Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Faedah/ Kepentingan/ Kelebihan Melancong Dalam Negara

21:06:00 19
Kata orang, “Jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita mengenepikan destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk berdarmawisata? Oleh yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya jika kita sebagai warga Malaysia melancong dalam negara.

Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita telah mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan. Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum rakyat Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap seperti lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada rumput-rumput yang sedang diragut.

Di samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan  menawarkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion keluaran dalam negara kasar  (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi oleh banyak faktor seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya, pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik.

Jika kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke luar negara, kita memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian. Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya kita diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita. Deduksinya, jika hendak  melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar.

Tambahan pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Konklusinya, pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan. Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk memajukan industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan demi kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menggalakkan Industri Pelancongan di Malaysia

21:00:00 0
Dasawarsa, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Oleh yang demikian, bagi memastikan sektor pelancongan terus mekar, pelbagai pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk berganding bahu memajukan sektor ini.

Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Tamsilannya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.

Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Marcapada, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaiatu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.

Selain kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti perkidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak seiring dengan prakarsa kerajaan menarik kemasukan pelancongan  dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selari dengan harapan pelancong yang datang. Kita tidak mahu senario, indah khabar dari rupa akan menjahanamkan usaha promosi yang telah dilakukan. Maka, para pengusaha tempat penginapan hendaklah menyediakan kemudahan yang kondusif selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf lima bintang mahu pun penginapan inap desa. Seterusnya, para pengusaha pengangutan awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar menyediakan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang mesra kepada para pelancong. Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam amat kita kesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.

Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Oleh itu, mahajana hendaklah menyokong aktiviti pelancongan domestik kerana bertepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara. Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

Konklusinya, budaya bahu-membahu antara pihak kerajaan, swasta, dan warga tempatan penting demi kelangsungan sektor pelancongan domestik. Kita berkeyakinan bahawa pada masa akan datang adalah tidak mustahil industri pelancongan tempatan akan standing dengan negara-negara yang telah sedia tersohor dalam bidang pelancongan. Oleh itu,  kita berharap agar destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi akan setanding dengan Pulau Bali di Indonesia. Akhirul kalam, impak daripada kemakmuran sektor pelancongan sudah pasti akan menguntungkan rakyat tempatan yang akan menerima tempias limpahan rezekinya.

Contoh lain : 
  1. Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara  
  2. Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menggalakkan Industri Pelancongan di Malaysia
  3. Kelebihan Malaysia Sebagai Destinasi Pelancongan
  4. Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan

Perpaduan

16:35:00 0
PENDAHULUAN
 
Negara kita Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa. Malaysia turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza. Majoriti terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal tempat tumpah darah mereka.
Dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1966, namanya ditukar kepada ”Malaysia”. Beberapa jenis flora dan fauna di bumi subur beriklim tropika ini sukar ditemui di tempat lain. Hasil komoditinya menjadi idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar bahan-bahan mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik dalam lingkaran laluan dagangan antarabangsa.
Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai, tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama.
Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila mereka cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta. Begitu juga semasa mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing.
Banyak usaha dilakukan untuk mengembalikan semula kehidupan tanpa tekanan pihak luar yang rakus kuasa dan benda lantaran tamak haloba untuk mengaut kekayaan dan mengikis hasil negara. Beberapa kemudahan disediakan oleh kuasa asing yang kononnya untuk membangunkan negara agar boleh dinikmati oleh anak-anak pribumi, tetapi sebenarnya hanyalah helah penjajah. Penjajah sanggup membawa biji-biji benih pokok getah untuk ditanam di sini kerana buminya subur dan sesuai. Pelbagai alat dan kelengkapan canggih ketika itu dibawa masuk untuk memudahkan kerja-kerja mencari dan menggali khazanah galian seperti bijih timah, besi, arang batu, emas dan sebagainya. Mereka meredah segala ceruk negara untuk mencari dan mengaut kekayaan yang sangat tinggi nilainya. Mereka membina lingkaran pengangkutan darat, laut dan udara untuk memindah dan memunggah kekayaan perut negara ini ke tempat mereka. Kilang-kilang dibina untuk mengumpul, memproses, memilih dan membawa keluar hasil komoditi terbaik, sementara yang tinggal hanyalah sisa-sisanya sahaja. Mereka membawa masuk buruh-buruh asing dari pelbagai negara terutama dari China dan India untuk mendapatkan hasil dengan lebih cepat tanpa mementingkan bermacam masalah yang akan memberi kesan kepada kehidupan, perpaduan dan keharmonian penduduk tempatan.
Semangat untuk mendapatkan kemerdekaan tidak luntur dalam jiwa bangsa Melayu walaupun terpaksa menghadapi rintangan pihak penjajah dan orang tempatan sendiri. Orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Yang Mulia Tunku Abd. Rahman Putra Al Haj tidak jemu-jemu mencari jalan terbaik dan rela bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk mencapai kemerdekaan. Hasilnya pada tanggal 31 Ogos 1957, ‘Bapa Kemerdekaan’ kita telah melaungkan kalimah keramat ”MERDEKA” dan diulang suara oleh rakyat dari pelbagai bangsa dan keturunan dengan penuh kesyukuran. Bendera ”Union Jack ” diturunkan dan berkibar megah ”Jalur Gemilang” kemegahan rakyat jelata. Tanah Melayu mula diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan mempunyai sistem pemerintahan dan perlembagaannya yang tersendiri.
Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi kemerdekaan dan memajukan bumi tercinta setelah sekian lama ditadbir oleh penjajah. Bermacam-macam rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Namun begitu terjadi beberapa peristiwa yang tidak diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak tertentu yang enggan memberi kerjasama untuk membendungnya. Jesteru, maka perpaduan kaum dan integrasi nasional adalah isu dan agenda utama pemimpin dan seluruh warga negara Malaysia.
DEFINISI:
Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.
Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan saksama.
MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL.
Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”
Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi ”Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada negara’. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk ”Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang” iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja.
HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK PERPADUAN DAN INTEGRASI.
Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia. Di antaranya ialah;
  • Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya dan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.
  • Dasar Penjajah British: Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.
  • Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masingmasing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di samping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.
  • Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara terancam.
  • Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memmperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syak wasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.
  • Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu dan Cina.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG TELAH DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN DALAMMENYUBURKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN DI MALAYSIA
PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagaiMajlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru.
Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”
Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifatsifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.
Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan..
USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT

Program Pemuafakatan Masyarakat –
Program pemuwafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program-program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, Makan Beradab, gotong royong, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Hari Keluarga dan Sukan Rakyat –
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.
Acara kebudayaan dan kesenian-
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat, persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.
Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali-
Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.
Aktiviti Riadah -
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, larian, Perarakan Sambutan Maulidur Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama masyarakat.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAHSekolah Penyayang –
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar.
Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) –
Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.
Penyertaan Dalam Kokurikulum –
Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam persatuan, permainan dan pakaian seragam. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tetrtentu semasa mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih dari pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam usaha untuk membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin, berharmoni bersatu padu dan berintegrasi.
Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan –
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara.
Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah–
Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumahrumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanakkanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.
Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah–
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.
PENUTUP:
Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun negara.
Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warga negara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia.
Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Contoh lain : 
  1. Perpaduan kaum di Malaysia 
  2. Peranan Remaja untuk Memupuk Semangat Perpaduan
  3. Perpaduan 
  4. Usaha-Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum

Usaha-Usaha Untuk Memupuk Perpaduan Kaum

16:23:00 5
Dalam mengharungi arus globalisasi serta menerajui dunia ketiga, kita sayugia memperkasakan keeratan serta perpaduan kaum di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya rusuhan kaum. Justeru, variasi kaum haruslah bergerak sederap bagai aur dengan tebing sebagai satu sinergi menjurus ke wawasan 2020. Menurut kata Perdana Menteri yang keenam, keakraban rencaman kaum merupakan penawar yang paling mujarab bagi menyemarakkan keakraban kaum bak kata pepatah’ bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat’. Selain itu, sinergi daripada semua pihak berganding bahu melakukan usaha-usaha yang proaktif dan efektif dalam merealisasikan aspirasi rakyat seantero Malaysia.

Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilaksanakan bagi memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia?
Dalam mengharungi arus pemodenan, usaha yang efisien harus dibuat bagi membentuk perpaduan kaum di negara kita. Pihak keraajaan mempunyai peranan dalam merealisasikan perpaduan kaum. Usaha kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka peringkat kebangsaan untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia amat dialu-alukan. Menurut Perdana Menteri kita, konsep Satu Malaysia dapat dijayakan melalui majlis sebegini. Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, sarwajagat negara kita yang tediri daripada pelbagai kaum memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan mengitimkan hubungan mereka dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Tuntasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.


Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.

Sejajar dengan konteks perbicaraan, dengan menganjurkan program Hari Keluarga, semangat muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat disemarakkan. Agenda program ini bertujuan untuk mewujudkan nilai keakraban dan membendung sikap diskriminasi. Serentak dengan itu, menerusi program hari keluarga ini, pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dapat berkomunikasi serta bertukar-tukar idea dan pendapat berkaitan dengan sesuatu isu. Sebagai contoh, sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara juga dapat melibaatkan diri dalam sambutan Hari Keluarga. Di samping itu, kerajaan juga boleh mengadakan sambutan ini khas untuk kakitangan kerajaan. Jelaslah bahawa usaha-usaha dalam membentuk perpaduan kaum di Malysia boleh direalisasikan dengan program Hari keluarga yang berpotensi untuk memperkasakan hubungan antara kaum di negara kita.

Seiring dengan itu, system pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang pintas untuk merealisasikan hasrat ini. Pengenalan satu system pendidikan yang sama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan perpaduan kaun. Selain itu, sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil juga mempercepat proses perpaduan kaum. Sebagai contoh, aktiviti kumpulan yang dijalankan dapat memperkasa hubungan kaum di peringkat sekolah. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia iaitu bahasa rasmi negara kita sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain seperti slogan bahasa jiwa bangsa. Izharnya, memang tidak boleh kita nafikan bahwa sistem pendidikan negara kita menjadi pemangkin dalam proses memperkasa hubungan sesama kaum.

Dari kaca mata yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah satu langkahh dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita dalam mencapai perpaduan kaum. Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yakni Melayu, Cina dan India. Rakyat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka dari aspek pemakanan, pemakaian, dan peradaban serta berkongsi dengan kaum-kaum lain. Sebagai contoh, semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis dan kuliah-kuliah. Makanan India seperti roti canai dan tose juga semakin diminati oleh kaum yang lain. Oleh itu, kemasukan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Sebagai intiha, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus bergerak sederap, seia sekata dalam iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Rakyat adalah aset negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi Wawasam 2020.

Strategi Untuk Memajukan Sektor Pertanian [Syarahan]

07:47:00 1

Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, dif-dif kehormat, tuan-tuan, puan-puan dan hadirin sekalian, assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mengudang saya untuk memberi ceramah tentang Sektor Pertanian dan Asas Tani. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan tentang strategi untuk memajukan sektor pertanian dan industri asas tani supaya sektor tersebut menjadi sector yang moden dan berdaya saing.

Hadirin sekalian,
      Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian dan industri asas tani telah dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi Nasional, kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan juga mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara. Sesungguhnya, banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian ini.  

     Pelbagai langkah boleh diambil untuk memajukan sektor pertanian dan industri asas tani di Negara Malaysia supaya sektor ini menjadi sektor yang moden dan berdaya saing. Antaranya ialah peranan Kementerian Pertanian dan sektor swasta. Langkah-lagkah yang boleh dibuat oleh pihak Kementerian Pertanian dan sektor swasta ialah dengan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di pusat-pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan industri asas tani. Mereka perlulah memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik dan sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita dengan menggunakan bioteknologi yang canggih. 

Hadirin yang dihormati,
      Dalam memajukan sektor pertanian dan industri asas tani juga, salah satu faktor penting ialah modal. Modal atau sumber kewangan memainkan peranan penting bagi menjalankan pertanian secara perladangan ataupun pekebun kecil. Pinjaman boleh dibuat melalui skim pinjaman berkadar faedah rendah yang disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro yang menyediakan pinjaman bagi pekebun kecil. Dengan modal yang mencukupi, pekebun kita akan dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia untuk menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh itu, dengan bantuan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. 
  
     Selain itu, sistem pengagihan perlu disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Sistem pengagihan penting supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi peladang digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada para petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu, pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna. Selain daripada itu, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita. Sistem pengagihan yang teratur dapat memantapkan harga produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab. 

     Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya hasil pertanian mereka hanya sekadar sara diri dan mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Bagi mengikut rentak perkembangan industri, petani kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih demi meningkatkan produktiviti. Langkah ini dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan meningkatkan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti penggunaan padi hibird dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara umumnya, kaum petani perlulah disuntik semangat transformasi dalam diri mereka menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.

     Selain itu juga, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini bagai “menyelam sambil minum air”. Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara. 

Hadirin yang budiman,  
     Sebagai kesimpulanya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini menjadi sector yang moden dan berdaya saing. Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan dan langkah yang berkesan bagi mengelakkan sector pertanian dan asas tani di negara kita menghadapi masalah.

Sekian, terima kasih.

Cadangan Mengadakan Hari Derma Darah [Kertas Cadangan]

05:31:00 0
CADANGAN MENGADAKAN HARI DERMA DARAH

1.0   Pengenalan  
Sebagai sebuah organisasi di tempat pekerjaan, kami berasa bertanggungjawab untuk menghulur dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dan bercadang untuk mengadakan Hari Derma Darah sebagai salah satu aktiviti social tahunan. Dengan mengadakan aktiviti tersebut dapat memberi kepentingan kepada masyarakat mahupun kepada pekerja di tempat pekerjaan ini sendiri.

2.0   Objektif Program
Program ini mempunyai objektif seperti berikut : 

2.1    Menimbulkan kesedaran kepada masyarakat bahawa menderma darah merupakan satu amalan yang mulia dan mampu membantu menyelamatkan nyawa seseorang. 
2.2    Membantu masyarakat dalam mengetahui kebaikan dalam menderma darah.
2.3   Membolehkan masyarakat mengenal pasti kepentingan menderma darah kepada tubuh badan.

3.0    Faedah Program
Antara faedah menderma darah:
  3.1   Antara manfaat utama adalah melindungi jantung dengan mengurangkan tekanan oksidatif Kajian Persatuan Perubatan Amerika Syarikat menunjukkan, derma darah dapat mengurangkan lebihan atau sisa zat besi dalam darah yang menyebabkan kerosakan sel dan tisu. Malah, peningkatan oksidatif itu amat membahayakan sistem kardiovaskular. Pengurangan ancaman sakit jantung akibat kerap menderma darah, boleh dilihat terutama bagi penderma yang tidak merokok.

  3.2    Menangani ancaman kanser Menderma darah membantu mengurangkan risiko kanser. Pusat Miller-Keystone Darah, mendapati pendermaan darah yang konsisten, dikaitkan dengan risiko rendah untuk mendapat kanser, termasuk hati, paruparu, kolon, perut, dan tekak. Tahap risiko semakin menurun dengan kekerapan pendermaan darah dilakukan penderma. Kaitan antara risiko kanser yang lebih rendah dan menderma darah juga mungkin berpunca daripada pengurangan tekanan oksidatif. Perlu diketahui, sebatian radikal bebas boleh merosakkan DNA dan kerosakan bahan genetik menjadi punca kepada ancaman semua jenis kanser.

  3.3   Kajian awal dari Jerman mencadangkan individu obes boleh meningkatkan tahap kesihatan mereka dengan menderma darah. Kajian itu mendapati orang gemuk dengan sindrom metabolik, mengalami penurunan tekanan darah, bersama-sama dengan perubahan lain yang dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit jantung. Sindrom metabolik adalah koleksi gejala yang dikaitkan dengan penyakit jantung, termasuk gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi, dan tahap rendah kolesterol `baik'. Sindrom ini dikaitkan dengan peningkatan risiko strok, penyakit arteri koronari dan diabetes Jenis 2. Rawatan utama adalah untuk pengurangan berat badan.


   3.4   Membantu melawan hemochromitosis Hemochromitosis sejenis gangguan genetik, dikenali    juga sebagai gangguan zat besi sarat, yang mana besi terkumpul dalam tisu badan lantaran metabolisme besi tidak sempurna. Keadaan ini boleh membawa kepada kerosakan organ.

4.0   Tarikh
  4.1 Tarikh : 23 Mac 2013
  4.2 Hari : Sabtu
  4.3 Masa :Rujuk 7.0 Program Tentatif
  4.4 Tempat : Dewan Hospial Besar Kota Bharu

5.0   Penderma
Anggaran penderma adalah seramai 200 orang. Semua ahli organisasi bersama-sama masyarakat tempatan yang mengambil bahagian dalam program Hari Derma Darah ini.

6.0   Penceramah dan Tetamu Kehormat/Jemputan
  6.1    Penceramah
      (i) Dr. Ahmad bin Hj Hassan dari Hospital Besar Kota  Bharu,Kelantan.
     (ii) En. Amin bin Abdullah dari Universiti Teknologi MARA, Kelantan.

  6.2   Tetamu Kehormat/Jemputan
      (i) Menteri Besar Kelantan
     (ii) Pegawai Daerah Kota Bharu
     (iii) Ketua Perubatan Hospital Kota Bharu

7.0   Program Tentatif 

Tarikh/hari
Masa
Aktiviti
23 Mac 2013
Sabtu
7.30 pagi – 9.00 pagi
Pendaftaran
9.30 pagi – 10.00 pagi
Acara Pembukaan Hari Derma Darah - Ucapan dan Perasmian
10.30 pagi – 11.30 pagi
Ceramah 1
11.30 pagi – 12.00 tengah hari
Ceramah 2
12.00 tengah hari – 1.00 petang
Makan Tengah Hari
2.00 petang – 6.00 petang
Aktiviti Derma Darah
6.00 petang – 7.00 petang
Acara Penutup dan Pemberian Cendera Mata


8.0   Kewangan
Kewangan ditanggung oleh organisasi tempat kerja sepenuhnya.

9.0   Ahli Jawatankuasa Organisasi
        Ketua Organisasi : Zakaria bin Othman
        Timbalan Ketua : Seman bin Abdullah
        Pengerusi Majlis : Ahli bin Mamat
        Setiausaha : Aminah binti Hassan

AJK Pelaksana : 

      i) Pendaftaran : Ahmad bin Hambali
     ii) Jamuan : Asmah binti Omar
    iii) Jemputan dan Sambutan : Kursiah binti Kadir


10.0   Penutup

Pihak kami berharap agar program Hari Derma Darah ini mendapat sokongan dari pihak tuan. Pihak kami juga berharap bahawa program ini akan behasil dan mencapai objektifnya.

Disediakan oleh,


(AMINAH BINTI HASSAN)
Setiausaha
4 Januari 2013

Disemak dan disokong oleh,

(SEMAN BIN ABDULLAH) 

Timbalan Ketua
7 Januari 2013

Diluluskan oleh,

(ZAKARIA BIN OTHMAN)
Ketua Syarikat
9 Januari 2013