Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar tunjang kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya mementingkan profesion dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari pendapatan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini menyebabkan ,seseorang anak itu kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Anak juga sebenarnya tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh mereka itu betul ataupun salah, baik atau buruk, akibat daripada tiada bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala buli. Tambahan pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada ibu bapa juga melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak berperikemanusiaan sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap orang lain tanpa mempunyai rasa belas kasihan.
Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga mendorong berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli tentang hal ehwal peajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti gejala buli. Kelonggaran kawalan disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang untuk melakukan apa-apa saja perkara secara bebas tanpa rasa takut. Kekurangan penghayatan nilai–nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja terlibat dalam gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini disebabkan, seseorang pelajar yang mempunyai nilai moral dan agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala yang negatif. Tambahan pula, kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga membentuk remaja yang kurang berakhlak dan tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam kehidupan.
Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Tambahan lagi, di samping mengejar kesenangan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga seharus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk peribadi anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli yang berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan semua. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mencari jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga perlu diketatkan dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti penglibatan dalam gejala buli.
Seterusnya, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung gejala ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes buli ini. Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh hal itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
https://bit.ly/2QsZY4U
ReplyDelete