat menangani masalah jenayah di negara ini. Pendek kata, penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta yang baru harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebagai cara terbaik untuk mengurangkan masalah jenayah.
 

Sementelahan itu, Perdana Menteri  yang menggalakkan pihak polis meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi juga merupakan cara efektif untuk mengawal kes jenayah yang sering berlaku di Malaysia. Kes pembunuhan yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy, di bangunan MIC  merupakan penggerak utama kepada pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di negara kita. Mengikut ulasan pihak polis, mangsa dipercayai ditembak di kening kiri dalam lift bangunan MIC. Malangnya, suspek utama tidak dapat dikesan disebabkan ketiadaan CCTV di tempat kejadian. Realitinya, terdapat banyak kes pembunuhan yang melibatkan pembunuh-pembunuh upahan yang semakin berleluasa di negara kita dan tidak dapat dikesan. Sekiranya dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia, Singapura, China dan lain-lain, sudah tentu kes yang tidak mempunyai “jalan keluar” ini dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan patut menempatkan CCTV di kawasan berisiko tinggi seperti bank, kawasan perumahan, sekolah, taman permainan, dan banyak lagi. Hal ini demikian supaya pihak polis dapat mengecam muka penjenayah, merakan semula kejadian jenayah tersebu, serta membuat analisis secara terperinci yang dapat membantu menyelesaikan kes jenayah sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit. Oleh itu, CCTV patut ditempatkan di kawasan berisiko tinggi supaya masalah jenayah di negara kita dapat dikurangkan.
 

Tidak dapat disangkal bahawa pendidikan merupakan wahana penting dalam usaha mencegah masalah jenayah yang berlaku di negara kita. Selain langkah drastik, kerajaan turut menggunakan pendekatan psikologisebagai alternatif dalam mengurangkan masalah jenayah, khasnya dalam kalangan remaja. Walaupun pendorong kepada peningkatan jenayah berat merupakan golongan dewasa seperti pembunuh upahan dan seumpamanya, golongan remaja juga perlu disuntik dan ditanam dengan ajaran moral dan pegengan akidah yang utuh untuk memastikan agar mereka tidak cenderung ke arah melakukan jenayah, bak kata pepatah, “melentur rebung biarlah dari rebungnya”. Penerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam di peringkat sekolah akan dapat mendedahkan para pelajar tentang norma hidup masyarakat yang berkiblatkan kasih sayang dan perpaduan. Hal ini secara implisitnya dapat menyemai nilai murni dan ajaran agama yang kukuh dalam jiwa pelajar agar mengelakkan diri daripada terjebak dalam kes jenayah. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksanakan sejak tahun 2004 oleh pihak kerajjan, yang berobjektifkan melahirkan modal insan yang berintegriti juga merupakan langkah yang efisien dalam memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Dengan adanya pendekatan psikologi ini, pelajar akan meletakkan perpaduan dan keamanan negara sebagai keutamaan. Hal ini penting dalam mengurangkan masalah jenayah dalam kalangan masyarakat.
 

Secara tuntasnya, masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi perlu diatasi sebelum nasi menjadi bubur. Berleluasanya kes jenayah seperti pembunuhan kejam adik Nurul Jazlin Jazimin, 8 tahun yang mati akibat didera secara seksual dan fizikal serta kes kehilangan adik Sharlinie Mohamad Nasyar hanya akan menggugat dan menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang aman dan sejahtera. Justeru, rakyat perlu lebih proaktif dan berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi aur dengan tebing bagi membanteras jenayah di negara kita.

Kesan-Kesan Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin

06:52:00 0

Ekonomi Malaysia kebelakangan ini berkembang dengan pesat. Projek pembangunan raksasa berjalan dengan lancar. Sebagai hasilnya, wujudlah peluang pekerjaan yang meluas dan timbul masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, Malaysia kini menjadi tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan. Namun kemasukan pendatang asing tanpa izin yang banyak telah menimbulkan pelbagai masalah.

Masalah utama ialah kesulitan yang dihadapi oleh kerajaan untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak polis, tentera, dan Jabatan Imigresen terpaksa bekerja keras untuk memberkas mereka. Mereka ditahan dan ditempatkan di kern tahanan sementara. Kedutaan asing pula kurang bekerjasama. Kedutaan asing enggan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara kepada rakyatnya supaya mereka dapat dihantar balik. Kedutaan asing juga enggan membiayai kos penghantaran pulang. Hal ini menyebabkan banyak tenaga, wang, dan masa kerajaan terbazir dalam usaha mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.

Keselamatan sosial kita juga terancam. Ada antara pendatang asing tanpa izin ini merupakan penjenayah yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara asal mereka. Mereka melarikan diri ke Malaysia supaya terlepas daripada serbuan pihak berkuasa negara asal mereka. Malangnya, mereka terns melakukan jenayah di Bini. Kes-kes rompakan, pembunuhan, dan rogol sering berlaku. Mangsa akan menanggung trauma sepanjang masa. Malahan sesetengah taman perumahan dimasuki pencuri setiap mal am buat satu tempoh yang panjang. Hal ini menyebabkan penduduk tempatan hidup dalam ketakutan. Kes-kes penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam serbuan polis bukanlah kes yang luar biasa lagi. Malah tentera kita terpaksa dikerah ke Semporna, Sabah, untuk menghadapi lanun Filipina yang menggunakan senjata canggih untuk melakukan rompakan pada siang hari.

Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula. Banyak pendatang asing tanpa izin juga disahkan sebagai pembawa kuman HIV dan hepatitis. Hubungan mereka secara seksual dengan pelacur tempatan akan mempercepat jangkitan AIDS.

Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada mas a akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Terdapat juga kawasan perkampungan haram yang mewah, lengkap dengan bekalan elektrik, dan air.

Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat kita.

Kita memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah airnya sendiri.

Langkah Mengatasi Isu Pati

06:45:00 2

Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara kita telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan memasuki negara kita secara beramai-ramai. Kehadiran mereka telah mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh yang demikian, kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi.

    Dalam usaha membendung kehadiran PATI, pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.

    Seterusnya pihak polis perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

    Di samping itu, semua pihak yang berkuasa wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.

     Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.

     Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.

   Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan kesejahteraan rakyat kita.

Rempit

19:18:00 1

Definisi Rempit
Rempit ialah sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya sama ada membahayakan dirinya sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rempit bermaksud menyesah atau memukul sesuatu contohnya dengan menggunakan rotan. Sebutan rempit itu sendiri sebenarnya adalah berasal daripada perkataan rampit iaitu menggambarkan pelumba memeras minyak di jalan raya (litar).

     Masalah sosial seperti aktiviti pelumba haram adalah penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ bukanlah merupakan sesuatu isu yang baru memandangkan gejala ini wujud sekian lamanya dijalan raya di negara kita. Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motor kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia pada masa sekarang. Minah rempit pula boleh jadi merupakan seorang pelumba perempuan atau teman wanita Mat Rempit.

Punca-Punca Merempit
     Sama ada kita sedar atau tidak masalah remaja merempit ini sebenarnya berpunca dari pelbagai masalah tidak kira dalaman mahupun luaran remaja itu sendiri.Malah kajian menunjukkan bahawa 87 peratus mat rempit adalah dari golongan remaja yang berusia 14 tahun hingga 25 tahun,ini adalah berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama pusat pengajian psikologi dan pembangunan Malaysia.Bosan adalah faktor utama mengapa mereka melakukan kegiatan sedemikian dan ia menunjukkan peratusan sebanyak 48.1 peratus.Golongan remaja ini juga memberi tanggapan bahawa mereka dapat menghilangkan rasa bosan dengan melakukan aktiviti merempit ini dan mampu untuk menggunakan masa lapang ini dengan aktiviti merempit tanpa memikirkan kesan yang akan mereka hadapi.Pelakuan dan masalah merempit ini adalah melibatkan pengguna jalan raya yang lain malah ia lebih membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

     Punca lain yang menyebabkan wujudnya masalah merempit ini adalah perasaan ingin tahu dan ingin mencuba dalam kalangan remaja.Seperti yang kita semua maklum para remaja adalah golongan yang paling berisiko dan mudah terpengaruh dengan perkara yang negatif.Oleh disebabkan desakan dan perasaan remaja yang suka memcuba dan tidak takut menghadapi risiko yang bakal mereka tempohi,para remaja sanggup dan berani melakukan apa sahaja malah mereka tidak memikirkan pelbagai kesan buruk yang akan timbul disebabkan oleh sikap mereka ini.Perasaan ingin mencuba ini akan menghalang fikiran waras para remaja untuk memikirkan kebaikan dan keburukan yang akan dialaminya sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti merempit ini malahan mereka mudah seronok apabila melakukan aksi-aksi merempit.Media massa juga boleh mempengaruhi para remaja untuk melakukan aksi berbahaya contohnya wujudnya filem-filem aksi seperti rempit,bohsia dan samseng jalanan yang mana para remaja cuba untuk melakukan aksi-aksi seperti didalam filem tersebut.Kerana wujudnya perasaan ingin tahu dalam diri remaja inilah yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan aksi yang dipaparkan di media massa.

     Selain itu juga remaja terpengaruh dengan rakan-rakan juga dapat dikenal pasti kenapa berlakunya masalah rempit.Remaja selalunya mempunyai sikap yang mana akan mengikut sahaja sikap dan tingkahlaku rakan-rakan sebaya mereka,contohnya remaja yang berkawan dengan golongan mat rempit maka mereka juga akan melakukan aktiviti merempit ini kerana mereka akan dianggap ketinggalan kerana tidak melakukan aktiviti yang sama seperti rakan-rakan yang lain.Para remaja juga mudah untuk meniru apa yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka dan jika mereka memilih untuk meniru aksi rakan-rakan mereka untuk merempit ini mereka tidak memikirkan bahawa perkara tersebut adalah salah dan ia menganggap perkara itu betul ekoran rakan-rakannya melakukan aktiviti sedemikian.

     Punca yang menyebabkan berlakunya gejala rempit ini juga adalah kerana gaya hidup dan taraf pendidikan remaja itu sendiri.Kebanyakkan remaja yang terlibat dengan lumba haram ini adalah dari golongan yang berpendidikan rendah malah pemikiran mereka juga sempit ini kerana kita dapat lihat dengan jelas risiko yang mereka hadapi jika mereka melakukan kegiatan merempit ini.Mereka tidak memikirkan bahawa terlalu banyak kesan negatif yang akan mereka perolehi disamping itu juga mereka akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.Remaja yang terlibat ini juga adalah golongan remaja dibawah umur dimana mereka masih lagi memerlukan bimbingan dan pengawasan dari ibubapa mereka.Selalunya juga mereka yang terlibat ini adalah masih diperingkat sekolah menengah.

     Antara punca lain yang menyebabkan berlakunya gejala ini ialah kurangnya pengawasan dari ibubapa dan ibubapa itu sendiri tidak mengambil cakna tentang aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak mereka.Malah anak-anak yang bersekolah ini diberi motosikal oleh ibubapa mereka untuk kegunaan untuk kesekolah sebaliknya anak-anak mengambil kesempatan dengan melakukan aktiviti merempit dimalam hari dan ibubapa mereka tidak mengetahui apa yang telah anak mereka lakukan pada sebelah malam.Ibubapa pulla tidak mempersoalkan kemana anak mereka pergi dan aktiviti yang anak-anak mereka lakukan tanpa pengetahuan mereka.

Langkah-Langkah Pencegahan
     Aksi mat rempit yang merajai jalan raya dengan aksi berbahaya terus menghantui orang ramai. Pelbagai persoalan di minda masyarakat. Antaranya termasuklah adakah gejala yang semakin menjengah ke kawasan kampung ini sukar dihapuskan sebagaimana sukarnya pihak berkuasa menangani gejala penagihan dadah? Andaian ini tidak boleh dipandang mudah kerana selepas pelbagai usaha dilakukan, isu mat rempit tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Sebaliknya, isu ini semakin berleluasa sehingga melibatkan jenayah yang lebih berat terutamanya kes ragut, rogol, dan samun secara berkumpulan.

     Oleh itu, suatu pendekatan yang kolektif dan berkesan perlu diambil untuk mengekang gejala yang menjadi ancaman serius kepada keselamatan awam ini. Akta Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus dipinda untuk diberi kuasa menahan mat rempit. Pindaan tersebut wajar dilaksanakan segera bagi membolehkan hukuman yang lebih tegas dikenakan terhadap samseng jalanan. Golongan itu juga semakin berani memperlekeh undang-undang dan mencabar pihak berkuasa, termasuk cubaan merempuh sekatan jalan raya. Pelajar berumur 15 hingga 19 tahun merupakan pelajar yang kandas dalam pelajaran atau telah berhenti sekolah, perlu ditahan di sekolah juvana, Sekolah Henry Gurney jika didapati bersalah untuk suatu tempoh ditetapkan. Mereka hendaklah dihukum membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam dan motosikal dirampas. Samseng jalan raya atau 'Mat Rempit' mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara mandatori setelah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda. Bagaimanapun hukuman itu hanya untuk remaja yang berumur atas 18 tahun manakala yang berumur bawah 18 tahun, mereka tertakluk kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak.

     Golongan ini harus diperangi habis-habisan dengan melipatgandakan usaha menambah bilangan anggota peguat kuasa. Dengan itu, operasi pembanterasan secara besar-besaran seharusnya dilakukan secara konsisten dan bukan hanya suatu langkah pencegahan bermusim. Kebiasannya sekatan jalan raya hanya dilakukan ketika hujung minggu sahaja. Namun, gejala rempit sekarang tidak hanya bertumpu kepada hari minggu sahaja, malahan pada hari-hari lain juga. Gejala ini harus ditangani oleh sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kerajaan supaya tampak kesungguhan pihak berkuasa untuk tidak bertolak ansur dalam hal keselamatan awam. Ketegasan pihak berkuasa ini sekurang-kurangnya menimbulkan rasa gerun dalam kalangan mat rempit untuk menguasai jalan raya atau berhimpun dalam satu kumpulan besar. Gejala mat rempit ini dapat diatasi jika semua pihak bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk merancang program bercorak pendidikan. Program itu dilaksanakan secara sistematik, tersusun, dan bersepadu untuk membawa golongan ini ke pangkal jalan. 

     Selain kecelaruan dalam pembawaan diri, gejala merempit ini juga banyak didorong oleh sikap ibu bapa yang terlalu memberi muka kepada anak-anak yang masih di bawah umur. Mereka seolah-olah bersikap lepas tangan dalam mengawal pergerakan anak-anak di luar rumah. Atas kealpaan itu, ibu bapa wajar dikenakan denda di bawah peruntukan undang-undang tertentu kerana membiarkan anak-anak memiliki dan menunggang motosikal tanpa lessen. Untuk menambahkan keberkesanan tindakan tersebut, kerajaan harus menetapkan bahawa had umur untuk mendapatkan lessen motosikal dilanjutkan daripada 16 tahun kepada 21 tahun. Sememangnya, isu yang berkaitan dengan kegiatan samseng jalanan itu sudah berlanjutan sekian lama. Oleh sebab itu, pihak berkuasa perlu bertindak lebih agresif terhadap golongan mat rempit. Apatah lagi, sikap kita yang terlalu bertimbang rasa dan kasihan kepada golongan inilah yang menyebabkan mereka mengambil kesempatan untuk meneruskan kegiatan yang tidak bermoral ini.

     Selain itu, kerajaan juga perlu menimbangkan untuk mewujudkan satu lagi litar lumba yang strategik iaitu di Bukit Jalil selain mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dengan perlumbaan haram. Pembinaan litar lumba di Bukit Jalil berhampiran Kuala Lumpur mungkin mampu mengurangkan aktiviti perlumbaan motosikal haram di jalan raya ibu kota. Sekiranya kerajaan sudah menyediakan tempat untuk mereka melakukan aktiviti dan kalau mereka masih lagi berlumba haram di luar, kenakan sahaja tindakan tegas terhadap mereka. Tindakan merampas motosikal bukanlah satu tindakan yang baik, sebaliknya akan mengundang jenayah lain iaitu mencuri motosikal. Ini kerana, kebanyakan mereka ini datang daripada golongan keluarga bermasalah serta hidup dalam kemiskinan. Tindakan undang-undang yang lebih ketat harus meliputi pembatalan lesen memandu serta-merta dan pengharaman pembelian motosikal bagi mereka yang disabitkan kesalahan. Pendekatan lembut dan pendektan keras harus diambil bagi menangani isu mat rempit. Tiada istilah kompromi dalam membendung gejala mat rempit ini. Sebagai anggota dalam masyarakat, setiap dari kita harus memainkan peranan masing-masing dalam membendung isu dan gejala ini.


Kesan Buruk Akibat Merempit
     Hari ini isu mat rempit semakin hangat diperkatakan sama ada media massa atau media cetak. Mat rempit ini bukan sekadar merempit sahaja tetapi mereka ini juga turut terlibat dalam masalah-masalah sosial seperti berjudi, mengambil minuman keras, memukul dan sebagainya. Walaupun merempit ini mendatangkan banyak kesan buruk pada diri seseorang individu itu dan juga orang disekelilingnya namun mat rempit tetap tidak sedar dan tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa isu mat rempit ini akan ada penyelesaiannya.

     Antara kesan-kesan yang timbul dari gejala merempit ini ialah, gejala merempit ini ialah Meningkatkan masalah keruntuhan moral atau akhlak dalam kalangan remaja. selain itu masalah merempit ini juga akan menyebabkan wujud pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan seperti yang berlaku pada hari ini, hilang sifat beradab, seks bebas dan lain-lain. Namun, perkara yang paling menyedihkan apabila kita bercakap mengenai mat rempit ini ialah ianya terdiri daripada orang islam terutamanya kaum melayu yang kita tahu sejak kecil lagi telah disemai dengan adat serta kesopanan dalam diri.

     Selain itu, budaya merempit ini juga dapat meningkatkan kemalangan jalan raya. Kemalangan ini selalunya berpunca daripada sikap cuai dan cara menunggang motosikal yang melulu oleh penunggang yang merempit. Sikap menunggang yang tidak ada etika dalam kalangan mat rempit ini menyebabkan sebahagian daripada pemandu kita takut ketika memandu di jalanraya kerana mereka takut akan menjadi mangsa kemalangan yang berpunca daripada mat rempit ini.

    Masalah merempit ini juga akan menyebabkan meningkatnya masalah jenayah seperti merogol, merompak, samun, curi motosikal dan sebagainya. Merempit seolah-olah menjadi satu pesta bagi budak-budak muda iaitu golongan remaja untuk melakukan kegiatan-kegiatan tidak bermoral ini.

     Selian itu. gejala merempit yang semakin berleluasa ini juga memberikan kesan kepada pasukan keselamatan dan Negara. Contohnya isu merempit yang semakin hari semakin meruncing ini akan menyebabkan imej pasukan tercemar. Masyarakat seolah-olah memandang pihak berkuasa tidak menjalankan tugas mereka walaupun terdapat banyak langkah yang telah pihak mereka ambil untuk membanteras masalah merempit ini. Mat rempit ini juga seolah-olah bermain dengan undang-undang dan mencabar undanag-undang. Mat rempit ini juga menjejaskan imej Negara terutamanya di mata pelancong yang datang melancong ke Negara kita ini.

     Masalah merempit ini juga akan menyebabkan pembaziran masa dan pendapatan Negara untuk mengatasinya. Sebagai contoh, kerajaan terpaksa menjalankan pelbagai kempen penguatkuasaan undang-undang dan program-program khas bagi mengatasi masalah merempit ini.

     Gejala merempit ini juga turut menggangu ketemteraman awam. Sebagai contoh mat rempit yang menjalankan aktiviti merempit di sekitar kawasan perumahan awam akan mengganggu ketenteraman penduduk di situ. Bunyi bising yang terlaku kuat dari enjin motosikal mat rempit ini juga boleh menyebabkan berlakunya masalah pencemaran bunyi.

Kesan Pemerdagangan Manusia Dan Langkah Mengatasi

18:45:00 0
Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dijalankan untuk mengurangkan masalah tersebut. Aktiviti pemerdagangan manusia bermaksud segala bentuk eksploitasi sama ada untuk tujuan seks, kerja paksa, perhambaan bahkan turut melibatkan pemindahan organ manusia. Aktiviti ini mendatangkan pelbagai kesan negatif dan pelbagai usaha perlu dijalankan untuk mengurangkan aktiviti ini.
 
Kesan
1. Mencemarkan imej negara di mata dunia
  • Kedudukan Malaysia dalam senarai 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu permerdagangan manusia mencemarkan imej negara di mata dunia.
  • Menunjukkan negara lemah dalam mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang.
  • Negara dianggaap sebagai sarang jenayah.
2. Mengancam keselamatan dan keamanan negara
  • Jenayah yang semakin berleluasa mengancam keselamatan terutamanya wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran , pusat hiburan dan rumah urut dan sebagainya.
  • Sindiket atau mereka yang terlibat juga melakukan aktiviti jenayah lain untuk mengumpulkan kekayaan.
3. Menjejaskan hubungan diplomatik antara negara
  • Penyeludupan dan pemerdagangan manusia melanggar hak sesebuah negara dan isu-isu yang berlaku menjejaskan hubungan diplomatik antara Negara.
  • Isu-isu seperti penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah menimbulkan rasa tidak puas hati antara negara yang terlibat
4. Peningkatan masalah sosial
  • Masalah sosial bertambah merebak dalam masyarakat seperti berpeleseran, pelacuran, seks bebas, minum arak dan sebagainya.
  • Penularan penyakit berjangkit
  • Penyakit-penyakit berjangkit seperti tibi, penyakit kelamin, hepatitis dan sebagainya kembali menular dalam kalangan masyarakat
Langkah-langkah
1. Penguatkuasaan undang-undang
  • Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan Keganasan 2000
  • Akta Antipermerdagangan Orang 2007
2. Memperketat kemasukan pelancong asing serta mengawal pintu masuk sempadan dengan lebih teliti
  • Kawalan kemasukan pelancong asing . Menutup peluang penyeludupan manusia berlaku
  • Kawalan menggunakan Akta Imigresen untuk mengesan kemasukan secara haram.
3. Koordinasi antara kementerian
  • Penguatkuasaan yang bersepadu antara kementerian dapat membantu mengurangkan aktiviti ini. Contohnya koordinasi antara Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri bagi membersihkan imej Negara.
Aktiviti ini perlu dibanteras untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan negara.

Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya [Laporan]

06:34:00 0

Laporan tentang Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya


1.0  Pendahuluan

Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia. Perkhidmatan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa. Di negara ini, terdapat beberapa jenis pengangkutan  awam. Antara perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi.  Sehingga kini perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan belum memuaskan hati pengguna. Baru-baru ini, saya sebagai Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk menjalankan satu kajian tentang kelemahan tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk mengatasinya. Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut.


2.0  Senarai Ahli Jawatankuasa


Pengerusi: Ahmad bin Ali
Setiausaha: Muhammad bin Daimin
Bendahari: Simon Tan
Ahli jawatankuasa:
1) Saleha binti Abu
2) Razali bin Darus


3.0 Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam

 3.1 Keadaan Fizikal Kenderaan Awam Tidak Sempurna

Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang sempurna. Sesetengah kenderaan tersebut tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik. Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah.  Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik. Sistem pendingin hawa yang digunakan pula kadangkala tidak berfungsi. Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam.


 3.2 Kadar Tambang Tidak Sepadan dengan Kualiti Perkhidmatan

Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan. Menurut pengguna, sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan alat tersebut rosak.  Segelintir kakitangan bas pula didapati  kurang sopan apabila berurusan dengan penumpang. Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain.

4.0 Cadangan untuk Mengatasinya

 4.1 Memperketat Penguatkuasaan Undang-undang tentang Usia Kenderaan Awam

Jabatan Pengangkutan Jalan hendaklah memperketat penguatkuasaan undang-undang tentang usia kenderaan awam di jalan raya. Kenderaan yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun haruslah ditamatkan permitnya. Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk menggantikannya dengan kenderaan yang baharu. Bantuan yang sama hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang kenderaan awamnya didapati kurang elok. Selain menjaga keselamatan pengguna,  langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan tersebut.

 4.2 Menambahkan Pengeluaran Permit Kenderaan Awam

Bagi mengatasi masalah kekurangan kenderaan awam, pihak kerajaan seharusnya  menambahkan pengeluaran permit kenderaan awam di negara ini. Hal ini bertujuan untuk membolehkan lebih banyak kenderaan awam beroperasi. Langkah ini penting untuk mengelakkan orang ramai berebut-rebut untuk menaiki kenderaan, terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Pertambahan pemilik kenderaan awam juga penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha. Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan.

5.0 Penutup

Kajian ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha yang terlalu  mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak terjaga. Kelemahan tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam memahami bahawa mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial.  Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara ini  dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan.