Amalan-Amalan Gaya Hidup Sihat Terhadap Remaja - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Amalan-Amalan Gaya Hidup Sihat Terhadap Remaja

Kesihatan bukan sahaja berkaitan dengan bebas daripada penyakit tetapi juga memiliki pemikiran yang cerdas bersama-sama emosi yang stabil. Pemilikan kesihatan yang baik penting buat remaja kerana tahap kesihatan ketika usia mudalah yang akan menentukan tahap kesihatan mereka pada masa tua kelak. Untuk mendapatkan kesihatan yang baik, remaja harus melakukan amalan yang baik untuk perkembangan fizikal, mental dan emosi.

     Antara amalan yang yang harus dilakukan ialah remaja      perlu mempunyai disiplin diri yang baik. Maksud disiplin dalam aspek ini ialah remaja itu mematuhi jadual belajar, menghormati orang tua, guru, rakan-rakan dan peraturan budaya serta undang-undang negara. Remaja yang berdisiplin sebegini pasti tidak akan terjebak dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat dalam kehidupan mereka lalu mampu memiliki tahap kesihatan yang baik. Maka, amalan disiplin yang baik menjadikan seseorang remaja itu mempunyai kesihatan yang baik.

     Selain itu, remaja juga perlulah mengamalkan cara hidup yang sihat. Konsep cara hidup yang sihat ini meliputi makanan yang seimbang, melakukan riadah dan aktiviti kemasyarakatan. Sudah banyak kajian yang membuktikan bahawa amalan cara hidup yang sihat menjadikan diri seseorang itu lebih positif dan mampu menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik lagi. Sesungguhnya, cara hidup yang sihat menjamin kesihatan yang seimbang kepada remaja di negara ini.

     Malahan, amalan mempelajari dan mematuhi ajaran agama merupakan satu lagi amalan yang turut mampu menguatkan kesihatan seseorang itu. Semua ajaran agama menekankan aspek keseimbangan kehidupan seseorang  supaya mampu menjalani satu kehidupan yang baik di dunia dan akhirat kelak. Sikap mematuhi amalan agama memberikan remaja satu matlamat hidup yang mampu meninggikan tahap kesihatan mereka pada masa yang serupa pula. Jadi, sikap mematuhi ajaran keagamaan boleh memberi remaja satu kepuasan dalam hidupnya yang berupaya juga meningkatkan tahap kesihatan.

     Remaja juga perlu bersikap tegas terhadap tindakan-tindakan negatif yang wujud dalam kehidupan mereka. Sikap suka merokok, melepak, dadah dan jenayah haruslah dikikis dalam minda remaja. Ketegasan remaja dalam semua aspek di atas itu mampu menjauhi remaja daripada sebarang kemelut sosial yang melanda negara ini lalu memberikan kesihatan yang baik kepada remaja juga. Bukan sahaja remaja sihat tetapi mereka seolah-olah sedar keperluan atau kepentingan hidup mereka di dunia ini.

     Amalan murni yang penting diamalkan seterusnya ialah  remaja hendaklah mampu mengawal emosinya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Ketenangan inilah yang memberikan remaja satu pemikiran yang rasional dan rela berbincang apabila mengalami sesuatu kemelut dalam hidup mereka. Semua tindakan yang diambil ketika berfikir rasional mampu memberikan satu persepi baru yang boleh menunjukkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi itu. Oleh itu, sikap rasional ketika melakukan sesuatu tindakan boleh menjadikan kesihatan seseorang itu lebih baik.

     Kesimpulannya, semua amalan yang positif ini perlu dilaksanakan oleh remaja. Kesihatan remaja yang mengamalkan semua amalan ini pasti baik kerana bukan sahaja tubuh mereka sihat tetapi emosi serta pemikiran mereka turut menerima impak positifnya. Remaja yang sihat sebeginilah yang diperlukan oleh negara dalam mengharungi cabaran kehidupan moden kini.

4 comments: