Kesan Pengambilan Makanan Segera - Karangan Pelajar Stpm

Sumber Rujukan Bagi Membantu Para Pelajar Dalam Penulisan Esei

sdsdfdsf

Kesan Pengambilan Makanan Segera

Apabila ada ura-ura untuk mencadangkan pengharaman iklan makanan segera dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik oleh Kementerian Kesihatan, banyak pihak memberikan pandangan yang berbeza-beza. Pandangan tersebut sudah tentu bersifat positif dan negatif. Kebanyakan pandangan negatif adalah berkaitan dengan kesan negatif terhadap ekonomi. Justeru, pakar-pakar ekonomi berpendapat bahawa langkah tersebut sebagai suatu tindakan yang boleh memalapkan ekonomi terutama dalam industri pengiklanan. Dalam hal ini, golongan tersebut lupa bahawa tentang kerosakan dan komplikasi kesihatan yang berlaku apabila terlalu banyak makan makanan segera. Adakah demi kelok ekonomi, kita sanggup berkorban nyawa? Persoalan besar ini perlu direnungkan dengan sikap berlapang dada dan berpandangan jauh.
 
Trend masyarakat masa kini turut mendorong perkembangan drastik industri makanan segera. Masyarakat yang terlalu sibuk sama ada kesibukan tugas atau kesibukan yang berpunca daripada rentak kehidupan masyarakat moden mendorong mereka mencari jalan pintas dengan mengambil makanan segera sebagai alternatif daripada makanan berat. Padah yang paling buruk daripada sikap tersebut apabila sikap itu menjangkiti anak-anak pula. Jika beberapa dekad yang lalu, mi segera menjadi pilihan makanan segera, kini terdapat ribuan jenama dikeluarkan atas keperluan makanan segera. Selain kurang berkualiti dan kandungan zat makanan yang tidak seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat sebagai akibat kandungan garam dan bahan pengawet yang berlebihan.
 
Pada hari ini, perkara yang membimbangkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, iaitu komplikasi kegemukan atau obesiti. Statistik sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa 25 hingga 30 peratus kanak-kanak di Malaysia menghadapi masalah kegemukan. Bahaya kegemukan telah menjadi suatu sindrom baru rakyat Malaysia yang dikatakan berpunca daripada pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi. Makanan tersebut ialah aiskrim, makanan yang berasaskan marjerin dan minuman berkarbonat di dalam tin adalah antara makanan kegemaran kanak-kanak dan remaja kini. Bahaya yang paling serius daripada kegemukan ialah risiko peningkatan kolesterol dalam darah.
 
Komplikasi dan radang tiga serangkai iaitu darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung sentiasa menjadi perbualan hangat penyakit moden masa kini.Satu kajian yang dibuat oleh Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakerfield, California dan Prevention Concepts Incorporated di Los Angeles yang melibatkan 200 pelajar sekolah menunjukkan bahawa sebanyak 8 orang mengambil lemak tepu yang berlebihan daripada makanan ringan yang disediakan. Selain itu, dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim melaporkan risiko remaja menghadapi sakit jantung daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat dalam makanan segera adalah amat tinggi.
 
Otak sewajarnya lebih sihat. Peribahasa pun ada menyatakan bahawa "otak yang cerdas berada pada tubuh badan yang sihat". Walau bagaimanapun, kajian di Baycrest Centre di Universiti Toronto, Kanada merumuskan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak. Hal ini berdasarkan kandungan makanan segera yang mengandungi lebihan lemak yang boleh merosakkan daya konsentrasi dan tahap ingatan. Otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik, namun kandungan lemak yang terlalu banyak boleh mengganggu peranan glukosa. Kajian Profesor Greenwood dari Universiti Toronto menunjukkan bahawa makanan segera mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi serta kandungan karbohidrat yang rendah merupakan imbangan makanan yang tidak sesuai untuk perkembangan otak manusia.
 
Selain itu, pelbagai komplikasi lain turut mengancam pengambilan makanan segera. Ancaman tersebut ialah radang paru-paru yang boleh membawa kepada penyakit asma yang kronik. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pakar saintis dari Scotland dan Arab Saudi dengan semua pengamal perubatan mendapati bahawa makanan ringan menjadi punca meningkatnya penyakit alahan dalam kalangan kanak-kanak. Kajian yang dilakukan terhadap 100 orang kanak-kanak yang mengambil makanan segera menunjukkan bahawa mereka kurang mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu amat mudah menghadapi risiko diserang asma yang berlarutan.
 
Benarlah seperti telahan orang tua-tua, "jangan ambil senang jika tidak mahu susah". Inilah musibah apabila masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum. Makanan sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, malang sekali apabila makanan turut membawa kesengsaraan kepada manusia. 

Contoh lain : Keburukan Makanan Segera 

No comments:

Post a Comment