October 2013 - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

11:59:00 1

Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.

     Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.

       Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

       Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.

       Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.

      Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.

      Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.

      Intihanya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Cara-Cara Untuk Melahirkan Insan Yang Cemerlang

11:55:00 0
 
Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia. 
 
      Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca keranake mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik. 
 
      Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020.
 
      Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.
 
     Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita.
 
     Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas, persatuan kokurikulum dan pasukan beruniform. Menurut kata-kata mutiara, “Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda.” Justeru, guru sebagai penasihat harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi mana tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.
 
      Akhirulkalam, bak kata peribahasa, “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, golongan muda perlu dicanai supaya menjadi modal insan yang cemerlang. Ibu bapa dan guru memainkan peranan yang terpenting untuk mencapai aspirasi tersebut. Adakah pada tahun 2057, negara kita telah memiliki saintis yang memperoleh hadiah Nobel? Adakah negara kita akan memiliki usahawan seperti Bill Gates? Adakah negara kita akan memiliki olahragawan yang akan memiliki pingat emas dalam Sukan Olimpik? Hasrat tersebut akan tercapai jika masyarakat kita mengalami anjakan paradigma dari segi pembangunan kerohanian untuk melahirkan model insan yang cemerlang seperti tema Hari kebangsaan, 1 Malaysia Menjana Transformasi.

Pembentukan Modal Insan Yang Berkualiti

11:50:00 0
 
Modal insan yang juga dikenali sebagai pembangunan sumber manusia merupakan antara agenda utama dalam perealisasian Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) . RMK-9 yang dilancarkan oleh Perdana Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi fokus kepada unsur ini memandangkan manusia itu sendiri akan berperanan dengan begitu ketara pembangunan justeru mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju. Konsep pembangunan modal insan ini adalah proses untuk membentuk insan yang baik, kamil dan berguna, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, agama dan negara. 
     Modal insan ini berperanan dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi atau unit. Modal insan ini juga membantu mencorakkan hala tuju negara ke arah Wawasan 2020 yang disasarkan bermula dari era mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Modal insan ini disifatkan seperti tiang utama yang menguatkan dan membentuk sesebuah bangunan. Jika bahan yang digunakan untuk membuat tiang itu tidak berkualiti, pasti bangunan tersebut juga akan mudah rosak atau roboh. Begitu juga bagi sesebuah organisasi dan negara. Tanpa sumber manusia atau modal insan yang berkualiti, sesebuah negara akan menjadi lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam sosioekonominya.
     Pembentukan modal insan masa ini jelas cuba dijelmakan melalui konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menerusi gagasan Islam Hadhari, sumber manusia ini akan melalui satu pakej pendidikan yang menyeluruh, yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan adalah insan yang berkualiti dan dinamik. Di sinilah letaknya peranan penting institusi pendidikan terutama yang melibatkan generasi muda seperti MRSM. Modul tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah agar para pelajar menghayati konsep hadharah dalam Islam ini. Hal ini demikian kerana daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak bergantung kepada kemampuan, kemandirian dan jati diri rakyatnya. Oleh itu, jika setiap rakyat di negara ini mempunyai kualiti manusia unggul seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia. pasti akan mudah dan lancarlah proses untuk mencapai kejayaan dan segala bidang kehidupan.

      Penghasilan modal insan yang dinamik dan progresif memerlukan proses pengisian minda dengan ilmu pengetahuan. Modal insan yang berilmu akan menjadi rebutan organisasi atau pihak-pihak tertentu kerana merupakan aset berharga. Golongan yang berilmu bijak untuk mengurus sumber atau aset organisasi dalam bentuk yang terkawal. Jka mereka menggunakan bahan daripada sumber alam, merekatidak akan melakukan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan sebagainya. Jika sumber manusia berilmu itu melakukan sesuatu tugasan, maka mereka akan melakukan dengna rasa penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi.Saya berharap agar rakan-rakan seperjuangan saya dan adik-adik saya yang berada di maktab ini akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh MARA demi kegemilangan bersama justeru membekalkan modal insan yang boleh dibanggakan. Selain itu, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik atau menjadi suri teladan untuk mencetuskan sikap dan diri yang mempunyai ciri keperibadian yang mulia.

      Saya merumuskan bahawa agenda pembangunan modal insan ini perlu diutamakan dalam proses pembangunan negara kita kerana menjadi pemangkin yang bakal mencorakkan tahap ketamadunan bangsa kita. Kita perlu berfikir dan bertindak secara produktif . Pendidikan merupakan faktor penting terhadap usaha ini.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Peribadi Seseorang Remaja

11:46:00 0
Pengenalan
  • Menurut ahli psikologi yang terkenal Norm Chomsky, alam  remaja merupakan alamtransisi daripada alam kanak-kanak ke alam dewasa. 
  • berlaku perubahan fizikal dan tingkah laku. 
  • remaja cuba membentuk peribadi dan personaliti masing-masing.
  • peribadi berkait dengan cabaran mengemudikan hidup
  • terdapat pelbagai faktor yang turut mempengaruhi hal tersebut.
Isi-Isi
1. Keluarga mempunyai pengaruh yang besar

  • alam kehidupan remaja bermula dari sebuah keluarga. 
  • ibu bapa mampu mencorakkan anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih.
  • sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia akan dapat membentuk anak-anak yang berperibadi mulia
  • bertanggungjawab,bersopan dan saling menghormati satu sama lain.
  • keluarga yang pincang pula akan mempengaruhi remaja dari sudut yang negatif.
  • bagaimana acuan, begitulah kuihnya. 
  • ibu bapa sebagai ketua keluarga perlu menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak- anak 
  • anak-anak akan membesar dengan peribadi  mulia.
2. Rakan sebaya juga boleh mempengaruhi perkembangan peribadi remaja.
  • Lumrah remaja untuk berkawan. 
  • memilih rakan yang boleh dipercayai.
  • berkongsi masalah dan rahsia.
  • terikut-ikut akan perlakuan rakan.
  • jika rakan baik – peribadi remaja juga akan baik.
  • jika terpilih rakan yang negatif, mereka akan membentuk peribadi yang negatif.
  • ibu bapa perlu peka akan perubahan pada anak- anak.
  • sayangkan anak, tangan-tangankan – perlu tahu latar belakang anak-anak mereka.
3. Masyarakat
  • masyarakat positif dapat membentuk semangat perpaduan, saling menghormati, 
  • perlakuan masyarakat akan dilihat dan diperhatikan oleh remaja.
  • jika setiap ahli masyarakat saling bertolak-ansur dan menunjukkan sikap toleransi,remajaakan meniru dan mengamalkannya. 
  • jika sebaliknya, remaja memerhatikan masyarakat sekelilingnya bersikap negatif, maka sikap negatif itulah yang akan menjadi amalan, seterusnya mempengaruhi peribadi remaja itu dan kehidupannya.
4. Agama merupakan elemen utama dalam pembentukan peribadi seseorang remaja.
  • agama membimbing setiap orang ke jalan yang benar. 
  • agama memandu insan pada batasan kebenaran.
  • remaja yang terdidik dengan asuhan agama yang kukuh akan memperlihatkan peribadi murni yang selaras dengan ajaran agama.
  • ketika ini, kita lihat banyak remaja yang runtuh akhlak dan peribadi disebabkan mereka telah menyimpang jauh daripada ajaran agama masing-masing.
5. Media massa
  • Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri membuat pernyataan menyelar rancangan realiti tv yang berunsur negatif dan pernyataan beliau adalah sesuatu yang berasas. 
  • pada zaman ini, media massa begitu berpengaruh dalam kehidupan remaja.
  • kajian yang dijalankan mendapati bahawa purata masa menonton tv dalam kalangan remaja negara ini ialah 40 jam satu minggu.
  • masa yang begitu panjang sudah pasti mampu mendatangkan kesan kepada remaja.
  • remaja meniru sesuatu yang kebaratan kerana kebanyakan rancangan yang ditonton remaja pada masa ini lebih menonjolkan budaya yang negatif.
Kesimpulan
  • remaja aset penting negara. 
  • perlu usaha secara kolektif untuk membentuk remaja yang positif.
  • pendedahan pelbagai perkara positif perlu sejak kecil- melentur buluh biar dari rebung.
  • asuhan yang betul hendaklah diberikan kepada mereka. 
  • mereka akan dewasa sebagai pemuda dan pemudi harapan bangsa dan negara.

Kebaikan Membeli Barangan Buatan Tempatan

11:37:00 8

Ledakan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigm ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum airsekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

      Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.


       Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.


       Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.” Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai aspirasi negara menjadi negara industri.


      Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata” dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!

Permainan Tradisional

11:34:00 1

Definisi
  • Permainan yang dimainkan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi masa senggang.
  • Merupakan satu cara masyarakat pada zaman dahulu berhibur kerana pada masa tersebut tiada media elektronik yang boleh menghiburkan mereka.
  • Terdiri daripada gasing, wau, dam haji, galah panjang, ketingting bulu ayam, tarik upih, konda kondi
Faktor Kepupusan Budaya Tradisional

  1. Kegilaan terhadap permainan yang menggunakan teknologi moden menyebabkan permainan tradisional terus terpinggir. 
  2. Sikap segelintir generasi pada masa kini yang menganggap permainan tradisional adalah ketinggalan zaman dan hanya wujud pada zaman puntung asap sahaja haruslah dikikis. 
  3. Kecanggihan permainan moden melekakan generasi pada masa kini yang telah menjadi kera sumbang kerana asyik terperap di dalam kamar sahaja.
  4. Sikap acuh tak acuh sesetengah pihak dalam mengembalikan kegemilangan permainan  tradisional ini menyebabkan permainan ini semakin terus dilupakan. 
Langkah-Langkah
  1. Warisan nenek moyang ini akan luyput ditelan zaman jika tiada usaha untuk menggemilangkan kembali tradisinya. 
  2. Tiada lagi deraian ketawa jiran tetangga dan rakan taulan yang mengiringi setiap langkah permainan seperti gasing dan wau.
  3. Jangan kita biarkan nostalgia nenek moyang hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang dikuburkan sendiri oleh cucu-cicitnya yang tidak tahu menghargai warisan bangsa.
  4. Kecenderungan masyarakat moden untuk hidup seperti ‘enaun dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ menyebabkan permainan tradisional ini hanya tinggal dalam buku-buku dan majala-majalah sahaja.
  5. Sepatutnya generasi pada masa kini tampil sebagai pewaris pusaka tradisi nenek moyang yang terbilang.
  6. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempopularkan warisan ini kerana permainan tradisional ini merupakan satu daripada warisan silam yang perlu dipertahankan.
  7. Permainan tradisional merupakan sumber hiburan utama masyarakat silam tetapi kini perkembangan teknologi moden telah merubah segala-galanya.
  8. Permainan tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri dan merupakan warisan budaya bangsa Malaysia. Hilang budaya, maka lenyaplah sesuatu bangsa.
  9. Sudah tiba masanya langkah-langkah konkrit diambil bagi mempertahankan permainan-permainan tradisional ini. Jika tidak permainan-permainan ini akan lenyap ditelan zaman. 
  10. Kita tidak harus membiarkan sahaja warisan bangsa dibawa oleh angin lalu kerana sejarah yang berlaku banyak mengajar kita akan erti kehidupan yang sebenar. Justeru, hubungan yang renggang dapat dieratkan dengan adanya permainan tradisional seperti congkak, konda kondi, dan ketinting bulu ayam ini. 
  11. Kita tidak mahu anak bangsa kita menjadi manusia robotik yang hanya tahu menggunakan mesin sahaja tetapi tandus dalam hubungan sosial dengan masyarakat.
  12. Kita perlu mewujudkan acuan sendiri dan tidak terikut-ikut dengan budaya hedonisme masyarakat barat. 
  13. Kita tidak mahu menjejaskan ikatan kemesraan jika hanya tinggal di dalm mahligai indah tanpa bergaul dengan masyarakat sekitar akibat terlalu asyik dengan permainan komputer. 
  14. Kita tidak harus bersikap dingin terhadap warisan bangsa kita hingga meminggirkan khazanah yang amat berharga dan menjadi daya tarikan pelancong asing ke negara kita. 
  15. Janganlah kita menjadikan asakan pengaruh video, televisyen, internet dan pawagam sebagai alasan untuk tidak mempopularkan permainan ini kepada golongan muda.
Kesimpulan
  1. Biar sebagus mana sekalipun permainan moden, permainan tradisional tidak patut sekali-kali dipinggirkan.

Usaha-Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum

11:26:00 0
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip  Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
 

Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
 

Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.
 

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.
 

Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu diberi penekanan di negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “ Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Contoh lain : 
  1. Perpaduan kaum di Malaysia 
  2. Peranan Remaja untuk Memupuk Semangat Perpaduan
  3. Perpaduan 
  4. Usaha-Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum

Usaha-Usaha Mengelakkan Kejadian Tanah Runtuh

11:24:00 1
 
Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh yang  meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat Malaysia.  Peristiwa ini menuntut masyarakat membenamkan mata fikir dalam akal yang waras untuk mencari penyelesaian bukan hanya polemik di media-media  dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah  wajar  semua pihak  membuka mata  serta mengorak langkah  bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di Negara ini?
 
            Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini  ialah kerajaan menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut  merupakan langkah terbaik untuk  menjaga cerun-cerun   dan kawasan yang dibangunkan  daripada terdedah  kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit ditarah atas nama pembangunan.  Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan  telah melonggarkan ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup  bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada  cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa  aliran air bawah tanah  yang menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower dan  Bukit Antarabangsa misalnya,  masih lagi menjadi igauan  rakyat akibat  tidak  mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
 
            Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk  mengelakkan kejadian  tanah  runtuh  ialah kerajaan membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting untuk membolehkan air hujan  dari cerun bukit  mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengelakkan  berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit.   Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan  tanah runtuh.   Rakyat Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan  sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.
 
            Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang dapat  dilakukan  untuk mengurangkan berlakunya kejadian  tanah runtuh. Kerajaan perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan  tidak dapat dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman  dan laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng  bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju perumahan  perlu mewujudkan  Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas  apabila mengesan tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang terancang  dapat mengelakkan  kejadian yang tidak diingini seperti tanah runtuh.
 
            Akhirnya sekali,  penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa.  Penguatkuasaan yang tegas dapat  mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”.  Penguatkuasaan tanpa  “pilih bulu”  dapat mencegah  perbuatan yang tidak bertanggungjawab.  Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen dan konsesi pembalakan  perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki  Kediaman dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya, penguatkuasaan  yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial.
 
            Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan  agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata  Chief Seattle  bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu menjaga  sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan  dengan keadaan yang masih baik.

Langkah-langkah Untuk Menangani Kegawatan Ekonomi

13:01:00 0
 
Kini, rakyat Malaysia seperti juga rakyat di negara-negara jiran, iaitu Indonesia dan Thailand telah dikejutkan dengan satu isu yang sukar dileraikan, iaitu kegawatan ekonomi yang semakin meruncing berikutan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan dollar AS. Kejatuhan nilai ringgit ini dikatakan akibat serangan speculator mata wang, iaitu George Soros. Hal ini menyebabkan mata wang atau ringgit kita jatuh secara mendadak semenjak tahun 1997. Hal ini terbukti dengan perbezaan yang ketara antara nilai ringgit jika dibandingkan dengan dollar AS. Dalam pada itu, negara kita dikatakan salah sebuah negara Asia yang masih boleh mengawal keadaan ini jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Korea Selatan yang terpaksa meminjam wang dari Tabung Wang Antarabangsa. Keadaan di Malaysia masih stabil kerana kerajaan menganggarkan RM490 billion masih ada dalam simpanan kerajaan untuk membiayai projek-projek pembangunan pada tahun 1998 bagi meningkatkan taraf ekonomi negara. Di samping itu, rakyat diseru supaya menyokong tindakan kerajaan dan membantu kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

    Oleh yang demikian, ketika kerajaan giat berusaha menangani masalah ini, rakyat seharusnya berdiri teguh dan bersama-sama mengembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini. Rakyat juga perlu mengatur langkah dan strategi yang tersusun untuk membantu kerajaan. Kita mendapati bahawa usaha-usaha itu telah pun mengeluarkan hasil yang boleh dibanggakan. Rakyat banyak membantu dan seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia membantu kerajaan dengan tidak boros ketika berbelanja. Oleh yang demikian, kita harus merancang perbelanjaan sebelum membeli sesuatu barangan. Contohnya, kita harus memikirkan sama ada hendak dibeli atau tidak sesuatu barang supaya tidak berlaku pembaziran. Hal ini demikian kerana, pembaziran merupakan satu punca utama yang boleh mengakibatkan krisis ini menjadi semakin tenat dan sukar diatasi. Dalam usaha rakyat untuk menangani isu ini, kaum wanita sebagai suri rumah perlu memainkan peranan ini dengan bijak. Contohnya, mereka boleh membekalkan anak-anak mereka dengan makanan setiap hari apabila anak-anak mereka hendak ke sekolah. Kaum wanita juga tidak membeli barang-barang kemas semasa negara dilanda kegawatan ekonomi. Dengan berjimat dalam perbelanjaan, kita dapat membantu kerajaan untuk menangani masalah ini.
 
   Seterusnya, langkah untuk mengatasi krisis kegawatan ekonomi ialah kerajaan mengawal pengaliran keluar wang negara ke negara lain. Jika sebelum ini, masyarakat Malaysia gemar melancong ke negara asing, maka sekarang mereka seharusnya melancong di dalam negara sendiri dan membatalkan rancangan untuk melancong di luar negara. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelakkan pengaliran mata wang ke negara yang kita lawati kerana salah satu penyebab dan punca kegawatan ekonomi ialah pengaliran wang yang banyak ke negara lain. Pengaliran mata wang Malaysia juga dapat dikurangkan dengan mengurangkan import dan menambahkan eksport. Ini perlu diberi penekanan yang sewajarnya kepada sektor tertentu seperti sektor perindustrian. Sektor pelancongan negara juga memainkan peranan penting, terutamanya di kawasan pedalaman yang belum diusahakan sepenuhnya oleh arus pembangunan. Mereka harus meningkatkan atau meluaskan promosi ke seluruh dunia untuk menggalakkan pelancong asing datang ke negara ini. Di samping itu, kita harus meningkatkan eksport negara yang dapat membantu kerajaan menangani krisis ini dan dapat menambah tabungan negara.
 
   Selain itu, rakyat Malaysia yang mempunyai harta atau menyimpan wang di luar negara perlu menjual harta atau mengeluarkan wang mereka di luar negara dan melabur di Malaysia. Dengan berbuat demikian, mereka dapat membantu memulihkan ekonomi negara Contohnya, kita mendapati ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang membeli tanah dan ladang di Australia dan di New Zealand, dan tidak ketinggalan juga yang menyimpan wang di Switzerland dan di Singapura. Jadi, jika rakyat mebawa pulang wang mereka yang dilaburkan di negara asing ke negara ini, maka masalah kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh negara ini dapat diatasi segera. Seharusnya, rakyat menyedari hakikat ini dan membantu kerajaan seperti " berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenag-senang kemudian.

   Ditinjau kepesatan negara dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek pendidikan di Malaysia dari timur sampai ke barat dan dari Perlis sampai ke Sabah, kita mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, iaitu universiti awam dan universiti swasta. Oleh yang demikian, untuk menangani krisis ini, pengaliran wang keluar dari negara ini haruslah dibendung. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menentukan anak-anak mereka supaya menyambung pendidikan tinggi di dalam negara sendiri dan tidak menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara. Kerajaan menyarankan supaya rakyat Malaysia belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara. Hal ini demikian kerana dalam era dunia sains dan teknologi, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bukannya sebuah negara yang mundur. Malaysia diakui sebagai negara yang berkembang pesat dalam pendidikan tinggi. Rakyat, terutamanya ibu bapa seharusnya sedar bahawa pendidikan di Malaysia setaraf dengan dunia luar dan menghantar anak-anak mereka belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara untuk mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Oleh itu, pelajar-pelajar kita yang berada di luar negara dalam semester akhir disarankan supaya pulang ke tanah air dan menyambung pelajaran di sini. Penghantaran anak-anak ke luar negara ini menelan belanja yang banyak dan merugikan negara jika kursus atau jurusan yang dipelajari itu ditawarkan di Malaysia. Oleh yang demikian, seharusnya rakyat peka dengan saranan kerajaan kerana hal ini dapat membantu bukan sahaja negara, malahan rakyat negara ini.
 
   Akhirnya, rakyat Malaysia perlu bijak berbelanja dan lebih mengutamakan barangan tempatan. Kesedaran ini wajar disemai dan dipupuk dalam sanubari setiap rakyat kerana pembelian barang import akan menyebabkan pengaliran keluar mata wang negara kita ke negara pengeksport. Oleh hal yang demikian, media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi krisis ini dengan mengadakan kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia”. Sebenarnya, penduduk Malaysia kini lebih terpengaruh dengan barangan buatan luar negara, iaitu barangan import yang dikatakan lebih tahan lama. Hal ini merupakan pemikiran yang tidak sihat kerana telah disalahtafsirkan, terutamanya oleh suri rumah. Sebenarnya, barangan Malaysia berkualiti seperti barangan import . Rakyat Malaysia juga disarankan supaya jangan terlalu boros kerana hal ini akan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan. Rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang tenaga untuk membantu kerajaan menangani krisis ini. Mereka perlu berpegang pada cogan kata “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”. Sekiranya tidak bersatu, maka keadaan ini akan menyebabkan berlaku rusuhan seperti yang berlaku di Indonesia. Jadi, saya berharap agar semua pihak berganding bahu untuk mengatasi masalah ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan sejahtera.

Punca-Punca Berlakunya Gejala Merokok Dan Kesan

12:43:00 0
Rokok adalah tembakau yang dibalut berbentuk silinder samada daripada kertas mahupun daripada berbagai jenis daun berukuran antara 70mm hingga 120mm dengan diameter 10mm berbeda mengikut negara. Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada ujung yang lain.

Punca :

1. Pengaruh rakan sebaya
  • Lazimnya tabiat ini bermula secara suka-suka.
  • Lihat kawan hisap rokok, seseorang cenderung mahu mencuba.
  • Ramai terpengaruh dengan ajakan kawan untuk mencuba merokok.
  • Mereka bermula dengan suka-suka akhirnya ketagih.
  • Kalau pun ada yang tidak mahu, pengaruh kuat rakan sebaya akhirnya menjeratnya kepada perangkap rokok.
  • Ada juga yang merokok pada awal usia belasan tahun.
  • Lazimnya mereka yang mencuba sekali, meskipun ada yang terbatuk-batuk menyedut asap rokok, tidak akan berhenti dengan hembusan asap rokok yang pertama.
  • Kaki baru melangkah ke sekolah menengah rendah, sudah mula suka bau wangi asap rokok.
2. Kekeliruan identiti remaja mendorong mereka terlibat dalam tabiat merokok.
  • Pada usia yang muda, para remaja hendak menonjolkan diri dengan identiti tertentu untuk dikenali.
  • Ramai remaja menganggap amalan ini sebagai fesyen sezaman
  • Amalan ini melambangkan kedewasaan mereka.
  • Dengan menghisap rokok, mereka nampaknya lebih matang dan dewasa.
  • Ada pula menganggap mereka lebih bergaya dan berstatus.
  • Ada pula kaum wanita mahukan badan langsing dan percaya amalan ini dapat mengekalkan kelangsingan badan mereka.

Kesan :

1. Merokok boleh menyebabkan ketagihan
  • Hal ini kerana tembakau mengandungi bahan penyebab ketagihan dipanggil nikotin.
  • Ini merupakan bahan psikokimia yang mempengaruhi sistem saraf dan mental seseorang.
  • Nikotin dilaporkan menghasilkan tindak balas kimia dalam badan yang sama dengan yang dihasilkan oleh dadah kokain dan heroin.
  • Penagih akan gian.
  • Seluruh badan tidak selesa dan hilang semangat jika terputus bekalan rokok.
2. Merokok mencetuskan masalah disiplin remaja
  • Bagi remaja yang terperangkap dengan ketagihan, bukan sahaja wang saku dihabiskan malah ada juga yang berani ponteng sekolah untuk melepas gian.
  • Hal ini kerana mereka tidak boleh merokok di sekolah.
  • Mereka menjadi liar dan kerap ponteng sekolah kerana ketagih merokok.
  • Tidak cukup dengan wang saku sekolah, ada juga yang mula menjadi pandai mengebas duit ibu bapa sendiri.
  • Selepads itu mereka mungkin bergelumang dengan tabiat buruk mencuri untuk menampung belanja membeli rokok.
  • Malah tidak kurang juga perokok-perokok ini terlibat dengan jenayah juvana dan penyalahgunaan dadah!
3. Rokok menjejaskan kesihatan perokok
  • Asap rokok yang tampak seakan-akan berwarna putih sebenarnya tidaklah sebersih sebagaimana yang lazimnya dikaitkan dengan warna putih.
  • Hakikatnya asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membunuh.
  • Tembakau adalah penyebab paling utama kematian di seluruh dunia di mana tabiat merokok dilaporkan boleh membunuh satu bilion orang dalam abad ini.
  • Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam asap tembakau di mana 2,000 daripadanya adalah toksik dan 63 karsinogenik.
  • Separuh daripada perokok jangka masa panjang diuar-uarkan akan mati akibat penggunaan tembakau yang antaranya menyebabkan kanser paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik serta penyakit jantung.
  • Secara puratanya juga, hayat seseorang itu akan menjadi pendek lima minit bagi setiap batang rokok yang dihisap!
  • 30 peratus daripada semua kematian berkaitan kanser berpunca daripada tabiat merokok.
  • 90 peratus daripada semua kematian akibat kanser paru-paru adalah juga kerana tabiat merokok!
4. Asap rokok mencetuskan penyakit kanser
  • Tar dan nikotin dalam asap rokok menyebabkan barah paru-paru dan mulut.
  • Asap rokok bertoksid menyaluti tisu paru-paru, dan menjadinya kendur.
  • Jadi, gas-gas oksigen sukar meresap masuk menyebabkan penyakit emfisema.
  • Masalah sesak nafas atau batuk berpanjangan mencetuskan bronkitis.
  • Pada tahap serius, kahak perokok bertukar menjadi seakan warna hitam tar jalan.
  • Sel-sel paru-paru mengalami tumbesaran yang abnormal menyebabkan kanser paru-paru.
5. Rokok mencetuskan sakit jantung
  • Urat-urat darah menjadi tegang, menyebabkan penyakit jantung.
  • Jika ketiga-tiga saluran darah ke jantung tersumbat, pembedahan pintasan jantung terpaksa dijalankan.
  • Perokok menghadapi risiko serangan jantung yang teruk.
  • Perokok yang merokok sehingga 40 batang sehari mudah menderita serangan sakit ahmar.
6. Rokok mengancam tumbesaran bayi dalam kandungan ibu
  • Racun asap rokok meresap ke embrio.
  • Janin dalam kandungan kekurangan oksigen.
  • Kemungkinan besar bayi itu mengalami keguguran awal.
  • Ada pula dilahirkan lebih awal dan dalam keadaan kurang berat badan.
  • Maka bayi mudah dijangkiti penyakit.
  • Kecerdasan otak bayi juga terjejas.