March 2014 - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Kesan-Kesan Masalah Buli Dan Langkah Mengatasinya

07:13:00 14
Gejala buli semakin di sekolah semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu bapa. Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli mental dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti buli yang melibatkan kutuk-mengutuk, ejek-mengejak, dan menyindir seseorang. Buli fizikal pula melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli di sekolah.

     Pada pendapat saya, kesan utama gejala buli di sekolah ialah pelajar-pelajar yang dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan pembuli.  Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Jelaslah bahawa kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah.

     Selain itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana  mereka sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli.  Ini menyebabkan prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan.

     Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes yang tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh diri di dalam rumahnya di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah mendedahkan kesengsaraannya akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa wangnya dirampas pada hari Isnin, hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula baju uniform dikoyakkan, hari Khamis badannya disimbah dengan darah, dan, hari Jumaat semuanya telah berakhir. Hari Sabtu dia telah mendapat kebebasan. Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri.

     Gejala buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini hendaklah dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala buli di sekolah adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap saling menghormati dan bertolenransi pada setiap masa. Kasih sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan sempurna. Anak yang berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak akan tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah menyemai ajaran-ajaran yang baik dan berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

     Seterusnya, peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah diperhebat. Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru kaunseling kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru tersebut. Oleh itu, guru bimbingan dan kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan dan memberikan kaunseling motivasi kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya, mangsa buli tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Dengan ini, guru bimbingan dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat.

     Selanjutnya, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan ke atas mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan perlakuan buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak  atau digantung persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga.

    Kesimpulannya, masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.

Punca Dan Cara Mengatasi Gejala Buli

06:58:00 1
Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.

     Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar tunjang kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya mementingkan profesion dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari pendapatan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini menyebabkan ,seseorang anak itu kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Anak juga sebenarnya tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh mereka itu betul ataupun salah, baik atau buruk, akibat daripada tiada bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala buli. Tambahan pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada ibu bapa juga melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak berperikemanusiaan sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap orang lain tanpa mempunyai rasa belas kasihan.

     Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga mendorong berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli tentang hal ehwal peajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti gejala buli. Kelonggaran kawalan disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang untuk melakukan apa-apa saja perkara secara bebas tanpa rasa takut. Kekurangan penghayatan nilai–nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja terlibat dalam gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini disebabkan, seseorang pelajar yang mempunyai nilai moral dan agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala yang negatif. Tambahan pula, kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga membentuk remaja yang kurang berakhlak dan tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam kehidupan.

     Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan  atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Tambahan lagi, di samping mengejar kesenangan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga seharus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk peribadi anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.

     Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli yang berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan semua. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mencari jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga perlu diketatkan dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti penglibatan dalam gejala buli.

     Seterusnya, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung gejala ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes buli ini. Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.

     Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh hal itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Punca-Punca Kenaikan Harga Barang

10:30:00 2
Ketika menongkah arus globalisasi yang semakin mencabar, negara kita tidak dapat melepaskan diri daripada belenggu inflasi, iaitu kenaikan harga barang secara holistik. Senario ini bukan sahaja memberikan beban kepada rakyat jelata, terutama golongan yang berpendapat rendah yang terpaksa hidup bagai kain basah kering di pinggang.  Duri dalam daging ini perlu dicabut dalam masyarakat kita sebelum parah, rusuhan akibat daripada inflasi yang berlaku di luar negara  harus menjadi iktibar di negara kita.  Sebelum mengatur langkah untuk menangani masalah ini, biarlah pihak berkuasa menyusuri  punca-punca kenaikan harga barang di negara kita.
 

Kata orang tua-tua, “ada asap, ada api”. Setiap kemusykilan pasti ada pangkal pokoknya. Salah satu faktor prioriti yang menyebabkan inflasi ialah kenaikan harga minyak.  Tidak dapat dinafikan bahawa harga minyak petroleum telah naik secara drastik di pasaran antarabangsa, sehingga pernah mencecah US $144 setong pada tahun 2007.  Hal ini memangkinkan kegiatan penyeludupan minyak petrol dan diesel yang telah disubsidikan oleh kerajaan itu  ke negara jiran kita. Lantaran kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak petrol dan diesel  untuk mengurangkan beban kewangan.  Penyeludup yang tamak  telah menyebabkan rakyat jelata mengalami penderitaan.  Hal  ini sama dengan peribahasa, “ orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getah.” Kenaikan minyak yang sebagai kos pengangkutan yang terutama akan memberikan kesan yang amat besar kepada harga barangan. Walhasilnya,  harga semua barangan turut naik dengan serentak.
 

Sesungguhnya, bencana alam juga merupakan punca yang mencetuskan kenaikan harga barang. Ketika berlakunya banjir atau kemarau yang berpanjangan, hasil tanaman pasti berkurangan.  Sebagai contoh, ketika dilanda musim tengkujuh, harga sayur-sayuran akan naik secara mendadak. Sayur sawi pernah mencecah harga sebanyak RM8 sekilo manakala cili merah kini telah mencecah harga RM15 sekilo sebagai harga runcit.   Sejak beberapa tahun ini, negara pengeluar makanan terutama seperti negara Thai, Rusia, India dan Kanada sering mengalami pelbagai musibah yang  berkaitan dengan pemanasan global. Hasil tanaman mereka mengalami kemerosotan. Akibatnya, kerajaan negara berkenaan sanggup mengehadkan eksport hasil tanaman dan ternakan  seperti beras, bahan tenusu, tepung gandum, bawang dan lain-lain ke luar negara sehingga harga barang makanan di pasaran antarabangsa turut menjulang.  Rentetan daripada itu, rakyat kita terpaksa membeli barang makanan yang semakin mahal.
 

Tambahan pula, kenaikan mata wang asing berbanding dengan mata wang Malaysia telah menyumbang kepada gejala ini.  Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam.  Peniaga  negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing.  Sebagai realiti, negara kita terpaksa berurus niaga dengan negara asing melalui US dolar.  Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang agak rendah.  Tidak dapat dinafikan bahawa mahu tidak mahu, kita tetap perlu membeli pelbagai barang keperluan dari luar negara kerana tidak dapat dihasilkan di dalam negara kita sendiri, seperti tepung gandum.
 

Lebih-lebih lagi,  ada peniaga yang bersikap tamak haloba sering memasang jerat untuk meningkatkan harga barang.  Demi meragut keuntungan yang lumayan,  terdapat banyak peniaga sentiasa menangguk di air keruh dengan menyorok barangan keperluan. Mereka enggan menjual barang keperluan di pasaran lalu menimbulkan suasana yang gelisah dalam kalangan pengguna bahawa sudah kehabisan stok. Pengguna yang  seperti cacing kepanasan akan merebut untuk membeli barangan itu sehingga peniaga berani menaikkan harga untuk menjual barang itu.  Hal ini sering berlaku  dalam masyarakat kita.  Barangan keperluan seperti beras, gula, dan tepung sering  menjadi sasaran kepada peniaga yang sentiasa menunggu peluang.
 

Kita semua sedar bahawa permintaan pasaran lebih tinggi daripada bekalan akan tercetusnya inflasi.  Sehubungan dengan itu, pengguna kita juga perlu  bertanggungjawab dalam konteks ini.  Rakyat Malaysia tidak memiliki kesedaran tentang ilmu kepenggunaan.  Mereka sering membeli-belah dengan berdasarkan nafsu dan bukan berpaksikan keperluan.  Sebagai contohnya, ketika musim perayaan,  penduduk Malaysia sering membeli barangan secara berlebihan  sehingga berboros kerana tidak dapat menghabiskannya.  Tamsilnya, mereka sering merebut daging ayam dan telur.  Mereka membuat kuih-muih dan juadah dengan terlalu banyak.  Apabila permintaan di pasaran lebih banyak daripada bekalan,  harga barang naik secara drastik lagi.  Siapakah yang menjadi mangsa?  Tepuk dada tanya selera.  Kenapa perayaan tidak boleh diraikan secara sederhana?  Bukankah hubungan yang intim sekeluarga lebih penting daripada  menyediakan makanan yang melambak?  Ingatlah peribahasa, “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.”
 

Untuk melepaskan diri daripada belenggu inflasi,  pihak kerajaan, terutama Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna harus bertindak bijaksana  seperti menarik rambut di dalam tepung untuk menangani masalah ini daripada terus menular. Kerjasama pihak pengguna, peniaga dan prihatin pihak berkuasa amat signifikan untuk meminimumkan inflasi sehingga mencapai inflasi sifar. Hal ini memang selaras dengan aspirasi 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sebab-Sebab Pelajar Tidak Suka Membaca Buku Bahasa Klasik

10:21:00 0
Pada era globalisasi yang membawa pelbagai pembangunan,  buku-buku bahasa klasik semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan pelajar. Buku-buku bahasa klasik seperti Si Lucai dan Pak Kanduk yang pernah menjadi teman kanak-kanak zaman silam kini tidak disukai atau diminati oleh pelajar kita lagi. Apakah punca yang menyebabkan pelajar kita tidak menghargai khazanah kesusasteraan tanah air kita? Adakah kita sanggup membiarkan buku-buku bahasa klasik lenyap dan ditelan dalam pengedaran zaman?

     Bak kata peribahasa, “ada asap, ada apinya”. Salah satu faktor yang menyebabkan pelajar kini tidak meminati buku bahasa klasik ialah mereka sukar memahami atau menghayati isi kandungan cerita klasik.  Hal ini terjadi demikian kerana generasi muda sekarang tidak dapat menguasai bahasa klasik yang penuh dengan diksi bahasa klasik, bahasa Arab, bahasa  Sanskrit dan bahasa istana.  Cerita bahasa klasik yang sarat dengan kata bahasa klasik seperti arakian, hatta, kalakian dan sebagainya tentu mengelirukan pelajar kita yang hanya menguasai bahasa baku. Tambahan pula, gaya bahasa dalam buku prosa tradisional  jauh berbeza dengan  cerpen atau novel  dewasa ini.   Ternyata, kebanyakan prosa  klasik merupakan sastera lisan yang diwarisi secara turut temurun. Lantarannya, karya tersebut tidak berpaksikan tatabahasa moden. Kebanyakan ayat disusun dengan ayat songsang atau inversi menyebabkan pelajar tidak dapat memahami konteks ayat itu Gara-gara sukar memahami kandungan cerita klasik  itu, kebanyakan pelajar akan meremehkan buku bahasa klasik yang dianggap tidak praktikal dalam zaman modenisasi ini.

     Tidak dapat dinafikan bahawa latar masyarakat dipaparkan dalam  cerita klasik jauh berbeza dengan latar  masyarakat pelajar sekarang, bagai langit dengan bumi.  Kebanyakan prosa tradisional memperlihatkan latar masyarakat kerabat diraja seperti Raja Muda,  masyarakat pahlawan yang berkuasa ghaib seperti Awang Suluh Muda, masyarakat feudal yang taat setia  seperti Hang Tuah serta masyarakat jahil seperti Pak Kanduk.  Latar masyarakat tersebut tidak sebati dengan kehidupan remaja kita yang sedang menempuhi modenisasi dan globalisasi yang sarat dengan persaingan dan cabaran. Justeru, sesetengah pelajar sukar menerima prosa klasik yang memperlihatkan latar masyarakat yang berlainan dengan realiti hidup mereka.  Bagaimanapun, pelajar kita lebih menerima karya fiksyen yang berlatarkan masyarakat sains dan teknologi yang canggih.

     Lebih-lebih lagi kebanyakan prosa klasik masih mengandungi mitos atau dongeng yang tidak masuk akal.  Senario ini berlaku demikian kerana terpengaruh oleh agama Hindu pada zaman dahulukala.  Walaupun cerita-cerita itu telah “diislamkan” tetapi masih mengandungi kepercayaan tahayul.  Contohnya, dalam Sejarah Melayu,  Bat yang dikeluarkan daripada muntah lembu putih itu telah mengajarkan segala adat kerabat diraja kepada Sang Sapurba  di Bukit Siguntang.  Dalam Hikayat Seri Rama,  seekor kera yang bernama Hanuman  yang berilmu jadi-jadian telah banyak membantu Seri Rama untuk berlawan dengan Rawana.   Ternyata cerita-cerita berkenaan adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.   Sesetengah ibu bapa dan guru pun tidak dapat menerima cerita plot tersebut apatah lagi menggalakkan anak buah mereka membaca buku bahasa klasik.

     Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar kita terdedah kepada  lambakan informasi dan hiburan.  Pelajar kita terlalu leka dalam pelbagai permainan siber dan komputer.  Mereka pun sibuk mengikut arus hiburan trend semasa, terutama bidang muzik dan filem.  Selain membaca buku teks dan buku rujukan,  mereka sudah jarang berjinak-jinak dengan buku karya sastera seperti antologi cerpen, sajak, dan novel.  Jangan harapkan mereka hendak menyelami buku bahasa klasik lagi. Sebagai kenyataannya, pelajar lebih suka membaca bahan bacaan picisan,  terutama majalah yang mengisahkan cerita gosip tentang artis, komik yang penuh dengan unsur lucah dan ganas atau bersensasi murah.  Amalan membaca pelajar sekarang cenderung kepada “budaya makanan segera”, iaitu mudah difahami dan tidak perlu memeras otak untuk berfikir.  Sehubungan dengan itu, buku bahasa klasik tidak diminati oleh pelajar yang sibuk untuk mencapai akademik yang cemerlang.

     Lebih-lebih lagi, pencapaian akademik dan kokurikulum  yang merupakan prasyarat melanjutkan pelajaran turut menyumbang kepada masalah tersebut. Senario ini terjadi demikian kerana setiap pelajar menggembleng tenaga untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik masing-masing. Untuk mencapai A+ dalam semua mata pelajaran, mereka sibuk membuat latihan yang membukit, menyiapkan projek sekolah,  menelaah pelajaran dan menyertai kelas tuisyen.  Hakikatnya, prosa tradisional hanya diuji dalam kertas Bahasa Malaysia  yang hanya 8 mata sahaja dalam 240 mata  kertas Bahasa Malaysia SPM.  Dalam masa yang sama, mereka juga perlu bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum mereka. Mereka perlu bermesyuarat, berkempen, berkhemah, berceramah , berkawad kaki, menjalani pelbagai latihan dan lain-lain lagi.  Dalam situasi ini, pelajar tidak mungkin meluangkan masa untuk membaca buku bahasa klasik yang tidak berkaitan dengan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka .

     Secara tuntasnya, karya sastera klasik merupakan aset yang tidak ternilai kepada kebudayaan dan tamadun bangsa kita. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bertanggungjawab untuk membangkitkan minat orang ramai terhadap karya sastera klasik semula, khususnya golongan pelajar.  Antaranya, semua karya tersebut boleh diterjemahkan atau diolah kepada animasi supaya pelajar kita dapat menghayati karya kreativiti  nenek moyang kita.  Seperti peribahasa, “Tak kenal maka tak cinta”.  Lantarannya, pelajar akan ditaburkan benih minat dalam sanubari mereka supaya berminat untuk membaca karya bahasa klasik kita untuk lebih memahami bangsa dan budaya kita.

Cara-Cara Menggalakkan Pengguna Tempatan Membeli Barangan Malaysia

10:16:00 0
Ketika  menyambut hari Kemerdekaan yang ke-53, sebagai rakyat Malaysia kita berasa bangga kerana ibu pertiwi kita telah berjaya melepaskan diri daripada belenggu penjajah dan berjaya menempa nama di persada dunia.  Salah satu kejayaan tanah air kita ialah barang buatan Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kereta buatan Malaysia seperti Myvi dan Proton telah dijual di banyak negara, termasuk England, Australia dan lain-lain lagi. Ironinya, rakyat Malaysia masih ragu-ragu terhadap kualiti barangan Malaysia. Lantaran,  semua pihak yang terlibat patut mengaturkan strategi yang bersepadu untuk menggalakkan rakyat kita membeli barangan Malaysia supaya mata wang Malaysia tidak mengalir ke luar negara.

Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster,  menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”  Dengan propaganda daripada pihak media,   kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”

Untuk menjamin kualiti barangan Malaysia dan memberikan jaminan tentang mutu barangan Malaysia, para pengusaha sama  ada kaum petani, pengusaha industri kecil dan sederhana serta usahawan korporat harus memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan mereka sebagai belanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).  Pengusaha kita harus mengaplikasikan budaya R&D sebagai budaya perniagaan mereka.  Mereka harus berusaha meningkatkan mutu barangan hasil mereka sama ada bahan pertanian, penternakan atau buatan kilang sehingga mencapai kriteria ISO atau SIRIM.  Dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia bukan sahaja perlu bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam. Selain kualiti,  para pengusaha harus sentiasa meneliti, mengkaji dan menyiasat cinta rasa trend semasa, keinginan pasaran serta pembungkusan yang unik.  Perniagaan yang tradisional tidak dapat bersaing dalam dunia perdagangan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif.   Salah contoh yang nyata ialah setiap tahun, Syarikat Nokia dan Apple telah berbelanja  berpuluh-puluh bilion ringgit dalam penyiasatan dan pembangunan supaya produk mereka sentiasa di takuk mercu di pasaran dunia. Lantaran R&D  merupakan pendekatan yang ampuh untuk mengadaptasikan barangan Malaysia kepada pasaran tempatan dan dunia. Seperti pepatah Cina, “ketika menongkah arus, kita  tidak maju ke depan bermaksud kita telah mundur.”

Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat ialah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna.  Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik  dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa waswas. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen  pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke masa.   Hakikatnya,  Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3  telah  berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang.  Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia.

Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jasco, Tesco, Mertojaya, Parkson dan sebagainya boleh  mengadakan jualan megah atau jualan murah  tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya.  Para pelancong juga turut terpukau oleh potong harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Hal ini bagai menyelam sambil minum air.

Sementelahan pula,  pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara boleh disuntik kepada generasi muda kita.  Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Hunydai.  Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa.  Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

Natijahnya,  rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan:  1Malaysia Menjana Transformasi. Seisi negara patut seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita. Marilah kita berbangga terhadap barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

Usaha-usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak

10:13:00 0
Ketika negara kita melangkah ke arah pembangunan fizikal yang pesat,  ilmu kepenggunaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di takuk yang lama dan tidak mengalami anjakan paradigma. Walhasilnya, pengguna kita sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab lagi licik. Lebih-lebih lagi, segelintir peniaga kita sanggup menangguk di air keruh terhadap pengguna kita ketika negara kita dilanda tsunami kewangan.  Apabila peniaga kita meraih keuntungan yang bagai tikus jatuh ke gudang beras, pengguna yang tidak berdosa turut menjadi mangsa dalam gelombang inflasi.  Sesungguhnya, rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak.

     Untuk melahirkan pengguna yang bijak,  media massa memainkan peranan yang signifikan.  Sama ada pihak media elektronik seperti televisyen atau pihak media cetak terutama akhbar perlu  menerapkan pengetahuan atau hak-hak pengguna kepada khalayak ramai. Hal ini demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat kita. Dengan bantuan media,  pengguna akan mengetahui cara-cara yang berkesan untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh peniaga.  Sehubungan dengan itu, pihak media harus menyiarkan iklan, rencana, wawancara, forum dan ceramah tentang hak pengguna. Lantaran, suri ramah tangga yang merupakan golongan pengguna yang terbesar turut mendapat pengetahuan tentang ilmu kepenggunaan dan tidak seperti katak di bawah tempurung.

     Badan-badan NGO perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  untuk mengadakan “Kempen Pengguna Yang Bijak”. Dalam konteks ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) perlu memikul amanah untuk mengadakan kempen tersebut dari semasa ke semasa supaya orang ramai benar-benar mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Aktiviti tentang ceramah, pameran, forum, persidangan, pertandingan koir, peraduan melukis poster dan menulis esei tentang hak pengguna harus diadakan bersempena dengan kempen tersebut.  Khalayak ramai akan mengetahui cara untuk menuntut pampasan ketika membeli barangan atau mendapat perkhidmatan yang tidak bermutu. Orang ramai juga diberitahu tentang cara untuk membuat aduan ketika menghadapi penyelewengan peniaga seperti menaikkan harga dengan sesuka hati, menjual barangan yang telah lapuk tarik, menjual barangan yang tidak selamat atau mengancam kesihatan mereka. Keyakinan perlu diberikan kepada pengguna supaya berani menuntut hak mereka, dengan prinsip  “berani kerana benar”.

     Selain itu,  kurikulum  dan kokurikulum  tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak.  Kata orang tua-tua, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Lantas, ilmu kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar kita ketika masih di bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan pengetahuan tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga digalakkan supaya menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun jagung dan berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini amat penting supaya anak muda kita  akan menjadi jauhari yang mengenal manikam, iaitu menjadi pengguna yang bijak. Gara-garanya ketika melangkah ke kedewasaan, golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh pengguna yang tamak dan tidak beramanah.

     Walaupun hak pengguna telah dimaktubkan dalam perundangan negara kita, tetapi pengguna yang kedangkalan pengetahuan sering menjadi mangsa dalam dunia perniagaan yang hanya mengutamakan riba dan terus mengabaikan etika mereka.  Rentetan daripada itu, pengguna kita harus bijak berbelanja tanpa diheret oleh pemiutang akibat hutang keliling pinggang.  Pengguna harus sentiasa membanding harga  di premis yang berbeza  sebelum membeli belah. Pengguna harus membeli barangan dengan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Ketika berbelanja, pengguna dinasihati supaya menyediakan belanjawan  dan senarai barangan yang perlu dibeli. Pendekatan ini sungguh mustahak agar kita tidak berbelanja secara berlebihan terutamanya menghadapi jualan megah, jualan murah dan promosi yang istimewa. Ingatlah peribahasa,  “mulut disuap pisang, buntut dikaitkan onak.” Jangan kita mudah terpengaruh oleh pujukan jurujual yang berbahasa manis. Eloklah kita meminimumkan penggunaan kad kredit supaya tidak membeli barangan mewah yang tidak berguna.  Natijahnya pengguna yang bijak perlu sentiasa mengukur baju pada badan sendiri tanpa berbelanja secara berlebihan sehingga  berhutang kepada ceti haram atau ceti halal, iaitu syarikat kad kredit.

     Bak kata peribahasa, “alah membeli menang memakai” harus dihayati oleh umat sejagat.  Setiap pengguna harus mementingkan kualiti barangan yang dibeli. Misalnya, ketika membeli sesuatu benda, kita perlu memperoleh maklumat tentang produk itu dan mengkaji kandungannya , tarikh lupuk serta fungsi penggunaan.  Barangan yang disahihkan oleh SIRIM atau ISO (Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa) sepatutnya menjadi pilihan kita. Pengguna yang bijak harus mengutamakan faktor keselamatan, kesihatan dan mesra alam terhadap sesuatu produk. Tamsilnya kita tidak akan membeli sesuatu produk yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar seperti pakaian kulit binatang liar, alat penghawa dingin yang mengeluarkan CFC dan sebagainya kerana kita juga pengguna alam sekitar.  Dengan kata lain pengguna yang bijak perlu menitikberatkan kualiti barangan yang tahan lama, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.

     Secara tuntasnya, pengguna yang bijak perlu mengetahui hak asasi pengguna  dan ilmu kepenggunaan.  Pengguna bertanggungjawab untuk membela nasib sendiri. Pengguna harus berani bersuara dan bertindak ketika dianiayai oleh peniaga yang berniat jahat. Kempen Konsumen  Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema, ”Perubahan Bermula Dengan Saya” harus dihayati oleh setiap pengguna.

Peranan Anak untuk Membahagiakan Keluarga

10:09:00 0
Setelah mendepani gelombang globalisasi yang penuh dengan ranjau dan onak duri, hubungan institusi kekeluargaan semakin renggang. Hal ini turut mencetuskan pelbagai sindrom sosial yang bagai duri dalam daging masyarakat kita, terutamanya penganiayaan kanak-kanak, lari dari rumah, mat rempit, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa sering diberikan amanah yang berat untuk memperkukuh ikatan institusi kekeluargaan. Bagiamanapun, bertepuk sebelah tidak akan berbunyi. Anak yang masih kecil juga perlu memikul tanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Hal ini seiring dengan kata-kata mutiara, “Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan.” Lantaran itu, anak yang kecil juga perlu dicelikkan peranan mereka dengan mengubah sikap mereka untuk menjayakan program rumahku, syurgaku.
 

Salah satu peranan yang prioriti anak untuk menjamin kebahagiaan keluarga adalah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana tingkah laku anak yang sopan dapat melegakan ibu bapa yang menghadapi pelbagai persaingan dalam kerjaya mereka. Hal ini selaras dengan peribahasa, “ yang merah itu saga, yang kurik itu kundi, yang baik itu bahasa, yang indah itu budi.” Sehubungan dengan itu, setiap anak perlu sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan berhemah tinggi untuk melayani ibu bapa mereka. Kita tidak patut bertengkar dengan adik-beradik sehingga merisaukan orang tua kita. Sebagai jantung hati ibu bapa, anak hendaklah bersalam kepada orang tua dan mesti meminta kebenaran daripada mereka sebelum membuat sesuatu keputusan. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir anak, seperti “ terima kasih”, “maafkan saya”, “bolehkah saya”, “tolong” dan lain-lain lagi. Segala penat lelah ibu bapa akan reda ketika menghadapi anak mereka yang berperangai murni . Tegasnya, tingkah laku anak yang berjati diri dan berbudi bahasa dapat meningkatkan keharmonian dalam rumah.
 

Selain itu, anak perlu mendukung tanggungjawab untuk meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah tangga. Pada alaf baru yang sentiasa berkompetitif, kebanyakan ibu telah bekerja di luar di samping memainkan peranan sebagai suri rumah tangga. Senario ini menyebabkan mereka sentiasa menghadapi lambakan kerja yang tidak pernah habis. Sebagai anak yang bertimbang rasa, kita juga patut melakukan kerja-kerja rumah tangga untuk meringankan beban ibu yang disayangi. Sebagai contoh, kita boleh menyapu rantai, mencuci baju dan kasut sekolah , mengelap tingkap, mencuci kereta malah memasak. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing harus diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Bagaimanapun, kebanyakan remaja sekarang meremehkan kerja rumah tangga malah keadaan bilik mereka berselerakan. Ibu bapa yang penat dan sibuk dengan kerja rumah tangga pasti tidak mungkin dapat menaruh kasih sayang kepada anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan kata lain, anak yang sanggup melakukan kerja-kerja rumah tangga dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan keluarga.

Seterusnya, anak yang bertanggungjawab hendaklah berdisiplin dan menjauhi kegiatan yang negatif. Sejak kebelakangan ini, ibu bapa sentiasa gelisah dan risau akan anak mereka yang terlibat dalam pelbagai kemelut sosial, tamsilnya gengsterime, vandalisme, melepak, mat rempit, merokok bahkan menagih dadah. Hubungan ibu bapa dengan anak semakin tegang dan tidak mesra lagi ketika ibu bapa asyik menegur perbuatan anak mereka yang tidak sihat. Sebelum senario ini terjadi, anak perlu ada kesedaran  dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Golongan remaja dan belia harus memiliki keimanan sebagai pedoman bagai jauhari yang mengenal manikam. Ajakan syaitan dan bisikan iblis harus dijauhi dengan mendalamkan ajaran agama. Ketika menghadapi sesuatu dilema, anak perlu meminta nasihat daripada ibu bapa atau adik-beradik mereka. Seandainya anak dapat mengamalkan prinsip yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan, mereka pasti dapat melepaskan diri daripada kepompong sindrom sosial. Perselisihan dalam keluarga pasti dapat diminimumkan. Walhasilnya, anak yang berdisiplin dapat memastikan keamanan keluarga mereka.
 

Di samping itu, salah satu peranan anak adalah menghargai jasa ibu bapa mereka. Nilai kesyukuran perlu ada pada setiap insan. Kata orang yang bijak pandai, “orang yang bersyukur ialah manusia yang bahagia kerana dapat menikmati segala kurniaan-Nya.” Rentetan daripada itu, setiap anak perlu menghargai segala nikmat yang diperoleh. Mereka perlu mengenang jasa ibu bapa seperti peribahasa, “hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”. Untuk berterima kasih kepada ibu bapa yang mengasuh, membimbing dan mendidik kita, sebagai anak, kita harus taat dan hormat kepada mereka. Ketika hari jadi ibu bapa, anak boleh membuat kad hari jadi kepada mereka. Anak boleh membeli hadiah kepada ibu bapa dengan wang saku. Kad yang berharga satu dua ringgit itu membawa makna yang tidak ternilai kepada penerima kerana anak itu sedar akan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Ketika Hari Bapa atau Hari Ibu, adik-beradik boleh menyediakan hidangan yang disukai oleh ibu bapa untuk mengambil hati mereka. Natijahnya, anak perlu menghargai jasa ibu bapa mereka dan berusaha membahagiakan mereka.
 

Sementelahan, anak berkewajipan untuk belajar dangan bersungguh-sungguh. Anak yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sukan dapat mengharumkan nama keluarga. Ibu bapa akan berasa bahagia dan berpuas hati ketika anak mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian anak merupakan impian setiap ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyekolahkan anak mereka supaya anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai pelajar, anak perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh, ibarat genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. Kepandaian atau kecerdikan setiap orang adalah berbeza tetapi usaha tangga kejayaan. Jika setiap anak dapat menelaah pelajaran dengan tekun dan teliti, pelajaran mereka pasti dapat menuju ke arah kegemilangan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala usaha yang pahit dapat melahirkan buah yang manis. Kecemerlangan anak dalam pelajaran turut membantu mereka memperoleh biasiswa sehingga meringankan beban ibu bapa untuk menanggung kos pendidikan anak. Dengan kata lain, anak perlu belajar dengan tekun untuk mengharumkan nama keluarga.
 

Secara tuntasnya, anak memainkan peranan yang penting untuk membahagiakan keluarga mereka. Anak yang bersopan, bertanggungjawab, berdisiplin, rajin dan menghargai jasa ibu bapa dapat mencambahkan keluarga yang sakinat. Walau bagaimanapun, setiap anggota keluarga perlu bermuafakat seperti peribasasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang utuh dan sejahtera. Atas persefahaman dan kerjasama setiap anggota keluarga, progaram “Rumahku, Syurgaku” dan “Semakin Hari Semakin Sayang” baru dapat direalisasikan.

Manfaat Dasar 1 Murid 1 Sukan

10:11:00 1
Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

      Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S  diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini.

       Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar ini.

     Jika kita singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

     Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.

      Pada masa yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.

       Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa  kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.

Kejayaan Malaysia Dalam Pelbagai Bidang

10:05:00 5
Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang. Kalau dijejaki atau ditelusuri, begitu banyak kejayaan membanggakan dicapai dan dilakukan rakyat Malaysia dalam rentang masa 55 tahun kemerdekaan negara. Kejayaan-kejayaan luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu menandingi kejayaan yang ditempa oleh orang Barat yang jauh lebih maju daripada kita. Persoalannya, apakah kejayaan-kejayaan yang diraih oleh nusa tercinta ini?

Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. Di Malaysia, terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd (PERODUA). Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. Perusahaan ini secara tidak langsung telah dapat meningkatkan pendapatan negara kita. Tegasnya, bidang automobil negara menjadi salah satu mercu kejayaan negara.

Selain itu, kejayaan Malaysia turut dapat dilihat melalui pembinaan bangunan yang menjadi kebanggaan negara. Pembangunan negara yang bergerak pantas bagai belut diketil ekor dapat dilihat melalui pembinan bangunan-bangunan yang tinggi terutamanya di ibu kota metropolitan, Kuala Lumpur. Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala Lumpur. Ciri-ciri istimewa kedua-dua menara ini telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun. Pendek kata, pembinaan bangunan yang tersergam gah telah membuktikan kejayaan negara dicapai.

Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT II.  Pelancaran satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang mempunyai satelit angkasanya sendiri. Bukan itu sahaja, program penghantaran angkasawan negara yang pertama iaitu  Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Program ini telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata pelajaran sains dan teknologi. Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang angkasawan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya, penerokaan negara dalam bidang angkasa lepas juga merupakan salah satu kejayaan negara yang patut dibanggakan.

Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama Malaysia di seantero dunia. Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, PUTRA, monorel, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. KLIA ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, monorel dan PUTRA menjimatkan masa, wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur. Ringkasnya, kecanggihan sistem pengangkutan dan perhubungan negara turut menjadi kayu ukur kejayaan negara pada alaf ini.

Kejayaan negara yang seterusnya ialah kejayaan dalam bidang sukan. Sukan negara semakin rancak apabila banyak atlet negara yang berjuang bermati-matian  untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Pemain sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David. Kini, Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di dunia, khasnya Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton profesional di Malaysia. Beliau selalu menyertai pertandingan badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang. Jadi, izharlah bahawa peningkatan pencapaian yang cemerlang oleh atlet-atlet negara berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.

Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa negara kita telah meraih kejayaan dalam pelbagai bidang yang menakjubkan. Pencapaian yang menakjubkan dalam bidang perusahaan automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, bidang aeroangkasa, bidang pengangkutan dan perhubungan, dan bidang sukan membolehkan rakyat negara kita bertanding dengan kejayaan yang ditempa oleh orang Barat. Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia menghadapi segala cabaran untuk mencapai Wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang dan berharap agar kejayaan luar biasa ini juga dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia agar lebih berani untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di  dunia.

Punca-Punca Berlakunya Obesiti

20:35:00 1
Obesiti dapat ditakrifkan sebagai seseorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Dalam erti kata lain, obesiti ialah badan yang tidak ideal dengan ketinggian. Pada zaman yang semakin pesat dengan revolusi perindustrian seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, semakin banyak remaja yang menghadapi masalah obesiti. Kebanyakan remaja pada zaman sekarang kurang menjaga bentuk atau fizikal badan mereka. Fenomena ini terjadi kerana para remaja suka makan makanan segera yang tinggi dengan kalori. Remaja menganggap bahawa obesiti sebagai satu fenomena biasa. Buktinya, Institut Jantung Negara (IJN) dalam kajiannya pada tahun 2007 melaporkan bahawa 60 peratus remaja telah menghidap penyakit jantung pada tahun tersebut. Sepatutnya, setiap individu perlu berpegang teguh serta mengamalkan cogan kata yang berbunyi badan sihat, otak cerdas. Persoalannya, apakah punca-punca masalah kegemukan dalam kalangan remaja yang semakin mewabak pada era ini?

Punca masalah obesiti dalam kalangan remaja semakin merebak pada masa ini ialah para remaja tidak mempraktikkan amalan pemakanan seimbang. Pada zaman revolusi perindustrian ini, banyak syarikat makanan segera yang berkalori tinggi dan berlemak tinggi. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka senang dan gembira dengan perkembangan perindustrian makanan segera ini kerana mereka tidak sempat menyediakan makanan untuk anak-anak lantaran berkejar-kejar ke tempat kerja. Jadi, anak-anak dibekalkan dengan makanan segera seperti sosej, nuget, burger dan sebagainya. Senario ini dapat dibuktikan apabila pensyarah dari Unit Makanan dan Kesihatan Universiti Malaya telah membuat bancian mengenai gaya pemakanan harian bagi remaja. Hasilnya, sebanyak 70 peratus remaja yang ibu bapanya bekerja terpaksa mengambil makanan segera sebagai makanan harian. Jelaslah bahawa ibu bapa pada zaman ini lebih mengutamakan hal-hal lain daripada anak sendiri ibarat anak kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan. Tuntasnya, remaja zaman ini yang tidak mengamalkan pemakanan seimbang telah menatijahkan obesiti dalam kalangan mereka.

Punca lain bagi masalah kegemukan dalam kalangan remaja kini ialah mereka tidak bersukan dan beriadah. Fenomena ini terjadi kerana mereka leka dengan hiburan daripada kaca televisyen dan corong-corong radio, lebih selesa tidur malah sikap mereka sendiri yang malas untuk bersukan atau beriadah. Remaja yang malas juga tidak suka bersukan mahupun bersosial dengan masyarakat luar. Remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang langsung tidak mendatangkan faedah. Buktinya, kita sering melihat remaja kini lebih cenderung melepak, merokok, merayau-rayau dan sebagainya. Mereka berpelesiran ke sana dan ke sini seperti tiada arah tujuan. Sikap ini tentulah tidak mendatangkan kesedaran kepada para remaja untuk menjaga kesihatan diri. Pendek kata, jelaslah bahawa remaja yang kurang gemar bersukan dan beriadah telah menyumbang kepada masalah obesiti yang melanda Malaysia pada alaf baharu ini.

Punca lain tercetusnya masalah kegemukan dalam kalangan remaja juga adalah kerana sikap remaja itu sendiri. Sikap remaja yang tiada pendirian dan suka terpengaruh menyebabkan mereka suka mengambil makanan ringan. Bukan itu sahaja, remaja juga tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang implikasi yang bakal dihadapi oleh mereka jika terlalu banyak mengambil makanan yang berlemak serta berkalori tinggi yang akhirnya akan mengundang penyakit obesiti. Mereka terlalu mengikut hawa nafsu. Apabila syarikat pengeluar makanan segera mencipta produk baharu, mereka akan mengiklankan produk itu kepada orang awam. Cara ini telah menyebabkan remaja terpengaruh oleh iklan-iklan yang yang indah khabar daripada rupa. Unit Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyatakan  bahawa remaja sekarang kurang kesedaran terhadap kesihatan diri mereka. Ringkasnya, sikap remaja itu sendiri akan mengundang masalah obesiti.

Kegemukan dalam kalangan remaja juga berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka. Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh sehingga mengikut telunjuk mereka. Apabila anak-anak hendak makan apa-apa pun, ibu bapa akan memberikannya walaupun makanan tersebut tidak berkhasiat dan kurang sesuai dengan tumbesaran anak-anak mereka. Ibu bapa akan memenuhi hasrat anak-anak yang ingin makanan segera seperti yang terdapat di Restoren McDonald, Pizza, KFC dan lain-lain lagi. Unit Kesihatan dari Hospital Universiti Malaya telah membuat kajian mengenai ayam goreng di KFC bahawa ayam tersebut mengandungi garam yang tinggi, lemak yang tinggi serta berkalori tinggi yang mengundang sahaja mengundang obesiti malah turut mengundang penyakit kronik yang lain. Konklusinya, kegemukan dalam kalangan remaja bertitik-tolak daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Secara intihanya, beberapa punca yang telah dibincangkan menjadi pencetus masalah obesiti di negara kita. Masalah ini kian serius dan membimbangkan semua pihak. Oleh itu, ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak mereka makan makanan yang berkhasiat. Masyarakat juga haruslah melakukan anjakan paradigma supaya tubuh badan mereka sihat selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin melahirkan insan yang badan cergas, minda cerdas. Kerajaan juga boleh mengadakan kempen secara besar-besaran mengenai keburukan obesiti ini. Kempen yang dijalankan juga sewajarnya secara berketiak ular dan bukan bermusim sahaja atau seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Komitmen daripada semua pihak sudah pasti dapat merealisasikan usaha negara untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam menuju Wawasan 2020 yang kita semua impikan.

Punca Penularan Gengsterisme Dalam Kalangan Remaja

02:59:00 1
Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. "Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan  retorik yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Malangnya, dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala gengsterisme. Gengsterisme atau samseng dapat ditakrifkan sebagai perlakuan ganas yang mencederakan fizikal dan menjejaskan emosi serta mental seseorang seperti memukul, membuli, mengugut dan sebagainya. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, kes gengsterisme juvana telah meningkat sebanyak 11 kes pada tahun 2013 berbanding pada tahun 2012. Peningkatan ini menyukarkan usaha negara untuk mencapai impian menjadi negara kelas pertama. Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyifarkan kemelut sosial ini  tetapi usaha ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat sehingga hari ini. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, jadi sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.

            Punca dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh. Kebanyakan remaja pada hari ini mempunyai stigma bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Hal ini terjadi kerana ibu bapa pada alaf ini sering mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama tidak penting berbanding dengan pendidikan akademik yang dianggap sebagai tiket kejayaan anak-anak pada masa hadapan. Sikap ini menunjukkan bahawa terdapat ibu bapa yang semakin alpa akan tanggungjawab hakiki mereka dalam membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak mereka yang diumpamakan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan tingkah laku anak–anak sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya. Berlandaskan sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini maka tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran. Mereka beranggapan bahawa amalan ini membuang masa dan tidak membantu mereka untuk mencapai kejayaan duniawi. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja pada hari ini lebih bertuhankan hiburan dan keseronokan duniawi semata-mata seperti melibatkan diri dalam ‘Black Metal’. Jika situasi ini berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas. Memetik kata-kata seorang tokoh cendekiawan, “Petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut mencintai hiburan.” Keimanan remaja yang senipis kulit bawang menyebabkan kehidupan mereka terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda lantaran mereka tidak dapat membezakan dosa dan pahala lalu mereka akan bertindak untuk menyakiti dan mengasari individu lain demi kepentingan dan keseronokan diri sendiri. Tegasnya, didikan agama yang tidak mantap mampu mendorong kepada penularan gejala gengsterime di negara ini.

            Selain itu, kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala gengsterime yang melanda di nusa tercinta kita ini. Institusi keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan suami isteri. Sekiranya tiada persefahaman antara mereka sudah pasti bibit-bibit kasih sayang yang dipupuk selama ini hilang sebagai akibat daripada sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak yang bakal mengganggui kehidupan anak-anak pada hari mendatang. Oleh itu, kes penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku sekali dalam tempoh masa 15 minit. Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa mereka. Keadaan ini membimbangkan kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam gejala samseng untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. Izharlah bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena gengsterisme remaja yang ingin melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu, ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya’.

            Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara faktor gejala gengsterime semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita pada hari ini. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Tindakan remaja yang sanggup menuruti kata-kata kawannya tanpa memikirkan risiko dapat diumpamakan seperti kerbau dicucuk hidung. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan kata-kata mereka. Menurut Thrasher yang merupakan pelopor awal tentang kajian gengsterisme mengutarakan bahawa pada peringkat awal remaja, golongan ini berkemampuan untuk mewujudkan geng atau persatuan. Remaja yang masih berbau pucuk jerengau ini sanggup mengkhianati kepercayaan ibu bapa dan guru mereka daripada mengkhianati kumpulan mereka. Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah mengugut guru asrama dengan menggunakan parang. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain. Ekoran sikap remaja yang tersalah memilih rakan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif seperti gengsterisme. Hal ini dapat dikaitkan dengan petikan sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika berkawan dengan tukang besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.” Pendek kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut gengsterime semakin sukar ditangani.

             Dalam konteks yang sama, punca yang lain ialah pengaruh media yang berteknologi tinggi. Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini, pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi tinggi seperti rangkaian televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Penggunaan media berteknologi ini kebanyakannya dikuasai oleh golongan remaja yang masih mentah. Kajian melaporkan bahawa 80 peratus anak-anak melayari Internet. Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk mencapai status negara maju, rakyat sesebuah negara itu perlu memajukan diri dengan perkembangan semasa seiring dengan kehendak pasaran dunia. Malangnya, kemajuan yang dikecapi pada hari ini turut merosakkan pemikiran dan akhlak remaja di negara kita. Terdapat banyak media berteknologi tinggi yang mendedahkan pelbagai budaya luar dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, ‘Gengster’, KL Menjerit dan rancangan ‘WWE Smack Down’ telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini disebabkan oleh sikap penerbit yang bersikap materialistik dan ingin mengautkan keuntungan peribadi daripada mengutamakan kepentingan sejagat. Sikap manusia yang mementingkan diri sendiri ini dapat diumpamakan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa didorongan oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh mereka.  Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media berteknologi tinggi juga menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini kepada ibu pertiwi kita.

            Dari perspektif yang berbeza pula, peraturan sekolah yang lemah turut menyebabkan masalah gengsterisme dalam kalangan remaja kian bermaharajalela dan merebak dengan pantas bagaikan virus epidermik. Keadaan ini terjadi apabila terdapat sesetengah pihak sekolah pada hari ini lebih mementingkan pencapaian akademik dan lebih berorientasikan peperiksaan. Bagi mereka, pencapaian kecemerlangan pelajar dari aspek akademik menjadi kayu pengukur kepada prestasi kecemerlangan sekolah. Sekiranya hal ini terjadi sudah pasti pihak sekolah akan hilang fokus untuk menangani kes-kes pelajar sekolah dan tidak menganalisis kesalahan pelajar yang dilaporkan seperti kes gengsterisme dan buli yang kian hari kian bernanah di persekitaran sekolah. Pihak sekolah juga tidak mengenakan peraturan dan hukuman yang tegas kepada pelajar-pelajar yang melakukan keganasan pelajar lain dan sikap pihak sekolah ini dapat diumpamakan seperti singa yang hilang taringnya. Sebagai misalannya, lebih kurang 20 orang pelajar di Sekolah Menengah St. David, Bukit Baru, Melaka bergaduh di kantin sekolah dan memukul sesama sendiri menggunakan kerusi. Kejadian ini membuktikan bahawa kumpulan pelajar ini memantang enteng dan tidak gerun dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sehubungan dengan itu, impian Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang holistik akan terkubur sekiranya gejala gengsterisme semakin berleluasa dalam kalangan remaja yang rata-ratanya merupakan pelajar sekolah. Bukan itu sahaja, kepercayaan ibu bapa terhadap pihak sekolah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti turut akan terjejas. Jadi, ketidaktegasan peraturan dan sikap pihak sekolah juga antara punca yang menyebabkan gejala samseng dalam kalangan remaja semakin sukar diatasi.

            Secara analoginya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak punca yang menjadi pemangkin kepada penularan gejala gengsterisme dalam kalangan remaja di negara kita. Jika kemelut sosial yang melanda  remaja di negara kita ini tidak dapat dihapuskan, remaja yang merupakan jentera penggerak kemajuan negara  tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk memacu pembangunan negara. Dengan ini, segala aspirasi negara hanya sekadar omongan kosong semata-mata dan akan menjadi angan-angan Mat Jenin. (CDGN) Jadi, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Juvana juga perlu dikaji dan diubah suai selaras dengan zaman globalisasi. Namun begitu, tindakan mengharapkan satu pihak untuk menyelesaikan masalah ini semata-mata tidak berkesan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan status haruslah mengorak langkah untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah ini sehingga noktah terakhir. (HRPN) Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan. Secara implisitnya, negara kita dapat berdiri gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. Imej negara juga akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Ahli filsuf Tao pernah menukilkan bahawa jika mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Jadi, marilah kita bersama-sama untuk menanam jiwa remaja dengan peribadi yang murni. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masa depan mutiara negara yang berharga ini terus terpelihara demi kebaikan bersama.

Ciri-Ciri Generasi Berwawasan

09:25:00 0
Pujangga pernah mengatakan “generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara” sememangnya kata-kata ini tidak dapat disangkal lagi. Apakah maksud di sebalik frasa generasi berwawasan itu? Generasi bermaksud pewaris masyarakat yang bakal memimpin negara untuk menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan mencapai kejayaan sosial. Wawasan pula dapat kita takrifkan sebagai suatu matlamat untuk mencapai cita-cita ngara pada tahun 2020. Manakala jika kita gabungkan kedua-dua perkataan tersebut, generasi berwawasan dapat kita definisikan sebagai golongan muda masa kini yang akan menerajui negara pada masa akan datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan kewibawaan yang lengkap serta mantap demi mencapai misi dan visi Negara untuk menjadi Negara maju selaras dengan sasaran dalam Wawasan 2020. 

     Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita saban hari pantas meniti dari bibir ke bibir. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya. Hal ini kerana, generasi berwawasan merupakan generasi pelapis pemimpin masa hadapan.
Sebenarnya kelompok generasi berwawasan ini mempunyai banyak kepentingannya dalam kehidupan seharian kita. Antaranya, negara tidak akan mundur dengan adanya generasi yang berwawasan, mereka akan dapat memimpin negara dengan lebih kreatif dan optimis. Generasi ini akan dapat mengatasi segala masalah negara dengan lebih bijak. 

     Selain itu, pembangunan negara juga akan menjadi lebih pesat. Generasi berwawasan ini dapat menjamin masa depan negara yang baik dan meningkatkan lagi ekonomi negara. Negara juga dapat berkembang maju dan nama negara juga dapat diperkenalkan di persada dunia. Akan tetapi,dewasa ini, jika kita menyoroti isu-isu semasa, terdapat pelbagai halangan untuk melahirkan generasi berwawasan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya generasi kini kurang kawalan dan limpahan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal ini kerana, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kemewahan sehingga sanggup mengabaikan anak sendiri. Di samping itu, pemikiran generasi kini masih belum matang dan mereka sentiasa mahu melakukan sesuatu tindakan secara terburu-buru sehingga sanggup menjebakkan diri dalam kancah masalah sosial. Oleh yang demikian, semua pihak perlu melangkah sederap untuk membina satu kelompok generasi muda yang berkualiti demi merelisasikan misi nasional negara iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

     Oleh sebab hasrat murni kerajaan perlu dicapai sebaik sahaja kaki melangkah ke tahun 2020, maka remaja sendiri perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ciri dan sifat mahmudah untuk mencapai misi negara itu seiring dengan panduan dan tunjuk ajar daripada golongan dewasa. Untuk itu,generasi kita perlulah berpengetahuan luas dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai aspek, seperti ekonomi,politik dan sosial. Hal ini penting kerana apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang, mereka akan dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dan rasional. Golongan ini juga perlulah menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu pengetahuan ,bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’. Ilmu yang diperoleh hendaklah dipraktikkan supaya tidak menjadi sia-sia sahaja. Rentetan itu, generasi muda juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat bersaing secara sihat antara satu sama lain. Hal ini merupakan satu amalan yang baik kerana selain dapat meningkatkan mutu prestasi kerja individu,amalan ini juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia walaupun berlainan kaum. Selain itu, bagi merealisasikan impian negara, generasi muda sekarang perlulah mempunyai sifat keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain.
 
      Dalam nada yang serupa, generasi yang berwawasan turut memberi kesan kepada negara kita. Kesan yang menjadi pokok kepada persoalan di sini ialah generasi berwawasan dapat menjamin kestabilan politik. Mereka merupakan pendukung sistem demokrasi berpelembagaan di Malaysia dan bertanggungjawab untuk mencapai kestabilan politik melalui pilihan raya. Direnung dari aspek yang lain, generasi berwawasan akan menerajui tampuk kepimpinan negara untuk mencapai mercu kejayaan. Jika kita menyingkap dari aspek ekonomi pula, generasi yang berwawasan dapat memantapkan ekonomi negara. Mereka juga memikul tanggungjawab dan mempunyai matlamat untuk membangunkan ekonomi negara supaya Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. 

     Seterusnya, generasi berwawasan juga dapat mencapai kejayaan sosial iaitu kesejahteraan sosial. Generasi berwawasan akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau dengan kata lain mencapai integrasi nasional. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi dan bertolak ansur demi mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Kita perlu mengetahui, jika kita tidak mempunyai generasi yang berwawasan, sudah pasti negara kita akan mundur dan porak peranda. Pelbagai masalah akan timbul dan masyarakat juga akan berpecah belah. Maka, kita semua perlulah bersatu hati demi mewujudkan generasi yang mempunyai wawasan untuk dijadikan pedoman hidup.
 
     Kesimpulannya, generasi berwawasan sememangnya memberikan pelbagai maslahat kepada kita. Kita boleh menjadi generasi berwawasan jika kita sentiasa berfikiran kehadapan. Generasi muda terutamanya golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri ,bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan. Maka adalah menjadi suatu kewajipan bagi generasi muda untuk menyiapkan diri dengan kemahiran dan skil-skil yang kontemporari agar Malaysia dapat terus bersaing dengan yang lain. Akhirul kalam, generasi berwawasan sememangnya merupakan tonggak pembangunan negara, maka kita semua perlulah berusaha untuk menjadi generasi yang berwawasan demi menyerbakkan keharuman nama negara kita di persada antarabangsa.

Kempen Galakan Membaca Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

09:17:00 3
Para ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’ itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu membaca. Marcapada ini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah dilaksanakan di negara ini, namun keberkesanan kempen masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan masyarakat. Masa inilah saatnya untuk tenaga semua pihak yang bersepadu digemblengkan bagi membentuk masyarakat yang gemar membaca.

     Minat membaca dalam setiap ihsan seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak kerana kanak-kanak seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorak dan mewarnai kehidupannya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana membaca di rumah dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan amalan membaca , bukan sahaja sekadar hobi tetapi untuk mencari maklumat tentang sebarang perkara yang tidak diketahui juga. Didiklah anak-anak supaya menjadi ihsan yang cemerlang kerana anak-anak semasa kecil mudah diajar dan dibentuk, bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

     Selain itu, pihak sekolah juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam mendidik ihsan kelas pertama supaya gemar membaca. Pada tahun 2002, Kementerian Pendidikan dan Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program NILAM di setiap sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengisi masa lapang para pelajar dan mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, di samping menambahkan lagi ilmu pengetahuan murid-murid. Sehingga kini, pihak sekolah masih menjalankan sesi pembacaan iaitu akitiviti NILAM di sekolah dan menjadikan pusat sumber sekolah sebagai satu tempat rujukan maklumat serta dimuatkan dalam jadual kelas untuk pergi ke perpustakaan sekali-sekala. Usaha yang mulia ini perlu ditingkatkan lagi dengan berlipat ganda kerana murid-murid masih sukar dan tidak gemar melakukan aktiviti membaca. Sebaliknya, mereka lebih suka menggunakan ICT untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

     Tidak lupa juga kepada pihak media massa dan elektronik pada masa ini. Peranan mereka dalam menjayakan kempen galakan membaca amat besar kerana media massa dan elektronik berperanan sebagai ‘Penyebar maklumat untuk negara’. Hal ini telah dibuktikan melalui penyebaran ilmu melalui surat khabar, majalah, tayangan televisyen, siaran radio dan juga ruangan siber di Internet. Pada zaman teknologi dan maklumat ini, masyarakat menggunakan bahan-bahan elektronik sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mereka lebih menumpukan perhatian pada berita-berita hangat dan cerita-cerita sensasi yang dipaparkan oleh media massa terutamanya surat khabar. Oleh yang demikian, pihak media massa dan elektronik perlu menyeru dan menggesa masyarakat supaya membaca dan menyatakan sekali kebaikan-kebaikan membaca. Jika pihak media massa berbuat demikian, tentulah masyarakat negara ini akan menuruti tuntutannya. Begitulah besarnya pengaruh media massa dan elektronik dalam kehidupan masyarakat.

     Dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak, minat membaca ternyata menurun dengan drastik. Kesedaran terhadap minat membaca terbukti menurun dengan begitu ketara sekali dalam kalangan dewasa khusunya mereka yang tidak terlibat dengan bidang pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan dengan keberkesanan kempen yang masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Apabila memasuki alam pekerjaan, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menjadi hambatan utama seseorang itu kurang berminat untuk membaca. Sekiranya ada yang berminat, pembacaan mereka sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Bahan bacaan yang dipilih pula hanya bahan-bahan ringan dan bahan hiburan. Sindrom ini sebenarnya menjurus ke arah pembentukan bangsa yang lemah, jumud dan tidak bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang mementingkan pemerolehan maklumat terkini. Oleh yang demikian, langkah yang proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan dan faedah membaca.

     Intihanya, semua pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti perlulah segera bekerjasama sepetri aur dengan tebing untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara. Setiap insan juga perlu berusaha sendiri untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca dalam proses melahirkan dan membentuk pelapis generasi akan datang dan juga pemimpin berwibawa yang berkaliber dan berwawasan tinggi serta mempunyai ilmu pengetahuan yang dalam dan tiada tandingannya kecuali dengan Tuhan. Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, berdagang dengan ilmu lebih baik daripada berdagang dengan harta; ilmu akan bertambah jika diperdagangkan, manakala harta pula akan berkurangan jika diperdagangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut kempen galakan membaca yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan hati yang terbuka dan muka yang manis.