Kebaikan Dan Keburukan Kafe Siber - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Kebaikan Dan Keburukan Kafe Siber

Komputer dan teknologi maklumat(IT) sudah dianggap sinonim dengan kemajuan tamadun masa kini.Berikutan itu,perkhidmatan internet telah menjadi darah daging bagi mereka yang ghairah mengejar kemajuan.Seiringan dengan itu,pelbagai perniagaan yang bersangkut paut dengan teknologi maklumat muncul bagai cendawan tumbuh berceracak selepas hujan.Antaranya, termasuklah kafe siber.
 

Pada asasnya, kafe siber merupakan restoran yang menyediakan berbagai-bagai kemudahan komputer kepada para pengunjungnya untuk mendapatkan maklumat dalam internet dan seumpamanya sambil menikmati hidangan makanan dan minuman.Kewujudan kafe siber telah membuka peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk menikmati kepelbagaian aplikasi internet yang ditawarkan.
 

Walaupun internet merupakan fokus utamanya di kafe siber,terdapat juga perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti menaip,permainan komputer,dan kursus penggunaan komputer.Menerusi perkhidmatan-perkhidmatan ini pengguna didedahkan kepada cara-cara penggunaan komputer yang betul.Selain itu , melalui internet kita akan dapat memperoleh pelbagai maklumat dari seluruh pelosok dunia dengan hanya menekan butang-butang pada papan kekunci komputer.Hal inilah merupakan kelebihan internet untuk membentuk masyarakat bermaklumat.Malah internet juga turut membolehkan seseorang berhubung dengan manusia di seluruh pelosok dunia melalui perkhidmatan e-mel.
  

Namun di sebalik kebaikan tersebut,terdapat juga aspek-aspek negatifnya yang turut menuntut pihak pengusaha agar melakukan penapisan dan pengawalan terhadap pelanggan yang cenderung menyalahgunakan kemudahan yang disediakan. Walau bagaimanapun yang lebih penting adalah kesedaran yang ada pada pihak pengguna.Justeru,ketika meluncur di ruang siber,pihak pengguna tidak seharusnya menerima unsur-unsur negatif yang terhidang,apatah lagi membantu untuk menyebarkannya.
 

Terdapat juga pengguna yang cuba mengeksploitasikan kecanggihan teknologi internet di kafe siber untuk mewujudkan dan menyebarkan khabar-khabar angin,menyebarkan mesej yang bersifat menghasut,menceroboh serta membangunkan laman web lucah.Malah ,terdapat segelintir pengguna yang menggunakan internet untuk menjalankan aktiviti haram seperti skim cepat kaya,skim piramid,surat berantai dan baru-baru ini perjudian ala kasino melaui internet.Sementelahan itu,yang paling dikhuatiri ialah ketaksuban golongan remaja,lebih-lebih lagi pelajar sekolah yang sanggup ponteng sekolah hanya sekadar untuk melepak dan berseronok-seronok dengan melayari internet di kafe-kafe siber.Justeru ,ibu bapa perlu memainkan peranan agar anak-anak mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif di kafe siber.
 

Konklusinya,walaupun kafe siber ditubuhkan dengan niat baik untuk melahirkan masyarakat yang celik komputer,namun jika disalahgunakan akan membawa padah yang mampu merosakkan akhlak dan minda masyarakat.Oleh itu, pihak pengurusan kafe siber mempunyai tanggungjawab sosial untuk mengelakkan perkara ini dan bukannya mementingkan keuntungan semata-mata lalu “tutup sebelah mata’ asalkan pengunjungnya mampu membayar untuk perkhidmatan yang disediakan.

1 comment: