Keburukan Pengambilan Gula Secara Berlebihan - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Keburukan Pengambilan Gula Secara Berlebihan

Berpaksikan laporan daripada Kementerian Kesihatan, setiap rakyat Malaysia telah mengambil gula sebanyak 47 kg pada tahun 2010.  Secara analogi, rakyat Malaysia mengambil gula terlampau banyak jika berbanding dengan negara jiran dan negara maju. Sebagai contoh, rakyat Jepun hanya mengambil gula sebanyak 18 kg  setahun sahaja.  Ketika harga gula dinaikkan daripada RM1.60 tahun 2009  hingga RM 2.40  pada Mei 2011, rakyat Malaysia terkilan dan merungut atas kenaikan harga gula sehingga berasa runsing.  Padahal, masyarakat kita perlu  menyedari kesan negatif tentang pengambilan gula secara berlebihan.

     Sesungguhnya, gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari, banyak orang suka makan makanan atau minuman yang sangat manis. Sebaliknya gula merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita sentiasa mengambil makanan yang manis, kita berpeluang besar untuk menghidap penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis.  Setakat ini, belum ada lagi ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya. Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak,  iaitu  ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai pesakit diabetes.  Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis. Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut. Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan.

     Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan,  pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan  kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”.  Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.

     Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat daripada rakyat kita yang suka mengambil  makanan dan minuman yang manis.  Saban tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi kemiskinan di luar bandar.  Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan, khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak berbaloi.

     Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu mengambil tindakan  segera sebelum nasi menjadi bubur.  Untuk menangani masalah tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula. Melalui ceramah, iklan,  dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan  makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Oleh itu,  kempen kesedaran yang berkala sangat penting untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.

     Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula di pasaran tempatan. Kerajaan harus  berani menghadapi tekanan politik dengan membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang.  Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia. Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar. Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi dimanjakan  sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara diberikan subsidi.

     Secara intihanya,  kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah, rakyat sihat negara maju.

No comments:

Post a Comment