Faktor-Faktor Berlakunya Cetak Rompak dan Langkah-Langkah Mengatasinya - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Faktor-Faktor Berlakunya Cetak Rompak dan Langkah-Langkah Mengatasinya


Dari tahun 1999 sehingga Januari tahun 2005, jumlah kes yang melibatkan cetak rompak yang telah didakwa ialah 33 260 kes dan nilai barangan yang telah disita ialah RM265 juta. Statistik tersebut hanya merujuk cetak rompak cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) tanpa mengambil kira kes cetak rompak barangan lain seperti cetak rompak buku, hak cipta, dan sebagainya. Sekiranya diteliti masalah ini secara mendalam, kita akan sedar bahawa fenomena cetak rompak bukanlah satu masalah yang mudah diatasi.

     Serbuan demi serbuan dilakukan ke atas penjual barangan cetak rompak tetapi masalah ini masih berleluasa. Kegiatan cetak rompak tidak berhenti sebaliknya semakin bertambah. Mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak mempunyai sikap tamak dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Tambahan pula mereka mengetahui kelemahan penguatkuasaan dalam membanteras gejala ini. Misalnya, di bawah Akta Hak Cipta 1987, seseorang pesalah boleh dikenakan denda minimum RM2 000 dan maksimum RM20 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Biasanya mereka tahu jika disabitkan kesalahan mereka hanya akan didenda. Oleh itu, mereka terus mencari keuntungan dengan cara yang pantas tanpa memperdulikan pekara-pekara yang lain.

     Selain itu, cetak rompak sukar dikawal kerana perbezaan harga yang tinggi antara barang tulen dengan barang tiruan. Sebagai contoh, harga sekeping cakera padat audio tulen berharga RM39 manakala harga cakera padat tiruan hanya berharga RM5. Perbezaan harga sebanyak 800% akan mendorong orang ramai memilih cakera padat tiruan selain mudah didapati. Semasa membuat pilihan, harga biasanya menjadi faktor penentu dan barangan yang murah akan menjadi pilihan. Hal ini menyukarkan usaha untuk menangani masalah cetak rompak.

     Apakah tindakan selanjutnya untuk membanteras gejala ini supaya tidak terus berleluasa? Salah satu langkah untuk mengurangkan masalah ini adalah dengan membina pusat percetakan di dalam Negara. Proses mencetak di dalam Negara akan menurunkan harga barangan tulen. Harga yang berpatutan akan menggalakkan pembeli memilih barangan tulen berbanding dengan barangan tiruan. Walaupun para pengeluar mengatakan bahawa mereka akan mengalami  kerugian kerana harga yang rendah tetapi dalam jangka masa panjang, langkah ini tetap tidak merugikan. Hal ini demikian kerana jumlah penjualan akan meningkat dan keuntungan akan meningkat juga makala kegiatan cetak rompak akan semakin berkurang.

   Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan perlu melaksanakan hukuman penjara mandatori terhadap pengedar dan penjual cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak. Langkah yang tegas ini adalah untuk membanteras gejala cetak rompak. Hal ini demikian kerana salah satu alasan kegiatan ini berterusan adalah kerana mereka tidak takut akan pihak penguat kuasa atau undang-undang. Hukuman yang terlalu ringan adalah faktor utama kegiatan menjual barangan atau produk haram itu masih berleluasa di Negara ini. Dengan itu, langkah mengenakan hukuman penjara mandatory mungkin akan lebih berhasil berbanding dengan hanya mengenakan hukuman denda.

      Penguatkuasaan hendaklah dijalankan dengan lebih efektif. Barangan rampasan seperti mesin pencetak cakera padat video dan cakera padat digital hendaklah dihapuskan dengan serta-merta. Hal ini adalah untuk mengelakkan mesin-mesin tersebut jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, pihak penguat kuasa juga hendaklah memastikan bahawa mesin-mesin pencetak untuk kegiatan cetak rompak tidak dapat dibawa masuk ke Negara kita. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala ini daripada terus berleluasa.

      Sememangnya sukar untuk menyelesaikan masalah cetak rompak. Sekiranya semua pihak ingin menghapuskan kegiatan ini, kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat mesti menjadi keutamaan. Pengeluar, pembeli, pihak penguat kuasa, dan pihak yang melaksanakan undang-undang harus bertindak tegas dan tidak teragak-agak semasa menjatuhkan hukuman kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak.

1 comment:

  1. bagus karangan anda. tetapi jika ada peribahasa lebih cemerlang...

    ReplyDelete