Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Langkah-Langkah Mengawal Kemasukan Buruh Asing Dalam Negara

06:24:00 0
1.Pihak berkuasa boleh menyekat kemasukan buruh haram
  • Melalui penguatkuasaan undang-undang  
  • Hukuman penjara mandatory harus dikenakan ke atas sesiapa yang mengupah buruh asing tanpa permit 
  • Operasi mengesan pekerja asing tanpa permit harus kerap dijalankan 
  • Melancarkan pemeriksaan dikawasan perumahan yang menjadi tumpuan buruh asing, kawasan luar Bandar, dan sebagainya agar usaha mengatasi masalah buruh asing haram ini lebih berkesan 

2.Menggalakkan majikan membuka peluang perkerjaan separuh masa atau masa bekerja anjal
  • Majikan digalakkan menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja supaya pekerja wanita boleh menumpukan perhatian kepada kerja mereka
  • Langkah ini menarik minat suri rumah tangga untuk keluar bekerja
  • Pengantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan 

3.Menawarkan peluang pekerjaan kepada orang kelainan upaya
  • Mereka boleh bekerja sepantas orang orang normal
  • Daya produktiviti mereka lebih tinggi kerana mereka lebih menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja mereka
  • Usaha ini dapat mengurangkan pergantungan kepada buruh asing 

4.Pengambilan pekerja asing hanyalah penyelesaian sementara kepada masalah kekurangan tenaga buruh
  • Rakayat Malaysia perlu bersedia untuk mengambil alih tempat yang kini diisi oleh pekerja asing, khususnya golongan professional
  • Mempromosikan industri intensif modal dan berteknologi tinggi untuk menggantikan intensif buruh 
  • Keperluan tenaga buruh akan menurun dan digantikan dengan mesin atau jentera 

5.Mengadakan kerjasama dengan negara jiran
  • Membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin
  • Mengutarakan pandangan untuk mengadakan rundingan tentang kawalan sempadan
  • Pasukan bertindak diwujudkan supaya kawalan di sempadan lebih efektif

Amalan Rasuah Dan Langkah-Langkah Menanganinya

08:20:00 3

Era digital ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang begitu rancak. Namun dalam usaha menuju era globalisasi dunia tanpa sempadan, Malaysia terpaksa bersemuka dengan satu penyakit sosial yang agak kritikal sehingga boleh meranapkan peradaban bangsa kita, iaitu amalan rasuah. Kita singkap laporan rasuah oleh Transparency International 2010 yang melaporkan bahawa Malaysia masih lagi berada di tangga 56 pada Indeks Persepsi Rasuah. Walaupun isu ini hangat diperkatakan, pernahkah terlintas dalam benak fikiran anda apakah maksud "rasuah"? Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Dalam Al-Quran juga digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi juga perbuatan jenayah yang lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Terdapat beberapa definisi lain yang diberikan oleh beberapa pihak yang pakar dalam bidang ini. Dalam kamus Concise Law Dictionary, P.G. Osbome memberi definisi "bribery and corruption" sebagai perbuatan "giving or offering any reward to any person to influence his conduct; or receipt of such reward". Manakala John B. Saunders pula dalam kamus Mozley and Whiteley's Law memberikan definisi "the taking and giving money for the performance or non-performance of a public duty."Dalam ruang lingkup di biosfera ini, rasuah adalah wabak penyakit dan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat di semua tempat. Tidak ada negara yang boleh mendakwa dirinya bebas dari rasuah, cuma yang boleh membezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi keseriusan jenayah rasuah yang berlaku. Menurut Badan Pemerhati Rasuah Antarabangsa indeks rasuah di negara ini juga membengkak setiap tahun. Barah penyakit sosial ini kian parah umpama tumor yang tumbuh tanpa rawatan rapi. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan negara kita. Hadis Rasulullah juga ada menyebut dengan ertinya :

"Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)"  
(Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih).

Selain hadis, Al-Quran juga menyebut:
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui."
(Al-Baqarah : 188 )

      Secara tuntasnya , langkah untuk mengatasi endemik ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan efektif. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi ke akar umbinya. Sikap tidak endah dalam mengatasi masalah ini menyebabkan negara kita ketinggalan atau 'lagging' ke belakang negara maju yang lain. Mungkin konsep mencegah lebih baik daripada mengubati amat berkesan bagi memastikan rasuah terus dikuburkan dan ditalkinkan di tempat yang sepatutnya.

      Rasuah jika tidak dikawal dan diperangi habis–habisan dari awal lagi akan memberi kesan buruk terhadap sistem pentadbiran negara . Penyakit ini juga akan turut menggugat kestabilan sosial negara . Apatah lagi ketika kerajaan sedang mencanangkan program pembangunan perindustrian yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju . Gejala ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai terutama pelabur asing terhadap kecekapan dan keberkesanan sistem perundangan serta birokrasi negara ini . Rasuah juga tidak boleh dimulakan kerana akan berlarutan dan ketagihan . Setelah sebati dengannya , maka wabak berbahaya ini merebak menjangkiti orang lain pula . Rasuah menyebabkan seseorang menjual prinsip , maruah dan harga diri . Masyarakat yang mengamalkan rasuah akan bertindak di luar batasan dan peraturan yang telah ditetapkan .

      Kesan amalan rasuah terhadap ekonomi ialah rasuah mempersulit kemajuan ekonomi apabila kecekapan menurun selain mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai dan efektif. Dalam sektor swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya perbelanjaan "di luar akaun", belanja perundingan dengan pejabat yang korup (duit kopi?), dan serta risiko pembatalan konsesi. Walaupun ada yang menyatakan bahawa rasuah mengurangkan kos kerana birokrasi berjaya "dicairkan", penyelidikan terbaru mendapati hal demikian tidak berlaku, sebaliknya lebih tinggi lagi kosnya kerana pejabat korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan hambatan yang baru. Rasuah juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan pasaran seluruhnya apabila syarikat tertentu yang mempunyai "hubungan" dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan industri yang tidak berdaya maju.

     Rasuah menimbulkan kekacauan dalam sektor awam apabila perbelanjaan awam untuk projek-projek kemasyarakatan yang sememangnya banyak, naik mendadak kosnya, sehingga melepasi peruntukan awal. Jabatan awam (mungkin juga kontraktor) mungkin "mengubahsuai" projek tersebut (selepas menerima peruntukan daripada peringkat kerajaan yang lebih tinggi, misalnya), walaupun sebenarnya tidak diperlukan, sebagai usaha menyorokkan rasuah yang berlaku. Kemudiannya, keselamatan, keselesaan, dan kesan alam sekitar projek tersebut menjadi pertaruhan . Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancangkannya, sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan bajet kerajaan.

     Para pakar ekonomi berpendapat, antara punca ekonomi beberapa buah negara Asia dan Afrika berkembang lemah, terutama di Afrika, ialah rasuah yang berbentuk "penagihan sewa" yang menyebabkan perpindahan penanaman modal ke luar negara, bukannya dilaburkan di dalam negara (yang sering kali disebut orang betapa ramai diktator Afrika mempunyai akaun bank di Swiss). Berbeza pula dengan diktator di Asia, seperti Suharto yang sering meminta sogokan (daripada setiap biaya atau keuntungan projek), namun lebih memberikan perhatian dalam pelaburan dalaman, seperti dalam projek prasarana, kewangan, perbankan, dan lain-lain (yang bermanfaat kepada rakyat jelata Indonesia). Pakar daripada Universiti Massachussetts memperkirakan, dari tahun 1970 hingga 1996, "pelarian" modal 30 buah negara Sub-Sahara berjumlah sekitar US $187 bilion (RM710.6 bilion); melebihi jumlah hutang luar negara-negara tersebut! (Hasilnya, Mancur Olson mengutarakan model ekonomi tentang pembantutan pembangunan). Dalam kes Afrika lagi, antara punca lain termasuklah ketidakstabilan politik; dan kerap kali kerajaan baru yang berjaya menggulingkan pemerintah lama, merampas segala harta kerajaan terdahulu yang diperoleh daripada rasuah. Mereka kemudiannya akan melakukan perkara yang sama, tanpa henti, dan menyimpan hasilnya di seberang laut untuk persiapan "masa-masa sukar"

      Kesan kepada kesejahteraan negara ialah "Rasuah politik" berlaku di banyak negara dan mengancam jutaan manusia. Rasuah politik bererti "kebijaksanaan" pemerintah kerajaan memberikan pelbagai faedah istimewa kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Dari satu sudut yang lain, para politikus memainkan peranan melindungi syarikat tertentu (lazimnya entiti yang besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru bertatih. Mereka memang pintar melindungi syarikat yang telah menaja kempen-kempen politiknya sahaja. Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi. Untuk memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas). Sama ada sesuatu perilaku dianggap rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di wilayah berkenaan. Contohnya, pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu bentuk rasuah di negara tertentu tapi dianggap legal di tempat lain.

     Kesan kepada demokrasi ialah musuh pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan raya atau pemilihan umum lain dan dalam badan perundangan merosakkan akaun libiliti dan kecekapan, juga rasuah dalam sistem pengadilan pula mencabul ketertinggian undang-undang dan rasuah dalam pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial. Secara umum, rasuah mengikis kemampuan sesuatu sistem kerana tidak tepat prosedur, kemerosotan sumber daya usaha, dan pejabat diiktiraf oleh jabatan bukan kerana prestasi. Keseluruhannya, rasuah menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada.

      Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini. Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini. Selain itu, siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiat lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

     Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam perlu memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri kita untuk mengelakkan diri daripada gejala rasuah ini. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

     Pihak sekolah juga perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak bangsa supaya menjauhi gajala ini. Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik agar membenci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

     Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya. Sesungguhnya masyarakat yang kehilangan nilai amanah akan ditimpa krisis kepercayaan. Oleh itu, semua pihak perlu menjauhi sifat tamak yang boleh menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja melebihi pendapatan. Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini, rakyat sangat berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang–undang. Martabat atau parti politik bukan payung yang melindungi sesiapa daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin bahawa hukuman yang setimpal boleh menerbitkan perilaku baik seseorang. Sehubungan itu, dalam memerangi gejala ini, semua pihak perlulah bertindak secara menyeluruh dan berterusan. Jika kita sepakat melakukannya, tiada sebab kita akan gagal. Nabi Muhammad s.a.w bersabda

"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwa ku ada di tangan Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!"

Langkah-langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

07:54:00 0

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru, sebelum, nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diimplimentasikan bagi mengatasi masalah ini.

     Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegus dan tegas. Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Aman, kes kemalangan melibatkan bas ekspres menurun dengan rancaknya sebanyak 15.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008 selepas undang-undang tersebut dilaksanakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-undang, kadar kemalangan dapat diminimumkan.

    Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memastikan pengurusan kenderaan awam cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan itu amat bergantung kepada kecekapan pemandu dan kondisi kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan sesebuah syarikat kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga perlu diteliti semula agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diterima bekerja. Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, satu system pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan dilaksanakan mulai penggal kedua tahun 2009. Maka jelaslah, pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat vital bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

    Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen-kempen bagi menerapkan kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika dalam kelangan rakyat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi sekoalh, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal kepada kanak-kanak misalnya amatlah wajar kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar, bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Maka tidak hairanlah apabila Kementerian Pelajaran sendiri berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program “Keselamatan Lalu Lintas dan Jalan Raya” yang dianjurkan saban tahun. Justeru, sudah terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut berupaya untuk menurunkan kadar kemalangan.

    Akhirulkalam, isu kemalangan jalan raya ini perlu dipandang serius oleh pucuk pimpinan negara khususnya. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa selamat!”

Faktor-Faktor Berlakunya Cetak Rompak dan Langkah-Langkah Mengatasinya

07:13:00 1

Dari tahun 1999 sehingga Januari tahun 2005, jumlah kes yang melibatkan cetak rompak yang telah didakwa ialah 33 260 kes dan nilai barangan yang telah disita ialah RM265 juta. Statistik tersebut hanya merujuk cetak rompak cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) tanpa mengambil kira kes cetak rompak barangan lain seperti cetak rompak buku, hak cipta, dan sebagainya. Sekiranya diteliti masalah ini secara mendalam, kita akan sedar bahawa fenomena cetak rompak bukanlah satu masalah yang mudah diatasi.

     Serbuan demi serbuan dilakukan ke atas penjual barangan cetak rompak tetapi masalah ini masih berleluasa. Kegiatan cetak rompak tidak berhenti sebaliknya semakin bertambah. Mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak mempunyai sikap tamak dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Tambahan pula mereka mengetahui kelemahan penguatkuasaan dalam membanteras gejala ini. Misalnya, di bawah Akta Hak Cipta 1987, seseorang pesalah boleh dikenakan denda minimum RM2 000 dan maksimum RM20 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Biasanya mereka tahu jika disabitkan kesalahan mereka hanya akan didenda. Oleh itu, mereka terus mencari keuntungan dengan cara yang pantas tanpa memperdulikan pekara-pekara yang lain.

     Selain itu, cetak rompak sukar dikawal kerana perbezaan harga yang tinggi antara barang tulen dengan barang tiruan. Sebagai contoh, harga sekeping cakera padat audio tulen berharga RM39 manakala harga cakera padat tiruan hanya berharga RM5. Perbezaan harga sebanyak 800% akan mendorong orang ramai memilih cakera padat tiruan selain mudah didapati. Semasa membuat pilihan, harga biasanya menjadi faktor penentu dan barangan yang murah akan menjadi pilihan. Hal ini menyukarkan usaha untuk menangani masalah cetak rompak.

     Apakah tindakan selanjutnya untuk membanteras gejala ini supaya tidak terus berleluasa? Salah satu langkah untuk mengurangkan masalah ini adalah dengan membina pusat percetakan di dalam Negara. Proses mencetak di dalam Negara akan menurunkan harga barangan tulen. Harga yang berpatutan akan menggalakkan pembeli memilih barangan tulen berbanding dengan barangan tiruan. Walaupun para pengeluar mengatakan bahawa mereka akan mengalami  kerugian kerana harga yang rendah tetapi dalam jangka masa panjang, langkah ini tetap tidak merugikan. Hal ini demikian kerana jumlah penjualan akan meningkat dan keuntungan akan meningkat juga makala kegiatan cetak rompak akan semakin berkurang.

   Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan perlu melaksanakan hukuman penjara mandatori terhadap pengedar dan penjual cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak. Langkah yang tegas ini adalah untuk membanteras gejala cetak rompak. Hal ini demikian kerana salah satu alasan kegiatan ini berterusan adalah kerana mereka tidak takut akan pihak penguat kuasa atau undang-undang. Hukuman yang terlalu ringan adalah faktor utama kegiatan menjual barangan atau produk haram itu masih berleluasa di Negara ini. Dengan itu, langkah mengenakan hukuman penjara mandatory mungkin akan lebih berhasil berbanding dengan hanya mengenakan hukuman denda.

      Penguatkuasaan hendaklah dijalankan dengan lebih efektif. Barangan rampasan seperti mesin pencetak cakera padat video dan cakera padat digital hendaklah dihapuskan dengan serta-merta. Hal ini adalah untuk mengelakkan mesin-mesin tersebut jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, pihak penguat kuasa juga hendaklah memastikan bahawa mesin-mesin pencetak untuk kegiatan cetak rompak tidak dapat dibawa masuk ke Negara kita. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala ini daripada terus berleluasa.

      Sememangnya sukar untuk menyelesaikan masalah cetak rompak. Sekiranya semua pihak ingin menghapuskan kegiatan ini, kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat mesti menjadi keutamaan. Pengeluar, pembeli, pihak penguat kuasa, dan pihak yang melaksanakan undang-undang harus bertindak tegas dan tidak teragak-agak semasa menjatuhkan hukuman kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak.

Masalah Pengangkutan Awam Di Negara Malaysia

10:02:00 0
 

Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama. 

      Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut. 

      Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai. 

      Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. 

     Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.

     Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”. 

     Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan

09:47:00 1
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. 

Contoh lain : 
  1. Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara  
  2. Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menggalakkan Industri Pelancongan di Malaysia
  3. Kelebihan Malaysia Sebagai Destinasi Pelancongan
  4. Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan

Pemanasan Global

07:33:00 1

Difinisi

Pemanasan global merupakan satu fenomena pemerangkapaan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau yang mana kumpulan gas ini menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Sifat kumpulan gas ini ialah membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahangan bumi ke atmosfera. Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida dan lain-lain. Kebiasaannya, fenomena pemanasan global dapat dirasai dengan lebih jelas di kawasan kutub utara dan selatan, kawasan pembangunan perindustrian, kawasan perbandaran dan banyak lagi tempat dunia.
 
Punca-punca berlakunya pemanasan global
 
1. Perindu
strian
  • Aktiviti perindustrian merupakan punca utama kepada fenomena pemanasan global. Pembakaran bahan api fosil seperti gas dan arang batu bagi menggerakkan mesin dan jentera telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas karbon dioksida. 
  • Semakin banyak gas karbon dioksida dihasilkan, semakin banyak haba yang dan terperangkap oleh lapisan gas lalu meningkatkan suhu udara secara global.
2. Pengangkutan
  • Kenderaan bermotor kini merupakan pengangkutan utama bagi manusia memudahkan pergerakan mereka di bumi ini. 
  • Penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak sebagai bahan bakar utama bagi menggerakkan enjin kenderaan khususnya minyak tanpa plumbum telah banyak membebaskan gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida
3. Pembakaran hutan
  • Kegiatan pembakaran hutan secara besar-besaran dan berleluasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi menjalankan aktiviti pertanian, petempatan atau sebagainya telah menyumbang kepada pemanasan global 
  • Pembakaran hutan telah menyebabkan imbangan kandungan oksigen dengan karbon dioksida tidak seimbang. Lebihan karbon dioksida terjadi dan berlakulah pemanasan global  
  • Asap yang terbebas ke angkasa daripada pembakaran hutan juga mengandungi banyak gas karbon dioksida.
4. Pertanian dan perternakan
  • Aktiviti pertanian yang menggunakan racun-racun serangga dan baja kimia secara berlebihan. 
  • Penggunaan racun-racun serangga dan baja kimia yang secara berlebihan ini telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas metana.  
  • Kegiatan perternakan juga menyebabkan berlakunya pemanasan global. Hasil buangan najis haiwan ternakan seperti kambing dan lembu telah menghasilkan dan membebaskan banyak gas metana ke angkasa.
5. Letusan gunung berapi
  • Selain punca pemanasan global yang disebabkan oleh aktiviti manusia terdapat juga disebabkan oleh faktor semulajadi iaitu letusan gunung berapi. 
  • Letupan gunung berapi yang banyak mengeluarkan asap dan debu yang mengandungi banyak gas rumah hijau contohnya karbon dioksida, gas karbon monoksida, gas sulfur dioksida dan sebagainya telah menyumbang kepada berlakunya pemanasan global. 
  • Contoh gunung berapi yang pernah meletus ialah Gunung Tambore di Sumbawa dan Gunung Krakatoa di Selat Sunda.
Kesan-kesan akibat pemanasan global

1. Pencairan litupan salji dan glasier
  • Peningkatan suhu secara global sudah tentu akan mencairkan litupan salji dan glasier di kawasan-kawasan pergunungan dan kedua-dua kutub. 
  • Kenaikan air laut akibat pencairan ais berupaya memberi dampak yang dahsyat seperti kejadian banjir besar terhadap negara-negara kepulauan contohnya Fiji dan Maldives serta negara-negara pada ketinggian yang rendah contohnya Belanda dan Bangladesh. 
  • Akibat pencairan ais yang menyebabkan kejadian banjir besar ini akan mengakibatkan kemusnahan bukan sahaja nyawa manusia dan harta benda akan musnah tetapi bekalan makanan seperti tanah-tanah pertanian yang subur akan turut termusnah.
2. Tanah hilang kesuburan
  • Suhu bumi yang tinggi menyebabkan tanah-tanah yang subur menjadi tandus dan tidak sesuai bagi aktiviti pertanian. 
  • Pokok-pokok tanaman juga tidak dapat hidup dengan subur seterusnya mengurangkan hasil pertanian. 
  • Walaupun hanya berlaku perubahan kecil pada suhu, taburan hujan dan sinaran matahari,ia boleh menyebabkan hasil pertanian terjejas teruk, sekaligus mengancam bekalan makanan dunia.
3. Kemarau
  • Kekeringan sumber air permukaan bumi/ kemarau menyebabkan proses sejatan tidak mempunyai wap-wap air untuk membentuk awan yang tebal bagi menurunkan hujan. 
  • Kadar hujan berkurangan, udara menjadi kering dan persekitaran menjadi panas. Dalam keadaan udara kering memudahkan terbentuknya jerebu/ partikulat-partikulat terampai. 
  • Pemanasan global mengakibatkan peningkatan suhu di Lautan Pasifik. Hal ini mengubah pola tiupan angin lazim dari darat ke laut akibat perbezaan tekanan yang hebat. 
  • Kesannya angin kencang bertiup ke barat Pasifik menyebabkan cuaca panas dan angin lembab pula bertiup ke timur Pasifik menyebabkan kejadian ribut, banjir dan taufan.