Hak Dan Tanggungjawab Pengguna - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Hak Dan Tanggungjawab Pengguna

Dunia konsumerisme dewasa kini sering mengalami pergolakan.Situasi ini berpunca akibat daripada kelemahan peniaga dan pengeluar dalam mematuhi etika perniagaan sehingga meninggalkan kesan yang tidak sihat kepada pengguna.Siapakah yang dimaksudkan sebagai pengguna? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, penguna didefinisikan sebagai orang yang membeli dan menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan. Natijah daripada kejahilan para pengguna dalam menentukan tentang hak-hak dan tanggungjawab pengguna menyebabkan mereka senang diperkotak-katikkan oleh peniaga yang suka ‘menangguk di air keruh’.Hal ini memang sering terjadi kepada para pengguna yang rata-ratanya tidak mengetahui hak-hak dan tanggungjawab mereka..Walaupun mereka ini mempunyai kelulusan yang tinggi dalam akademik dan memegang jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan.

    Isu kepenggunaan atau konsumerisme ini sudah menjadi polemik di kalangan masyarakat kita.Namun masih kurang tindakan yang dilakukan bagi menangani situasi ini.Jika isu ini dibiarkan begitu sahaja,impaknya tetap mempengaruhi kehidupan manusia sejagat.Sejajar itu,kita sebagai pengguna mestilah proaktif dalam memainkan peranan supaya kata-kata Adam Smith bahawa ‘Consumer is the king’ atau ‘Pengguna ialah raja’ tidak hanya tinggal pada kata-kata sahaja. Menurut Pertubuhan Kesatuan Pengguna Sedunia terdapat tujuh hak asasi pengguna, iaitu hak untuk mendapat keselamatan,hak untuk mendapat maklumat,hak untuk mendapat keperluan asas dan pilihan,hak untuk mendapat perwakilan,hak untuk mendapat pampasan,hak untuk mendapat pendidikan, dan hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.Jadi,setelah mengetahui hak-hak ini pengguna mestilah bertindak secara rasional apabila membeli barangan atau perkhidmatan semoga mereka tidak menjadi mangsa kecurangan peniaga atau pengeluar ini.Sikap peniaga yang suka menaikkan harga barang secara semberono perlu ditangani segera.Jika ada peniaga yang bertindak menipu dalam jual beli barangan atau perkhidmatan,kita sebagai pengguna wajib mengambil tindakan melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Persatuan Pengguna,Tribunal Pengguna,Majlis Pengguna dan sebagainya.

    Sebagai seorang pengguna kita berhak untuk mendapatkan keselamatan daripada produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan supaya ia tidak membahayakan kesihatan.Hal ini kerana, kebanyakan produk tidak menjaminkan keselamatan dan mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan kita.Biar kita mengambil contoh, peristiwa ‘pil pelansing Slim 10’yang menimpa seorang pelakon Singapura iaitu Andrea De cruz yang nyaris menemui ajal kerana mengalami kegagalan fungsi hati akut gara-gara mengambil pil langsing.Fenomena ini berlaku akibat pihak pengeluar produk menggunakan bahan kimia yang diharamkan iaitu gabungan Fenfluramine dan Phentermine. Selain itu,pengguna juga mempunyai hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.Jika kita renungkan kembali,dasawarsa ini cuaca amat panas terik sehingga merimaskan setiap aktiviti kehidupan harian kita.Semua ini berpunca daripada alam sekitar yang tercemar.Sepatutnya pengguna berhak hidup dan bekerja dalam suatu alam sekitar yang bersih,tidak tercemar,tidak membahayakan kesihatan,tidak mengancam kebebasan serta menjamin kehidupan yang selesa.

    Memang sah dan ternyata ,kita semua ialah pengguna .Namun,adakah kita benar-benar tahu akan apa hak kita?Hak untuk mendapat pampasan merupakan satu perkara yang sering kita tidak tahu kewujudannya.Kejahilan ini menyebabkan kita sering teraniaya.Pengguna sebenarnya mempunyai hak untuk mendapat pampasan atau ganti rugi daripada peniaga jika diberi barangan atau perkhidmatan yang rosak,busuk,dan tidak berkualiti.Di bawah Ordinan Jualan Barang-Barang 1957 dan Akta Kontrak 1974 merupakan undang-undang yang memberi hak kepada pengguna untuk mendapat pampasan jika diberi barang atau perkhidmatan yang tidak berkualiti atau tidak memenuhi syarat-syarat yang dijanjikan.Oleh itu,kita sebagai pengguna perlu peka terhadap perkara sebegini supaya tidak terus menjadi ‘seperti mentimun yang digelek oleh durian’.

    Selain itu, pengguna juga berhak untuk mendapat pendidikan kepenggunaan. Pendidikan kepenggunaan boleh menjadikan setiap individu itu mempunyai maklumat serta kebolehan membuat pilihan secara waras.Lebih penting lagi,dengan adanya ilmu konsumerisme ini pengguna akan bertindak melaporkan kejadian penyelewengan oleh peniaga-peniaga kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan yang sewajarnya diambil dengan segera.Sikap dan mentaliti pengguna pada hari ini perlu ada anjakan paradigma supaya mereka akan bertindak lebih efektif dan efisyen.Tindakan tidak berhati perut oleh para peniaga yang diumpamakan seperti lintah darat ini wajar dibanteras.Hal ini kerana, tanpa kita sedari golongan yang tidak beretika inilah yang selalu memperalatkan para pengguna lantaran ketidakpekaan mereka terhadap hak-hak sebagai pengguna.

    Kecenderungan masyarakat moden yang tidak suka menjaga tepi kain orang juga menyebabkan mereka sering ditindas oleh golongan lintah darat ini.Dalam era globalisasi ini sepatutnya pengguna tidak harus terpinggir dan terkebelakang.Masyarakat hari ini naïf dengan kebendaan dan material yang melalaikan sehingga kadang kala mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.Apakah sebenarnya tanggungjawab pengguna? Menurut Risalah yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Kuala Lumpur,ada menggariskan pengguna mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga terhadap masyarakat.Justeru,untuk membebaskan pengguna daripada belenggu kejahilan dan kegelapan ini maka mereka perlu tahu apakah tanggungjawab terhadap diri sendiri? Sebagai warga Malaysia yang prihatin kita mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan maklumat untuk diri sendiri.Kita perlu mengetahui dan memahami segala maklumat berkaitan dengan barang-barang yang dibeli.Lebih penting lagi, kita sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri sendiri apabila menggunakan barang-barang yang bahaya seperti barang-barang elektrik,bahan-bahan kimia dan ubat-ubatan.Segala arahan tentang cara penggunaan barang-barang tersebut mestilah dipatuhi agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.

   Seterusnya, pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk membuat aduan jika ditipu dan menuntut pampasan jika ada kecacatan pada barang tersebut.Pendedahan yang dibuat oleh media massa seperti surat khabar Mingguan Malaysia patut dipuji,dengan adanya ruangan ‘Dari Tribunal Tuntutan Pengguna’ pada setiap hari Ahad sedikit sebanyak perkara yang dipaparkan di ruangan itu memberi panduan dan pengetahuan kepada para pengguna tentang cara-cara menuntut ganti rugi.Biar kita mengambil contoh,kisah seorang pengguna yang tertipu apabila mengharapkan gambar yang mencatatkan detik bergelar graduannya hanya tinggal memori di fikirannya sahaja kerana pihak studio yang ditugaskan merakamkan detik-detik penuh bersejarah itu tidak menggunakan keprofesionalisme yang menyebabkan gambar tersebut tidak berkualiti.Walaupun sesetengah pihak menganggap perkara yang dituntut oleh pengguna itu remeh-temeh tetapi pihak yang menuntut berjaya mendapat ganti rugi yang sepatutnya, kerana Tribunal berpendapat detik bergelar graduan tidak akan berulang lagi dan adalah tidak munasabah bagi pihak yang menuntut menyewa jubah graduan dan membeli semula bunga hidup semata-mata untuk mengambil gambar buat kali kedua.Kes ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 30 November 2003.

   Selain tanggungjawab terhadap diri sendiri,pengguna juga bertanggungjawab terhadap masyarakat iaitu tanggungjawab perwakilan yang bermaksud pengguna perlu memainkan peranan yang positif dalam badan-badan yang mewakili kepentingan mereka seperti FOMCA, Persatuan Pengguna dan Majlis Pengguna.Pengguna perlu bersikap proaktif jika mahu mereka tidak terus ditindas.Bertitik tolak dari situ juga pengguna perlu bertanggungjawab dalam bidang pendidikan kepenggunaan supaya dapat mewujudkan masyarakat pengguna yang bijak dan waras.Kita tidak mahu lagi pengeluar atau peniaga mengambil kesempatan sehingga menyebabkan kadar inflasi meningkat.Dalam konteks ini,pengguna mestilah bertindak wajar dan tidak hanya bertopang dagu merintih bahawa diri mereka sudah tertipu.

    Kesimpulannya, pendidikan kepenggunaan amat penting dalam membentuk masyarakat yang dinamik dan harmoni.Justeru,kita perlulah mengambil inisiatif untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang konsumerisme ini agar tidak terus ditipu oleh peniaga yang ‘ seperti harapkan pagar, pagar makan padi’ dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengeluar dan penjual yang mematuhi etika amalan perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa ini.Oleh itu,komitmen yang tinggi daripada semua pihak harus digembleng semoga usaha memodenkan budaya konsumerisme dapat mewujudkan kesejahteraan sosial masyarakat. Di samping itu, pihak – pihak yang berkenaan seperti Persatuan Pengguna dan FOMCA mestilah sentiasa memantau hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan pengguna agar pengguna tidak terus ditindas dan ditipu oleh lintah darat yang hanya tahu menghisap darah orang lain tanpa memikirkan natijahnya.Diharapkan kerjasama yang padu antara pengguna dan pihak-pihak yang memperjuangkan kepentingannya ini dapat membanteras masalah kecurangan dalam kalangan peniaga dan pengeluar ,semoga keharmonian dan kesejahteraan hak-hak pengguna tidak terus dinodai.

No comments:

Post a Comment