February 2014 - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Kepentingan Amalan Berjimat Cermat

08:29:00 0
Dasawarsa ini,  negara kita telah dilanda oleh gelombang inflasi secara global. Setiap pengguna tidak dapat melepaskan diri  daripada kepompong  inflasi. Sehubungan dengan itu, segenap masyarakat diseru supaya mengimplementasikan amalan berjimat cermat dalam rutin hidup mereka untuk menghadapi keperitan itu. Semua ajaran agama mengajar penganutnya agar berjimat cermat dan tidak membazir dalam kehidupan. Filosofer  Laotze berkata, “Kehidupan membazir dan tamak akan mendorong manusia ke arah kebinasaan.” Hal ini memanifestasikan bahawa betapa pentingnya amalan berjimat cermat dalam kehidupan sehari-harian kita.

     Seperti pepatah , “malang tidak berbau”, iaitu manusia tidak dapat menduga segala bencana atau kecemasan yang terdiri daripada   menghidap penyakit, kemalangan , kebakaran dan sebagainya. Ketika berlakunya sesuatu kecemasan, wang sering menjadi faktor utama untuk kita menyelesaikan banyak masalah.  Di manakah kita dapat memperoleh jumlah wang yang banyak untuk menghadapi sesuatu  yang tidak diingini, terutama menjalani pembedahan? Adakah kita perlu menghulurkan tangan untuk meminta bantuan?  Sebaliknya segala masalah dapat dikekang atau diminimumkan jika kita dapat berjimat cermat dan sentiasa bertabung dalam kehidupan sehari-harian.  Kita perlu sentiasa mengingati peribahasa Melayu, “Sediakan payung sebelum hujan.” Tuntasnya, amalan berjimat cermat merupakan tindakan berjaga-jaga untuk membuat persediaan sebelum berlakunya sesuatu kecemasan kerana panas tidak sampai ke petang.

     Tidak dapat dinafikan bahawa amalan berjimat cermat merupakan mangkin yang efektif untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini demikian kerana manusia sedang mengeksploitasikan sumber alam semaksimumnya tanpa memikirkan akibat yang bakal dihadapi.  Jika manusia dapat mengubah kehidupan mereka dengan berjimat cermat dari segi makanan, penggunaan bekalan air dan elektrik serta kertas dan lain-lain lagi, kita sedang menuju ke arah menyelamatkan bumi kita daripada mengalami kemusnahan. Gara-gara manusia mengejar kemewahan hidup dan bersikap boros, banyak  khazanah alam  telah diteroka  terutamanya bahan galian dan hutan.  Bayangkan suatu hari nanti, manusia terpaksa bunuh –membunuh dan berperang kerana merebut bekalan air.  Bak kata peribahasa, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” dan “jangan terhantuk baru tengadah”, kita perlu berjimat cermat dalam penggunaan setiap benda sebagai langkah mencintai alam kita.

    Saban hari  isu ceti haram atau along sering menghiasi dada akhbar sehingga mangsa tersebut membunuh diri  malah membunuh sekeluarga kerana tidak larat lagi menghadapi penganiayaan  along yang bermaharajalela.  Ketika mengamati berita ini, kita dapat mengetahui  bahawa mangsa berkenaan tidak mahir mengurus pendapatan mereka. Lazimnya mereka tidak bersikap ukur baju pada badan sendiri tetapi membesarkan kerak nasi dalam perbelanjaan. Walhasil, mereka sentiasa berhutang keliling pinggang. Sebaliknya jika kita sentiasa berbelanja secara hemat tanpa boros,  kita pasti dapat menyimpan wang yang berlebihan dalam simpanan bank atau melabur dalam skim amanah saham untuk keperluan masa depan. Ternyata amalan berjimat cermat berupaya menguruskan perbelanjaan secara teliti bagai "menarik rambut dalam tepung daripada berhutang".

     Bukan itu sahaja, amalan berjimat turut menjamin masa depan yang lebih cerah.  Setiap umat perlu pandai merancang masa depan mereka sejak kecil lagi. Kita perlu berjimat cermat dalam segala perbelanjaan kita dan menyimpan wang untuk kegunaan masa kelak kita. Bak kata peribahasa, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”, jika kita berbelanja berdasarkan nafsu, pendapatan kita akan habis pada hujung bulan. Bagaimana kita dapat merancang masa tua setelah pencen? Bagaimanakah kita dapat membayar kos pendidikan anak kita.  Jika kita dapat menjimatkan setiap perbelanjaan yang tidak diperlukan, nescaya kita dapat menyimpan sejumlah wang dalam tabung.  Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Wang yang dijimatkan itu dapat dirancang demi masa depan yang lebih cerah. Oleh itu ketika berbelanja, kita perlu mengingati peribahasa, “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.”

     Natijahnya / Akhirulkalam, amalan berjimat cermat merupakan nilai murni yang diajarkan oleh setiap agama di dunia ini. Berpaksikan amalan ini, kita dapat hidup dengan kesederhanaan tanpa membazir. Sehubungan dengan itu, kehidupan kita akan lebih harmoni, sentosa dan bahagia sehingga mewujudkan masyarakat sakinat.

Kepentingan Menyertai Badan Beruniform

08:27:00 0
Kokurikulum merupakan elemen yang sama penting dengan kurikulum akademik dalam pendidikan negara kita selaras dengan Falsafah Pendidikan  Negara yang berobjektif untuk  melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Salah sejenis kokurikulum yang mustahak ialah badan beruniform, seperti Kadet Polis, Kadet Bomba, Pengakap, Pandu Puteri Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya. Sesungguhnya, ibu bapa dan para pelajar perlu dicelikkan supaya menyedari kepentingan menyertai badan beruniform.

     Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan badan beruniform sangat maslahat untuk memupuk semangat berdisiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini terjadi demikian kerana peserta unit beruniform perlu mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan. Sebagai contohnya, ketika dalam latihan berkawad, setiap anggota harus mematuhi arahan ketua pasukan  masing-masing sehingga memiliki rentak yang sama semasa bergerak. Semangat berdisiplin ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan mereka sehingga tidak melanggar peraturan sekolah dan bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan sendiri. Nescaya remaja yang berdisiplin  dapat dicanai sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang jenayah juvenil.

      Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa badan beruniform merupakan medan yang paling sesuai untuk mencambahkan pemimpin yang berwibawa.  Melalui kegiatan dalam pasukan  beruniform, pelajar telah dilantik atau dipilih sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi mereka sama ada sebagai pengerusi, setiausaha atau bendahari. Dalam konteks ini, pelajar telah diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab, berkeyakinan, amanah, dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut dan pengalaman dalam  pasukan beruniform dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin kelak. Sebagai fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa majoriti pemimpin negara kita pernah  menjadi pemimpin dalam pasukan beruniform  di sekolah.

      Lebih-lebih lagi,  anggota  pasukan beruniform lebih berdikari  berbanding dengan pelajar lain. Lazimnya, pasukan beruniform akan menganjurkan pelbagai kegiatan  tahan lasak atau kegiatan di luar sekolah, seperti aktiviti berkelah, berkhemah, berkembara atau ekspedisi.  Dalam kegiatan yang sedemikian, setiap peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Sebagai contoh, mereka perlu memasak, mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Nilai berani, gigih, inisiatif, proaktif dan tabah akan dipupuk dalam sanubari setiap peserta untuk menghadapi pelbagai cabaran atau pancaroba. Lantaran daripada itu, anggota pasukan beruniform tidak seperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi tanpa diberi kebebasan untuk hidup berdikari.

      Sudah terang lagi bersuluh,  badan beruniform juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan peserta.  Selain ilmu akademik, pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam kehidupan dan sosial. Dengan menyertai Persatuan St. John Ambulans, pelajar telah diberi pengetahuan tentang pertolongan kecemasan.  Dalam kegiatan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri,  pelajar turut belajar untuk masak-memasak . Pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat ditimba daripada buku teks. Sebagai insan yang sempurna pelajar tidak boleh  bergantung pada pencapaian akademik sahaja. Pengalaman  dan kemahiran  ini dapat mematangkan fikiran pelajar itu.

      Badan beruniform juga dapat mewujudkan kerjasama antara pelajar yang berlainan bangsa. Semasa menjalankan kegiatan, pelajar yang berlainan bangsa dapat bertoleransi,  tolong-menolong dan bahu-membahu untuk menjayakan sesuatu program, bagai hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Ahli pasukan beruniform bukan sahaja menjalani aktiviti di dalam sekolah tetapi juga dalam  gabungan beberapa buah sekolah di peringkat daerah, negeri, kebangsaan malah antarabangsa. Anggota badan beruniform berpeluang berinteraksi dengan anggota dari sekolah lain bahkan negeri lain sehingga terjalinlah hubungan mesra antara generasi muda yang berbezaan latar belakang. Kerjasama mereka akan mencambahkan benih perpaduan, integrasi nasional dan nasionalisme dalam sanubari generasi muda kita sehingga merealisasikan 1 Malaysia.

     Bukan itu sahaja,  pelajar dapat menentukan kerjaya masa depan mereka  melalui kegiatan badan beruniform. Hal ini terjadi demikian kerana setelah menyertai kegiatan pasukan pakaian seragam,  mereka dapat mencungkil bakat mereka dan minat mereka dalam bidang tertentu.  Tamsilnya, anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan Persatuan St John Ambulans lazimnya berminat menjadi doktor, jururawat dan pegawai kesihatan apabila dewasa kelak.  Anggota Kadet Polis berpeluang besar untuk diterima dalam pasukan Polis Diraja Malaysia kerana sejak di bangku sekolah mereka telah menjalani pelbagai latihan ala polis di sekolah. Ternyata,  anggota badan beruniform dapat menentukan hala tuju kerjaya mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

     Secara tuntasnya, kegiatan badan beruniform berupaya melahirkan modal insan yang berkualiti, iaitu berdisiplin, beramanah, berketerampilan, bekerjasama, bertanggungjawab serta bersemangat kental dan waja diri . Untuk mencapai pembangunan fizikal dan mental negara, generasi yang berjati diri dan berwawasan merupakan  elemen yang tidak ternilai seperti peribahasa “pemuda harapan bangsa, pemudi srikandi negara”.

Keburukan Pengambilan Gula Secara Berlebihan

08:20:00 0
Berpaksikan laporan daripada Kementerian Kesihatan, setiap rakyat Malaysia telah mengambil gula sebanyak 47 kg pada tahun 2010.  Secara analogi, rakyat Malaysia mengambil gula terlampau banyak jika berbanding dengan negara jiran dan negara maju. Sebagai contoh, rakyat Jepun hanya mengambil gula sebanyak 18 kg  setahun sahaja.  Ketika harga gula dinaikkan daripada RM1.60 tahun 2009  hingga RM 2.40  pada Mei 2011, rakyat Malaysia terkilan dan merungut atas kenaikan harga gula sehingga berasa runsing.  Padahal, masyarakat kita perlu  menyedari kesan negatif tentang pengambilan gula secara berlebihan.

     Sesungguhnya, gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari, banyak orang suka makan makanan atau minuman yang sangat manis. Sebaliknya gula merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita sentiasa mengambil makanan yang manis, kita berpeluang besar untuk menghidap penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis.  Setakat ini, belum ada lagi ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya. Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak,  iaitu  ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai pesakit diabetes.  Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis. Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut. Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan.

     Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan,  pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan  kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”.  Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.

     Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat daripada rakyat kita yang suka mengambil  makanan dan minuman yang manis.  Saban tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi kemiskinan di luar bandar.  Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan, khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak berbaloi.

     Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu mengambil tindakan  segera sebelum nasi menjadi bubur.  Untuk menangani masalah tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula. Melalui ceramah, iklan,  dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan  makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Oleh itu,  kempen kesedaran yang berkala sangat penting untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.

     Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula di pasaran tempatan. Kerajaan harus  berani menghadapi tekanan politik dengan membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang.  Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia. Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar. Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi dimanjakan  sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara diberikan subsidi.

     Secara intihanya,  kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah, rakyat sihat negara maju.

Usaha-Usaha Untuk Melahirkan Pengguna Yang Bijak

08:13:00 0
Ketika negara kita melangkah ke arah pembangunan fizikal yang pesat,  ilmu kepenggunaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di takuk yang lama dan tidak mengalami anjakan paradigma. Walhasilnya, pengguna kita sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab lagi licik. Lebih-lebih lagi, segelintir peniaga kita sanggup menangguk di air keruh terhadap pengguna kita ketika negara kita dilanda tsunami kewangan.  Apabila peniaga kita meraih keuntungan yang bagai tikus jatuh ke gudang beras, pengguna yang tidak berdosa turut menjadi mangsa dalam gelombang inflasi.  Sesungguhnya, rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak.

     Untuk melahirkan pengguna yang bijak,  media massa memainkan peranan yang signifikan.  Sama ada pihak media elektronik seperti televisyen atau pihak media cetak terutama akhbar perlu  menerapkan pengetahuan atau hak-hak pengguna kepada khalayak ramai. Hal ini demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat kita. Dengan bantuan media,  pengguna akan mengetahui cara-cara yang berkesan untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh peniaga.  Sehubungan dengan itu, pihak media harus menyiarkan iklan, rencana, wawancara, forum dan ceramah tentang hak pengguna. Lantaran, suri ramah tangga yang merupakan golongan pengguna yang terbesar turut mendapat pengetahuan tentang ilmu kepenggunaan dan tidak seperti katak di bawah tempurung.

     Badan-badan NGO perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  untuk mengadakan “Kempen Pengguna Yang Bijak”. Dalam konteks ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) perlu memikul amanah untuk mengadakan kempen tersebut dari semasa ke semasa supaya orang ramai benar-benar mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Aktiviti tentang ceramah, pameran, forum, persidangan, pertandingan koir, peraduan melukis poster dan menulis esei tentang hak pengguna harus diadakan bersempena dengan kempen tersebut.  Khalayak ramai akan mengetahui cara untuk menuntut pampasan ketika membeli barangan atau mendapat perkhidmatan yang tidak bermutu. Orang ramai juga diberitahu tentang cara untuk membuat aduan ketika menghadapi penyelewengan peniaga seperti menaikkan harga dengan sesuka hati, menjual barangan yang telah lapuk tarik, menjual barangan yang tidak selamat atau mengancam kesihatan mereka. Keyakinan perlu diberikan kepada pengguna supaya berani menuntut hak mereka, dengan prinsip  “berani kerana benar”.

     Selain itu,  kurikulum  dan kokurikulum  tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak.  Kata orang tua-tua, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Lantas, ilmu kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar kita ketika masih di bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan pengetahuan tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga digalakkan supaya menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun jagung dan berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini amat penting supaya anak muda kita  akan menjadi jauhari yang mengenal manikam, iaitu menjadi pengguna yang bijak. Gara-garanya ketika melangkah ke kedewasaan, golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh pengguna yang tamak dan tidak beramanah.

     Walaupun hak pengguna telah dimaktubkan dalam perundangan negara kita, tetapi pengguna yang kedangkalan pengetahuan sering menjadi mangsa dalam dunia perniagaan yang hanya mengutamakan riba dan terus mengabaikan etika mereka.  Rentetan daripada itu, pengguna kita harus bijak berbelanja tanpa diheret oleh pemiutang akibat hutang keliling pinggang.  Pengguna harus sentiasa membanding harga  di premis yang berbeza  sebelum membeli belah. Pengguna harus membeli barangan dengan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Ketika berbelanja, pengguna dinasihati supaya menyediakan belanjawan  dan senarai barangan yang perlu dibeli. Pendekatan ini sungguh mustahak agar kita tidak berbelanja secara berlebihan terutamanya menghadapi jualan megah, jualan murah dan promosi yang istimewa. Ingatlah peribahasa,  “mulut disuap pisang, buntut dikaitkan onak.” Jangan kita mudah terpengaruh oleh pujukan jurujual yang berbahasa manis. Eloklah kita meminimumkan penggunaan kad kredit supaya tidak membeli barangan mewah yang tidak berguna.  Natijahnya pengguna yang bijak perlu sentiasa mengukur baju pada badan sendiri tanpa berbelanja secara berlebihan sehingga  berhutang kepada ceti haram atau ceti halal, iaitu syarikat kad kredit.

     Bak kata peribahasa, “alah membeli menang memakai” harus dihayati oleh umat sejagat.  Setiap pengguna harus mementingkan kualiti barangan yang dibeli. Misalnya, ketika membeli sesuatu benda, kita perlu memperoleh maklumat tentang produk itu dan mengkaji kandungannya , tarikh lupuk serta fungsi penggunaan.  Barangan yang disahihkan oleh SIRIM atau ISO (Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa) sepatutnya menjadi pilihan kita. Pengguna yang bijak harus mengutamakan faktor keselamatan, kesihatan dan mesra alam terhadap sesuatu produk. Tamsilnya kita tidak akan membeli sesuatu produk yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar seperti pakaian kulit binatang liar, alat penghawa dingin yang mengeluarkan CFC dan sebagainya kerana kita juga pengguna alam sekitar.  Dengan kata lain pengguna yang bijak perlu menitikberatkan kualiti barangan yang tahan lama, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.

     Secara tuntasnya, pengguna yang bijak perlu mengetahui hak asasi pengguna  dan ilmu kepenggunaan.  Pengguna bertanggungjawab untuk membela nasib sendiri. Pengguna harus berani bersuara dan bertindak ketika dianiayai oleh peniaga yang berniat jahat. Kempen Konsumen  Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema, ”Perubahan Bermula Dengan Saya” harus dihayati oleh setiap pengguna.

Sumbangan Bidang Bioteknologi Dalam Sektor Pertanian

16:09:00 0
Walaupun di negara yang maju dalam sektor pertanian, seperti Belanda, dan New Zealand, kajian bioteknologi telah berkembang pesat tetapi di negara ini bidang bioteknologi masih baharu dan memerlukan penekanan yang lebih. Bidang kajian ini ialah suatu bidang sains yang menggunakan bahan kajian bioteknologi untuk dimanfaatkan dalam pengeluaran industri. Sebagai contoh, penghasilan ubat-ubatan berasaskan hasil keluaran pertanian ialah daripada kajian dan penyelidikan dalam bidang bioteknologi. Memandangkan pertanian merupakan suatu bidang yang telah sekian lama kita usahakan maka peningkatan kajian bioteknologi memang bermanfaat bagi negara kita.

     Sumbangan kajian bioteknologi yang paling asas ialah penemuan baka ternakan dan benih tanaman yang lebih bermutu dan tahan rintang, yang dapat menghasilkan pengeluaran dengan lebih banyak, cepat, dan berkualiti tinggi. Banyak contoh yang dapat kita kemukakan dalam hal ini, misalnya hasil kacukan biri-biri Australia dengan kambing tempatan, hasil kacukan lembu tempatan dengan baka lembu dari New Zealand, dan penemuan benih limau dan belimbing madu, buah duku langsat serta buah-buahan yang lain. Penemuan baka dan benih baharu yang lebih baik membawa harapan yang cerah kepada pengusaha sektor pertanian untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam kegiatan ini. Perkembangan yang menggalakkan dalam sektor pertanian di negara ini akan dapat mengurangkan jumlah import bekalan makanan.

     Hasil kajian bidang bioteknologi juga dapat membantu kita menemukan produk-produk baharu bagi sesuatu hasil pertanian. Kalau hasil daripada kelapa sawit dapat kita keluarkab produk seperti minyak, susu, lilin, mentega, dan vitamin E, maka tidak mustahil hasil-hasil pertanian lain juga dapat kita manfaatkan untuk menghasilkan produk akhir yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. Dalam konteks ini, masih banyak lagi bahan pertanian did negara kita yang belum lagi kita kaji dengan mendalam, khususnya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Banyak pokok herba yang tumbuh liar di hutan di negara ini dipercayai boleh dijadikan asas rawatan sesuatu penyakit jika diproses secara saintifik. Penemuan produk baharu yang bernilai akan memberikan satu dimensi baharu kepada ekonomi negara kita.

     Selain itu, teknik penanaman moden juga dapat dihasilkan melalui kajian bioteknologi. Kaedah hidroponik dan earoponik misalnya tidak lagi asing kepada kita, sebaliknya kaedah ini sudah dimanfaatkan dengan agak meluas dalam kalangan petani moden di negara ini. Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan tanah dan hasilnya pula bermutu. Pada masa ini, satu lagi teknik pertanian yang terkini telah kita import dari Belanda. Teknik itu dinamakan teknik fertigasi dan teknik ini telah pun digunakan dengan jayanya dalam penanaman rock melon. Dengan menggunakan teknik ini, saiz dan kemanisan buah dapat dikawal melalui bekalan nutrien yang disediakn untuk tanaman. Teknik penanaman ini hanya memerlukan plastik yang dibubuh dengan air serta baja disamping penyiraman tanaman sebanyak 2 hingga 3 jam sehari. Buah-buahan musim sejuk dapat ditanam dengan menggunakan teknik ini.

     Baja, racun makhluk perosak, hormon dan ubat-ubatan tidak dapat kita nafikan kepentingannya dalam kegiatan pertanian. Pokok memerlukan baja dan racun makhluk perosak untuk tumbuh subur, manakala haiwan ternakan pula memerlukan hormon dan ubat-ubatan untuk membesar. Semuanya ini dapat dipenuhi dengan jayanya jika kita memanfaatkan kajian bidang bioteknologi. Bidang kajian bioteknologi dapat mengenal pasti nutrien yang diperlukan khusus oleh sesuatu tanaman, begitu juga dengan cara mengelakkannya daripada dimusnahkan oleh serangga perosak. Demikian juga dengan pengawalan tumbesaran haiwan. Pemakanan dan perawatan khusus dapat dikenal pasti melalui kajian bidang bioteknologi.

     Satu lagi sumbangan yang tidak dapat dikesampingkan ialah teknologi pemprosesan hasil pertanian. Hasil mentah pertanian mungkin tidak mempunyai nilai yang menguntungkan, tetapi dengan ciptaan teknologi tertentu, bahan tersebut dapat diproses tanpa menjejaskan mutunya atau dijadikan produk hiliran yang mempunyai nilai komersil. Sebagai contoh, buah pisang jika tidak diproses dan dibungkus dengan menggunakan bahan kimia tertentu, akan cepat masak dan busuk. Tetapi, dengan kajian yang dijalankan, pisang dapat dibungkus dengan kaedah tertentu dan tempoh masaknya lebih lambat. Selain itu, pisang juga dapat diproses menjadi produk lain, seperti kek, dan perasa aiskrim.

     Kerajaan kini memang jelas cuba mengubah perhatian masyarakat agar tidak lagi memandang rendah terhadap sektor pertanian. Pendedahan yang berkaitan dengan usaha kerajaan itu secara meluas membuktikan hal tersebut. Usaha tersebut memberikan nafas baharu kepada pengusaha sektor pertanian dan diharap kita dapat mengembalikan peranan sektor ini sebagaimana dahulu. Dengan demikian, usaha kerajaan itu perlu diberikan sokongan. Ini disebabkan negara kita memang pada asasnya ialah sebuah negara pertanian. Jika kita berjaya dalam bidang bioteknologi, bermakna masa hadapan kita bukan sahaja cerah dalam sektor pertanian malah juga dalam sektor hilirannya.