Blog Rujukan Untuk Pelajar Dalam Menulis Esei

Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menggalakkan Industri Pelancongan di Malaysia

Dasawarsa, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Oleh yang demikian, bagi memastikan sektor pelancongan terus mekar, pelbagai pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk berganding bahu memajukan sektor ini.

Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Tamsilannya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.

Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Marcapada, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaiatu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.

Selain kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti perkidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak seiring dengan prakarsa kerajaan menarik kemasukan pelancongan  dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selari dengan harapan pelancong yang datang. Kita tidak mahu senario, indah khabar dari rupa akan menjahanamkan usaha promosi yang telah dilakukan. Maka, para pengusaha tempat penginapan hendaklah menyediakan kemudahan yang kondusif selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf lima bintang mahu pun penginapan inap desa. Seterusnya, para pengusaha pengangutan awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar menyediakan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang mesra kepada para pelancong. Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam amat kita kesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.

Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Oleh itu, mahajana hendaklah menyokong aktiviti pelancongan domestik kerana bertepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara. Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

Konklusinya, budaya bahu-membahu antara pihak kerajaan, swasta, dan warga tempatan penting demi kelangsungan sektor pelancongan domestik. Kita berkeyakinan bahawa pada masa akan datang adalah tidak mustahil industri pelancongan tempatan akan standing dengan negara-negara yang telah sedia tersohor dalam bidang pelancongan. Oleh itu,  kita berharap agar destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi akan setanding dengan Pulau Bali di Indonesia. Akhirul kalam, impak daripada kemakmuran sektor pelancongan sudah pasti akan menguntungkan rakyat tempatan yang akan menerima tempias limpahan rezekinya.

Contoh lain : 
  1. Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara  
  2. Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menggalakkan Industri Pelancongan di Malaysia
  3. Kelebihan Malaysia Sebagai Destinasi Pelancongan
  4. Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan
Share:

0 comments:

Post a Comment